RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Friday, September 19, 2014

Bab 11 : Nak Jadi Kekasih Saya?


Bab 11


“Kita nak ke mana ni?” Hana bertanya sambil memandang ke arah Hariz yang sedang memandu keretanya di sebelah. Dalam kepala sibuk berfikir akan destinasi mereka ketika itu. Ni macam jalan nak ke rumah arwah nenek dia je.
Eh, sekejap. Biar betul?
“Awak nak bawa saya balik rumah arwah nenek saya ke?”
Hariz mengerutkan dahi.
“Sa..saya mana ta..tahu ru..rumah ne...nenek aw..awak kat ma..mana...”
Hana terdiam. Betul jugak tu. Habis tu, nak ke mana ni?
Hana hanya mendiamkan diri sambil melayan lagu yang diputarkan di corong radio. Sesekali bibir turut mengikut alunan lirik tersebut. Hariz di sebelah masih tenang memandu.
Hana menegakkan badan ketika kereta yang dipandu oleh Hariz masuk ke halaman rumah yang agak luas.
“Rumah siapa ni Hariz?” Hana bertanya agak risau ketika melihat Hariz sudah pun mematikan engin dan menanggalkan tali pinggang keselamatannya.
Hariz hanya tersenyum sebelum keluar dari kereta.
Hana teragak-agak seketika sebelum dia akhirnya turut sama keluar dari kereta tersebut.
“Abanggg!” Kelihatan seorang gadis berusia tujuh belas tahun sedang berlari ke arah Hariz.
Abang?
Hariz menyambut huluran tangan gadis tersebut sambil tersenyum.
“Ma..mak ma..mana?”
“Ada kat atas.”
Hana yang sedang berdiri tercegat di situ hanya memandang penuh hairan.
“Haziah, tolong mak pergi kedai kejap...gula dah habis...”
“Mak, abang Hariz balik...” Gadis bernama Haziah itu menjerit memanggil emaknya.
Seorang wanita separuh usia muncul di muka pintu.
“Hariz?”
Hariz segera melangkah menghampiri wanita itu.
“Ap..apa kha..khabar mak?” Hariz menghulurkan tangan dan menyalami tangan wanita itu.
“Lahh Hariz. Kenapa balik tak bagitahu dulu?”
Hariz hanya tersenyum.
“Tu..siapa?”
Hariz menoleh ke arah Hana yang masih lagi tercegat berdiri di sebelah keretanya itu.
“Tu..Hana. Ka..kawan sa..satu ko..kolej..”
Hana segera melangkah menghampiri mereka sebelum menghulurkan tangan dan mencium tangan wanita itu.
“Hana? Cantik nama. Macam orangnya juga.”
Hana tersipu sebelum tunduk. Sempat lagi dia menjeling ke arah Hariz di sebelah.
“Eh, jemputlah masuk dulu. Haziah, tolong pergi kedai. Apa pun tak ada kat rumah ni...”
“Eh mak cik. Tak payah susah-susah...” Hana berkata agak serba salah.
“Eh tak apa. Bukan selalu Hariz datang bawa kawan dia...”
Hana memandang ke arah Hariz yang dah berubah riak wajah itu.
“Jom naik dulu...”
Hana memandang bingkai gambar yang tersusun di atas almari kayu yang terletak di hujung ruang tamu tersebut. Banyak gambar Hariz ketika lelaki itu di bangku sekolah rendah dan menengah. Hmmm, comel!
“Kakak buat apa tu?”
Hana menoleh. Haziah datang sambil membawa sebungkus plastik besar. Barangkali Haziah baru lepas pulang dari membeli barang-barang.
“Tak buat apa-apa. Saja tengok gambar-gambar ni..” Hana mengambil salah satu bingkai gambar yang terdapat di situ.
“Tu gambar masa abang Hariz baru habis main bola sepak...”
“Yeke?” Hana memandang ke arah gambar tersebut.
“Masa ni abang umur berapa?”
Haziah terdiam buat seketika.
“Tak silap Haziah, masa ni umur abang 15 tahun kut...”
15 tahun? Aduh, umur macam ni pun dah terserlah kekacakan si Hariz ni. Mesti Hariz ni masa zaman sekolah dah ramai peminat kan. Hmmmm!
“Zi..ziah...”
Spontan Hana dan Haziah menoleh.
“Ma..mak pa..panggil...”
“Okey, jumpa nanti kak. Haziah bawa barang ni masuk dapur dulu ye...”
Hana hanya tersenyum sebelum kembali memandang pada bingkai gambar tersebut.
“Bu..buat apa?”
