RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Wednesday, March 23, 2016

BAB 3: Encik Bos dan Cik PA

BAB 3



“Falah, macam mana ni?”
Falah memicit dahi yang terasa pening. Pening disebabkan melihat keadaan teman serumahnya yang dari tadi asyik ke hulu dan ke hilir sahaja.
“Jun, kau boleh duduk diam-diam tak? Sakit kepala aku tengok keadaan kau ni.” Falah mengelengkan kepala sebelum mencapai remote televisyen.
Jun berhenti bergerak sebelum melabuhkan tubuh di sebelah Falah.
“Apa aku nak buat ni Falah. Aku rasa aku dah kena pecatlah.” Jun berkata entah untuk kali keberapa.
“Kau yakin ke mamat tu bos baru kau?” Falah bertanya, juga entah untuk kali keberapa.
“Aku tak pasti tapi aku rasa memang dia bos baru tempat aku. Tapi peliklah, nama bos baru aku tu Ben tapi Abang Am panggil Ash. Aku pun tak pasti.”
“Siapa Abang Am?” Falah bertanya sambil mata tertumpu pada skrin televisyen itu.
“Abang sepupu aku.” Jun menjawab sambil merebahkan tubuh pada sofa. Kepala didongak ke atas. Mata dipejam, seolah-olah cuba berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini.
“Apa susah, kau telefon aje abang sepupu kau tu. Tanya dia, siapa nama sebenar kawan dia tu.”
Jun membuka mata. Eh, kenapa dia boleh tak terfikir akan hal itu?
“Nak ke mana pulak tu?” Falah bertanya ketika melihat Jun sudah bangun dan berlari menuju ke tingkat atas.
Call Abang Am.”

“Helo, Rumah Sakit Jiwa Sri Bakti. Boleh saya bantu?”
Jun memutarkan bebola matanya ke atas. Kalau ikutkan hati, rasa nak letak sahaja telefon jam itu juga.
“Abang Am! Ini Junlah.”
“Ya Cik Jun? Nak daftar untuk diri sendiri ke?”
Jun menggigit bibir.
“Jangan main-mainlah Abang Am. Jun serius ni.”
Amzal ketawa kecil apabila menangkap nada suara geram gadis itu di sebelah sana.
“Hmm, nak apa call abang malam-malam ni? Rindu ke?”
Jun mencebik.
“Jun nak tanya sesuatu ni.”
“Apa dia?”
Jun terdiam. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan pertanyaan. Nak cakap macam mana ni? Pasti Abang Am akan fikir bukan-bukan.
“Hmm, kawan Abang Am yang ikut balik kampung tu.”
Kening Amzal terangkat sebelah. Lain macam saja ini.
“Kenapa dengan kawan abang tu? Jun dah syok dekat dia? Nak abang cakapkan ke?” Amzal tak habis mengiat. Jun mengetab bibir. Sah ada urat terputus dalam kepala Abang Am ini. Aku nak syok dekat mamat tu? Pleaselah!
“Seriuslah!” Jun dah mula nak naik angin. Amzal hanya ketawa.
“Okey-okey. Jun nak tanya apa tadi?”
Jun menjulingkan biji mata. Boleh rasa yang Abang Am tengah sengih-sengih dekat sebelah sana.
“Siapa nama betul kawan Abang Am tu?” Jun bertanya terus. Malas nak mukadimah banyak sangat. Sat lagi kena gula dengan Abang Am ni, mahu kena diabetes aku dibuatnya.
Kening Amzal terangkat sebelah.
“Kenapa Jun tiba-tiba tanya ni? Jun suka dia eh?”
Rasa macam nak hantuk kepala ke meja saja.
“Suka hatilah abang nak kata apa pun. Jadi, jawablah soalan Jun tu.”
“Mesti ada sebab kenapa Jun beriya-ya nak tahu sangat kan?”
“Jawab ajelah. Isy!”
“Yalah-yalah. Nama dia Ben Ashraf.”
 Hampir terlepas telefon di tangannya apabila mendengar jawapan dari mulut lelaki itu. Biar betul? Tak. Tak mungkin. Tak mungkin mamat itu bos baru tempat dia kerja? Tak. Dia sedang bermimpi. Bangun!Bangun!Bangun Jun!
“Jun? Bunyi apa tu?”
Jun berhenti menampar pipi sendiri apabila sedar yang dia masih berada di talian dengan abang sepupunya itu.
“Tak ada apa. Tak apalah Abang Am. Jun nak tidur dulu. Mengantuk.”
“Yalah. Night.”
Night.” Jun berkata sebelum memutuskan talian. Telefon dicampakkan ke sebelah sebelum dia merebahkan tubuh di atas katil. Terkebil-kebil mata merenung ke arah siling. Apa nak buat ni? Tak sampai satu hari mamat tu ambil alih syarikat, dia dah kena buang kerja?! Kejam betul! Ke mamat tu sebenarnya nak balas dendam? Jun menggigit bibir. Rasanya mamat itu nak balas dendam saja. Cis, suka hati aje nak buang dia. Mamat tu tak fikir ke dia ni siapa? Kalau tak ada dia, boleh lingkup syarikat tu, tahu?
Tak apa. Esok pagi-pagi dia nak pergi jumpa mamat itu. Dia nak basuh mamat itu cukup-cukup. Baru masuk kerja sudah nak tunjuk belang. Dia yang dah kerja dekat empat tahun ni, lagi banyak pengalaman kerja daripada mamat tu, tahu. Huh!

