RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Thursday, March 10, 2016

Cerita Baru : Encik Bos dan Cik PA : Bab 1



BAB 1 

KRING!
Telefon yang diletakkan di tempat duduk penumpang di sebelahnya itu dipandang sekilas. Mata sempat menjeling tuan punya nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Alamak! Laju dia mencapai telefon yang masih berdering sebelum skrin disentuh dan diletakkan di telinga.
“Asalamualaikum mak.”
“Waalaikumsalam, kamu kat mana dah ni? Jadi balik ke tidak?”
“Jadi mak. Jun dah on the way dah ni. Kejap lagi sampai.”
“Kamu ni dari tadi asyik on the way aje. Bila nak sampai?” Suara mak dah naik satu level.
“Jalan sesak sikit mak. Biasalah hujung minggu. Kejap lagi Jun sampai. Mak jangan risaulah.”
“Hmm, yalah. Bawa kereta tu hati-hati. Nanti kalau sempat, singgah kedai Pak Babu tu tolong beli air batu tiga plastik. Air batu dekat rumah Mak Andak kamu tu dah habis. Tak sempat nak buat untuk malam nanti.”
“Okey. Ada lagi nak pesan apa-apa?”
“Tak ada. Assalamualaikum.” Talian terus diputuskan.
“Adoi mak ni. Kita tak sempat balas terus dia letak telefon.” Jun mengomel sendiri sebelum meletakkan kembali telefon di sebelah.
“Dah nasib kaulah Jun. Orang lain yang kahwin, kau pulak yang kena paksa balik kampung jadi kuli.” Jun mengumam lagi ketika dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya. Ingatkan gerak lambat-lambat dari KL tadi bolehlah elak jadi ‘pekerja kontrak’ tak berbayar, alih-alih kena bebel dengan mak. Mak pulak asyik telefon tak henti-henti dari tadi, bertanya bila nak sampai? Ada dimana? Kat mana sekarang? Rasanya mak boleh berduet dengan Taufiq Batisah nyanyi lagu Awak Kat Mana? Awak...awak kat manaaaa? Argh stres!

“Jun!Tak bangun lagi ke anak dara bertuah ni?” Bunyi suara lantang Puan Amina, ibunya bergema betul-betul di luar pintu biliknya itu terasa seperti masuk ke dalam mimpinya.
“Jun!Bangun sekarang. Dah pukul berapa ni?Kamu nak tunggu matahari tu terpacak atas kepala baru nak bangun ke?Apa nak jadilah dengan kamu ni?Kalau macam inilah perangai kamu, memang tak ada sesiapa nak masuk meminang bla...bla...bla.”

