RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Tuesday, February 11, 2014

Bab 2 : Te Amo Mi Amor!


BAB 2
“Macam mana cik? Jumpa mesinnya?”
Irdina Safiya hanya mampu tersenyum tawar ketika dia sampai di kaunter tersebut. dia mula buntu tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Mana nak cari duit ni? Takkan nak tidur tepi jalan pulak? Atau kalau tak ada pilihan sangat pun, boleh ke dia menumpang tidur di masjid? Irdina Safiya seperti mahu mentertawakan diri sendiri. solat lima waktu pun jarang dia lakukan. Nampak sangat bila berada dalam kesusahan, barulah sibuk teringat pada masjid, pada tuhan. Memang menyedihkan.
Irdina Safiya terpandang sesuatu yang menarik di matanya di papan kenyataan yang terletak di hujung sebelah kanan bersebelahan dengan meja kaunter pendaftaran tersebut. laju kaki Irdina Safiya melangkah ke arah papan kenyataan tersebut.
‘Jawatan kosong sebagai housekeeping’
Tarikh : 3 Mac 2013
Masa : 10 pagi - 5 petang.
Tempat : De’Cinta Beach Resort.
Irdina Safiya menjeling jam di tangan. Hari ini 3 Mac dan jam pula menunjukkan ada lima belas minit lagi sebelum tamat waktu temuduga tersebut. Rasanya dia tak ada pilihan lain lagi. Rasanya dia sanggup lagi jadi tukang cuci daripada terpaksa tidur merempat di tepi-tepi jalan. Dia takkan pulang ke Astana Kota walaupun kad kreditnya ditamatkan perkhidmatan dan akaun simpanannya dibekukan. Dia nak tengok sejauh mana ‘pihak musuh’ akan bertindak apabila kedua-dua cara tersebut tidak mampu membuatkan dia kembali ke Astana Kota.
“Errr..awak. Temuduga ni masih berjalan ke?”
Gadis yang sejak dari tadi asyik merenungnya itu terpingga-pingga.
“Errr. Ya. Masih berjalan lagi. Rasanya kejap lagi habislah tu. Kenapa cik? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Bibir Irdina Safiya tersenyum lebar apabila mendengar pertanyaan gadis tersebut. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal!
“Boleh tolong saya dapatkan kerja ni?”
Gadis itu hanya mampu memandang ke arah Irdina Safiya dengan terkebil-kebil.

                                                                        ***

“Awak ni nak kerja ke tak nak? Sijil pun tak bawa. Resume ada? Bagi saya tengok resume awak...”
“Hah? Errr...yang tu pun..errr..” Irdina Safiya semakin mengelabah. Dia yakin yang dia pasti tidak akan diterima bekerja di situ. Kalau dia jadi bos pun dah lama dia tendang keluar orang yang datang temuduga tapi satu apa pun tak bersedia.
Puan Junita menyandarkan tubuh pada kerusi. Mata masih tajam merenung ke arah Irdina Safiya yang kelihatan seperti gelisah itu. Matanya turun naik memandang pakaian yang tersarung di wajah gadis itu. T-shirt ketat lengan pendek beserta skinny jeans.
“Sepanjang dua puluh tahun saya bekerja di sini, belum pernah lagi saya jumpa calon macam awak...”
Irdina Safiya menelan air liur. Habislah aku!
“Err..maksud puan?” Tanya Irdina Safiya teragak-agak walaupun dia sudah tahu apa yang hendak disampaikan oleh wanita itu.
“Maksud saya, belum pernah lagi saya jumpa calon yang macam awak. Datang minta kerja sehelai sepinggang je. Sijil tak bawa. Resume pun tak ada. Pakaian pun tak sesuai. Awak nak minta kerja ke...atau nak buang masa saya?”
Glup! Air liur dah mula terasa pahit dan berpasir.
“Errr. Maafkan saya puan. Biar saya terus terang. Sebenarnya...err..sebenarnya saya memang tak bersedia untuk hadiri temuduga ni. Saya terdesak...dan saya harap puan faham yang saya memang betul-betul perlukan kerja ni.” Irdina Safiya berkata separuh merayu. Muka dah terasa tebal berbelas inci. Seumur hidupnya, belum pernah lagi dia merayu sebegitu namun dia sudah tidak ada pilihan lain lagi.
