RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Saturday, September 22, 2018

Bab 4 : Tak Mengaku Cinta


BAB 4

“CIK DIANA, kenapa tiba-tiba Encik Fuad panggil kita semua masuk miting?” tegur Leha yang sama-sama berjalan di sisi Diana. Ketika itu mereka sedang menapak masuk ke dalam bilik mesyuarat.
“Saya pun tak tahu Kak Leha. Pagi tadi tiba-tiba sahaja Encik Fuad telefon minta maklumkan kepada semua staf yang kita akan ada miting tergempar.”
“Jangan-jangan ada kaitan dengan resort ni tak? Encik Fuad nak umumkan resort ni bakal ditutup ke?” Leha mula cemas.
Diana tidak mampu berkata apa-apa kerana dia sendiri tidak tahu apa tujuan lelaki itu mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua staf. Selalunya, jika lelaki itu ingin mengadakan mesyuarat, hanya beberapa orang staf pengurusan tertinggi sahaja yang dipanggil, termasuk dirinya.
Suasana bilik mesyuarat yang kecil itu terasa sesak dan hingar-bingar. Masing-masing tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
“Diana? Apa kes ni?”
Diana yang sedang ralit membelek telefon bimbitnya, menoleh. Meor, pembantu tukang masak sudah pun mengambil tempat duduk di sebelahnya.
“Tak tahu. Encik Fuad tak inform apa-apa pun kepada saya.”
Really? Bukankah Encik Fuad selalu berbincang dengan awak dulu sebelum buat apa-apa keputusan?”
Diana hanya mampu menggeleng kepala. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, tiba-tiba Encik Fuad muncul di muka pintu.
“Assalamualaikum. Maaf kerana lambat. Saya minta maaf juga kerana terpaksa mengadakan perjumpaan tergembar pada hari ini. Sebelum itu, saya ingin meminta maaf sekali lagi atas apa yang bakal saya katakan. Mungkin perkara ini bakal mengejutkan anda semua. Tapi, saya tak ada pilihan lain lagi.”
Suasana di dalam bilik mesyuarat itu kembali hingar-bingar. Riak wajah masing-masing jelas kelihatan cuak dan bimbang dengan apa yang bakal diumumkan oleh bos mereka itu.
“Saya ada dua berita yang ingin saya sampaikan. Satu berita gembira dan satu berita buruk.”
Meor dan Diana saling berpandangan sebelum tumpuan mereka kembali terarah kepada lelaki itu.
“Saya akan umumkan dahulu berita buruk. Seperti yang anda semua maklum, resort ini telah mengalami masalah kewangan yang sangat teruk sehingga ada beberapa orang pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatannya secara terpaksa. Percayalah, itu sesuatu yang melukakan hati saya. Saya sayangkan anda semua seperti keluarga saya sendiri.”
Encik Fuad terdiam buat seketika. Kepala lelaki itu tunduk ke bawah. Seolah-olah mahu menyembunyikan riak wajah sedihnya, namun Diana tahu pasti lelaki itu sedang menahan sebak dan air mata yang mengalir di pipi.
Encik Fuad menarik nafas dalam-dalam, seolah-olah mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
“Dengan ini, saya mengumumkan yang saya tidak akan menguruskan resort ini lagi.”
Suasana bilik mesyuarat yang senyap sunyi bertukar menjadi kecoh. Ada yang menangis dan meraung kesedihan. Ada juga yang hanya termenung, seolah-olah memikirkan masa depan yang kelihatan gelap.
Diana segera bangun. “Maafkan saya Encik Fuad kerana mencelah. Tapi, saya rasa encik tak patut buat keputusan begitu tanpa berbincang dengan pihak pengurusan. Sekurang-kurangnya berbincang dengan saya.”
Encik Fuad hanya mampu mengukir senyuman sedih. “Tiada apa lagi yang boleh kita lakukan, Diana. We have done too much, but...”
“Tapi, kita boleh...”       
“Tidak. Ini keputusan muktamad saya.” Encik Fuad menjawab tegas.
Diana cuba mencari kata-kata yang sesuai bagi meyakinkan lelaki itu, namun dia tahu daripada riak wajah Encik Fuad, kelihatan lelaki itu sudah berputus asa dan pasrah.
“Tapi, anda semua jangan risau. Saya masih lagi belum mengumumkan berita gembira.” Encik Fuad kembali mengukir senyuman.
Perhatian semua yang berada di dalam bilik tersebut tertumpu ke arah Encik Fuad, termasuk Diana. Masing-masing kelihatan tidak sabar mahu mendengar berita yang menggembirakan itu.
“Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak lagi menguruskan resort ini kerana resort ini telah pun dibeli oleh seseorang. Yang saya percaya mampu membawa pembaharuan pada resort ini. Dan saya dijanjikan semua staf akan dikekalkan seperti sediakala.”
Diana kerut dahi, cuba mencerna maksud kata-kata lelaki itu.
“Orang tersebut ialah Syed Syafiq Syed Sariffudin, CEO syarikat SHQ Berhad. Mulai hari ini, resort ini akan diambil alih sepenuhnya oleh beliau.”
Seketika, muncul seorang lelaki yang lengkap bersut hitam, mengenakan tali leher berwarna keemasan berjalan masuk menghampiri Encik Fuad.
Rahang Diana hampir jatuh beberapa inci tatkala melihat siapa yang bakal menerajui resort tersebut. What the...!
         “Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya Syafiq. Bakal bos baru anda semua. Saya harap kita akan dapat bekerjasama demi memajukan kembali resort ini.”
Am I dreaming? Diana terasa seperti mahu pengsan!