“Eh, awal hari ni. Jalan tak sesak ke Cik Jun?”
Jun hanya senyum namun tidak berkata apa. Aik, pak gad ni perli dia ke apa?
“Terima kasih pak cik.” Jun berkata ketika penghadang diangkat sebelum dia memandu masuk ke arah tempat letak kereta.
Jun segera keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke arah lif. Orang sudah ramai berkumpul di hadapan lif tersebut. Spontan Jun menjeling jam di tangan. Aik? Baru pukul 7.30 tapi dah ramai yang datang? Biar betul.
“Eh Jun? Awal sampai? Mimpi apa malam tadi?”
Jun mengeling apabila Bakar dari bahagian marketing itu menegur. Malas nak layan. Gaya macam selama ini dia tak pernah datang awal ke pejabat saja.
Kting!
Jun cepat-cepat masuk ke dalam lif bersama-sama dengan pekerja yang lain. Dalam hati sudah tidak sabar ketika menunggu lif itu berhenti di setiap tingkat.
Kting!
Laju kaki melangkah keluar dari lif tersebut menuju ke arah pejabatnya.
“Jun? Awalnya hari ni?” Sapaan rakan sepejabat yang lain tidak diendahkan ketika dia segera bergerak ke arah work stationnya itu.
“Eh, awalnya kau hari ni. Salah kunci jam ke?” Kak Mimi menyapa agak hairan apabila melihat Jun pagi-pagi lagi sudah sampai di pejabat. Rasanya dalam setahun tu boleh bilang berapa kali Jun ini datang awal ke pejabat.
“Saya ada kerja sikit nak buat.” Jun menjawab sambil berjalan ke arah kabinet yang terletak di hujung sudut bilik tersebut. Satu persatu pintu kabinet dibuka. Beberapa buah dokumen tebal ditarik keluar sebelum diletakkan di atas meja.
“Kau nak buat apa bawa keluar semua dokumen ni?” Kak Mila bertanya ketika memandang dokumen-dokumen lama yang tersusun di atas meja gadis itu.
Jun tidak menjawab ketika dia berkira-kira sama ada mahu membawa dokumen ditangannya itu atau tidak.
“Jun, akak tanya ni. Kau nak buat apa dengan semua dokumen ni? Ada audit ke?”
“Tak adalah. Jun ada hal sikit. Pergi dulu.” Jun menjawab sebelum melangkah keluar dari pejabat itu sambil membawa sekali dokumen-dokumen tersebut.


PENGURUS : Ben Ashraf

Rasanya sebatu pun dah boleh nampak. Huh! Jun menarik nafas dalam-dalam sebelum tangan mengetuk pintu bilik itu.
TOK.TOK.
Jun menunggu buat beberapa ketika namun tiada sebarang arahan menyuruhnya masuk dari dalam. Jun serba salah. Perlukah dia ketuk lagi atau tunggu?
TOK.TOK.
Jun mengetuk pintu tersebut buat kali kedua. Dia mendekatkan telinga pada pintu. Senyap. Aik? Ada orang ke tak ada ni? Ke mamat ni tidur?
Jun mengigit bibir. Tangan sudah terasa sakit. Nak masuk ke tak ni? Ah, masuk ajelah. Jun berkata sendiri sebelum memulas tombol pada pintu tersebut. Perlahan-lahan dia menolak pintu ke dalam.
“Assalamualaikum.” Jun bersuara perlahan. Dahinya berkerut. Aik? Kosong? Tak ada orang pun? Pergi mana mamat ni? Jun melangkah masuk ke dalam ruang pejabat yang agak besar itu dan meletakkan file-file yang dibawa itu di atas meja kerja milik lelaki itu. Hmm, kemasnya meja mamat ni. Macam tak ada kerja saja.
Jun memandang sekeliling. Ini bukanlah kali pertama dia masuk ke pejabat ini kerana sebelum ini pejabat ini didiami oleh Encik Asnif tapi rasanya ada sedikit kelaian pada hiasan dalaman pejabat ini. Lebih moden dan kemas. Kalau dulu pejabat Encik Asnif itu macam tongkang pecah. Semua ikut dan saja. Kadangkala siap tak ingat lagi file sekian-sekian duduk mana lepas tu jenuh nak selongkar balik cari satu-satu. Tapi bos kali ni agak lain sikit. Lebih kemas dan teratur. Tapi, mana mamat ni pergi? Fyn kata tadi dah masuk kerja. Ke…
“Ceh, kata orang curik tulang. Dia pun dua kali lima aje sama dengan aku. Ada hati nak pecat aku. Huh.” Jun mengomel sendiri sambil mengambil bingkai gambar yang terletak di atas meja itu. Tengok tu, gambar pemandangan tepi pantai pun dia boleh letak atas meja ni. Orang letaklah gambar keluarga ke, gambar kekasih hati ke. Mesti mamat ni jenis skema. Nerd.
Ash yang baru sahaja keluar dari bilik air itu berhenti melangkah apabila telinga terdengar seperti bunyi pintu dibuka dan ditutup. Aik? Siapa pula yang memandai-mandai masuk dalam pejabat dia tanpa kebenaran ni?
“Ceh, kata orang curik tulang. Dia pun dua kali lima aje sama dengan aku. Ada hati nak pecat aku. Huh.”
Telinga seperti menangkap sesuatu yang datangnya dari mulut gadis yang membelakanginya itu. Eh, ada lagi minah ni? Bukan semalam aku dah kata jangan datang lagi ke hari ni?
Jun meletakkan bingkai gambar tersebut di atas meja. Dia memandang sekeliling sebelum terpaku seketika.
Ash hanya merenung wajah gadis yang ternyata terkejut dengan kemunculannya itu. Rasa macam nak tergelak saja apabila melihat raut wajah gadis itu yang seperti mahu pengsan.
“Awak mengata saya, ya?”
Laju gadis itu mengeleng.
“Tak.Tak.” Gadis itu menjawab tergagap sambil mengelengkan kepala bersungguh-sungguh.