DEGANG!
Jun tersentak. Terpisat-pisat dia memandang ke arah emaknya yang sudah bercekak pinggang di depan pintu.
“Apa nak jadi dengan kamu ni?Aku terjerit terlolong pun boleh kamu tak dengar?”
Jun menahan kuap dengan tangan sebelum bangun dari baringan. Sesekali dia mengeliat malas sambil menguap.
“Pukul berapa dah ni?” Jun bertanya sambil memandang ke arah tingkap biliknya. Macam awal lagi.
“Dah pukul 9.00 pagi. Kamu ni apa nak jadi? Nak tunggu apa baru nak bangun? Dengan subuh entah ke mana.” Puan Amina tak habis membebel lagi.
“Orang cutilah mak.” Jun mengumam perlahan sambil mengosok mata. Baru pukul 9.00 rupanya. Awal lagi ni. Boleh seround dua lagi layan mata.
“Awal lagilah mak. Baru pukul 9.00 pagi, bukan 9.00 malam. Lagi pun semalam kan Jun sampai lewat malam. Mengantuk tak habis lagi ni.” Jun menjawab sambil menguap besar.
“Cubalah perangai tu senonoh sikit. Kalau tahu dek orang, mana mak nak letak muka? Nama aje ada anak dara, belajar tinggi tapi pemalas.”
Jun membuat muka. Telinga dia dah naik muak mendengar kata-kata bebelan emaknya itu. Inilah salah satu sebab kenapa hati berat sahaja mahu pulang ke kampung.
“Yalah, yalah. Jun bangunlah ni.”
“Pergi bangun mandi, lepas tu ikut mak ke rumah Mak Andak kamu tu. Orang dah mula nak datang rewang.”
“Hah? Jun kena pergi jugak ke?” Jun bertanya agak terkejut. Baru aje nak layan tv hujung-hujung minggu ini.
“Habis tu kamu nak buat apa duduk rumah ni? Kalau tolong menyapu ke, basuh baju ke, memasak ke, tak apalah jugak. Dah, jangan nak banyak alasan. Pergi mandi sekarang.”
“Yalah.” Jun menjawab perlahan sebelum dia mencapai tuala lalu disangkutkan di bahu. Jun memandang ke arah emak yang sudah mula melangkah berjalan keluar dari biliknya. Sengih nakal terukir di bibir sebelum dia berjengket-jengket ke arah emaknya.
“Mak!”
“Oh pocot mak kau jatuh tergolek.”
Jun ketawa besar.
“Kamu ni dah kenapa? Buat tabiat?”
Jun memuncungkan bibir. Pelukan erat pada tubuh emaknya dari arah belakang itu masih tidak dilepaskan.
“Jun rindu emaklah. Mak tak rindu Jun ke?” Jun bertanya separuh merengek.
Puan Amina terdiam seketika.
“Rindu, sapa tak rindu anak, tak sayang. Cuma anak aje yang tak ingat ke aku ni.”
“Ala mak ni. Ke situ pulak. Mana ada. Jun ingat mak aje. Selalu jugak Jun telefon mak kan.” Jun menjawab sambil melepaskan pelukannya.
“Itulah kamu, pandai aje menjawab. Dah, pergi mandi cepat. Tu mak dah siapkan nasi lemak kegemaran kamu tu. Nanti lepas mandi, pergi makan lepas tu baru kita pergi rumah Mak Andak kamu tu.”
Yes! Jun pergi mandi dulu ya mak.” Jun berkata riang sebelum berjalan menuju ke bilik air.
Puan Amina hanya mengelengkan kepala ketika melihat keadaan anak tunggalnya itu. Nama sahaja umur dah 26 tapi perangai masih seperti budak-budak lagi.

