RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Tuesday, July 8, 2014

Bab 1 : Nak Jadi Kekasih Saya?


Bab 1


Babe!”
Hana yang baru sahaja keluar dari keretanya itu menoleh.
Babe, sorrylah pasal malam tu...” Sarina berkata tergesa-gesa. Kat di sebelah hanya mengangguk beriya-iya.
Hana tidak menjawab. Hati kembali rasa sakit apabila mengetahui yang dia orang yang kononnya mengaku sebagai sahabat baiknya itu, berjaya melepaskan diri semasa polis membuat serbuan pada malam dia ditahan di lokap tempoh hari.
Sarina memandang ke arah Kat apabila melihat Hana tidak memberikan sebarang reaksi.
Babe, kau marah kita orang ke ni?” Kat cepat-cepat berjalan beriringan di sebelah Hana. Hana masih jugak mendiamkan diri. Telinga tengah layan lagu Linkin Park yang berdentum dari MP4nya itu.
Kat membuat isyarat mata ke arah Sarina di sebelah sana. Sarina mengangkat bahu.
Babe. Come onlah...” Sarina akhirnya menarik tangan Hana membuatkan Hana berhenti melangkah.
“Hana, aku tahu kau marah kita orang berdua sebab malam tu kita orang tinggalkan kau macam tu je. Tapi kau sendiri tahu kan yang masa tu kelam kabut. Masing-masing fikir nak selamatkan diri je. Kalau kau pun, mesti kau cabut dulu kan...” Kat berkata sambil memandang ke arah wajah Hana yang sengaja dimasamkan itu.
“Betul tu Hana. Kau kawan baik kita orang. Takkan kita orang saja-saja nak tinggalkan kau macam tu je. Kau tahu kan kita orang sayang pada kau?” Sarina pula menyampuk. Mata sempat berbalas pandangan dengan Kat di sebelahnya.
Hana melepaskan keluhan perlahan. Dia menarik wayar earphone yang tergantung di telinganya itu sebelum menoleh ke arah Kat dan Sarina.
“Sudahlah. Aku dah malas nak fikir. Lagi pun kau orang berdua tak salah. Kalau aku pun, aku akan fikir pasal diri aku dulu...”
“Jadi, kau dah tak marah lagi ke?” Kat bertanya lagi.
Hana tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia pun dah malas nak fikir benda tu salah siapa. Dah cukup banyak benda yang menyerabutkan kepala dia di rumah. Dia tak nak disebabkan hal kecil ini, dia hilang Sarina dan Kat. Walaupun dia tahu kadang kala Sarina dan Kat itu lebih suka mementingkan diri sendiri, tapi mereka sudah berkawan sejak di zaman matrikulasi lagi.
“Baguslah kalau macam tu. Hmmm, jom pergi makan. Lapar lah...” Sarina berkata kembali gembira.
“Kau belanja?” Kat mengangkat kening. Sarina mencebik.
“Kenapa pulak aku yang kena belanja? Hmmm, apa kata Hana yang belanja? Kau kan banyak duit...” Sarina berkata sambil tersenyum ke arah Hana.
“Yelah – yelah aku belanja. Kau orang berdua nak makan apa?”
Yes! Ni yang buat kita orang sayang sangat dengan kau Hana. Tak kedekut dan berkira dengan kita orang. Bukan macam orang tu. Suruh belanja sikit dah bagi banyak alasan..” Kat menjawab sambil mencebik ke arah Sarina.
“Ewah-ewah, sedapnya mengata orang. Habis tu kau pun sama jugak kan. Suruh belanja air kotak pun kedekut.” Sarina pula membalas.
“Sudah. Hal kecik pun nak bergaduhlah. Eh, lupa aku nak tanya. Apa jadi dengan Bad malam tu? Dapat lepas jugak ke?” Tanya Hana ingin tahu. Sejak malam dia kena tahan di lokap tempoh hari, Bad tidak lagi menghubunginya. Puas juga dia menelefon si teman lelakinya itu namun semua tak berjawab. Mesej pun dah beratus-ratus kali dia hantar tapi satu pun tak berbalas.
“Entah. Tapi dengar-dengar cerita dia pun dapat lepas lari malam tu. Kau tak tanya dia sendiri ke?” Kat bertanya lagi.
“Entahlah. Aku mesej dan call pun tak berangkat. Entah hidup ke mati pun tak tahu...” Selamba Hana menuturkannya. Sisa sakit hati kembali terasa apabila mengingatkan yang Bad si teman lelakinya itu boleh bertindak meninggalkan dia macam tu sahaja pada malam itu sedangkan lelaki itu yang beriya-iya mengajaknya ke kelab malam tersebut. Katanya kelab malam tersebut selamat dan tidak pernah diserbu oleh polis. Huh!
“Eh, tu macam...Bad kan?” Sarina menunjuk ke arah seseorang yang sedang bergurau senda di hujung meja yang terletak di hujung kafe kolej tersebut.
Hana segera melarikan anak mata ke arah yang dimaksudkan oleh Sarina itu. Berderau darahnya apabila melihat apa yang terbentang di hadapan matanya ketika itu. Bibir digetap cuba menahan rasa marah dan geram.