“Habis tu yang saya dengar pasal curik tulang tu, siapa?”
Jun menelan air liur yang sudah terasa berpasir. Habislah dia kali ni. Rasa macam nak tampar saja mulut ni.
Ash mengangkat kening sambil berjalan menghampiri gadis itu. Jun tertunduk merenung ke lantai apabila lelaki itu memandang ke arahnya.
Kening Ash terangkat lagi apabila dia melihat file-file tersusun di atas mejanya.
“Ini apa?”
“Huh?” Spontan Jun mengangkat muka sebelum pandangannya jatuh pada file-file yang dibawanya tadi.
“Saya tanya, ni apa?”
“Err, file?” Jun menjawab teragak-agak.
Ash merenung ke arah Jun tanpa berkata apa-apa.
“Awak ingat saya bodoh sangat ke sampai file pun tak kenal. Maksud saya, kenapa file ni ada atas meja saya?”
“Err. Sebab err saya yang bawa tadi.”
“Kenapa awak bawa file ni ke sini?”
Jun telan air liur. Serius gila mamat ni. Betul ke mamat di kampung dulu dengan orang yang sedang berdiri di hadapannya ini adalah orang yang sama?
“Err. Sebenarnya.”
Wait.”
Jun terdiam.
“Bukan ke saya dah kata dekat awak semalam, tak payah datang kerja hari ni?”
Jun telan air liur lagi. Alamak, mamat ni serius ke nak berhentikan dia kerja?
“Err, maksudnya Encik Ash nak bagi saya cuti ke?” Jun bertanya sambil pura-pura tergelak namun terhenti apabila wajah lelaki itu masih tidak berubah, serius.
Jun tunduk merenung kaki apabila pandangan mata lelaki itu masih terus menerus merenungnya.
“Nampaknya lawak aku tak menjadi pula.” Jun mengomel di dalam hati.
So, awak buat apa kat sini? Saya tak perlukan pekerja macam awak yang suka ambil kesempatan terhadap kebaikan syarikat.”
Berdesing telinganya apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Muka sudah terasa merah padam.
“Relaks Jun. Don’t make it worse.” Jun berkata di dalam hati. Dia menarik nafas panjang dan dalam sebelum mengangkat muka, cuba menentang pandangan lelaki di hadapannya itu.
“Maafkan saya Encik Ben Ashraf. Saya tahu semalam saya dah buat kesilapan besar. Tapi encik rasa patut ke saya dibuang kerja hanya disebabkan kesilapan saya semalam?”
Ash mengangkat kening. Berani juga minah ni.
“Jadi awak nak cakap, saya tak boleh buang awak hanya disebabkan kesalahan semalam?”
Jun mengangguk laju.
“Boleh bagitahu saya sebab yang kukuh kenapa saya perlu simpan pekerja yang suka ambil kesempatan macam awak ni?”
Jun cuba menahan riak wajah yang dah terasa seperti mahu bertukar menjadi naga. Sabar Jun Sabar.
“Sebabnya ada dalam file-file tu.” Jun menjawab sambil memandang file-file yang tersusun di atas meja kerja lelaki itu.
Ash mengalihkan pandangan dari wajah gadis itu ke arah file di atas mejanya.
“File ni?”
Jun mengangguk lagi
Ash mengambil salah satu file yang terdapat di atas mejanya sebelum menyelak secara rambang. Dia kemudian mencampakkan file tersebut di atas lantai dan mengambil file yang lain lalu diselak lagi secara rambang sebelum dicampak ke lantai.
Jun spontan mengelak apabila file yang dicampakkan itu hampir mengenai kakinya. Bibir digetap geram. Apa kena dengan mamat ni?!
“Untuk apa awak bawa sampah-sampah ni ke sini?” Lelaki itu bertanya sebelum mencampakkan file terakhir ke lantai.
Jun merenung tajam ke arah lelaki itu. Sampah? Dia panggil semua usaha penat lelah aku ni sebagai sampah?!
“Kalau Encik Ash nak tahu, semua ‘sampah-sampah’ ni adalah usaha penat lelah saya selama saya bekerja di sini.” Jun menjawab cuba menahan geram sebelum tunduk dan mengutip file-file yang bertaburan di atas lantai itu. Hati agak sebak memikirkan yang usahanya selama ini tidak dihargai. Ingat senang ke nak buat repot macam ni?
No wonder.” Ash menjawab tanpa perasaan sebelum mengambil tempat di mejanya. Dia kemudian mencapai file yang tersusun kemas di rak belakang sebelum duduk dan mula menyemak file tersebut, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Jun menjeling tajam. Hatinya semakin sakit apabila melihat keadaan lelaki itu. Terasa seperti maruahnya dipijak-pijak.
“Ada apa-apa lagi yang awak nak cakap?” Ash mengangkat kepala apabila melihat gadis itu masih berdiri di situ selama lima minit.
Jun masih merenung tajam ke arah lelaki itu. Dia sendiri tak tahu macam mana Abang Am boleh berkawan dengan mamat ni. Perangai macam jembalang tanah. Eee! Sakitnya hati! Rasa seperti mahu sahaja dia menghamburkan kata-kata sumpahan yang bermain-main dalam fikirannya ketika itu. Huh!
“Boleh Encik Ash bagi saya satu lagi peluang?” Tanpa sedar laju sahaja kata-kata itu meluncur ke bibirnya.
 “Kenapa saya mesti bagi awak satu lagi peluang? Saya rasa awak tak memberikan apa-apa sumbangan pun selama awak bekerja di sini. Kenapa? Tak percaya?” Ash bertanya apabila melihat wajah gadis itu sudah berubah.


