RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Tuesday, March 15, 2016

BAB 2 : Encik Bos dan Cik PA

BAB 2



Morning babe.”
Morning.” Jun membalas sapaan teman serumahnya sambil menuang air pada cawan di hadapannya itu.
Thanks babe.”
Jun tidak menjawab ketika membawa roti bakar ke mulut. Tangan sibuk menyentuh skrin telefon bimbitnya. Hampir empat hari dia bercuti di kampung, membuatkan dirinya terputus hubungan dengan media sosial. Al-maklumlah, dekat kampung talian internet tak berapa kuat. Kalau ada pun ala-ala hidup segan mati tak mahu.
So, macam mana dengan wedding Dila?” Falah bertanya sambil menyapu roti bakar dengan jem nanas.
Jun yang masih leka membelek akaun facebooknya itu mengangkat kepala sekilas ke arah teman di hadapannya itu.
“Biasa aje. Dia kirim salam. Dia kata tak best sebab kau tak datang.”
Alah, bukan ke aku dah cakap aku kena kerja masa tu. So, ada jumpa hot guy ke?” Falah mengangkat kening.
Jun mengerutkan dahi. Spontan dia teringatkan Ash. Sakit hati kembali menyerangnya apabila teringat akan lelaki itu. Disebabkan lelaki itu, mak membebel memarahinya pada hari yang sama dia menemai lelaki itu ke belakang rumah Mak Andak. Manalah dia tahu yang mamat tu bukan pura-pura terseliuh kaki. Dan dia tak sangka pula disebabkan ‘petua orang tua-tua’nya itu membuatkan kaki mamat tu semakin teruk. Sudahnya Abang Am dan mamat tu terpaksa menanguhkan rancangan untuk pulang ke Kuala Lumpur dek kerana kaki mamat tu semakin bengkak. Mak Andak kata kena urut, kalau tak, takut makin teruk. Abang Am pun tak habis-habis menyindir kata dia pembuli. Huh!
“Wei, berangan pulak.” Falah menyergah membuatkan Jun tersedar daripada lamunan.
“Dahlah. Aku dah lambat. Gerak dulu.” Jun berkata sebelum bangun dan mencapai beg tangannya.
“Eh minah ni. Soalan kita dia tak jawab.”
Jun menguatkan volume radio ketika lagu MOJO berkumandang di udara. Sesekali bibir turut sama menyanyi mengikut rentak lagu. Pagi-pagi ni tak boleh stres walaupun jalan sesak semedang.
Jun menekan brek ketika lampu isyarat di hadapan sudah bertukar ke warna merah. Dia masih lagi menyanyi sambil sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang. Jam di dashboard mula menunjukkan ke angka 8.10 pagi. Dia sebenarnya sudah lewat hampir sepuluh minit tapi nak buat macam mana. Jalan sesak punya pasal. Lagi pun dia tahu bos mereka, Encik Asnif itu memahami orangnya. Tapi sayang, dengar kata Encik Asnif akan ditukarkan ke cawangan lain. Harap-harap bos baru nanti pun jenis memahami juga seperti bos yang sedia ada ini.
VROMMM!
Jun menoleh ke arah tingkap apabila telinga menangkap bunyi bising yang datangnya dari motor sebelah. Dalam hati mencebik. Tahulah bawa motor besar tapi tak payahlah nak pres-pres macam tu. Memekak saja. Namun Jun masih lagi memandang ke arah si penunggang motosikal tersebut dari atas ke bawah. Helmet full face, jaket kulit warna hitam, kasut boot. Hmm, boleh tahan.
Mungkin terasa seperti diperhatian, penunggang motosikan itu menoleh ke balakang.
Jun tersentak. Erk!
Si penunggang motosikan itu menurunkan visor sebelum kembali memandang ke hadapan apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau.
Jun masih tergamam sebelum sedar apabila kereta belakang sudah membunyikan hon. Cepat-cepat dia menukar gear sebelum bergerak dari situ. Dia tidak pasti entah kenapa jantung seolah-olah bertukar rentak.
“Aku gelabah aje kut.” Jun menyedapkan hati sendiri.
Setelah hampir lima belas minit memandu, akhirnya Jun memusingkan kereta ketika mahu masuk ke dalam kawasan pejabatnya itu.
“Apa khabar pak cik?” Jun menyapa ketika melalui Post Guard tempat dia bekerja itu.
“Jalan sesak lagi ke cik Jun?” Sapa pak gad tersebut. Jun hanya tersengih. Terasa seperti disindir pula.
“Err. Ha’ah. Jalan sesak lagi hari ni. Biasalah. Hari kerja ni mana pernah tak sesak.”
Pak gad hanya senyum sebelum membenarkan keretanya masuk ke dalam kawasan pejabatnya itu.
Jun menjeling ke arah jam di tangan. Baru lewat setengah jam. Orang lain tu lewat dua tiga jam pun tak hairan. Jun mengomel ketika dia membuka pintu kereta. Sempat dia mencapai beg tangan yang terletak di kerusi sebelah sebelum berjalan menuju ke arah lif. Jari laju menekan butang ‘Naik’. Sementara menunggu lif terbuka, Jun menjeling sekeliling melihat tempat letak kereta yang hampir penuh itu. Hmm, ramai juga yang datang awal hari ini. Dia berkata di dalam hati.
Ting!
Jun cepat-cepat melangkah masuk ke dalam lif tersebut sebelum kaki spontan berhenti melangkah. Pintu yang hampir tertutup itu ditahan supaya kembali terbuka. Dia menjengahkan kepala. Mata dikecilkan ketika memandang ke arah tempat letak motosikal tidak jauh dari situ. Aik, macam kenal? Eh, itu bukan ke...