“Ala abang ni. Janganlah...” Rengekan si perempuan jelas kedengaran di telinga Hana membuatkan rasa sakit hatinya semakin bertambah.
Sarina dan Kat hanya saling berpandangan sebelum pandangan kembali ke arah Hana yang sedang menggigil menahan rasa marah.
“Teruk betullah Bad tu. Entah dengan perempuan murahan mana  yang dia sibuk mengayat tu...eh Hana, kau nak pergi mana?” Kat melaung memanggil ke arah Hana apabila melihat gadis itu sudah berjalan menuju ke arah Bad yang kelihatan sedang bermesra-mesra tanpa menyedari kehadiran mereka di situ.
Hana yang sedaya upaya menahan rasa amarah ketika itu lantas mencapai gelas berisi Milo panas di atas meja yang hanya tinggal separuh itu lalu di simbah ke arah Bad yang masih lagi tidak menyedari akan kehadirannya di situ.
What the hell!” Spontan Bad berkata kuat apabila Milo panas tersebut mengenai muka dan juga pakaiannya. Baju putih yang dipakai oleh lelaki itu terus bertukar menjadi coklat gelap.
The hell is you!” Hana menjawab berang. Tangan yang memegang gelas yang telah kosong itu turut sama menggigil dek kerana menahan marah.
Bad memandang ke arah Hana yang sedang berdiri di hadapannya itu dengan raut wajah terkejut. Barangkali lelaki itu tidak menyangka akan terserempak dengan gadis itu di situ. Bukankah Hana sekarang berada di dalam lokap? Bukankah Hana pernah cakap yang papanya tidak mahu lagi menjamin dia sekiranya dia tertangkap lagi?
“Err Hana. Sayang...you buat apa kat sini? Bukan ke errrr....”
Hana masih merenung tajam lagi ke arah lelaki itu. Rasa seperti mahu sahaja dia mencampakkan gelas di tangannya ke muka lelaki itu. Biar pecah berderai! Dasar lelaki tak guna!
“Tak payah nak bersayang-sayang dengan I. Ni siapa? Apa you buat dengan dia?” Hana menuding jari ke arah gadis di sebelah Bad itu. Gadis itu kelihatan terkulat-kulat apabila menyedari semua mata yang berada di kafe tersebut tertumpu ke arah mereka. Sarina dan Kat pula tidak berani nak masuk campur. Atau mungkin masing-masing malu dengan apa yang sedang terjadi dan memilih untuk menjauhkan diri sahaja dari terlibat dengan insiden tersebut.
“Err, yang ni? Er, ni junior I. Err, dia..errr..” Bad menjawab hampir tergagap.
Tergambar jelas di wajah gadis itu rasa tidak percaya. Barangkali gadis itu tidak menyangka yang Bad hanya menganggapnya sebagai junior sahaja sedangkan mereka lebih dari sekadar itu.
Hana hanya ketawa sinis. Sudah masak sangat dengan perangai celaka si Bad ini. Dari dulu sampai sekarang perangai buaya lelaki itu tidak berubah. Dasar lelaki tak sedar diri! Dan dia pun terlalu bodoh untuk percaya dan menerima pujuk rayu lelaki itu setiap kali lelaki itu memberikan bermacam-macam alasan apabila teman lelakinya itu kantoi keluar dengan perempuan lain.
You know what, I’m done. We are done. Mulai dari saat ini, ketika ini, perhubungan kita putus. O.V.E.R spell over. I dah tak ada kuasa nak layan perangai buaya darat you  tu lagi...” Hana berkata cuba menahan sabar. Dada turun naik menahan rasa geram kerana buat ke sekian kalinya, dia ditipu lagi oleh lelaki itu.
Bad hanya mendiamkan diri ketika melihat Hana berlalu dari situ.
“Hana...!”
Spontan langkah kakinya terhenti namun dia tidak berpusing.
“You kena ingat, I yang putuskan perhubungan ini bukan you, faham?”
Hana tersentap buat seketika. Disangkanya lelaki itu mahu memujuk rayuannya seperti biasa namun dia silap. Ego lelaki itu terlalu tinggi untuk ditundukkan. Air mata mula bergenang di tubir mata apabila menyedari yang ramai pelajar yang menonton adegan tersebut. Tanpa sebarang balasan, dia melangkah laju  ke depan. Dia penat. Sudah penat dengan semua ini.
“Hana? Kau nak ke mana tu?” Kat dan Sarina memanggil apabila melihat gadis itu hanya melepasi mereka tanpa berkata sepatah pun.
Hana tidak membalas. Langkah kaki laju diatur menuju ke kereta. Alarm kereta di tekan sebelum pintu dibuka. Segala macam buku dan beg tangan di humban ke tempat duduk penumpang di sebelah. Dengan satu sentapan yang kuat, kereta dipandu laju keluar dari kawasan kolej tersebut. Buat ke sekian kalinya, air mata yang cuba ditahan sedaya upaya tadi akhirnya mengalir juga di pipi.