Puan Junita hanya memandang ke arah Irdina Safiya tanpa berkata sepatah pun. Irdina Safiya mengeluh perlahan. Dia tahu yang dia tak mungkin akan mendapat pekerjaan tersebut.
“Tak apalah puan. Saya tahu yang saya ni hanya membuang masa puan saja. Jadi...saya minta diri dulu. Maaf sekali lagi. Terima kasih sebab sudi meluangkan masa untuk saya.” Irdina Safiya berkata sambil berdiri. Tanpa menunggu jawapan wanita itu, dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Dalam hati sudah mula diserang rasa susah hati. Mana nak tidur malam ni?
“Macam mana cik?” Tanya gadis di meja kaunter tersebut. Irdina Safiya hanya mampu melemparkan senyuman tawar. Beg troli yang diletakkan di tepi meja pendaftaran itu ditarik perlahan. Dalam kepala ligat berfikir ke mana dia harus pergi selepas ini. Perlukah dia kembali ke Astana Kota? Perlukah dia menyerah kalah dan mengikut sahaja kemahuan ‘pihak musuh’ itu? Irdina Safiya mengeluh kasar.
Bunyi deringan telefon di kaunter pendaftaran yang berbunyi itu tidak diendahkan oleh Irdina Safiya. Kaki tetap terus melangkah keluar dari resort tersebut. Dalam kepala ligat berfikir lagi ke mana arah yang patut dia tuju. Nak telefon Naaz, telefon pun habis bateri. Hai malang sungguh nasib diri ini.
“Cik Irdina!”
Spontan Irdina Safiya menoleh.
Gadis kaunter itu berlari-lari anak ke arahnya. Irdina Safiya menunggu sehingga gadis itu sampai kepadanya.
“Ada apa?” Tanya Irdina Safiya ketika gadis itu sudah berdiri di hadapannya.
“Puan Junita panggil...”
Irdina Safiya terdiam buat seketika. Dalam kepala dah berfikir macam-macam perkara. Mungkinkah...

                                                                      ***
“Mulai dari hari ini awak akan bekerja sebagai housekeeping. Kerja awak ialah mencuci dan membersihkan bilik-bilik yang ada di resort ini. Selain itu jika diperlukan, awak juga akan bertugas di meja pendaftaran dan juga di dapur. Maknanya, walaupun awak kerja sebagai housekeeping, tapi semua kerja awak kena buat juga. Kalau ada kawan-kawan yang tak cukup kakitangan dan perlukan bantuan, bantulah. Kita di sini dah macam keluarga. Saling bantu-membantu, faham?”
Irdina Safiya hanya mengangguk. Dia sebetulnya masih tidak percaya lagi yang dia telah diterima bekerja di situ pada saat-saat akhir. Dalam hati terbit rasa kagun sendiri dengan kebolehannya. Walaupun datang interview pakai terjah sehelai sepinggang je, terus dapat kerja. Barangkali betul kata papa, muka dia ni muka pembawa rezeki. Buat apa je mesti menjadi.
“Irdina? Dengar tak saya cakap ni?”
Irdina Safiya yang sedang mengelamun itu tersentak. Cepat-cepat kepala diangguk tanda faham walaupun dia tak dengar pun butir bicara Puan Junita sebentar tadi. Puan junita mengeleng perlahan. Dia sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan dia mengambil gadis di hadapannya ini bekerja. Jika dilihat dari penampilan gadis itu, nampak macam bukan orang susah pun. Tapi entahlah. Semacam ada rahsia yang disembunyikan oleh gadis itu.
“Kalau macam tu, mari ikut saya. Saya bawa awak jumpa dengan Mar.”
Irdina Safiya hanya mengangguk sebelum turut bangun dan mengekori wanita itu keluar dari biliknya. Ketika berjalan, sempat Puan Junita menerangkan serba sedikit tentang selok belok tempat tersebut. Barulah dia tahu yang dia sekarang berada di Gebeng. Heee nama macam kelakar je. Gebeng? Tak pernah dia tahu sepanjang dua puluh enam dia duduk di bumi Malaysia ni, ada tempat nama Gebeng. Macam pelik pun ada.