Jun hanya diam. Dia sedaya upaya menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap lelaki itu. Sabar Jun. Jangan cari pasal.
“Buktinya, file di tangan awak tu. Saya tak perlu pergi terlalu jauh. Tengok cara awak tulis repot aje pun saya dah tahu. Dengan spelling yang hancur. Benda simple macam tu pun awak tak boleh buat.”
Jun terdiam lagi. Dada dah mula berombak kencang menahan marah.
“Semua manusia buat kesiapan, Encik Ben Ashraf. Ataupun, encik seorang yang perfect? Tak pernah melakukan sebarang kesilapan?” Jun bertanya sambil merenung tajam ke arah lelaki itu. Kali ini dia tak peduli. Lantaklah kalau dia kena buang kerja pun, janji hati dia puas.
Ash terdiam sejenak. Dalam hati terbit rasa kagum dengan keberanian gadis ini.
“Memang betul semua orang buat silap tapi saya tak boleh terima kalau orang itu langsung tak berusaha untuk memperbetulkan kesilapannya. Awak tengok sendiri repot yang awak buat itu. Setiap helaian mesti ada kesalahan. Awak langsung tak semak ke lepas tulis repot tu? Saya hairan betul macam mana awak masih bekerja di sini. Mungkin bos lama awak pandang mudah aje semua ini tapi tidak saya.”
Jun terdiam lagi. Muka sudah terasa tebal lima inci. Rasanya sudah cukuplah dia memalukan diri sendiri. Lebih baik cabut angkat kaki. Nampaknya usaha dia untuk mempertahankan jawatannya, berakhir di sini. Tapi sekurang-kurangnya dia sudah cuba, bukan?
Jun berpusing mahu melangkah menuju ke arah pintu. Lagi lama dia dalam bilik ni, lagi terbakar hatinya.
“Awak nak ke mana pulak tu?”
Tangan yang baru sahaja menyentuh tombol pintu itu terhenti. Lambat-lambat dia berpusing.
“Balik rumah tidur. Bukan ke saya dah kena pecat. Jadi, buat apa saya nak buang masa kat sini lagi. Lagipun mesti Encik Ben Ashraf dah menyampah tengok muka saya, kan?”
“Saya yang menyampah tengok muka awak ke atau awak yang dah menyampah tengok muka saya?”
Jun menggigit bibir. Mata dipejam cuba menahan rasa geram yang sudah bermaharaja lela di dalam hatinya.
“Suka hatilah encik nak cakap apa.” Jun menjawab sebal sebelum kembali berpusing.
“Nanti.”
Jun memejamkan mata. Apa lagi mamat ni nak?
“Encik nak apa lagi? Tak puas lagi ke nak hina saya? Cukuplah tu. Saya sedar diri. Saya tahu saya ni tak mendatangkan apa-apa keuntungan pada syarikat ini. Jadi, sebelum maruah saya dipijak-pijak, lebih baik saya pergi. So, bolehlah encik iklankan jawatan kosong untuk position saya tu.” Jun menjawab sinis.
Actually, saya memang dah iklankan position awak tu di internet. Mungkin petang ni akan ada candidate yang datang untuk interview.”
Jun tunduk. Sumpah rasa macam nak baling saja file-file ke muka lelaki itu.
“Baguslah tu.” Jun menjawab perlahan sebelum berpusing buat kali ketiga. Tangan laju memulas tombol pintu tersebut.
“Saya boleh bagi awak peluang kedua. Well, memandangkan awak ni sepupu kawan baik saya.”
Langkah kaki Jun terhenti serta merta. Dia berpusing ke belakang.
“Saya tak perlukan simpati.”
“Terpulang pada awak. Jangan kata saya tak bagi peluang.” Ash menjawab sebelum kembali tunduk memandang dokumen di hadapannya.
Jun menggigit bibir. Dalam kepala ligat berfikir. Apa yang perlu dia buat sekarang? Mamat ni sudah hina dia macam-macam, takkan dia nak bekerja lagi di sini? Tapi kalau dia tak terima, dia nak kerja apa? Sudahlah sekarang ni susah nak cari kerja lain. Lagipun, kelulusan dia bukanlah tinggi mana pun. Setakat diploma saja.
“Tapi, encik kata encik dah iklankan jawatan saya tu di internet.”
Ash mengangkat kepala.
“Siapa cakap awak akan pegang position tu lagi? Kan saya dah cakap tadi, awak tak layak untuk position itu.”
Jun mengerutkan dahi. Habis tu mamat ni nak bagi jawatan apa? Tukang cuci?!
“Habis tu?”                                                                               
Ash merenung wajah gadis di hadapannya itu dalam-dalam. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat perubahan pada wajah gadis itu apabila diberitahu jawatan yang akan disandang oleh gadis itu.
“Pembantu peribadi saya.”
“Hah?!” Jun bertanya agak terkejut. Rasanya dia lagi sanggup jadi tukang cuci aje. Pembantu peribadi mamat ni? Oh tidakkk!
Ash cuba sedaya upaya menahan senyum yang hampir terukir di bibir apabila melihat perubahan pada wajah gadis itu. Memang seperti yang telah dia jangkakan sebelum ini.
“Kenapa? Tak nak?”
Jun mengeleng laju sebelum berhenti.
“Bu.Bukan. Maksud saya. Err. Saya mana ada pengalaman sebagai pembantu peribadi. Saya tahu buat kira-kira aje.”
Ash masih memandang ke arah Jun yang kelihatan gelisah itu sebelum mencapai file yang terletak dihujung mejanya itu. Laju tangan menyelak isi file tersebut sebelum berhenti.
“Junnah bt Jamal Aludin, that is you. Right?” Ash bertanya sambil memandang ke arah gadis itu.
Muka Jun dah terasa merah padam.
“Kenapa awak bekerja sebagai pembantu kewangan sedangkan awak ada diploma kesetiausahaan?”
“Sebab hanya itu aje jawatan yang ada pada masa itu. Saya perlukan kerja jadi saya terima ajelah.”
Ash mengangkat kening.
“Nampaknya bos awak sebelum ini pakai tangkap muat aje. Patutlah saban tahun syarikat ini mengalami kerugian. Rupanya ramai pekerja yang tak sepatutnya bekerja di sini.”
Jun memejamkan mata lagi. Terasa diri ini disindir secukup rasa oleh lelaki itu.
So, memandangkan awak ada diploma kesetiausahaan, saya rasa jawatan pembantu peribadi tu sesuai untuk awak. Setuju?”
Tak!
“Suka hati enciklah nak bagi jawatan apa. Encik kan serba tahu.” Jun menjawab separuh menyindir.
Kening Ash terangkat sebelah. Minah ni memang berani betul.
“Okey, awak boleh keluar sekarang.”
 BERSAMBUNG...