“ENCIK FUAD tak boleh buat macam tu!” Suara Diana mulai meninggi.
Geram kerana lelaki itu membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Walaupun dia tahu lelaki itu merupakan pemilik mutlak resort tersebut dan segala keputusan boleh dibuat tanpa perlu berbincang dengan sesiapa, namun dia tetap merasakan lelaki itu tidak patut berbuat demikian.
“Ini yang terbaik, Diana. Awak pun tahu kan.”
Diana mundar-mandir sambil menggeleng kepala. Mulutnya tidak henti-henti mengomel. Malaun tu nak jadi bos aku? Tidak! Tak mungkin!
Diana berhenti melangkah, lalu memandang Encik Fuad yang sedang menurunkan gambar-gambar di dinding. “Berapa dia tawar?”
“Ya?” Encik Fuad bertanya, seolah-olah tidak menangkap maksud gadis itu.
“Malau... Maksud saya, Encik Syafiq. Berapa dia tawar kepada Encik Fuad untuk beli resort ni?”
Encik Fuad tersenyum. “You know it’s confidential.”
Diana merengus perlahan. Dia yakin, pasti banyak yang lelaki itu tawarkan sehingga Encik Fuad dengan murah hati menjual resort tersebut kepadanya.
“Encik Fuad tahu tak siapa Encik Syafiq itu sebenarnya?”
“Ya. Dia merupakan usahawan muda paling berjaya di negara ini. Dan saya yakin, dia ingin menambahkan lagi cabang niaga dalam bidang perhotelan dan resort pula.” 
“Huh! Itu ke yang dia cakap?” Diana bertanya tidak puas hati.
Dia berani kerat jari bukan itu tujuan utama Syafiq membeli resort ini. Pasti ada sesuatu yang malaun itu sedang rancangkan.
“Ya. Kenapa awak tanya? Awak kenal dia?”
“Hah? Err, tak kenal. Maksud saya, Encik Fuad yakin ke Encik Syafiq mampu memajukan resort ni? Dia takkan rosakkan resort ni? Betul ke dia akan tunaikan janji nak jaga kebajikan semua staf?” Bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut Diana.
“Diana, kenapa awak prejudis sangat terhadap Encik Syafiq? He seems like a nice person. Bagus budaknya. Berbudi bahasa dan pandai menjaga tutur kata. Lagipun, dia bujang lagi tau.” Encik Fuad berkata sambil tersenyum mengusik.
Wajah Diana berubah merah apabila diusik begitu. Dia berdeham beberapa kali.
“Jangan ubah topik ya. Apa yang saya nak tegaskan di sini...”
Tok. Tok. Tok.
Kata-kata Diana terhenti serta-merta. Pandangan mata masing-masing beralih ke pintu.
“Boleh saya masuk?”
Bulat mata Diana tatkala melihat siapa yang muncul.
“Apa awak buat dekat sini?” Diana bertanya spontan.
Dahi Encik Fuad berkerut sedikit, namun dia tidak berkata apa-apa. Dalam hatinya seperti sudah boleh mengagak ada sesuatu antara mereka berdua.
“Saja, melawat kawasan. So, this will be my office, right?” Syafiq bertanya sambil memandang sekeliling pejabat tersebut.
Diana merengus kasar. “Awak tahu tak cara awak ni mungkin dah gores perasaan Encik Fuad?”
Syafiq pandang wajah Diana dalam-dalam sebelum pandangan matanya beralih kepada Encik Faud yang berdiri tidak jauh daripada mereka.
It’s okay. Lagipun Encik Syafiq memang layak pun. Bukankah dia owner baru resort ni?” jawab Encik Fuad, masih mengukir senyuman.
Langsung tiada rasa kecil hati pada nada suara lelaki itu. Apakah Encik Fuad sudah benar-benar pasrah yang resort hasil titik peluhnya selama ini sudah jatuh ke tangan orang lain?
Diana tarik nafas dalam-dalam. Lagi lama dia berada di situ, lagi sakit hati dibuatnya.
“Tak apalah kalau macam itu. Saya keluar dulu.” Diana berkata sebelum keluar dari pejabat tersebut.
Syafiq mula kaget apabila gadis itu terus meluru keluar tanpa menoleh kepadanya. Tanpa menunggu lebih lama, dia turut keluar dari pejabat tersebut sambil diekori oleh Adli yang turut sama keliru dengan apa yang sedang berlaku.
“Diana!”