“Mila. Ada nampak Mar?” Tanya Puan Junita pada gadis yang duduk di kaunter itu.
“Kak Mar? Entahlah. Tengah hari tadi rasanya kak Mar kata nak ke kolam. Nak bersihkan kolam katanya.”
“Kalau macam tu saya ke sana teruslah. Dan sebelum tu, kenalkan...ni Mila. Tugas dia sebagai front office assistant. Mila, ni Irdina. Pekerja baru kita. Saya rasa awak berdua pun dah saling mengenali, kan?”
Mila hanya tersenyum sebelum menghulurkan tangan. Irdina Safiya turut sama menghulurkan tangan. Senyum terukir di bibir masing-masing.
“Mila...”
“Dina...”
“Kita ke kolam dulu. Jumpa Mar. Lepas nanti Mar akan bawa awak pusing-pusing satu kawasan ni dan tunjuk tempat tidur awak...”
Irdina Safiya hanya mendiamkan diri ketika mereka sama-sama melangkah keluar dari resort untuk ke bahagian kolam renang yang terletak di bahagian tepi resort tersebut. Walaupun resort itu kelihatan kecil sahaja namun apa yang mengagumkan Irdina Safiya, dekorasi tempat itu sangat cantik dan sesuai dengan persektiran dan saiznya. Tak nampak pun crowded.
“Eh, Puan Junita! Ada apa puan sampai ke sini puan datang? Ada apa-apa yang puan nak saya tolong ke?” Tanya Mar.
“Ni ha. Saya kenalkan pekerja baru kita. Irdina namanya. Dia akan ganti tempat Linda nanti.”
“Apa khabar kak Mar...” Irdina Safiya mneghulurkan tangan ingin bersalam.
“Ehh. Maaflah tangan akak kotor ni. Akak tengah cuci dinding kolam tu. Dah lama sangat tak cuci dah berlumut...”
“Tak apa...” Irdina Safiya berkata sambil tersenyum.
“Saya masuk dulu. Nanti awak tolong tunjuk sekitar tempat ni. Lepas tu nanti cerita sikit apa yang dia kena buat. Tadi saya ada briefing secara ringkas je. Yang lain saya serahkan pada awak, boleh?”
“Boleh puan. Tak ada masalah...”
Puan Junita menoleh ke arah Irdina Safiya yang sedang memandang sekeliling itu.
“Irdina, nanti kerja elok-elok. Mar ni dah macam senior awak semua di sini. Dia pekerja paling lama di sini jadi kalau ada apa-apa yang awak tak faham nanti, terus tanya pada Mar, ya?”
“Baik puan...”
“Kalau macam tu, saya masuk dulu...”
Irdina Safiya dan Kak Mar hanya memandang ke arah Puan Junita yang kembali berjalan masuk ke dalam resort tersebut.
“Jadi..akak nak panggil apa ni? Irdina?”
“Panggil Dina je kak...” jawab Irdina Safiya sambil tersenyum.
“Hmm.Dina umur berapa? Orang mana?”
“Saya umur 26. Saya orang KL.”
“KL? Jauhnya datang sini cari kerja. Dekat KL tak ada kerja kosong ke?”
Irdina Safiya terdiam. Alamak! Terlepas cakap pulak. Kenapalah dia tak cakap dia asal sini je kan senang? Ish!
“Err..saja nak merantau. Nak cuba nasib dekat tempat orang pula.” Irdina Safiya menjawab agak tergagap. Kak Mar memandang ke arah tepat ke wajah Rdina Safiya. Tergambar riak curiga di wajah wanita itu.
“Yeke? bagsulah tu. Lagi pun orang kata luas perjalanan luas pandangan, betul tak?”
“Err..betul tu...” Irdina Safiya menjawab agak lega. Risau pula kalau-kalau kak Mar banyak tanya itu ini. Mahu pecah rahsianya nanti.
“Dina duduklah dulu. Kak Mar nak siapkan dulu basuh kolam ni. Lepas tu nanti akak bawa Dina pusing-pusing tempat ni.”
“Eh., tak apalah kak Mar. Saya tolonglah. Lagi cepat siap nanti..”
