RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Saturday, July 12, 2014

Bab 3 : Nak Jadi Kekasih Saya?


Hana memandang ke kiri dan ke kanan ketika tubuh tersandar santai pada dinding bangunan Fakulti Kesenian dan Kebudayaan itu. Pandangan mata beberapa orang pelajar yang lalu lalang di hadapannya itu tidak begitu diendahkan. Sesekali dia menjeling jam di tangan. Mana dia ni?
Pandangan mata Hana tertumpu pada sekumpulan pelajar yang entah baru muncul dari mana itu. Mata ligat mencari seseorang dari celah-celah pelajar tersebut. Senyum spontan terukir di bibir ketika mata menangkap wajah orang yang ditunggu sejak pagi lagi.
“Hariz..!” Spontan Hana melaung sebelum dia berjalan menghampiri lelaki itu.
“Hai...baru habis kelas ke?” Hana bertanya ketika dia sudah berdiri di hadapan lelaki itu.
Hariz hanya merenung wajah Hana tanpa berkata apa-apa. Hana mengangkat kening sebelum memandang sekeliling. Para pelajar sibuk memandang ke arah mereka sebelum berbisik sesama sendiri. Dahi Hana berkerut sebelum dia kembali memandang ke arah Hariz.
“Lepas ni awak ada kelas? Jom, saya belanja awak makan...” Hana berkata lagi apabila Hariz masih tidak memberikan sebarang reaksi. Barangkali lelaki itu terkejut dengan kehadirannya secara tiba-tiba itu.
“Eh, awak nak ke mana?” Hana kelam kabut mengekori Hariz ketika lelaki itu melangkah meninggalkan tempat tersebut.
“Awak, tunggulah....” Hana yang tertinggal di belakang itu masih memanggilnya namun Hariz masih laju melangkah ke depan, seolah-olah tidak mendengar panggilan gadis itu.
Hana mengetap bibir agak geram. Entah kenapa lelaki itu seperti tidak mengenalinya. Bukankah semalam lelaki itu telah bertindak menyelamatkan dirinya dari bahaya? Takkan hari ni dah lupa?
“HARIZ!” Hana menjerit kuat ketika memanggil nama lelaki itu. Dia sudah tidak peduli jika ada mata-mata yang memandang ke arah dirinya.
Spontan langkah kaki Hariz terhenti namun lelaki itu tidak menoleh ke belakang. Barangkali tindakan refleks.
Hana melangkah deras ke arah lelaki itu sambil mengerutkan dahi tanda geram bercampur tanda tanya.
“Hariz, awak ni kenapa? Saya ada buat salah ke? Kenapa awak layan saya macam ni?” Hana bertanya ketika gadis itu betul-betul berdiri di hadapan lelaki itu.
Hariz masih diam membisu. Hanya pandangan mata berupa amaran yang terpancar di mata lelaki itu.
“Awak...”
“Per..pergi!”
Bulat mata Hana apabila mendengar kata-kata amaran yang dibisikkan oleh lelaki itu ke arahnya. Hana keliru. Kenapa dengan mamat ni? Aku ada buat salah ke?
“Hariz, kenapa ni? Kenapa awak layan saya macam ni? Bukan ke semalam....”
Hariz tidak menunggu Hana menghabiskan kata-katanya itu apabila lelaki itu mula melangkah meninggalkan dia buat kali kedua.
Hana menoleh. Tergambar riak geram di wajah gadis itu. Dia mengetap bibir sebelum turut sama melangkah laju menghampiri lelaki itu. Lengan lelaki itu dipaut kuat sebelum dia mengheret lelaki itu keluar dari laluan berbumbung tersebut.
“Ap..apa aw...awak n...nak bu..buat ni?!”
Hana tidak mengendahkan pertanyaan lelaki itu. Pandangan mata pelajar yang turut berada di situ pun dia tak ambil pusing. Lantaklah mereka nak fikir apa. Yang penting, ada perhitungan yang perlu dia buat dengan lelaki nama Hariz ni.