Diana langsung tidak berhenti melangkah walaupun telinganya jelas menangkap suara Syafiq memanggilnya di belakang.
“Isy! Boleh pulak dia buat-buat tak dengar.” Syafiq menggumam perlahan.
Kaki diatur laju cuba menyaingi langkah kaki gadis itu.
“Diana, tunggu!”
Namun, kata-kata tersebut sekadar seperti di angin lalu. Fuh, keras betul hati gadis ini.
As your new boss, I command you to stop!” Syafiq berkata kuat.
Diana spontan berhenti melangkah. Mata dipejam, cuba menahan sabar.
Syafiq menarik nafas lega apabila gadis itu berhenti juga melangkah. Nampaknya hati gadis itu tidaklah sekeras mana. Bak kata orang, hati perempuan ini seperti kerak nasi. Direndam dalam air lama-lama lembut juga, bukan?
Syafiq melangkah perlahan menghampiri gadis itu. Tangan dimasukkan ke dalam poket sambil berdiri betul-betul di hadapan Diana.
“Macam ni ke awak mengalu-alukan kedatangan majikan baru awak?”
Diana getap gigi, cuba menahan diri daripada memaki hamun lelaki itu. Bimbang jika dilihat oleh staf lain.
Syafiq senyum. Suka benar dia melihat riak wajah gadis itu sekarang. Impiannya untuk berada lebih dekat dengan gadis itu hampir menjadi kenyataan.
Dia memang tak pernah terfikir pun untuk membeli resort buruk ini. Namun demi Diana, apa pun dia sanggup lakukan. Dia langsung tidak kisah berapa pun yang dia perlu bayar untuk mendapatkan resort ini. Walaupun dia sendiri tahu, seperti yang kerap diingatkan oleh Adli, resort ini langsung tak ada potensi untuk dipulihkan. Bak kata Adli, buat rumah hantu pun tak layak.
Namun, demi Diana, dia tidak peduli akan semua itu. Apa yang dia mahu, Diana sentiasa dekat di sisinya.
Yes, Encik Syafiq. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Diana bertanya serius, namun masih mengekalkan nada sindir sambil merenung wajah lelaki itu.
Dalam kepala sudah terbayang nak cakar-cakar sahaja muka lelaki itu. Huh!
Syafiq angkat kening. “Kalau saya minta awak temankan saya malam ni, boleh?”
Diana genggam penumbuk sambil cuba menahan rasa geram.
Don’t you dare.” Syafiq memberi amaran apabila perasan tangan gadis itu sudah tergenggam erat. Gaya bila-bila masa sahaja gadis itu bakal mengayunkan penumbuknya.
Cukuplah. Dia dah serik. Nama sahaja perempuan, tapi boleh senak perutnya sehari semalam dek penangan penumbuk gadis itu.
“Kenapa? Takut? Harap muka aje macam gengster, tapi lembik.” Diana mengejek, cuba mengapi-apikan lelaki itu.
Syafiq pejam mata. Fuh, berasap telinganya mendengar kata-kata gadis itu.
“Harap muka aje cantik, tapi mulut macam...”
“Macam apa?” Diana bertanya lagi, cuba mencabar kesabaran lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbuat demikian.
Syafiq tarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal kemarahannya. Dia tahu niat sebenar Diana yang mahu menyakitkan hatinya.
“Saya tahu apa ubatnya untuk mulut macam awak ni.”
Oh really?” ejek Diana lagi.
Kiss. I will kiss your lips until you fall into my arms.” Syafiq berkata sambil bergerak selangkah ke depan.
Bulat mata Diana mendengar kata-kata lelaki itu. “Don’t you dare.”
Try me...” Syafiq menjawab sambil mengukir senyuman yang bagi Diana, sangat menakutkan.
Tanpa berfikir panjang, laju tangan Diana melekap di pipi Syafiq. Buat kali kedua.
OMG! Spontan Diana menutup mulut. Dia langsung tak sedar macam mana tangannya ringan sahaja menampar muka lelaki itu.
Syafiq pejam mata. Pipinya terasa perit, buat kali kedua.
“Berani awak...”
Namun, Diana sudah pun berlari dari situ tanpa menoleh lagi.
“Err, bos okey ke?” Adli yang entah muncul dari mana itu bertanya.
“Diamlah!”

         

0 140 tukang karut:

Post a Comment