“Jun! Kau dari mana ni?”
Jun yang baru sahaja mahu meletakkan beg tangannya itu tersentak. Spontan tangan diurut ke dada.
“Isy Kak Mimi ni. Buat terkejut saya aje.”
“Kau dari mana ni? Kau tahu tak dah pukul berapa ni?” Kak Mimi bertanya sambil sesekali memandang ke arah pintu masuk pejabat mereka itu.
Spontan Jun menjeling jam di tangan.
“Baru pukul 8.45.” Selamba dia menjawab.
Kak Mila membulatkan mata.
“Baru pukul 8.45 kau kata?”
“Yalah. Kenapa? Ala, ni kira awal apa. Selalu tu dekat pukul 9 Jun sampaikan. Kak Mimi pun macam tak biasa. Jalan sesaklah kak.” Jun berkata sambil mengambil tempat di kerusinya. Mata segera menyapa timbunan file yang tersusun di hujung meja. Entah bilalah semua kerja-kerja tu nak siap.
“Eee budak bertuah ni. Kau tak ingat ke hari ni hari apa?”
Jun mengangkat muka memandang ke arah Kak Mimi yang masih lagi berdiri di tepi mejanya itu. Apa kena dengan Kak Mimi hari ni? Kalut semacam saja.
“Hari ni hari Isnin kan?” Jun bertanya sambil menjeling kalender yang terletak di hujung meja. Hmm, hari ni 19 hari bulan. Lambat lagi nak gaji.
“Kau dah lupa ya hari ni bos baru tu masuk kerja?”
Jun yang sedang membelek kalendar untuk mencari cuti-cuti umum itu menoleh. Dia terdiam tiga saat sebelum...
“Hah? Hari ni bos baru nak masuk kerja? Bukan minggu depan ke?” Jun bertanya kalut. Tangan laju-laju mencapai kalendar tadi. Kenapa tak ada bertanda pada kalendarnya? Jari laju menyelak helaian kalender tersebut sebelum dia menyedari yang dia sebenarnya telah tersalah menanda tarikh pada kalender tersebut.
“Patutlah tak ada. Saya salah tanda tarikh bulan lepas punya.” Jun berkata perlahan sambil meletakkan kalender kembali di atas meja.
Kak Mimi mengelengkan kepala.
“Kak Mimi, bos baru tu. Err. Dah sampai ke?” Tanya Jun teragak-agak. Dalam hati berdoa yang bos baru mereka itu belum lagi sampai di pejabat mereka.
“Entahlah. Kata HR, bos dah sampai pagi tadi. Tapi tak tahulah. Kita tunggu aje orang HR datang nanti.”
Jun menggaru dagu yang tidak gatal.
“Kak, bos baru tu orangnya macam mana?” Tanya Jun sambil memandang ke arah Kak Mimi yang sudah pun duduk di mejanya.
Kak Mimi mengangkat bahu.
“Entah. Akak pun tak tahu. Yang tu kena tanya HRlah. Kita bahagian akaun ni bukan ke selalu ketinggalan.”
Jun menongkat dagu. Harap-harap bos baru ini sporting macam Encik Asnif.
“Saya harap bos baru ni macam Encik Asnif.” Dia mengumam perlahan.
Kak Mila di sebelah tak ambil pusing.