“Tak de buat apa. Saja usha gambar-gambar lama awak. Tak sangka, handsome jugak awak masa kecik-kecik ye...” hana mengangkat kening.
Hariz tidak menjawab. Bingkai gambar di tangan Hana diambil lalu diletakkan di tempatnya semula.
Hana memuncungkan bibir sebelum memandang ke arah gambar-gambar yang lain.
“Eh...ni macam...” Hana mengerutkan dahi ketika memandang pada salah satu bingkai yang terdapat di situ.
“Ni bukan ke Cikgu Salmi? Cikgu yang mengajar subjek seni tu?”
Hariz memandang ke arah gambar di tangan Hana. Gambar ketika dia tingkatan lima. Gambar kelas akhir tahun sebelum dia menghadapi peperiksaan SPM.
Hana memandang ke arah gambar-gambar lain. Dahi semakin berkerut. Ni bukan ke Fahmy, Ketua Pengawas semasa zaman dia bersekolah dahulu? Macam mana semua gambar-gambar ni boleh ada pada Hariz?
Hana memandang ke arah lelaki itu.
“Macam mana awak...” Hana terdiam. Dia kembali memandang ke arah gambar di tangan. Bulat matanya apabila sesuatu menerjah fikirannya.
“OMG!! Awak...dulu sekolah mana?!” Hana bertanya separuh terkejut. Mustahil. Takkanlah...
Hariz masih menayangkan raut wajah tenangnya.
“Tok Ib..Ibrahim...”
Bulat mata Hana ketika mendengar kata-kata lelaki itu. Biar betul mamat ni satu sekolah dengan dia. Kenapa dia boleh tak perasan.
“Tapi..tapi kenapa saya tak pernah jumpa awak masa kat sekolah?” Hana bertanya masih lagi terkejut. Tak sangka, kecil betul dunia ni. Patutlah masa nak ke sini tu mereka melalui jalan nak ke rumah nenek dia. Rupanya mereka duduk satu kampung je.
“Hmm, si..siapalah sa..saya...” Hariz bersuara pura-pura sedih. Hana mencebik. Dia kembali memandang gambar di tangan.
“Umur awak berapa?”
Hariz mengerutkan dahi.
“Ke..kenapa ta..tanya?”
“Saja tanya...”
“Hmmm, 23...”
Hana terdiam.
“Hmm, maksudnya awak senior saya. Masa awak tingkatan 5, saya tingkatan 3. Awak duduk bangunan hujung sekali kan. Mungkin sebab tu kut saya tak pernah nampak awak...” Hana menggumam sendiri.
Hariz hanya tersenyum.
“Hmm, rugilah. Kalau awal-awal lagi saya jumpa awak. Mesti masa tu jugak saya dah jatuh cinta dengan awak, kan?” Hana berkata selamba sambil mengangkat kening.
Berubah wajah Hariz ketika mendengar kata-kata gadis itu. Dia berdehem beberapa kali.
“Eh, kenapa muka awak merah? Jangan..jangan...”
“Ap..apa?”
“Jangan-jangan awak memang dah ada hati dekat saya sejak dulu tak?” Hana bertanya sambil tergelak.
Wajah Hariz dah terasa berbahang. Hana hanya ketawa apabila melihat perubahan pada wajah lelaki itu. Seronok pula melihat wajah Hariz berubah begitu. Selalu itu aci muka tak berperasaan je.
“Ja..jangan me..merepek lah...”
Hana tergelak lagi. Dia meletakkan gambar tersebut di tempatnya semula.
“Hmm, tapi seriuslah. Rugi tau saya tak jumpa awak dulu...”
“Aw..awak tak in..ingat? Ki..kita per..pernah ju..jumpa sekali...”
Kening Hana terangkat sebelah.
“Yeke? Bila?”
“In..ingat tak ma..masa ha..hari su..sukan. Ma..masa tu aw..awak ba..baru ha..habis PMR...”
Dahi Hana berkerut cuba mengingati kejadian tersebut. Hari sukan lepas PMR?
“Hana! Cepatlah. Kantoi dengan cikgu nanti mati kita...”
“Kejaplah! Seluar aku tersangkut ni...” Hana berkata sambil menarik seluar sukannya yang tersangkut pada ranting kayu.
“Ish! Cepatlah sikit!” Nor dah mula menggelabah.
“Kejaplah!”
“Wei kau orang, cepatlah. Mati kalau cikgu Megat datang nanti...” Suara Jijah yang sudah berada di sebelah sana pula kedengaran.
“Sini pegang tangan aku...” Nor menghulurkan tangan. Dengan bersusah payahnya, Hana berjalan merentasi ranting dan semak samun sebelum menghulurkan tangan ke arah Nor.
“Pandai panjat tak ni?” Nor bertanya sambil memandang ke arah pagar dawai yang berada di hadapan mereka itu.