***

HANA merenung laut yang terbentang di hadapannya itu dengan perasaan yang bercampur baur. Dia sendiri tidak tahu kenapa dalam banyak-banyak tempat, dia memilih untuk ke sini. Barangkali di sinilah satu-satunya tempat yang pernah memberikannya kenangan bahagia suatu ketika dahulu. Ketika neneknya masih hidup lagi.
“Hana! Kamu dari mana panas-panas ni? Nanti deman susah pulak...”
“Nenek, cuba tengok apa yang Hana jumpa?” Hana berlari laju ke arah neneknya yang sedang menyapu halaman rumah ketika itu.
“Cantik tak nenek? Hana kutip dekat tepi pantai dengan Pok Ja dan Jijah.” Hana menghulurkan tangan yang penuh dengan segala macam kulit kerang dan siput yang dikutip di tepi pantai tadi.
“Nak buat apa kutip benda-benda tu sayang. Panas-panas macam ni. Nanti kalau Hana demam macam mana? Siapa yang susah? Nenek jugak yang susah...”
Brrr!
Hana mengelap air mata yang mengalir di pipi dengan belakang tangan. Telefon bimbit yang bergegar di dalam poket jeansnya di tarik keluar. Dia memandang sekilas nama yang terpapar di skrin telefon bimbitnya sebelum skrin di sentuh.
“Hmm..nak apa?” Dia menyapa malas. Mata kembali memandang ke arah laut yang tenang itu.
“Kau ada mana ni?” Suara Nor, si sepupu sama baya itu menerjah ke gegendang telinganya.
“Rumah nenek...”
“Hah? Buat apa kat situ?”
“Saja, tenangkan fikiran...” Dia menjawab lagi.
“Tenangkan fikiran? Kau ada masalah ke?” Nor bertanya lagi.
“Tak adalah...”
“Tipu! Dengar suara kau yang dah macam tapai basi pun aku tahu yang kau mesti ada masalah punya. Lagi satu, kau pun takkan saja-saja nak balik rumah arwah nenek tu kalau tak ada benda yang tak kena pada kau, kan?”
Hana menarik nafas panjang. Nor, sepupu yang sama-sama membesar dengannya di rumah nenek dulu. Neneklah yang menjaga dan membesarkan mereka ketika ibu bapa masing-masing sibuk bekerja macam orang gila atas alasan nak cari duit. Nak bagi kesenangan pada anak-anak katanya.
“Hmmm. Kau ada mana ni?”
“Rumah mak aku lah. Aku ambik cuti dua hari. Rasa macam tak sedap badan..”
Hana mencebik.
“Ceh, dasar anak manja betul..”
Nor di sebelah sana membuntangkan biji mata.
“Apa? Anak manja kau cakap? Helo mak cik. Sorry sikit eh. Siapa yang anak manja? Kalau dulu, siapa yang selalu mengedik manja-manja dengan nenek? Kau kan? Jatuh sikit meraung balik peluk kaki nenek...”
Hana tersenyum. Spontan fikiran terbayang akan kenangan dulu. Kenangan ketika nenek masih ada. Air mata kembali bergenang di tubir mata. Nek, Hana rindu gila pada nenek.
“Helo? Hana? Kau ada lagi ke ni?”
Hana mengelap hujung mata yang sudah mula hendak pecah itu.
“Hmm...” Hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya.
Nor terdiam buat seketika. Dia tahu yang Hana pasti ada masalah. Bukan dia tak tahu yang keluarga Hana tu macam mana. Pak long dengan mak long tu memang kuat bekerja. Begitu juga dengan mak dan ayahnya. Cuma bezanya mak dia sekarang sudah tidak bekerja lagi. Jadi adalah tempat dia nak bermanja bila balik rumah dalam keadaan serabut serabai dengan kerja di pejabat yang tak habis-habis itu.