 “Jun.”
Hmm.”
“Lepas ni teman aku pergi ambik baju, boleh?”
“Baju apa?” Jun bertanya malas sambil tangan laju memintal bunga kertas untuk dibuat gubahan hantaran. Inilah yang dia malas. Asyik tak jadi aje. Leceh betul. Naik fed up pun ada. Huh!
“Baju nikah akulah. Nanti teman eh?”
Isy, macam mana nak buat ni? Eee memang mencabar tahap kesabaran aku betul!
Dila mengangkat kepala dari bunga rampainya apabila dia merasakan orang sebelah tidak memberikan sebarang respon.
“Jun, kau dengar tak apa aku kata tadi?”
“Apa? Aku tengah sibuk ni. Asyik tak jadi aje. Dahlah, malas aku nak buat!” Jun mencampakkan bunga kertas yang telah renyuk ke dalam kotak berdekatan. Dila hanya terdiam sebelum memandang ke arah kotak tersebut. Entah kenapa hati agak tersentap dengan perbuatan sepupunya itu.
“Argh. Penatnya. Ni kalau dapat baring-baring layan mata kan best.” Jun mengeliat sambil membetul-betulkan pinggang. Hampir dua jam duduk bertapa atas lantai sambil membantu Dila, sepupunya yang akan bernikah dua tiga hari lagi.
Jun masih lagi memusing-musingkan tubuh sambil memandang sekeliling. Orang agak ramai yang datang merewang. Rata-rata kebanyakannya semua mak cik-mak cik surau. Al- maklumlah, Mak Andak itu rajin juga ke surau untuk belajar mengaji dan mendengar ceramah agama.
“Dila, Abang Am tak balik ke?” Jun bertanya apabila dia mula perasan yang abang sepupunya merangkap abang Dila tidak kelihatan di mana-mana.
Jun menoleh ke sebelah apabila pertanyaannya tidak disambut oleh sepupunya itu.
“Kau okey ke ni?” Tanya Jun sambil memandang hairan ke arah Dila yang masih tunduk memandang gubahan hantaran separuh siapnya itu. Dahi Jun berkerut apabila Dila masih mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya tadi.
“Dila? Wei, kau kenapa ni? Senyap aje. Gaduh dengan tunang ke apa?” Tanya Jun lagi.
“Tak ada apa. Kalau kau penat, kau baliklah dulu. Aku boleh buat sendiri.” Dila berkata perlahan sebelum bangun dari situ.
Jun hanya terkebil-kebil memandang ke arah Dila yang telah mula berjalan masuk ke dalam biliknya. Pelik betul minah ini. Jun mengomel di dalam hati. Dia mengeliat perlahan sambil mengemas alat-alat yang telah digunakan untuk membuat gubahan hantaran ke dalam kotak. Mata jatuh pada gumpalan bunga kertas yang dibaling tadi. Jun menggigit bibir. Alamak!
Jun memandang ke arah pintu bilik Dila yang sudah tertutup rapat itu. Tahulah dia yang sepupunya itu mungkin terasa hati dengan kata-katanya tadi. Jun menarik nafas panjang. Kau pun satu Jun, sudah tahu minah itu sensitif, mulut tu pakai lepas sahaja cakap tak fikir dulu. Kan ke minah tu dah merajuk. Isy!
Jun berdiri sambil membawa kotak berisi alat gubahan hantaran sebelum dia melangkah menuju ke bilik Dila. Sesekali telinga menangkap bunyi suara orang berbual di dapur. Riuh kejap rumah Mak Andak dia itu dengan suara orang kampung yang datang merewang. Rasanya malam nanti ada majlis berinai pula.
“Dila? Boleh aku masuk?” Jun mengetuk pintu bilik sepupunya itu dengan perlahan. Sesekali dia melemparkan senyuman pada mak cik-mak cik di dapur.
“Dila?” Jun bertanya lagi apabila masih tiada jawapan dari dalam bilik.
“Aku masuk eh.” Jun berkata sebelum memulas tombol pintu.
Ktik!
Fuh, nasib baik pintu tak berkunci. Jun berkata di dalam hati ketika dia memulas tombol dan menolak pintu tersebut ke dalam. Mata menyapa ruang dalam bilik sepupunya sebelum pandangan jatuh pada tubuh Dila yang membelakanginya itu.
Jun menggigit bibir sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Kotak yang dibawa tadi, diletakkan di hujung katil sebelum dia berjalan menghampiri Dila yang masih diam membisu.
“Dila, kau marah aku ke?”Jun bertanya ketika dia duduk di sebelah gadis itu. Dila masih diam membisu. Tangan gadis itu ligat bermain dengan telefon bimbitnya.
Jun menggigit bibir lagi. Terbit rasa bersalah apabila melihat ada kesan cecair jernih di pipi gadis itu.
“Dila, janganlah marah. Aku tak bermaksud nak cakap macam tu. Betul ni. Kau macam tak kenal aku. Mulut aku ni kadangkala tak ada insurans.”
Senyap.
Jun menggaru kepala yang tidak gatal. Ah, sudah! Dila dah masuk zon tak nak bercakap pula.
“Dila, sorrylah. Aku betul-betul tak ada niat macam tu. Tadi kau cakap nak ajak aku pergi ambil baju nikah kau kan? Pukul berapa kita nak pergi?”
“Tak apalah. Aku boleh pergi sendiri.” Dila menjawab perlahan. Ada nada jauh hati dalam tutur katanya itu.
Jun menggigit bibir lagi. Aduh, masak macam ini.
“Janganlah macam tu. Aku teman kau, okey? Lepas tu aku janji aku akan jadi pengapit kau jugak. Boleh?” Tanya Jun lagi cuba memancing perhatian sepupunya itu.
Dila menoleh.
Jun buat muka simpati.
“Betul kau nak jadi pengapit aku?”
“Hah?”
“Tadi kau kata nak jadi pengapit aku kan? Kau tak boleh tarik balik kata-kata kau tu.” Dila mengangkat kening. Jun terdiam. Alamak, aku main-main saja tadi.
“Err, ya ke? Aku ada cakap ke tadi?” Jun bertanya sambil tersengih. Dila buat muka.
“Aku merajuk lagi nanti.”
“Okey, okey. Aku jadi pengapit kau. Tapi dengan syarat, jangan marah aku lagi, okey?”
“Yalah.” Dila berkata sebelum bangun lalu mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu.
“Kau nak ke mana tu?” Jun bertanya.
“Mandi. Kan nak ambil baju nikah aku kejap lagi.”
Jun hanya diam.
“Menjadi jugak taktik aku untuk kau jadi pengapit aku.” Dila berkata sebelum melangkah masuk ke dalam bilik air.
Jun terdiam buat kali kedua. Wait a minute! What?!
“Dilaaaaa!”