Tuesday, March 15, 2016

BAB 2 : Encik Bos dan Cik PA

BAB 2



Morning babe.”
Morning.” Jun membalas sapaan teman serumahnya sambil menuang air pada cawan di hadapannya itu.
Thanks babe.”
Jun tidak menjawab ketika membawa roti bakar ke mulut. Tangan sibuk menyentuh skrin telefon bimbitnya. Hampir empat hari dia bercuti di kampung, membuatkan dirinya terputus hubungan dengan media sosial. Al-maklumlah, dekat kampung talian internet tak berapa kuat. Kalau ada pun ala-ala hidup segan mati tak mahu.
So, macam mana dengan wedding Dila?” Falah bertanya sambil menyapu roti bakar dengan jem nanas.
Jun yang masih leka membelek akaun facebooknya itu mengangkat kepala sekilas ke arah teman di hadapannya itu.
“Biasa aje. Dia kirim salam. Dia kata tak best sebab kau tak datang.”
Alah, bukan ke aku dah cakap aku kena kerja masa tu. So, ada jumpa hot guy ke?” Falah mengangkat kening.
Jun mengerutkan dahi. Spontan dia teringatkan Ash. Sakit hati kembali menyerangnya apabila teringat akan lelaki itu. Disebabkan lelaki itu, mak membebel memarahinya pada hari yang sama dia menemai lelaki itu ke belakang rumah Mak Andak. Manalah dia tahu yang mamat tu bukan pura-pura terseliuh kaki. Dan dia tak sangka pula disebabkan ‘petua orang tua-tua’nya itu membuatkan kaki mamat tu semakin teruk. Sudahnya Abang Am dan mamat tu terpaksa menanguhkan rancangan untuk pulang ke Kuala Lumpur dek kerana kaki mamat tu semakin bengkak. Mak Andak kata kena urut, kalau tak, takut makin teruk. Abang Am pun tak habis-habis menyindir kata dia pembuli. Huh!
“Wei, berangan pulak.” Falah menyergah membuatkan Jun tersedar daripada lamunan.
“Dahlah. Aku dah lambat. Gerak dulu.” Jun berkata sebelum bangun dan mencapai beg tangannya.
“Eh minah ni. Soalan kita dia tak jawab.”
Jun menguatkan volume radio ketika lagu MOJO berkumandang di udara. Sesekali bibir turut sama menyanyi mengikut rentak lagu. Pagi-pagi ni tak boleh stres walaupun jalan sesak semedang.
Jun menekan brek ketika lampu isyarat di hadapan sudah bertukar ke warna merah. Dia masih lagi menyanyi sambil sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang. Jam di dashboard mula menunjukkan ke angka 8.10 pagi. Dia sebenarnya sudah lewat hampir sepuluh minit tapi nak buat macam mana. Jalan sesak punya pasal. Lagi pun dia tahu bos mereka, Encik Asnif itu memahami orangnya. Tapi sayang, dengar kata Encik Asnif akan ditukarkan ke cawangan lain. Harap-harap bos baru nanti pun jenis memahami juga seperti bos yang sedia ada ini.
VROMMM!
Jun menoleh ke arah tingkap apabila telinga menangkap bunyi bising yang datangnya dari motor sebelah. Dalam hati mencebik. Tahulah bawa motor besar tapi tak payahlah nak pres-pres macam tu. Memekak saja. Namun Jun masih lagi memandang ke arah si penunggang motosikal tersebut dari atas ke bawah. Helmet full face, jaket kulit warna hitam, kasut boot. Hmm, boleh tahan.
Mungkin terasa seperti diperhatian, penunggang motosikan itu menoleh ke balakang.
Jun tersentak. Erk!
Si penunggang motosikan itu menurunkan visor sebelum kembali memandang ke hadapan apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau.
Jun masih tergamam sebelum sedar apabila kereta belakang sudah membunyikan hon. Cepat-cepat dia menukar gear sebelum bergerak dari situ. Dia tidak pasti entah kenapa jantung seolah-olah bertukar rentak.
“Aku gelabah aje kut.” Jun menyedapkan hati sendiri.
Setelah hampir lima belas minit memandu, akhirnya Jun memusingkan kereta ketika mahu masuk ke dalam kawasan pejabatnya itu.
“Apa khabar pak cik?” Jun menyapa ketika melalui Post Guard tempat dia bekerja itu.
“Jalan sesak lagi ke cik Jun?” Sapa pak gad tersebut. Jun hanya tersengih. Terasa seperti disindir pula.
“Err. Ha’ah. Jalan sesak lagi hari ni. Biasalah. Hari kerja ni mana pernah tak sesak.”
Pak gad hanya senyum sebelum membenarkan keretanya masuk ke dalam kawasan pejabatnya itu.
Jun menjeling ke arah jam di tangan. Baru lewat setengah jam. Orang lain tu lewat dua tiga jam pun tak hairan. Jun mengomel ketika dia membuka pintu kereta. Sempat dia mencapai beg tangan yang terletak di kerusi sebelah sebelum berjalan menuju ke arah lif. Jari laju menekan butang ‘Naik’. Sementara menunggu lif terbuka, Jun menjeling sekeliling melihat tempat letak kereta yang hampir penuh itu. Hmm, ramai juga yang datang awal hari ini. Dia berkata di dalam hati.
Ting!
Jun cepat-cepat melangkah masuk ke dalam lif tersebut sebelum kaki spontan berhenti melangkah. Pintu yang hampir tertutup itu ditahan supaya kembali terbuka. Dia menjengahkan kepala. Mata dikecilkan ketika memandang ke arah tempat letak motosikal tidak jauh dari situ. Aik, macam kenal? Eh, itu bukan ke...

“Jun! Kau dari mana ni?”
Jun yang baru sahaja mahu meletakkan beg tangannya itu tersentak. Spontan tangan diurut ke dada.
“Isy Kak Mimi ni. Buat terkejut saya aje.”
“Kau dari mana ni? Kau tahu tak dah pukul berapa ni?” Kak Mimi bertanya sambil sesekali memandang ke arah pintu masuk pejabat mereka itu.
Spontan Jun menjeling jam di tangan.
“Baru pukul 8.45.” Selamba dia menjawab.
Kak Mila membulatkan mata.
“Baru pukul 8.45 kau kata?”
“Yalah. Kenapa? Ala, ni kira awal apa. Selalu tu dekat pukul 9 Jun sampaikan. Kak Mimi pun macam tak biasa. Jalan sesaklah kak.” Jun berkata sambil mengambil tempat di kerusinya. Mata segera menyapa timbunan file yang tersusun di hujung meja. Entah bilalah semua kerja-kerja tu nak siap.
“Eee budak bertuah ni. Kau tak ingat ke hari ni hari apa?”
Jun mengangkat muka memandang ke arah Kak Mimi yang masih lagi berdiri di tepi mejanya itu. Apa kena dengan Kak Mimi hari ni? Kalut semacam saja.
“Hari ni hari Isnin kan?” Jun bertanya sambil menjeling kalender yang terletak di hujung meja. Hmm, hari ni 19 hari bulan. Lambat lagi nak gaji.
“Kau dah lupa ya hari ni bos baru tu masuk kerja?”
Jun yang sedang membelek kalendar untuk mencari cuti-cuti umum itu menoleh. Dia terdiam tiga saat sebelum...
“Hah? Hari ni bos baru nak masuk kerja? Bukan minggu depan ke?” Jun bertanya kalut. Tangan laju-laju mencapai kalendar tadi. Kenapa tak ada bertanda pada kalendarnya? Jari laju menyelak helaian kalender tersebut sebelum dia menyedari yang dia sebenarnya telah tersalah menanda tarikh pada kalender tersebut.
“Patutlah tak ada. Saya salah tanda tarikh bulan lepas punya.” Jun berkata perlahan sambil meletakkan kalender kembali di atas meja.
Kak Mimi mengelengkan kepala.
“Kak Mimi, bos baru tu. Err. Dah sampai ke?” Tanya Jun teragak-agak. Dalam hati berdoa yang bos baru mereka itu belum lagi sampai di pejabat mereka.
“Entahlah. Kata HR, bos dah sampai pagi tadi. Tapi tak tahulah. Kita tunggu aje orang HR datang nanti.”
Jun menggaru dagu yang tidak gatal.
“Kak, bos baru tu orangnya macam mana?” Tanya Jun sambil memandang ke arah Kak Mimi yang sudah pun duduk di mejanya.
Kak Mimi mengangkat bahu.
“Entah. Akak pun tak tahu. Yang tu kena tanya HRlah. Kita bahagian akaun ni bukan ke selalu ketinggalan.”
Jun menongkat dagu. Harap-harap bos baru ini sporting macam Encik Asnif.
“Saya harap bos baru ni macam Encik Asnif.” Dia mengumam perlahan.
Kak Mila di sebelah tak ambil pusing.