“Assalamualaikum, minta perhatian semua.”
Jun yang sedang ralit melihat barang yang dijual secara atas talian itu menoleh. Cepat-cepat dia memangkah lawan web tersebut apabila melihat wajah Encik Zainudin, ketua HR ditempat kerja mereka itu muncul di situ.
“Jum, dia orang nak kenalkan bos baru.” Kak Mimi berkata sebelum mereka sama-sama berjalan menuju ke tengah ruang pejabat sederhana besar itu, tempat di mana semua staf unit kewangan yang lain berkumpul.
“Saya kenalkan, ini bos baru kita, Encik Ben Ashraf yang akan mengantikan Encik Asnif selaku pengurus di syarikat ini.”
“Kak, siapa nama bos baru kita tu?” Jun yang duduk di belakang sekali itu berbisik.
“Encik Ben Ashraf. Segak orangnya.”
“Ya ke? Nak tengok jugak.” Jun berjengket cuba memanjangkan leher untuk melihat wajah bos baru mereka itu.
“Ala, tak sempat.” Jun merungut sendiri apabila semua staf telah mula bergerak menuju ke work station masing-masing menandakan yang perjumpaan itu telah pun selesai.
“Ala, nanti-nanti kau dapat jugak jumpa bos baru tu. Bukan ke kau selalu ke HR.”
Jun tidak menjawab ketika kembali memandang ke arah skrin komputer.
Kak Mimi yang sedang menaip itu menjeling ke arah Jun di sebelah. Spontan dia mengeleng apabila gadis itu kembali tengelam dengan aktiviti shopping onlinenya itu.

“Encik Ben, ini profil pekerja syarikat seperti yang diminta oleh encik tadi.”
Ash yang sedang leka membaca laporan kewangan bagi suku pertama tahun tersebut menoleh. Dokumen yang dihulurkan itu bertukar tangan.
“Terima kasih. Awak boleh keluar dulu.”
Azmi tunduk sedikit sebelum keluar dari pejabat tersebut.
Ash membetulkan letak tubuh pada kerusi sebelum dokumen itu dibuka. Helaian demi helaian diselak secara rambang, hanya sekadar mahu melihat sekali imbas akan latar belakang pekerja di syarikat tersebut. Kalau dilihat dari dokumen tersebut, jumlah pekerja di syarikat ini tidaklah begitu ramai. Tak sampai dua ratus orang. Jauh beza dengan cawangan di Taman Maluri yang berada di bawah jagaannya sebelum ini. Tapi kenapa syarikat ini mengalami kerugian saban tahun sehingga terpaksa menggunakan modal dari cawangan yang lain pula? Kalau ikutkan dari segi lokasi, syarikat ini lebih startegik. Terletak di tengah-tengah bandar. Kualiti barang pun sama sahaja di semua cawangan. Pekerja pun tak ramai. Jadi, apa masalahnya?
Ash menyelak lagi helaian dokumen tersebut sebelum terhenti. Dahinya berkerut apabila melihat profil salah seorang pekerja di syarikat tersebut.