                                                                            ***

“Le...lepaslah!”
Hana melepaskan pegangan tangannya. Mata tajam merenung ke arah lelaki yang sedang membetul-betulkan beg sandang yang sudah senget di bahunya itu.
“Apa salah saya?” Tanya Hana sambil memeluk tubuh.
Hariz memandang ke arah gadis itu sebelum melutut di atas rumput. Beg sandang lusuh berwarna coklat cair itu dibuka zipnya. Satu persatu barang yang berada di dalam beg tersebut dikeluarkan dan dibelek, seolah-olah mahu melihat jika berlakunya sebarang kerosakan.
Hana memanjangkan lehernya untuk melihat isi beg lelaki itu. Ceh. Bukan ada apa pun, setakat barang-barang melukis je pun. Ingatkan ada harta karun sampai nak check beriya sangat.
Setelah memastikan tiada apa yang rosak pada alat melukisnya itu, Hariz kembali memasukkan kembali barang-barang tersebut ke dalam begnya itu. Beg di zip kemas sebelum di sangkutkan ke bahu semula.
“Awak! Saya tanya ni kenapa tak jawab?” Hana bertanya lagi apabila melihat Hariz sudah mula mahu melangkah meninggalkan tempat tersebut.
Langkah kaki Hariz terhenti lagi.
“Pe...pergi! Ja...jangan ka..kacau sa...saya la lagi.”
Hana hampir tercengang tidak percaya ketika mendengar kata-kata lelaki itu. Sesungguhnya dia tidak faham kenapa Hariz melayannya seperti itu. Bukan ke mereka dah berkawan? Atau tidak? Atau mungkin Hariz masih berdendam dengannya disebabkan kes dia rosakkan lukisan lelaki itu? Tapi kenapa lelaki itu selamatkan dia semalam?
                                                                                  ***