“Kau tidur mana malam ni?” Tanya Nor setelah lama mendiamkan diri.
“Hmm, mana lagi...”
Nor terdiam lagi.
“Tak nak datang sini?”
“Malaslah. Aku ingat nak overnight rumah nenek dulu dua tiga hari ni...”
“Kelas kau macam mana?”
“Entah. Malas nak fikir...”
Senyap.
“Nak aku datang teman kau?”
“Tak payahlah. Kau duduk je rumah teman mak kau tu. Kau tu dahlah jarang balik rumah. Dapat cuti ni buatlah duduk-duduk rumah tu. Belajar memasak ke. Kang senang esok lusa nak kahwin...”
Nor mencebik.
“Ceh, mengata aku pulak. Kau pun sama dua kali lima je...”
Hana tersenyum nipis. Pandangan mata jatuh pula pada burung-burung yang terbang jauh di ufuk langit sana.
“Hmm, betul tak nak aku datang ni?”
“Tak apalah. Aku nak bersendirian. Kepala tengah weng...”
“Okeylah kalau macam tu, tapi kalau ada apa-apa jangan lupa telefon aku, okey?”
“Hmmm...”
“Jangan hmmm je. Ingat pesan aku tu. Lepas tu rumah nenek tu sebelum tidur kunci betul-betul pintu tingkap apa semua. Kalau ada dengar bunyi pelik-pelik tu cepat-cepat telefon aku..” Nor tak habis membebel lagi.
“Maksud kau bunyi pelik apa? Hantu ke?”
“Ish! Kalau hantu aku tak risau sangat, tapi manusia yang perangai macam hantu tu yang aku risaukan...”
Hana ketawa lagi. Macam-macamlah peel si sepupunya ini.
“Gelak pulak dia. Aku serius ni tau...”
“Yelah - yelah. Aku ingatlah pesan kau tu. Macam nenek lah kau ni. Suka sangat membebel.”
“Tapi yang membebel tu lah yang kau paling sayang, kan?”
Hana tersengih lagi namun ada rasa pilu setiap kali nama nenek di sebut.
“Nor, boleh tolong aku tak?”
“Apa dia?”
“Kau tolong telefon mama aku, kata aku lepak rumah nenek dua tiga hari ni, boleh?”
Nor terdiam buat seketika.
“Kenapa kau tak telefon sendiri?”
Hana mengeluh perlahan.
“Aku rasa kau tahu sebabnya...”
Telinga Hana menangkap pula keluhan berat yang dilepaskan di sebelah sana.
“Yelah. Nanti aku telefon mama kau. Tapi kau kena janji dengan aku...”
“Apa dia?”
“Jaga diri baik-baik. Jangan buat benda mengarut...”
It’s depend on how you decribes ‘benda mengarut’ tu.” Selamba Hana menjawab.
“Hana! Aku serius ni. Main-main pulak dia.”
Hana ketawa sakan. Sudah lama benar dia tak bergurau senda begini dengan sepupunya itu. Yelah, masing-masing sudah sibuk dengan urusan sendiri. Lepas tamat diploma, Nor mengambil keputusan untuk kerja terus manakala dia lebih suka menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana.
“Yelah-yelah. Aku gurau jelah.”
“Gurau pun ada batasan ye mak cik.”
“Yelah. Baik nenek...” Hana tak habis mengusik lagi.
“Arghhh! Stres aku cakap dengan kau ni tau?”
“Tau..tau...”
Nor memutarkan bebola matanya ke atas.
“Okeylah Hana, aku nak maghrib ni. Mak aku dah bising dekat bawah tu. Nanti aku telefon lagi...”
“Okey...”
“Kau pun jangan nak berjemur tepi laut tu sampai tak ingat nak balik pulak...”
Hana mencebik namun tidak berkata apa-apa.
“Jumpa nanti. Assalamualaikum...”
“Waalaikumsalam...” Hana memutuskan talian. Mata merenung jauh ke hujung dunia sebelah sana ketika matahari sudah mula melabuhkan tirai.
“Nenek, Hana rindu...”