Nama : Junnah bt Jamal Aludin.
Tarikh Lahir : 16 Januari 1990
Umur : ....

Junnah? Kenapa macam biasa dengar aje? Ash berkata sendiri sebelum meneliti pula gambar pada profil tersebut. Gambar lama. Barangkali sudah tiga empat tahun yang lepas tapi... Ash meneliti gambar tersebut dalam-dalam. Ini macam..
Ash segera meneliti profil itu lagi.

Jawatan : Pembantu kewangan.

Senyum terukir tanpa sedar di bibirnya ketika mata masih tertumpu pada gambar yang terdapat pada profil tersebut.

Jun mengosok masa yang terasa pedih. Aik, takkan nak dapat sakit mata kut?
“Kau kenapa?” Kak Mimi menegur.
“Mata pedihlah kak.” Jun menjawab sambil mengosok matanya lagi. Tangan laju mencapai cermin sebelum disua ke muka. Alamak, mata dah merah pula.
“Sakit mata ke?”
Jun mengalihkan pandangan ke arah Kak Mimi yang sibuk menaip itu.
“Entahlah. Mata sebelah kiri saya ni asyik bergerak-gerak aje.”
Kak Mila berhenti menaip. Dia menoleh ke sebelah.
“Orang kata kalau mata sebelah kiri bergerak-gerak tu, alamatnya ada benda tak baik akan berlaku.”
“Hah? Biar betul?” Tanya Jun terkejut.
Kak Mila mengeleng sebelum kembali menaip.
“Kau ni cepat sangat percaya benda-benda karut tu.”
Jun membuat muka. Ceh, ingatkan betul-betul tadi. Dia kembali membelek muka pada cerminnya. Berminyak!
“Saya rasa macam nak ambil MC ajelah.” Jun berkata ketika meletakkan cermin di atas meja.
Dahi Kak Mila berkerut.
“Kenapa nak mintak MC pulak?”
Jun menarik nafas. File yang bersepah-sepah di atas meja itu dipandang sepi. Kan bagus kalau semua kerja-kerja ni boleh siap dengan sendirinya.
“Saya kan sakit mata. Buatnya berjangkit satu pejabat ni, tak ke susah.” Jun menjawab sambil menongkat dagu. Jari menyentuh tetikus secara rambang. Tak ada benda menarik nak dibeli. Lagipun, bajet bulan ni dah lari disebabkan balik kampung hari tu. Gaji pula lambat lagi. Haih!
“Pandailah kau. Sakit sikit aje pun. Takkan nak MC pulak?”
Jun tidak menjawab. Sumpah dia tak ada mood nak buat kerja sekarang.
Brrrr!
Laju tangan mencapai telefon bimbit di atas meja.

Jun! Bella tengah buat happy hour sekarang!

Bulat mata Jun ketika membaca WhatsApp yang dihantar oleh Falah itu. Jari laju menaip balasan tersebut.

Ambil aku sekarang!

Jun segera menyumbat telefon ke dalam beg tangannya. Dokumen yang bersepah di atas meja hanya dibiarkan. Nanti-nantilah kemas.
“Eh, kau nak ke mana tu?” Kak Mila bertanya apabila melihat gadis itu kelam-kabut meninggalkan tempat itu.
“Keluar kejap kak.” Sempat dia melaung dari pintu pejabat mereka itu. Kak Mila mengeleng. Entah apalah nak jadi dengan budak seorang ini.
“Petang ni kita ada meeting dengan...” Azmi terdiam apabila Jun muncul entah dari mana melintasi mereka sebelum hilang ke dalam lif.
“Itu bukan ke?” Ash bertanya sambil mengerutkan dahi.
Azmi hanya mampu tersenyum dengan rasa bersalah. Habislah kau Jun!