“Hentam jelah. Jijah dan Pok Ja boleh lepas, takkan aku tak boleh lepas...”
Nor mencebik. Dia kemudian berpusing sebelum memanjat pagar tersebut.
“Hati-hati Nor. Aku tak nak balik kang aku kena cakap dekat nenek yang kita fly lompat pagar sekolah pulak...”
“Diamlah!”
Hana memandang ke arah Nor yang kelihatan bersusah payah ketika mahu melepasi pagar tersebut. Sesekali dia menjeling sekeliling. Suara orang bersorak di padang tak jauh dari tempat mereka itu kelihatan jelas kedengaran di telinganya. Mereka akan selamat selagi semua cikgu-cikgu dan para pelajar yang lain sedang sibuk di padang sana.
“Dah, cepat Hana...”
Hana menelan air liur. Aduh, macam mana nak panjat ni?
“Cepatlahhh!”
“Yelah-yelah...” Hana menjawab perlahan sebelum menyentuh pagar dawai tersebut. Dengan hati-hati, dia mengangkat kaki lalu disendalkan pada dawai tersebut.
“Errrr!” Hana bersuara kalut apabila pagar dawai itu mula bergoyang.
“Hati-hati Hana...”
Hana tidak menjawab. Dengan berhati-hati, dia memanjat pagar tersebut sehingga ke atas.
Hana memejamkan mata ketika dia melihat ke bawah. Gayat!
“Wei, jangan pejam matalah!” Telinga menangkap suara Nor di bawah.
Spontan Hana membuka mata.
“Ish! Bising betullah mak cik ni. Jaga-jaga. Aku nak lompat sekarang ni...”
Hana menelan air liur beberapa kali sebelum dia akhirnya melompat.
Debuk!
“Adehhh...” Hana mengerang perlahan.
“Kau okey ke ni?” Nor bertanya agak menggelabah apabila Hana memegang kakinya.
“Aku..okey..sikit je..aduhh!” Hana berkata lagi sambil mengerutkan dahi ketika dia mahu berdiri. Nor, Jijah dan Pok Ja dah tayang muka cuak.
“Boleh jalan?”
Hana mengangguk namun dahi turut berkerut menahan sakit.
“Aku rasa kaki kau ni dah terseliuh lah..” Jijah berkata sambil memegang buku lali Hana itu.
“Habis tu nak buat macam mana ni?” Nor bertanya cuak. Dalam kepala dah terbayang wajah nenek yang sedang bercekak pinggang di muka pintu.
“Kau pimpin dia sebelah sana. Aku pegang dia sebelah sini. Pok Ja. Kau bawak beg kitorang...” Arah Jijah lagi.
Hana mengerutkan dahi ketika dia cuba berdiri. Terasa seperti diperhatikan, Hana menoleh ke sebelah.
“Itu..awak ke? Budak lelaki yang berdiri dekat sebelah stor sukan tu, awak?” Hana bertanya tidak percaya.
Hariz tidak menjawab. Dia kemudian berjalan menuju ke ruang tengah. Lantai kayu rumah itu berbunyi sedikit apabila lelaki itu berjalan sebelum remote tv diambil dari atas meja.
Hana diam ketika memikirkan akan hal itu.
“Ta..tak sangka. Aw..awak ni..br..brutal jugak ye...”
Hana mencebik. Sah! memang betullah mamat yang sedang berdiri memandang ke arah mereka ketika mereka fly itu adalah Hariz.
“Eleh, tu dulu. Sekarang ni saya dah jadi budak baik dah...”
Hariz membuat muka. Hana mencebik.
“Dah tu, kenapa awak tak repot pada cikgu yang kitorang fly?” Hana bertanya sambil duduk di sebelah Hariz.
Hariz tidak menjawab. Tumpuannya kini pada skrin tv yang tengah tayang entah cerita apa.
“Hariz, jawablah saya tanya ni...”
Hariz masih mendiamkan diri.
Hana memuncungkan bibir.
“Hah! Jangan-jangan..awak memang betul dah ada hati dengan saya tak? Sebab tu awak tak repot dengan sesiapa? Betul tak?” Hana bertanya agak teruja. Mata tepat merenung wajah lelaki itu.
Hariz sedaya upaya cuba mengekalkan riak muka selambanya walaupun jantung sudah berubah rentak.
“Ja..jangan nak pe..perasan..” Hariz menjawab sebelum bangun.
Hana membuat muka lagi.
“Awak nak ke mana?”
“Ma..mandi...” Hariz menjawab sebelum berlalu dari situ. Entah kenapa, bibir akhirnya mengukir senyum lebar. Hana, kalaulah awak tahu perasaan saya terhadap awak sejak dulu lagi...