                                                                                ***
Brrr.
Hana tersedar daripada lamunannya. Spontan dia menarik keluar telefon bimbitnya. Skrin disentuh apabila melihat nama yang tertera pada skrin telefonnya itu.
“Helo...”
“Kau ada mana ni?”
“Tepi pantai ni ha...”
“Pagi-pagi buta ni kau dah menapak dekat pantai tu?”
“Hmmm...”
“Tak jemu ke wei, balik-balik tengok laut je.” Nor bersuara di sebelah sana.
“Entah. Aku suka je...”
“Tak faham aku. Ni aku nak bagi tahu ni. Semalam aku dah telefon mak long, mak long pesan suruh kau balik cepat. Jangan nak berlama-lama dekat rumah nenek tu. Bahaya...”
Kening Hana terangkat sebelah.
“Bahaya? Kenapa pulak?”
“Entah. Mungkin sebab mak long risau kot. Rumah tu kan ke dah lama orang tak duduk. Dekat empat tahun. Entah jadi sarang apa dekat dalam tu...”
“Mulut kau. Tak ada insurans ke?”
“Opss! Sorry. So aku dah sampaikan pesan mak long. Jadi terpulang pada kau.”
“Nantilah. Aku tak puas lagi nak lepak sini lagi...”
Up to you...”
“Yelah. Thanks...”
By the way, aku nak pesan ni...”
“Apa lagi?” Hanya bertanya malas.
“Aku dengar cerita, tahun lepas ada orang nampak lembaga putih dok bertenggek dekat atas bumbung rumah tu...”
“Nor Hafizah!!!”
“Kah kah kah kah! Bye...!”
Hana mengetap bibir menahan geram. Hampas punya sepupu. Kalau dia tahu yang si Nor ni nak mengenakan dia, memang taubat dia takkan jawab panggilan si minah ni. Arghhh!
Hana merungut perlahan ketika dia memasukkan telefon bimbit ke dalam poket. Kepala diangkat ke sebelah apabila dirasakan ada seseorang tidak jauh darinya itu. Hana mengangkat kening. Entah sudah berapa lama lelaki itu berada di situ. Tadi macam tak ada. Atau pun sebenarnya dia tak sedar akan kewujudan lelaki itu? Serta merta dia teringat akan usikan si Nor tadi. Meremang seluruh tubuh. Hisss! Apa kes nak meremang pagi-pagi buta ni? Hantu mana keluar waktu siang. Ish!
Hana mengerutkan dahi ketika melihat lelaki itu yang kelihatan sedang khusyuk melakar sesuatu di atas kanvas yang dipacakkan di atas pasir itu. Mata Hana turun ke bawah. Simple nya mamat ni. Seluar jeans lusuh berwarna biru, dengan t-shirt berkolar warna hitam pudar. Memang dress code orang seni memang pakai macam tu ek? Perlahan-lahan Hana berjalan menghampiri lelaki itu. Bukan senang nak tengok orang seni ni buat kerja. Dia pernah dengar adalah menjadi satu kesalahan apabila mengganggu orang seni ni buat kerja. Tapi...dia bukan nak ganggu. Dia hanya nak tengok je. Lagi pun dia kagum apa dengan orang yang pandai melukis ni. Bukan semua orang pandai lukis. Orang terdekat yang dia kenal yang pandai melukis pun si Nor tu jelah. Itu pun tak ada benda lain yang dia reti lukis selain bunga tahi ayam je. Itu pun dah dibangga-banggakan satu kampung.