“Betul nak tolong?”
Laju Irdina Safiya mengangguk. Walaupun sebetulnya dia tak pernah buat kerja-kerja macam tu dan agak geli dengan lumut-lumut yang bertampok sana sini di dalam kolam itu, tapi dia tak ada pilihan lain. Lagi pun lepas ni dia kena juga buat kerja-kerja macam tu. Jadi kenapa tak mula sekarang je kan?
“Kalau macam tu, Dina ambil berus panjang tu. Tolong gosok-gosok lantai kolam tu. Biar tertanggal sikit lumut-lumut dekat celah-celah lantai tu. Lepas tu jirus dengan air. Hati-hati jangan sampai jatuh pula. Lantai tu licin sikit.”
Irdina Safiya mengangguk sebelum mencapai berus panjang yang terletak di dalam baldi di tepi kolam itu. Dia sedaya upaya mengawal riak muka gelinya ketika dia menyingsing seluar sehingga ke lutut lalu turun ke dalam kolam yang telah kering itu. Dengan hati-hati, dia memijak lantai kolam itu sebelum berjalan ke tengah kolam. Mata sesekali menjeling ke arah kak Mar yang begitu asyik menyental dinding kolam itu dengan berus tangan. Dengan rasa yang hampir mual, Irdina Safiya mula mengosok lantai kolam itu perlahan-lahan. Dalam kepala dah terbayang yang pasti mama akan mati terkejut apabila melihat keadaannya sekarang. Huhu.
Setelah hampir dua jam mereka membersihkan kolam yang tak berapa besar itu, akhirnya kolam itu telah siap dibersihkan dan kini mereka sedang menunggu kolam tersebut kembali penuh dengan air. Irdina Safiya mengelap peluh yang menitik di dahi ketika dia dan kak Mar sedang duduk di atas tangga gazebo kayu yang terletak di hadapan kolam tersebut. Mereka menghabiskan masa sambil berbual tentang macam-macam perkara.
“Ibu dan ayah Dina tahu ke Dina ke sini?”
Irdina Safiya yang sedang mengipas tubuh dengan tangan, tiba-tiba terhenti seketika. Dada dah mula rasa berdebar. Wajah sedaya upaya ditahan supaya tidak bertukar riak. Bimbang Kak Mar perasan akan perubahan wajahnya itu dan mula mengesyaki sesuatu yang cuba dia sembunyikan.
“Err..tahu. Mereka yang suruh saya cari kerja dekat tempat lain. Errr..sebab..mereka kata..err..dekat KL tu susah nak cari kerja. Maklumlah...err..saya belajar tak tinggi mana..”
“Yeke? Dina belajar sampai mana? SPM?”
Irdina Safiya mengangguk tanpa teragak-agak. Rasanya tak perlu kot dia nak mencanang sana sini taraf pendidikan dia. Rasanya, bukan setakat kak Mar akan terkejut, silap-silap hari bulan Puan Junita pun boleh pengsan huhu.
“Tapi eloklah tu. Sekurang-kurangnya Dina tak duduk saja. Kita ni Dina, tak boleh duduk saja. Kena cari jugak kerja lain. Takkan nak duduk rumah minta mak ayah tanggung lagi makan minum kita. Buatlah kerja apa pun asalkan halal. Tak glamour pun tak apa asal tak menyusahkan orang.”
Irdina Safiya hanya tersenyum kelat. Rasanya apa yang kak Mar tu kena tepat atas muka dia. Dulu pun dia jenis duduk rumah je mengharapkan duit mama dan papa bagi.
“Dina ada berapa orang adik beradik?” Tanya Kak Mar lagi.
“Err..saya anak tunggal kak. Tak ada adik beradik yang lain..”
“Yeke? bagi pula mak ayah Dina ye lepaskan Dina sorang-sorang kat sini. Selalu tu kalau anak sorang ni mak ayah susah sikit nak lepaskan pergi mana-mana.”
Irdina Safiya hanya tersenyum. Mahu mama dan papa nak lepaskan dia macam tu je? Ni pun kalau tak disebabkan ‘kes’ hari tu, memang tak jejaklah dia tempat ni.