“Isy! Tepilah!” Jun menolak tubuh entah siapa yang menghimpitnya dari tepi. Bibir digetap geram apabila tangan yang sudah pun berjaya mencapai blous yang tergantung di rak itu hilang daripada pegangannya. Ini sudah lebih!
“Hei! Bagi balik baju aku.”
Jun buat muka apabila dia cuba merampas kembali blous yang berada di tangan seorang gadis muda di sebelahnya itu.
“Ini baju aku, kau cari lain.” Jun menjawab geram, masih lagi cuba menarik baju dari pegangan gadis itu. Gadis itu turut memandang geram ke arahnya sebelum adegan tarik menarik berlaku.
“Eee! Bagi balik baju aku.” Jun tidak mahu mengaku kalah.
“Ini baju akulah!”
Jun mengetab bibir penuh geram sebelum merentap blous tersebut sehingga tangan gadis itu terlepas mengakibatkan mereka berdua jatuh tergolek.
“Aduh!” Jun memegang punggungnya yang terasa sakit.
“Jun! Kau okey?” Falah muncul tiba-tiba di ruang yang penuh sesak itu.
Jun tidak menjawab. Falah menarik tangan temannya itu berdiri. Sesekali mereka rasa seperti ditolak-tolak oleh orang sekeliling.
“Gila betul dia orang ni.” Falah berkata sambil cuba mengimbangi badan ketika orang di sekeliling menghimpit dan saling bertolak-tolakan.
“Jum keluar. Aku dah rasa macam nak pengsan. Dapat rembat lima helai ni pun dah okey.” Jun berkata cuba menepis tangan yang cuba menarik baju di tangannya itu.
“Jum.” Falah berkata sebelum mereka cepat-cepat bergerak dari situ.
“Hei perempuan tak sedar diri.”
Langkah kaki Jun terhenti. Spontan dia menoleh.
Gadis yang kalah dalam ‘pertarungan’ merebut blous dengannya tadi rupanya.
“Kau perempuan, sedarlah diri sikit. Dah tua-tua pun tapi ada hati nak berlagak muda. Kau mana sesuai pakai baju macam tu.” Jari telunjuk gadis itu dihala ke arah pakaian yang tersangkut di lengannya itu.
Spontan Jun tunduk memandang lengannya. Bibir digetap geram. Ai, minah ni dah melampau!
“Jangan layan. Jum keluar.” Falah berbisik sebelum menolak tubuh Jun apabila menyedari yang raut wajah teman serumahnya itu telah berubah.
“Jun, don’t make it worse.” Falah merenungnya penuh amaran. Jun hanya mampu menjeling ke arah gadis yang masih merenung ke arah mereka itu.
“Wei mak cik. Pulangkan baju aku balik!”
Langkah kaki Jun terhenti buat kali kedua.
“Jun, don’t.” Falah berbisik sambil cuba menolah tubuh gadis itu ke depan namun Jun kekal tidak bergerak.
“Kau pegang ni kejap.” Jun menolak pakaian yang berjaya direbut itu ke arah Falah sebelum melangkah menghampiri gadis yang cuba memalukannya itu.
“Jun!”
“Apa kau panggil aku tadi?” Jun bertanya sambil menarik lengan baju ke atas.
“Mak cik.” Gadis itu menjawab selamba.
Terasa darah naik ke kepala apabila mendengar gadis itu memanggilnya dengan gelaran begitu.
“Aku muda lagilah!” Jun menjerit kuat sebelum menarik rambut gadis itu.
“Aduh!” Gadis itu menjerit sebelum turut sama menarik rambut Jun.
“Jun! Sudahlah tu.” Falah menjerit sebelum menarik tubuh Jun, cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
“Eee!”
“Aduh!”
“Jun!”
“Sakitlah mak cik!”
“Apa kau panggil aku?” Jun semakin berang sebelum menarik baju yang dipakai oleh gadis itu.
Prak!
“Aduh!”
Jun mengerang apabila sekali lagi dia jatuh tergolek.
“Kau ni dah kenapa? Benda kecik pun dah bergaduh!” Falah berkata geram sebelum menarik tubuh temannya itu bangun.
Jun meludahkan beberapa helai rambut yang masuk ke dalam mulutnya itu. Mata memandang tangan yang sedang mengenggam cebisan kain yang datangnya dari pakaian gadis itu.
Gadis itu tunduk merenung bajunya yang telah koyak ditarik oleh Jun tadi.
“Kau...kau.”
Falah terpaksa menjadi orang tengah apabila gadis itu seperti sudah naik hantu.
“Apa kecoh-kecoh ni? Awak bertiga. Ikut saya ke pejabat sekarang!”
Spontan mereka berhenti apabila suara pengurus butik tersebut memetir sambil memandang marah ke arah mereka.