“Jun, pipi aku gatal. Tolong garu.”
Jun menghulurkan tangan ke arah pipi sepupunya itu.
Thank you.”
Jun kembali ralit melihat mak andam melukis inai di jari dan tapak tangan gadis itu. Dalam hati terdetik rasa hairan. Kenapalah mahu bersusah payah pakai semua itu. Bukan ke susah nak buat apa-apa nanti? Kalau gatal kena gigit nyamuk, boleh juga minta orang lain tolong garukan. Tapi kalau dah sakit perut, siapa nak tolong basuhkan? Jun mengeleng sendiri. Dia memandang sekeliling sebelum pandangan mata jatuh pada sekumpulan pekerja yang sedang sibuk memasang pelamin di ruang tamu. Rasa macam nak runtuh rumah tersebut apabila barang-barang pelamin itu dibawa masuk ke dalam rumah petang tadi.
“Apalah yang dia orang ni duk membazir sangat. Buat simple-simple, sudahlah. Nanti aku kahwin, aku nak nikah kat masjid aje lepas tu terus pergi honeymoon. Selesai!” Jun mengomel di dalam hati.
“Jun.”
“Hmm?” Mata masih ralit melihat orang memasang pelamin di depan.
“Kau tak nak pakai ke?”
“Pakai apa?” Jun bertanya sambil menoleh memandang ke arah sepupunya itu.
“Ni, tak nak pakai ke?”
Jun buat muka.
“Tak naklah. Nanti aku berak, sapa nak cebok?”
“Hah?” Dila bertanya pelik. Gadis itu saling berbalas pandangan dengan mak andam. Jun hanya tersengih.
“Eh, Abang Am.”
Spontan Jun menoleh.
“Abang kata tak balik?” Dila bertanya ketika lelaki itu berjalan ke arah mereka.
“Adik abang sorang kahwin, takkan abang tak balik. Eh Jun pun ada.”
Jun senyum tawar apabila melihat sengih mengusik bermain di bibir lelaki itu. Itu macam dah nampak aura menyakat dah tu.
“Bila Jun sampai?” Abang Am bertanya sambil duduk di sebelah Dila.
“Semalam. Abang baru sampai ke?”
“A’ah. Jun cuti sampai bila?”
“Kejap aje. Lusa balik dah kut.”
“Abang datang dengan siapa?” Dila bertanya ketika mata ralit memandang mak andam yang sedang mengukir inai di tangannya itu.
“Balik berdua.”
Jun menoleh. Kening terangkat sebelah.
Girlfriend?”
“Taklah. Boyfriend.” Selamba lelaki itu membalas.
Jun mencebik. Loyar buruk pula ya.
“Mana boyfriend abang tu? Teringin sangat Jun nak tengok.” Jun berkata separuh menyindir.
“Nak jumpa? Kejap.” Amzal memandang sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Jun membuat muka. Dah lama tak balik kampung, makin poyo pula abang sepupunya itu.
“Dahlah abang. Tak payah nak poyo sangatlah. Macamlah Jun tak...”
“Ash! Sini.”Amzal melaung sambil mengangkat tangan.
Spontan Jun menoleh. Bulat mata ketika dia memandang ke arah lelaki bernama Ash itu.
“Wah, tu kawan abang ke?” Dila bertanya agak teruja.
Jun memandang ke arah lelaki itu tanpa berkelip. Mak ai.
“Jun, kut ya pun syok. Cover sikit boleh?”
Pang! Spontan Jun tersedar. Muka dah terasa merah padam apabila disakat begitu oleh Amzal. Jun mengigit bibir ketika lelaki itu semakin menghampiri mereka.
Dila hanya tersengih sambil mengangkat kening beberapa kali. Jun menjeling. Kepala ditunduk dan tangan laju bermain dengan telefon bimbit.
“Ash, ni adik aku, Dila. Bride to be.”
“Hai.” Dila menyapa sambil tersenyum.
“Hai.”
Jun menelan air liur berkali-kali apabila suara garau lelaki itu sampai di telinganya.
“Itu, sepupu aku. Junnah.”
Jun mengetab bibir. Dia menjeling ke arah Amzal di sebelah yang masih tersengih itu.
“Junnah?” Dahi lelaki itu berkerut sedikit.
Jun mengangkat kepala. Tajam mata merenung ke arah lelaki itu.
“Jun, call me Jun not Junnah.” Jun berkata agak geram sebelum berlalu dari situ. Sempat dia menghadiahkan jelingan maut kepada abang sepupunya itu.
“Jun, nak ke mana tu?” Suara Dila memanggilnya itu tidak diendahkan ketika kaki laju melangkah keluar dari rumah.
“Mak, Jun nak balik dulu.”
“Nak balik dah?”
Jun mengangguk sambil tayang muka simpati.
“Mengantuk.”
“Yalah. Hati-hati jalan tu.”