“Assalamualaikum, minta perhatian semua.”
Jun yang sedang ralit melihat barang yang dijual secara atas talian itu menoleh. Cepat-cepat dia memangkah lawan web tersebut apabila melihat wajah Encik Zainudin, ketua HR ditempat kerja mereka itu muncul di situ.
“Jum, dia orang nak kenalkan bos baru.” Kak Mimi berkata sebelum mereka sama-sama berjalan menuju ke tengah ruang pejabat sederhana besar itu, tempat di mana semua staf unit kewangan yang lain berkumpul.
“Saya kenalkan, ini bos baru kita, Encik Ben Ashraf yang akan mengantikan Encik Asnif selaku pengurus di syarikat ini.”
“Kak, siapa nama bos baru kita tu?” Jun yang duduk di belakang sekali itu berbisik.
“Encik Ben Ashraf. Segak orangnya.”
“Ya ke? Nak tengok jugak.” Jun berjengket cuba memanjangkan leher untuk melihat wajah bos baru mereka itu.
“Ala, tak sempat.” Jun merungut sendiri apabila semua staf telah mula bergerak menuju ke work station masing-masing menandakan yang perjumpaan itu telah pun selesai.
“Ala, nanti-nanti kau dapat jugak jumpa bos baru tu. Bukan ke kau selalu ke HR.”
Jun tidak menjawab ketika kembali memandang ke arah skrin komputer.
Kak Mimi yang sedang menaip itu menjeling ke arah Jun di sebelah. Spontan dia mengeleng apabila gadis itu kembali tengelam dengan aktiviti shopping onlinenya itu.

“Encik Ben, ini profil pekerja syarikat seperti yang diminta oleh encik tadi.”
Ash yang sedang leka membaca laporan kewangan bagi suku pertama tahun tersebut menoleh. Dokumen yang dihulurkan itu bertukar tangan.
“Terima kasih. Awak boleh keluar dulu.”
Azmi tunduk sedikit sebelum keluar dari pejabat tersebut.
Ash membetulkan letak tubuh pada kerusi sebelum dokumen itu dibuka. Helaian demi helaian diselak secara rambang, hanya sekadar mahu melihat sekali imbas akan latar belakang pekerja di syarikat tersebut. Kalau dilihat dari dokumen tersebut, jumlah pekerja di syarikat ini tidaklah begitu ramai. Tak sampai dua ratus orang. Jauh beza dengan cawangan di Taman Maluri yang berada di bawah jagaannya sebelum ini. Tapi kenapa syarikat ini mengalami kerugian saban tahun sehingga terpaksa menggunakan modal dari cawangan yang lain pula? Kalau ikutkan dari segi lokasi, syarikat ini lebih startegik. Terletak di tengah-tengah bandar. Kualiti barang pun sama sahaja di semua cawangan. Pekerja pun tak ramai. Jadi, apa masalahnya?
Ash menyelak lagi helaian dokumen tersebut sebelum terhenti. Dahinya berkerut apabila melihat profil salah seorang pekerja di syarikat tersebut.

Nama : Junnah bt Jamal Aludin.
Tarikh Lahir : 16 Januari 1990
Umur : ....

Junnah? Kenapa macam biasa dengar aje? Ash berkata sendiri sebelum meneliti pula gambar pada profil tersebut. Gambar lama. Barangkali sudah tiga empat tahun yang lepas tapi... Ash meneliti gambar tersebut dalam-dalam. Ini macam..
Ash segera meneliti profil itu lagi.

Jawatan : Pembantu kewangan.

Senyum terukir tanpa sedar di bibirnya ketika mata masih tertumpu pada gambar yang terdapat pada profil tersebut.

Jun mengosok masa yang terasa pedih. Aik, takkan nak dapat sakit mata kut?
“Kau kenapa?” Kak Mimi menegur.
“Mata pedihlah kak.” Jun menjawab sambil mengosok matanya lagi. Tangan laju mencapai cermin sebelum disua ke muka. Alamak, mata dah merah pula.
“Sakit mata ke?”
Jun mengalihkan pandangan ke arah Kak Mimi yang sibuk menaip itu.
“Entahlah. Mata sebelah kiri saya ni asyik bergerak-gerak aje.”
Kak Mila berhenti menaip. Dia menoleh ke sebelah.
“Orang kata kalau mata sebelah kiri bergerak-gerak tu, alamatnya ada benda tak baik akan berlaku.”
“Hah? Biar betul?” Tanya Jun terkejut.
Kak Mila mengeleng sebelum kembali menaip.
“Kau ni cepat sangat percaya benda-benda karut tu.”
Jun membuat muka. Ceh, ingatkan betul-betul tadi. Dia kembali membelek muka pada cerminnya. Berminyak!
“Saya rasa macam nak ambil MC ajelah.” Jun berkata ketika meletakkan cermin di atas meja.
Dahi Kak Mila berkerut.
“Kenapa nak mintak MC pulak?”
Jun menarik nafas. File yang bersepah-sepah di atas meja itu dipandang sepi. Kan bagus kalau semua kerja-kerja ni boleh siap dengan sendirinya.
“Saya kan sakit mata. Buatnya berjangkit satu pejabat ni, tak ke susah.” Jun menjawab sambil menongkat dagu. Jari menyentuh tetikus secara rambang. Tak ada benda menarik nak dibeli. Lagipun, bajet bulan ni dah lari disebabkan balik kampung hari tu. Gaji pula lambat lagi. Haih!
“Pandailah kau. Sakit sikit aje pun. Takkan nak MC pulak?”
Jun tidak menjawab. Sumpah dia tak ada mood nak buat kerja sekarang.
Brrrr!
Laju tangan mencapai telefon bimbit di atas meja.

Jun! Bella tengah buat happy hour sekarang!