“Err hai?” Hana memberanikan diri untuk menegur lelaki yang masih sibuk melakar sesuatu di atas kanvas yang sudah hampir separuh siap itu. Wahhh, hampir terbeliak biji matanya apabila melihat lukisan lelaki itu. Cantiknyaaa! Ni kalau Nor nampak mesti menangis punya.
“Cantiknya awak lukis. Awak memang suka melukis ya?” Hana bertanya lagi namun masih tiada reaksi. Hek eleh. Sombong gila mamat ni. Aku tegur sikit punya baik, boleh buat tak tahu je. Ke bisu ni?
Hana menjeling ke arah lelaki itu dengan ekor mata. Muka boleh tahan. Handosmelah jugak dengan jambang berserabai memenuhi dagu lelaki itu. Rambut yang kusut masai yang hampir menutupi wajah lelaki itu terbuai-buai ditiup angin. Tapi sayanglah kalau mamat macam ni bisu. Aduhh, boleh frust menonggeng. Ke sebab dalam mulut tu ada emas? Hana berkata sendiri.
Pandangan kembali dihalakan ke arah kanvas pula. Mata ralit memerhatikan  jari jemari lelaki itu yang berlari di atas kertas putih tersebut. Entah kenapa hati rasa terpesona. Betullah, orang seni ni aura dia lain macam sikit. Boleh terleka bila tengok dia orang berkarya macam ni. Patutlah orang kata jangan kacau orang seni ni buat kerja. Hana mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mencari menu kamera sebelum telefon di hala ke arah kanvas yang belum siap itu walaupun dah boleh agak apa yang akan terlakar di atas kanvas putih itu nanti.
Snap!
Spontan jari lelaki itu berhenti. Hana mengangkat kepala. Senyum kelat terukir di bibir apabila lelaki itu menoleh memandang ke arahnya. Tergambar jelas rasa tidak puas hati di wajah lelaki itu. Hana menelan air liur. Erk!
“Errr, sorry. Saya tak minta izin dulu nak ambil gambar lukisan awak tu. Tapi, err..saya rasa lukisan awak tu err..cantik. Saya suka. Jadi saya...” Kata-kata Hana terhenti apabila lelaki itu kembali memandang ke hadapan. Tangan lelaki itu kembali bekerja. Berkerut dahi Hana apabila lelaki itu masih tidak mengeluarkan sepatah kata. Aduhh, betul-betul bisu ke mamat ni? Hana menggaru leher yang tidak gatal.
Hampir setengah jam Hana berdiri di sisi lelaki itu. Telefon bimbit sudah lama di simpan di dalam poket. Walaupun dalam hati dah meronta-ronta nak merakamkan gambar lukisan tersebut, namun dia bimbang lelaki di sebelahnya itu akan menghalaunya dari situ. Dia tak puas lagi nak lihat hasil kerja lelaki itu. Nak lah jugak dia lihat hasil keseluruhan yang akan terpapar di atas kanvas putih itu. Kotlah mana tahu satu hari nanti, lukisan mamat ni jadi terkenal, dia pun dah masuk dalam sejarahlah kerana ada bersama lelaki itu ketika lukisan itu dihasilkan. Tapi...betul ke mamat ni boleh jadi terkenal? Hana menjeling ke arah lelaki itu atas dan bawah. Hmmm...
“Apa....” Belum sempat Hana menghabiskan kata-katanya, dia telah tersadung ke depan apabila selipar yang dipakai tersangkut pada tunggul kayu yang separuh terbenam di dalam pasir.