            ***

Hana meletakkan telefon bimbitnya di atas meja solek di dalam bilik Haziah. Baru lepas telefon Mak Emah memberitahu yang dia bermalam di rumah kawan. Malas nak sakit kepala cerita semua. Lagi pun papa dan mama bukan kisah pun dia ada atau tak kat rumah tu.
“Kakak, jom turun makan...”
Hana menoleh memandang ke arah Haziah yang sudah menunggunya di muka pintu. Hana berdiri sebelum memandang wajahnya pada cermin meja solek buat kali terakhir sebelum melangkah mengekori Haziah menuju ke dapur.
“Abang mana?” Hana bertanya ketika mereka berjalan menuruni tangga kayu untuk ke dapur.
“Ada kat dapur...”
“Ohh!”  Hana terdiam buat seketika.
“Wah, sedapnya bau...” Haziah menerpa ke meja makan yang sudah terhidang dengan segala macam lauk pauk.
“Haziah, tolong mak ambil air sirap dalam peti tu...”
“Okey...”
“Ada apa-apa yang saya boleh tolong ke mak cik?” Hana bertanya.
Mak Tina hanya tersenyum.
“Tak apalah Hana. Dah nak siap ni. Tinggal tunggu Hariz bawa air basuh tangan tu je...”
Hana mengalihkan pandangan ketika terdengar suara gelak ketawa Haziah sebelum muncul gadis itu bersama Hariz.
Hana menggigit bibir sambil tunduk merenung meja apabila Hariz memandang ke arahnya.
Hariz memandang ke arah Hana tanpa berkelip. Rambut gadis separas bahu itu diikat tocang melekat sebelum mata jatuh pada baju kurung kedah dan kain batik yang tersarung pada tubuh gadis itu.
“Abang...” Hariz tersedar apabila Haziah menyiku lengannya sambil tergelak kecil. Merona wajah Hariz apabila terdengar gelak ketawa adiknya itu.
“Dah. Cepat makan. Nanti nak masuk waktu magrib pulak..”
Hana menarik kerusi sebelum duduk di sebelah Haziah.
“Abang baca doa...”
Hariz mengangkat tangan membacakan doa makan. Hana hanya diam ketika mendengar bacaan doa oleh lelaki itu. Sangat merdu dan yang peliknya, bacaan itu lancar je.
“Makan Hana. Ambil lauk tu. Mak cik minta maaflah kalau lauk ni Hana tak makan...”
“Eh tak pe mak cik. Dulu masa duduk dengan arwah nenek pun, nenek masak macam ni jugak..”
Hariz hanya menjeling dengan hujung mata ketika menyuap nasi ke mulut.
“Hana orang mana?” Mak Tina bertanya.
“Saya orang KL. Tapi dibesarkan oleh arwah nenek saya.”
“Ohh, arwah nenek Hana duduk mana dulu?”
Hana tersenyum kecil. Air liur ditelan perlahan.
“Arwah nenek duduk dekat jalan Tok Bali. Nenek Mak Noh.”
“Nenek Mak Noh? Subahanallah. Jadi kamu ni cucu Mak Noh tu lah? Yang dulu selalu ajar orang mengaji tu?”
Hana hanya mengangguk sambil tersenyum. Sempat dia menjeling memandang ke arah Hariz. Lelaki itu membalas pandangannya. Riak wajah lelaki itu tenang. Hana tunduk sebelum kembali menyuap nasi ke mulut.