Bulat mata Jun ketika membaca WhatsApp yang dihantar oleh Falah itu. Jari laju menaip balasan tersebut.

Ambil aku sekarang!

Jun segera menyumbat telefon ke dalam beg tangannya. Dokumen yang bersepah di atas meja hanya dibiarkan. Nanti-nantilah kemas.
“Eh, kau nak ke mana tu?” Kak Mila bertanya apabila melihat gadis itu kelam-kabut meninggalkan tempat itu.
“Keluar kejap kak.” Sempat dia melaung dari pintu pejabat mereka itu. Kak Mila mengeleng. Entah apalah nak jadi dengan budak seorang ini.
“Petang ni kita ada meeting dengan...” Azmi terdiam apabila Jun muncul entah dari mana melintasi mereka sebelum hilang ke dalam lif.
“Itu bukan ke?” Ash bertanya sambil mengerutkan dahi.
Azmi hanya mampu tersenyum dengan rasa bersalah. Habislah kau Jun!

“Isy! Tepilah!” Jun menolak tubuh entah siapa yang menghimpitnya dari tepi. Bibir digetap geram apabila tangan yang sudah pun berjaya mencapai blous yang tergantung di rak itu hilang daripada pegangannya. Ini sudah lebih!
“Hei! Bagi balik baju aku.”
Jun buat muka apabila dia cuba merampas kembali blous yang berada di tangan seorang gadis muda di sebelahnya itu.
“Ini baju aku, kau cari lain.” Jun menjawab geram, masih lagi cuba menarik baju dari pegangan gadis itu. Gadis itu turut memandang geram ke arahnya sebelum adegan tarik menarik berlaku.
“Eee! Bagi balik baju aku.” Jun tidak mahu mengaku kalah.
“Ini baju akulah!”
Jun mengetab bibir penuh geram sebelum merentap blous tersebut sehingga tangan gadis itu terlepas mengakibatkan mereka berdua jatuh tergolek.
“Aduh!” Jun memegang punggungnya yang terasa sakit.
“Jun! Kau okey?” Falah muncul tiba-tiba di ruang yang penuh sesak itu.
Jun tidak menjawab. Falah menarik tangan temannya itu berdiri. Sesekali mereka rasa seperti ditolak-tolak oleh orang sekeliling.
“Gila betul dia orang ni.” Falah berkata sambil cuba mengimbangi badan ketika orang di sekeliling menghimpit dan saling bertolak-tolakan.
“Jum keluar. Aku dah rasa macam nak pengsan. Dapat rembat lima helai ni pun dah okey.” Jun berkata cuba menepis tangan yang cuba menarik baju di tangannya itu.
“Jum.” Falah berkata sebelum mereka cepat-cepat bergerak dari situ.
“Hei perempuan tak sedar diri.”
Langkah kaki Jun terhenti. Spontan dia menoleh.
Gadis yang kalah dalam ‘pertarungan’ merebut blous dengannya tadi rupanya.
“Kau perempuan, sedarlah diri sikit. Dah tua-tua pun tapi ada hati nak berlagak muda. Kau mana sesuai pakai baju macam tu.” Jari telunjuk gadis itu dihala ke arah pakaian yang tersangkut di lengannya itu.
Spontan Jun tunduk memandang lengannya. Bibir digetap geram. Ai, minah ni dah melampau!
“Jangan layan. Jum keluar.” Falah berbisik sebelum menolak tubuh Jun apabila menyedari yang raut wajah teman serumahnya itu telah berubah.
“Jun, don’t make it worse.” Falah merenungnya penuh amaran. Jun hanya mampu menjeling ke arah gadis yang masih merenung ke arah mereka itu.
“Wei mak cik. Pulangkan baju aku balik!”
Langkah kaki Jun terhenti buat kali kedua.
“Jun, don’t.” Falah berbisik sambil cuba menolah tubuh gadis itu ke depan namun Jun kekal tidak bergerak.
“Kau pegang ni kejap.” Jun menolak pakaian yang berjaya direbut itu ke arah Falah sebelum melangkah menghampiri gadis yang cuba memalukannya itu.
“Jun!”
“Apa kau panggil aku tadi?” Jun bertanya sambil menarik lengan baju ke atas.
“Mak cik.” Gadis itu menjawab selamba.
Terasa darah naik ke kepala apabila mendengar gadis itu memanggilnya dengan gelaran begitu.
“Aku muda lagilah!” Jun menjerit kuat sebelum menarik rambut gadis itu.
“Aduh!” Gadis itu menjerit sebelum turut sama menarik rambut Jun.
“Jun! Sudahlah tu.” Falah menjerit sebelum menarik tubuh Jun, cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
“Eee!”
“Aduh!”
“Jun!”
“Sakitlah mak cik!”
“Apa kau panggil aku?” Jun semakin berang sebelum menarik baju yang dipakai oleh gadis itu.
Prak!
“Aduh!”
Jun mengerang apabila sekali lagi dia jatuh tergolek.
“Kau ni dah kenapa? Benda kecik pun dah bergaduh!” Falah berkata geram sebelum menarik tubuh temannya itu bangun.
Jun meludahkan beberapa helai rambut yang masuk ke dalam mulutnya itu. Mata memandang tangan yang sedang mengenggam cebisan kain yang datangnya dari pakaian gadis itu.
Gadis itu tunduk merenung bajunya yang telah koyak ditarik oleh Jun tadi.
“Kau...kau.”
Falah terpaksa menjadi orang tengah apabila gadis itu seperti sudah naik hantu.
“Apa kecoh-kecoh ni? Awak bertiga. Ikut saya ke pejabat sekarang!”
Spontan mereka berhenti apabila suara pengurus butik tersebut memetir sambil memandang marah ke arah mereka.