Krak!
“Aduh.” Hana mengerang perlahan sambil menggosok siku yang tergesel dengan kayu tersebut. Bulat mata merenung ke arah kanvas kayu yang telah terjatuh di atas pasir itu. Lebih mengerikan, palet yang tadinya berada di tangan lelaki itu tiba-tiba telah telangkup di atas kanvas tersebut, membuatkan kanvas tersebut diselaputi dengan palitan berwarna biru pekat.
Hana tidak berani mengangkat kepala untuk melihat reaksi lelaki yang masih kekal berdiri di hadapannya itu. Tubuh lelaki itu kelihatan kaku. Barangkali lelaki itu turut tergamam melihat apa yang telah terjadi pada kanvasnya itu.
Hana menggigit bibir. Perlahan-lahan dia mengangkat kepala. Wajah lelaki itu kelihatan kosong tanpa perasaan. Aduhh, mati aku.
“Err, awak. Saya errr..minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja. Saya...” Hana terdiam apabila lelaki itu tunduk dan mengutip segala benda yang bertaburan di atas pasir itu. Riak wajah lelaki itu kelihatan tegang seolah-olah cuba menahan marah. Hana menggigit bibir lagi. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Dia tahu yang sudah banyak masa yang dihabiskan oleh lelaki itu untuk menyiapkan lukisan tersebut. Kalau lihat pada lukisan separuh siap itu, nampaknya lelaki itu sudah berdiri terpacak di situ sebelum matahari terbit lagi agaknya.
“Awak, saya minta maaf...” Hana bersuara lagi dengan harapan lelaki itu akan berkata sesuatu. Nak maki ke apa ke ikutlah. Namun lelaki itu hanya diam ketika menyimpan kembali berus lukisan dan palet di dalam beg sandang lusuhnya itu.
Hana hanya ternganga apabila melihat lelaki itu berlalu dari situ sambil membimbit kanvas kayunya tanpa berkata sepatah pun.
“Habishlah aku. Mamat ni mesti dendam gila dengan aku...” Hana berkata sendiri sambil berdiri dan menggosok tapak tangan yang berpasir. Tiba-tiba dia berasa takut untuk pulang ke rumah nenek. Mana tahu mamat ni tunggu dekat mana-mana ke kan. Huhu.


BERSAMBUNG...

5 140 tukang karut:

Anonymous said...

ohhh...mcm ni ka story pasal hana boleh jumpa dengan laki tuh ..adakah lelaki tuh hariz?

ashiqin austen said...

Best

nliyate said...

Suka3! Xsangka sosial jgk hana ni.

Anonymous said...

wah..best karya awak..bru jmpa blog ni terus jtuh suka ..hehe..suka gaya penulisan awak..Dia Putera Mahlota besst sgt,, lepas ni boleh la buat cerita 'Seorg playboy yg jatuh cinta pandang pertama pd adik kwn baiknya"
Cerita cinta biasa tp sy yakin hasil penulisan awak pasti laur biasa"

Cahaya said...

anon>>hahahahah!thank youuuuuu untuk idea tu. lepas baca komen awak terus je otak ni berputar-putar jalan cerita hahahahaha. padahal banyak pending cerita dalam folder tu.thanks dear and welcome to the blog. enjoy reading!

Post a Comment