“Entahlah kak. Mungkin mak dan ayah nak saya lebih berdikari. Cari pengalaman hidup sendiri. Eh, akak umur berapa ya? Dah kawin ke?” Tanya Irdina Safiya cuba mengalih topik. Rasanya cukuplah sampai setakat itu sahaja dirinya menjadi topik perbualan. Bimbang dia terlepas cakap.
“Akak umur 35. Dah kahwin dah. Kenapa? Nampak akak macam belum kawin ke?” Tanya Kak Mar sambil tergelak kecil. Irdina Safiya hanya tersenyum. Kalau diikutkan, gaya Kak Mar ni tak macam umur pertengahan 30-an pun. Nampak macam umur lewat 40-an. Cuma tak tergamak nak cakap je. Bimbang kak Mar berkecil hati. Mungkin faktor kerja yang membuatkan kak Mar nampak lebih berusia.
“Oh yeke? akak ada anak ke?”
“Ada sorang. Akak dulu kawin lewat. Umur 30 baru kahwin. Apa nak buat. Jodoh lambat. Sekarang ni anak akak umur empat tahun.”
“Ohh..yeke? Kalau akak kerja macam ni, anak akak duduk dengan siapa?” Tanya Irdina Safiya semakin berminat hendak tahu.
“Kalau pagi, akak hantar pergi tadika. Bila balik tadika, pak mertua akak yang ambil.”
“Ohhh. Kiranya akak duduk dengan keluarga mertua ke?” Tanya Irdina Safiya lagi.
“A’ah. Lagi pun akak dengan suami akak tu duduk satu tempat je. Jadi suami akak kata baik pindah duduk dengan mak ayah dia. Jimat sikit belanja katanya. Zaman sekarang ni semua benda pakai duit. Nak bayar yuran sekolah anak lagi. Dengan harga barang naik lagi. Jadi mana yang boleh jimat tu, kita jimatlah.”
Irdina Safiya hanya mendiamkan diri. Dia sebetulnya tak faham kenapa orang sibuk-sibuk dengan harga barang yang naik. Bagi dia biasalah tu. Yang penting, kehidupan dia tak terjejas pun. Lagi bagi kebaikan pada dia adalah. Yelah. Bila barang naik, elaun tiap bulan yang mama dan papa bagi tu pun naik jugak. Kalau dulu mama dan papa akan masukkan dalam akaun sekitar empat ribu sebulan, tapi sejak kebelakangan ini mama dan papa masukkan sampai lapan ribu sebulan lepas dia merengek kata harga barang dah naik. Mana cukup nak beli hangbeg, baju, kasut semua tu, ye tak?
“Eh, dah pukul berapa sekarang? Macam dah lewat ni. Jom akak bawa Dina pusing tempat ni dulu. Lepas tu nanti akka bawa Dina masuk dorm terus.”
“Okey...” Irdina Safiya berkata sebelum bangun dan mengibas belakang seluarnya.
“Resort ni ada lebih kurang dalam lima puluh buah bilik. Dua puluh buah bilik mengadap laut manakala selebihnya mengadap jalan dan juga hutan belakang tu. Bilik yang mengadap laut tu mahal sikitlah dalam seratus lebih semalam. Yang lain harga dalam enam puluh hingga lapan puluh semalam. Lepas tu kalau bilik untuk keluarga pun harga dia lain pulak. Nanti Dina boleh tanya pada Mila. Dia lebih arif pasal harga bilik-bilik ni.”
“Banyak jugak ye bilik-bilik dekat sini. Nampak je kecil resort ni.” Kata Irdina Safiya ketika mereka melewati bangunan yang menempatkan bilik yang mengadap laut itu.
“Tulah. Kita ni kalau nak nilai sesuatu, jangan tengok pada luaran je. Kita kena selami dengan lebih mendalam lagi. Kadang kala apa yang kita lihat dengan mata kasar tu, tak mengambarkan langsung apa yang tersirat.”
Sekali lagi Irdina Safiya terasa seperti kena smash di muka. Dia pun dulu suka menilai orang dari luaran je. Tengok kereta apa yang dipandu, pakaian apa yang dipakai, jenama handbag apa yang tersangkut dibahu. Huhu.