“Falah, bawa laju sikit boleh tak? Aku dah lambat ni.” Jun berkata separuh terdesak apabila melihat jam di dashboard yang telah menunjukkan ke angka empat petang.
“Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak cari pasal dengan minah tu, kita tak adalah nak buang masa macam ni.” Falah berkata cuba menahan geram.
Jun tidak mengendahkan bebelan gadis itu.
“Berhenti kat sini aje.” Jun berkata tergesa-gesa ketika kereta yang dipandu oleh gadis itu semakin menghampiri kawasan pejabatnya itu.
“Tinggal ajelah baju-baju tu.” Falah berkata apabila melihat gadis itu kalut memunggahkan beg-beg kertas hasil belian mereka tadi.
“Tak apa. Aku letak dalam kereta terus.”
Falah hanya mampu mengeleng ketika memandang ke arah gadis itu.
“Jumpa kat rumah nanti.”
Jun tidak menjawab ketika dia menutup pintu kereta dan berlalu dari situ dalam keadaan menjinjit beg kertas di kiri dan kanan tangan.
“Aik, Cik Jun dari mana ni?” Sapa pak gad yang kelihatan hairan melihat tangan gadis itu penuh di kiri kanan.
Jun hanya melemparkan senyuman. Kaki semakin laju melangkah menuju ke tempat dia memakirkan kereta. Tangan segera mengagau isi beg untuk mencari kunci kereta sebelum menyedari yang kunci keretanya telah tertingal di dalam laci meja kerjanya.
“Aduh, apa nak buat ni?” Jun menggaru kepala yang tidak gatal. Kan bagus kalau dia tinggakan saja dalam kereta Falah tadi. Setelah berfikir sesaat, mahu tak mahu Jun terpaksa membawa semua barang-barang itu naik ke atas dan berdoa yang dia tidak terserempak dengan sesiapa. Kalau tak, kantoi dia keluar pergi shopping masa waktu kerja.
Jun menekan buatng lif beberapa kali sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kawasan tempat letak kereta itu agak sunyi.
“Isy! Cepatlah.” Jun menekan butang lif lagi.
Kting!
Jun mengeluh lega apabila pintu lif terbuka. Dia segera tunduk ketika membetul-betulkan pegangan pada tali beg kertasnya itu sebelum melangkah masuk.
“Aduh!”
Spontan Jun mengangkat kepala. Bulat matanya ketika memandang ke arah Azmi yang sedang mengurut dada. Berkerut dahi lelaki itu ketika menahan sakit akibat dihentam oleh Jun tadi.
“Err, Azmi. Sorry-sorry saya tak sengaja.” Jun berkata sambil tersengih dengan rasa bersalah.
“Awak nak ke mana ni?” Tanya Azmi sambil memandang ke arah tangan Jun yang penuh dengan barang-barang itu. Tangan spontan menekan butang pada lif tersebut untuk menahan pintu dari tertutup.
“Naik. Awak nak ke mana pula? Curi tulang ya.” Jun mengangkat kening.
Azmi mengerutkan dahi seolah-olah tidak berkenan dengan kata-kata gadis itu.
“Siapa yang curi tulang? Awak ke Azmi?”
Tubuh Jun keras kaku apabila suara itu bergema betul-betul dibelakangnya. Jun memandang ngeri ke arah Azmi. Perlahan-lahan, Jun menoleh ke belakang. Hampir nak terkeluar biji matanya ketika melihat tuan punya suara itu.
“Awak! Buat apa kat sini?” Jun bertanya kuat, cuba sedaya upaya mengawal rasa terkejutnya.
Azmi hanya memandang hairan ke arah Ash sebelum pandangan jatuh pula pada Jun yang kelihatan seperti hampir pitam itu.
“Jun.” Azmi bersuara seolah-olah menegur. Jun memandang pelik ke arah Azmi. Apa yang sudah berlaku ni? Kenapa mamat ni ada di sini? Dia memandang ke arah Azmi, seolah-olah meminta penjelasan namun lelaki itu hanya memandang ke arahnya seolah-olah tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang.
Ash memandang ke arah tangan Jun yang penuh di kiri kanan itu sebelum pandangan mata naik ke wajah gadis itu.
Jun menelan air liur. Spontan dia menyembunyikan bungkusan di belakang badannya walaupun dia tahu tak ada gunanya dia berbuat demikian.
“Azmi, cakap dengan dia ni. Esok tak payah datang kerja lagi.”
Terkebil-kebil mata Jun ketika memandang ke arah Ash yang sudah keluar dari lif tersebut.
Sorry Jun.” Azmi hanya mampu mempamerkan riak simpati terhadap gadis itu.
Erk? Apa maksud mamat ni? Esok tak payah datang kerja? Kenapa? Dia dapat cuti ke? Dan, siapa mamat tu pula? Suka hati sahaja nak bagi cuti free pada dia macam syarikat ni bapa dia punya? Ataupun...
“Kak Mimi!”
Kak Mimi yang sedang berbual di pantri itu menjengahkan kepala apabila telinga menangkap suara orang memanggil namanya. Dahi berkerut apabila melihat Jun hampir berlari ke arahnya sambil menjinjit barang di kiri kanan dalam keadaan tercungap-cungap.
“Kau ni dari mana?”
“Kak. Kejap. Tadi.” Jun mengangkat tangan seolah-olah meminta Kak Mimi memberikan dia masa untuk bertenang.
“Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Tu. Apa benda? Kau pergi shopping lagi kan?”
Jun menyentuh dada yang dah terasa sesak.
“Tadi. Bos. Bos baru kita. Siapa?”
Kak Mimi mengerutkan dahi buat kali kedua.
“Bos baru? Encik Ben. Kenapa kau tanya?”
Ben? Tapi siapa mamat nama Ash tu pula?
“Macam. Macam mana rupa dia?”
“Kau ni kenapa? Tanya soalan pelik-pelik?”
“Jawablah dulu.” Jun berkata sambil melabuhkan punggung di kerusinya. Beg berisi baju-baju yang dibelinya itu diletakkan di atas lantai.
Kak Mila terdiam seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Entahlah. Akak pun tak perasan sangat. Tapi yang akak perasan, rambut bos baru kita tu macam terpacak sikit. Tinggi. Kulit tak putih sangat. Just nice.”
Jun terdiam. Rasanya kriteria yang digambarkan oleh Kak Mila tu sama sahaja dengan mamat nama Ash tu. Tapi, takkan Ash itu bos baru dekat pejabat dia ni? Tolonglah kata tidakkkk! Tiba-tiba dia teringat akan kejadian semasa di kampung dulu. Habislah dia kali ni. Silap-silap dia boleh kena buang kerja macam ni.
Tapi.
“Kak, apa maksud kalau seseorang tu kata esok tak payah datang kerja lagi?”
Kak Mila kembali menyelak dokumen di atas mejanya.
“Entah. Tapi selalunya ayat tu orang guna sebagai kiasan untuk berhentikan orang kerja. Kau tahulah, tak payah datang kerja. So, faham-faham sendiri ajelah.”
Jun terdiam. Jadi, mamat tu dah berhentikan dia kerja ke?

Bersambung...