           ***

Hana menarik nafas panjang ketika kaki melangkah keluar menuju ke beranda rumah kayu tersebut. Mata memandang ke arah bulan yang kelihatan terang pada malam itu. Sesekali bunyi unggas dan suara katak bersilih ganti. Hmmm. Dah lama tak rasa suasana kampung macam ni.
“Aduhhh!” Spontan Hana menyentuh pipi yang terasa sakit. Apa benda ni? Hana memandang sekeliling.
Pap!
“Aduhhh!” Hana menoleh ke bawah pulak. Bibir digetap tanda geram. Mamat jual mahal tu rupanya.
“Awak baling saya dengan apa? Sakitlah!”
Hariz yang sedang berbaring di atas pankin di bawah menunjukkan beberapa biji batu kecil di tangannya.
Bulat mata Hana ketika merenung batu yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Batu dia baling ke aku? Kejam betul!
“Sampai hati awak baling batu dekat saya? Tak sayang saya ke? Lain kali balinglah bunga ke, baru romantik sikit...” Hana menggumam sambil duduk di beranda tersebut. Dagu ditongkat dengan sebelah tangan sambil mata memandang ke arah Hariz di bawah. Kalau ikutkan hati, mahu je dia turun ke bawah. Tapi segan pulak dengan Mak Tina kat dalam tu. Nanti apa pulak dia kata. Sibuk mengendeng dengan anak teruna dia pulak.
Hariz tidak berkata apa-apa.
Hana turut sama mendiamkan diri. Dia kembali memandang ke arah langit. Dalam hati sibuk mengira bintang di langit.
Brrr!
Telefon bimbit yang diletakkan di atas tembuk separas pinggang itu dijeling dengan sebelah mata. Lambat-lambat dia mencapai telefon itu dan skrin disentuh. Dahi Hana berkerut buat seketika sebelum dia menjeling ke bawah. Mata kembali membaca mesej yang tertera di skrin.
‘Tengok apa tu? Khusyuk sangat?’
Laju jari Hana membalas mesej yang dihantar oleh Hariz.
Tengah kira bintang. J
Hariz dibawa hampir mengukir senyuman ketika membaca mesej yang dihantar oleh Hana itu.
‘Berapa banyak dah bintang yang awak kira tu?’
Giliran Hana pula tersenyum.
‘Bintang kat langit tu banyak.
Tapi bintang di hati saya satu je... J
Hana menjeling ke bawah ingin melihat wajah Hariz ketika itu.
Hariz menjeling ke atas. Dia bergerak ke sebelah, cuba menghalang dari pandangan mata Hana.
Hana mencebik. Eleh. Nak sorok konon. Hana kembali memandang ke langit. Tenang sungguh malam ini.
Brrr!
Skrin disentuh lagi.
‘Yeke? Siapa bintang di hati awak tu?’
Hana menggigit bibir sambil tersenyum.
‘Hmm, awaklah...’ Hana membalas sambil memandang ke bawah.
Hariz tersenyum lagi.
‘Yeke?’
Hana memuncungkan bibir. Tak percaya pulak dia.
‘Betullah.
Tak percaya pulak ke? L
Hariz menggelengkan kepala. Hana, Hana.
Hana menarik nafas panjang. Skrin telefon disentuh lagi.
‘Hariz...’
‘Hmmm...’
‘Kenapa awak bawa saya ke sini?’