“Falah, bawa laju sikit boleh tak? Aku dah lambat ni.” Jun berkata separuh terdesak apabila melihat jam di dashboard yang telah menunjukkan ke angka empat petang.
“Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak cari pasal dengan minah tu, kita tak adalah nak buang masa macam ni.” Falah berkata cuba menahan geram.
Jun tidak mengendahkan bebelan gadis itu.
“Berhenti kat sini aje.” Jun berkata tergesa-gesa ketika kereta yang dipandu oleh gadis itu semakin menghampiri kawasan pejabatnya itu.
“Tinggal ajelah baju-baju tu.” Falah berkata apabila melihat gadis itu kalut memunggahkan beg-beg kertas hasil belian mereka tadi.
“Tak apa. Aku letak dalam kereta terus.”
Falah hanya mampu mengeleng ketika memandang ke arah gadis itu.
“Jumpa kat rumah nanti.”
Jun tidak menjawab ketika dia menutup pintu kereta dan berlalu dari situ dalam keadaan menjinjit beg kertas di kiri dan kanan tangan.
“Aik, Cik Jun dari mana ni?” Sapa pak gad yang kelihatan hairan melihat tangan gadis itu penuh di kiri kanan.
Jun hanya melemparkan senyuman. Kaki semakin laju melangkah menuju ke tempat dia memakirkan kereta. Tangan segera mengagau isi beg untuk mencari kunci kereta sebelum menyedari yang kunci keretanya telah tertingal di dalam laci meja kerjanya.
“Aduh, apa nak buat ni?” Jun menggaru kepala yang tidak gatal. Kan bagus kalau dia tinggakan saja dalam kereta Falah tadi. Setelah berfikir sesaat, mahu tak mahu Jun terpaksa membawa semua barang-barang itu naik ke atas dan berdoa yang dia tidak terserempak dengan sesiapa. Kalau tak, kantoi dia keluar pergi shopping masa waktu kerja.
Jun menekan buatng lif beberapa kali sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kawasan tempat letak kereta itu agak sunyi.
“Isy! Cepatlah.” Jun menekan butang lif lagi.
Kting!
Jun mengeluh lega apabila pintu lif terbuka. Dia segera tunduk ketika membetul-betulkan pegangan pada tali beg kertasnya itu sebelum melangkah masuk.
“Aduh!”
Spontan Jun mengangkat kepala. Bulat matanya ketika memandang ke arah Azmi yang sedang mengurut dada. Berkerut dahi lelaki itu ketika menahan sakit akibat dihentam oleh Jun tadi.
“Err, Azmi. Sorry-sorry saya tak sengaja.” Jun berkata sambil tersengih dengan rasa bersalah.
“Awak nak ke mana ni?” Tanya Azmi sambil memandang ke arah tangan Jun yang penuh dengan barang-barang itu. Tangan spontan menekan butang pada lif tersebut untuk menahan pintu dari tertutup.
“Naik. Awak nak ke mana pula? Curi tulang ya.” Jun mengangkat kening.
Azmi mengerutkan dahi seolah-olah tidak berkenan dengan kata-kata gadis itu.
“Siapa yang curi tulang? Awak ke Azmi?”
Tubuh Jun keras kaku apabila suara itu bergema betul-betul dibelakangnya. Jun memandang ngeri ke arah Azmi. Perlahan-lahan, Jun menoleh ke belakang. Hampir nak terkeluar biji matanya ketika melihat tuan punya suara itu.
“Awak! Buat apa kat sini?” Jun bertanya kuat, cuba sedaya upaya mengawal rasa terkejutnya.