Jun mengeliat perlahan sambil menahan kuap ketika mata dilemparkan ke sekeliling. Suasana pagi yang menenangkan. Sesekali telinga menangkap bunyi burung-burung yang berkicauan. Buat seketika, fikirannya menerawang. Hatinya agak tenang ketika itu. Alangkah bagusnya jika dia boleh menikmati rasa tenang seperti ini, buat selama-lamanya. Hmm.
“Jun!”
Jun membuka mata apabila telinga menangkap suara seseorang memanggil namanya.
“Jun!”
Jun menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum memandang ke bawah. Bulat matanya ketika memandang ke arah tuan punya suara yang memanggilnya tadi.
“Awal bangun, Jun. Mimpi apa malam tadi?” Amzal bertanya sambil tersengih.
Jun mengetab bibir ketika memandang tajam ke arah lelaki itu. Pipi dah terasa panas apabila Ash, kawan Abang Am turut berada di situ. Mangkuk tingkat betul Abang Am ni! Nak malukan aku depan kawan dia ke apa?
“Jun memang selalu bangun awal pun. Abang Am tu, mimpi apa malam tadi sampai pagi-pagi macam ni dah terlepas ke sini?” Jun bertanya, memulangkan paku buah kerasnya kepada lelaki itu.
Amzal memandang ke arah teman di sebelahnya sebelum lelaki itu ketawa kecil. Wajah Jun dah terasa berbahang.
“Abang nak ke kebun. Bawa Ash jalan-jalan. Jun nak ikut?” Abang Am bertanya sambil mengangkat keningnya.
Jun memutarkan bebola matanya ke atas. Itu tak ada lain nak mengenakan akulah tu.
“Tak apalah bang. Terima kasih ajelah. Jun banyak kerja nak buat.”
“Ya ke? Baguslah tu. Nanti balik tengah hari abang singgah makan ya. Dah lama tak rasa masakan Jun.”
Jun menggigit bibir ketika memandang ke arah lelaki itu yang sudah pun mengatur langkah menuju ke kebun. Bibir lelaki itu masih terukir dengan sengih mengusik. Jun membalasnya dengan jelingan maut namun tertunduk apabila pandangannya itu bertembung dengan pandangan lelaki bernama Ash.
“Argh!Rasa macam nak hantuk kepala ke dinding aje.” Jun mengumam geram sebelum masuk ke dalam rumah sambil menghentak kaki tanda protes.
“Dah kamu kenapa jalan macam tu? Nak bagi rumah kita ni runtuh ke?” Puan Amina yang entah muncul dari mana itu menegur.
Jun hanya tersengih.

3 140 tukang karut:

Abby Sha said...

Best2

Abby Sha said...
This comment has been removed by the author.
eifa arey said...

Menarik.

Post a Comment