Hariz mengambil masa selama beberapa minit untuk membalas mesej yang dihantar oleh Hana itu. Dalam hati terselit rasa bimbang. Barangkali Hana tak selesa berada di rumahnya. Maklumlah, Hana anak orang berada. Pasti tak betah duduk di rumah kayunya ini. Dia hampir tidak terfikir akan hal itu tadi.
‘Kenapa? Awak tak suka ya?
Tak selesa ya. Maaf ya Hana.
Saya tak terfikir pasal hal ni..’
Hana mengerutkan dahi ketika membaca mesej yang dihantar oleh lelaki itu. Spontan dia menjenguk ke bawah. Kelihatan Hariz sedang merenung jauh seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
‘Eh, awak jangan salah faham.
Saya tak bermaksud macam tu.
Saya suka datang sini. Tenang je.
Tempat ini mengingatkan saya pada rumah arwah nenek saya.
Lagi pun bila datang sini macam balik kampung je rasa.
Awak jangan salah faham ye. Saya cuma tanya je.’
Hariz merenung lama skrin telefon bimbitnya. Dia menarik nafas lega.
‘Betul ni? Awak tak menyesal datang sini?’
‘Betullah. Mak awak baik. Adik awak pun baik. Saya suka.. J
Hariz kembali tersenyum.
Yeke? Hmm. Tadi mak saya banyak tanya pasal awak.’
Bulat mata Hana ketika membaca mesej yang dihantar oleh Hariz itu. Mahu sahaja dia turun mendapatkan lelaki itu untuk bertanya namun dia cuba menahan diri. Sabar Hana sabar.
‘Yeke? Mak awak tanya apa?’
‘Hmm, mak saya tanya macam-macamlah..’
‘Dah tu awak jawab apa?’
‘Hmm, rahsia...’
Hana mencebik. Dia menjeling ke bawah. Eeeeee! Main-main pulak mamat ni.
‘Cepatlah Hariz. Saya merajuk kang.. L
Hariz ketawa kecil.
‘Merajuklah. Tak hairan pun.’
Hana membuat muka. Mamat ni betullah tak ada perasaan langsung.
‘Sampai hati awak.. L
Hariz ketawa lagi.
‘Hana...’
Hana menegakkan badan ketika membaca mesej sepatah yang dihantar oleh lelaki itu. Dia memandang ke bawah. Hariz sedang memandang ke arahnya. Hana menelan air liur. Dada dah terasa berdegup kencang.
‘Kenapa?’
Jantung Hana berdebar menanti balasan mesej dari lelaki itu.
‘Awak tak menyesal ke?
Awak dah tahu saya bagaimana.
Keluarga saya. Saya tak macam awak...’
Hana hanya merenung mesej yang terpapar di skrin telefonnya itu. Dia terdiam buat seketika.
‘Hariz, saya tak kisah dengan semua tu.
Bagi saya semua tu tak penting.
Apa yang ada pada saya dan pada awak tu bukan kita yang minta.
Cukuplah kalau awak ikhlas dengan saya.
Saya ikhlas dengan awak. Saya sayang awak...’
Lama Hariz memandang skrin telefonnya. Dia tahu Hana sedang memandang ke arahnya.
‘Hana, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya...’
Hana tersenyum lebar. Rasa mahu sahaja dia melompat dan menjerit keriangan. Hariz, saya sayang awaklah!
Bersambung...

3 140 tukang karut:

Anonymous said...

So sawittttttt lh....

Anonymous said...

Sweetnya...

nurliyana izzati said...

Nk shah n dahlia pulak boleh tk?

Post a Comment