Azmi hanya memandang hairan ke arah Ash sebelum pandangan jatuh pula pada Jun yang kelihatan seperti hampir pitam itu.
“Jun.” Azmi bersuara seolah-olah menegur. Jun memandang pelik ke arah Azmi. Apa yang sudah berlaku ni? Kenapa mamat ni ada di sini? Dia memandang ke arah Azmi, seolah-olah meminta penjelasan namun lelaki itu hanya memandang ke arahnya seolah-olah tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang.
Ash memandang ke arah tangan Jun yang penuh di kiri kanan itu sebelum pandangan mata naik ke wajah gadis itu.
Jun menelan air liur. Spontan dia menyembunyikan bungkusan di belakang badannya walaupun dia tahu tak ada gunanya dia berbuat demikian.
“Azmi, cakap dengan dia ni. Esok tak payah datang kerja lagi.”
Terkebil-kebil mata Jun ketika memandang ke arah Ash yang sudah keluar dari lif tersebut.
Sorry Jun.” Azmi hanya mampu mempamerkan riak simpati terhadap gadis itu.
Erk? Apa maksud mamat ni? Esok tak payah datang kerja? Kenapa? Dia dapat cuti ke? Dan, siapa mamat tu pula? Suka hati sahaja nak bagi cuti free pada dia macam syarikat ni bapa dia punya? Ataupun...
“Kak Mimi!”
Kak Mimi yang sedang berbual di pantri itu menjengahkan kepala apabila telinga menangkap suara orang memanggil namanya. Dahi berkerut apabila melihat Jun hampir berlari ke arahnya sambil menjinjit barang di kiri kanan dalam keadaan tercungap-cungap.
“Kau ni dari mana?”
“Kak. Kejap. Tadi.” Jun mengangkat tangan seolah-olah meminta Kak Mimi memberikan dia masa untuk bertenang.
“Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Tu. Apa benda? Kau pergi shopping lagi kan?”
Jun menyentuh dada yang dah terasa sesak.
“Tadi. Bos. Bos baru kita. Siapa?”
Kak Mimi mengerutkan dahi buat kali kedua.
“Bos baru? Encik Ben. Kenapa kau tanya?”
Ben? Tapi siapa mamat nama Ash tu pula?
“Macam. Macam mana rupa dia?”
“Kau ni kenapa? Tanya soalan pelik-pelik?”
“Jawablah dulu.” Jun berkata sambil melabuhkan punggung di kerusinya. Beg berisi baju-baju yang dibelinya itu diletakkan di atas lantai.
Kak Mila terdiam seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Entahlah. Akak pun tak perasan sangat. Tapi yang akak perasan, rambut bos baru kita tu macam terpacak sikit. Tinggi. Kulit tak putih sangat. Just nice.”
Jun terdiam. Rasanya kriteria yang digambarkan oleh Kak Mila tu sama sahaja dengan mamat nama Ash tu. Tapi, takkan Ash itu bos baru dekat pejabat dia ni? Tolonglah kata tidakkkk! Tiba-tiba dia teringat akan kejadian semasa di kampung dulu. Habislah dia kali ni. Silap-silap dia boleh kena buang kerja macam ni.
Tapi.
“Kak, apa maksud kalau seseorang tu kata esok tak payah datang kerja lagi?”
Kak Mila kembali menyelak dokumen di atas mejanya.
“Entah. Tapi selalunya ayat tu orang guna sebagai kiasan untuk berhentikan orang kerja. Kau tahulah, tak payah datang kerja. So, faham-faham sendiri ajelah.”
Jun terdiam. Jadi, mamat tu dah berhentikan dia kerja ke?

Bersambung...

1 140 tukang karut:

Abby Sha said...

hahaha gila ko jun kaki shopping pn agak2 la kn habislah

Post a Comment