“Kenapa dia macam pelik je ek?” Hana menggumam perlahan ketika dia berjalan tanpa arah tujuan. Kepala ligat berfikir kenapa Hariz melayannya seolah-olah kejadian semalam tidak pernah berlaku. Hana mengeluh perlahan ketika kaki melangkah lemah sebelum terhenti seketika.
Pandangan mata tertumpu ke hadapan. Dia menggigit bibir menunggu sebarang isyarat di sebelah sana. Dalam hati mengharapkan sesuatu yang menyenangkan bakal berlaku namun...
Hariz merenung tajam ke arah Hana yang berdiri tidak jauh di hadapannya itu. Tanpa berkata apa-apa, dia melangkah ke arah bertentangan. Hajat hati mahu terus ke studio tapi nampak gayanya kena ikut laluan jauh apabila gadis itu berdiri betul-betul di laluan menuju ke Studio 1.
Hana mengetap bibir kegeraman apabila melihat Hariz berpatah balik. Rasa sakit hati mula meruap di dalam dada. Apa masalah mamat ni? Teruk sangat ke dia sampai nak pandang muka pun tak nak? Apa aku ni tak ada kelas ke nak berkawan dengan mamat ni? Hana berjalan laju mengekori lelaki itu dengan rasa marah yang membuak-buak di dada.
“Awak....” Hana cuba menarik lengan baju lelaki itu namun ditepis spontan.
Berubah air muka Hana apabila dilayan sebegitu oleh lelaki itu. Hariz memandang ke arahnya. Wajah lelaki itu turut berubah. Barangkali lelaki itu tidak sengaja berbuat demikian namun lelaki itu kekal diam tidak bersuara.
Hana tunduk merenung lantai. Hati terasa sebak. Air mata mula bergenang namun dia cuba bertahan. Jangan nak buat scene dekat tengah-tengah ramai orang ni Hana!
“A..awak, ma..maaf...”
Hana mengangkat muka apabila buat pertama kalinya dia mendengar nada suara lembut lelaki itu selepas kejadian pada malam tersebut. Bibir spontan tersenyum kecil.
“Tak apa. Saya tahu awak tak sengaja...” Hana mengelap hujung mata dengan jarinya. Hariz tidak berkata apa-apa.
“Awak nak ke mana? Kelas?” Tanya Hana lagi.
“A..awak bu..buat apa kat si..sini?” Tanya Hariz tanpa menjawab pertanyaannya. Wajah lelaki itu nampak agak tertekan sehingga membuatkan Hana agak hairan.
“Jumpa awaklah. Kenapa, tak boleh?” Jawab hanya lagi. Dia mula perasan yang banyak mata memandang ke arah mereka. Orang seni ni memang suka perhati orang ke?
“Errr, awak nak bawa saya pergi mana ni?” Hana bertanya kalut apabila Hariz menarik tangannya menjauhi tempat tersebut.
“Awak, nak pergi mana ni?” Hana bertanya lagi apabila lelaki itu masih menarik tangannya sebelum akhirnya mereka berhenti di suatu lokasi yang agak sunyi berdekatan dengan bangunan pentadbiran fakulti kesenian tersebut.
Hariz memandang ke kiri dan ke kanan. Hana turut sama berbuat demikian.
“Awak cari siapa?” Tanya Hana lagi. Hariz berhenti menoleh. Tumpuannya kini ke arah Hana.
“A..awak bu..buat ap..apa kat si..sini?” Tanya lelaki itu agak keras.
“Kan saya dah cakap tadi, saya nak jumpa awak. Actually saya tak pelan pun nak ke sini tapi entah kenapa kaki saya ni asyik nak ke sini je. Sedar-sedar saya dah nampak awak depan mata. Macam berjodoh pulak kita kan...” Hana menjawab sambil tersenyum.
Hariz merenung ke arah Hana dengan tajam seolah-olah tidak senang mendengar kata-kata gadis itu.
“Bu..bukan ke sa..saya dah ka..kata. Ja...jangan kacau sa...saya lagi?”
Hana merenung wajah lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Hati mula terasa dengan kata-kata lelaki itu.
“Tapi kenapa? Saya ingat, sejak kejadian malam tu...”
“Lu..lupakan hal tu..”
“Tapi kenapa?” Tanya Hana tidak berpuas hati.
“Ja...jangan ba..banyak tanya bo..boleh tak?!” Suara lelaki itu naik satu level membuatkan Hana terkejut. Terkebil-kebil mata Hana ketika memandang ke arah wajah lelaki yang mula kemerahan itu.
“Kot ye pun tak payahlah nak marah-marah macam tu...” Hana menjawab perlahan.
Hariz menarik nafas dalam-dalam.
“Per..pergi anggap ap..apa yang ber..berlaku tu tak per..pernah berlaku dan ja..jangan ca..cari sa..saya lagi...” Hariz berkata sebelum mula melangkah.
“Awak masih marah pada saya?”
Langkah kaki Hariz terhenti namun dia tidak menoleh.
“Awak masih marah ye sebab saya dah rosakkan lukisan awak hari tu?”
Hariz masih tidak menjawab.
“Kalau sebab tu awak tak nak kawan dengan saya, saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja tapi saya serius nak kawan dengan awak...”
Hariz menoleh.
“Ke..kenapa aw..awak nak kawan dengan sa...saya?”
“Sebab...”
“Sebab aw..awak ra..rasa ter..terhutang bu..budi, kan?”
Dahi Hana berkerut seribu.
“Terhutang budi?” Hana bertanya balik.
Hariz berjalan menghampiri Hana sehingga lelaki itu berdiri betul-betul di hadapan gadis itu.
Terkebil-kebil mata Hana ketika menatap wajah lelaki itu secara dekat. Hana menelan air liur. Seksinya mata dia!
“A..awak nak ka..kawan de..dengan sa..saya se..sebab awak ra..rasa terhutang bu..budi kan?” Hariz bertanya lagi.
Laju kepala Hana menggeleng. Mata masih merenung ke arah sepasang mata milik lelaki itu.
“Bukan...”
“Ja...jangan ti..tipu!”
Sekali lagi Hana menggeleng.
“Betul. Saya nak kawan dengan awak bukan sebab saya terhutang budi dengan awak, tapi saya ikhlas. Err...saya..suka awak..maksud saya..saya suka berkawan dengan awak...” Wajah Hana sudah mula memerah.
Hariz merenung ke arahnya tanpa berkata apa-apa. Sukar untuk dia fikirkan apa yang sedang bermain dalam fikiran lelaki itu ketika melihat raut wajah lelaki itu ketika itu.
“Pe..pergi!”
Hana menggigit bibir. Apa masalah mamat ni hah? Jual mahal sangat kenapa?
“Saya takkan pergi. Apa nak jadi, jadilah!” Hana berkata separuh geram ketika dia menentang pandangan lelaki itu.
Wajah Hariz berubah buat seketika.
“Err...awak nak buat apa?” Tanya Hana ketika Hariz melangkah menghampirinya. Hana terpaksa melangkah ke belakang ketika Hariz semakin menghampirinya.
“Err, awak okey ke ni?” Hana bertanya tergagap namun Hariz masih mendiamkan diri.
Hana menelan air liur ketika tubuhnya melekap di dinding bangunan. Hariz pula semakin menghampiri. Hana memandang ke kiri dan ke kanan. Sunyi tak berorang.
“Ka..kalau aw..awak tak tak nak pergi..”
“Awak nak buat apa?” Tanya Hana berani ketika dia memandang tepat ke wajah lelaki yang tak sampai sejengkal jaraknya itu.
Hariz meletakkan tangannya di dinding, seolah-olah mengepung tubuh gadis itu.
Hana menelan air liur berkali-kali.
“A...awak nak ta..tahu apa yang sa..saya boleh bu..buat?” Hariz merendahkan tubuhnya dan berbisik perlahan di telinga Hana.
Hana memejamkan mata. Dada mula berdegup kencang apabila hidung mula menangkap bau wangian yang dipakai oleh lelaki itu.
Hana membuka mata apabila merasakan yang tiada apa-apa yang berlaku.
“Hampeh punya mamat. Dia boleh blah macam tu je?!” Hana menggumam geram apabila melihat Hariz sudah jauh meninggalkan dirinya. Hana mengecilkan mata. Hmmm, jual mahal ye. Kita tengoklah nanti sejauh mana awak nak jual mahal tu.
BERSAMBUNG...

0 140 tukang karut:

Post a Comment