“Yang ni dewan besar atau kita panggil MPH. Multipurpose Hall. Selalunya dewan ni kita guna kalau ada acara rasmi ke, majlis sambutan hari raya ke. Kadang kala ada pihak luar sewa untuk buat majlis apa-apa.”
“Ohhhh..”
“Jom kita tengok dapur pulak...”
Irdina Safiya hanya mengekori langkah kaki Kak Mar ketika mereka sama-sama menuju ke dapur. Dari jauh dah dengar suara hiruk-pikuk yang datangnya dari dapur.
“Wei! Sapa punya kerja dok cilok aku punya timun ni hah?!” Telinga Irdina Safiya menngkap kata-kata jeritan entah milik siapa ketika mereka tiba di pintu masuk dapur itu.
“Ya Allah! Apa semua ni? Dari luar Kak Mar dah dengar suara korang semua ni. Silap-silap hari bulan boleh terbalik dapur ni korang kerjakan, tahu?” Kak Mar berkata sambil bercekak pinggang.
“Ala kak Mar. Relakslah. Kitorang gurau je. Hidup ni kalau asyik serius je, boleh stress tau.” Jawab salah seorang gadis muda yang berada di dalam dapur tersebut.
“Pandailah kamu tu. Kalau bagi alasan tu memang banyak je akalnya...” Kak Mar tak habis membebel lagi.
“Er kak Mar, siapa tu? pekerja baru ke?”
“Ha. Ni lah akak nak kenalkan. Nama dia Dina. Pekerja baru yang akan ganti Linda tu.”
“Hai Dina...saya Maya...” Gadis yang mula-mula menjawab tadi bersuara memperkenalkan diri.
“Joji...”
“Zubir...”
“Zizy...”
“Hai Dina. Saya Sham, ketua tukang masak dekat resort ni...”
“Kau Sham. Pantang nampak perempuan cun. Terus naik ulat bulu kan...” Joji menegur sambil menjeling.
“Lah, apa pulak. Aku cuma beramah-tamah je. Itu pun salah ke?” Jawab Sham, lelaki berkulit hitam manis dan tinggi lampai itu. Joji hanya memutarkan bebola matanya ke atas.
“Dina, awak jangan layan sangat si Sham ni. Dia ni memang miang keladi sikit. Kalau ada pekerja baru masuk tu dia jadi mengelenyar. Tak senang duduk kalau tak mengatal.”
“Wei! Overlah tu! Dina, awak jangan percaya cakap si Joji tu. Dia sebenarnya cemburu sebab saya tahu, dalam diam-diam dia sebenarnya syok dekat saya. Saya je malas nak layan.” Selamba Shah menjawab.
“Weiii! Mulut!” Joji melemparkan kain buruk ke arah lelaki itu namun sempat dielak oleh Sham.
“Sudah! Korang ni macam anjing dengan kucing. Asyik bergaduh je. Nanti akak kahwinkan korang berdua baru tahu.” Kak Mar yang sedari tadi hanya memerhatikan mereka berdua itu mula bersuara.
“Hah? Kawin dengan minah ni? Tolonglah. Lainlah kalau kak Mar nak kahwinkan saya dengan Dina. Yang tu saya setuju sangat...”
Irdina Safiya hanya mampu tersenyum. Senget jugak perangai bebudak ni.
Joji membuat muka meluat.
“Kak Mar, daripada Kak Mar nak kahwinkan saya dengan mamat senget kuat perasan ni, baik akak kahwinkan saya dengan Dollah Salleh tu. Lagi bagus...”
“Dollah Salleh? Dollah Salleh si budak terencat akal tu ke yang kau nak kahwin?” Tanya Sham lagi.
“Astafirullah hala’zim.” Apa nak jadilah dengan korang semua ni. Dah-dah. Pergi buat kerja sekarang. Kemas apa yang patut. Kang kalau tahu dek Puan Junita baru padan dengan muka korang...”
“Baik Kak Mar....”
“Okey Kak Mar....”
Kak Mar hanya mengelengkan kepala ketika melihat telatah anak-anak buahnya yang masih lagi bergurau dan bergaduh itu.
“Hai, macam nilah Dina. Diorang ni nama je dah besar panjang, tapi perangai macam budak-budak. Tapi kak Mar tahu yang diorang tu semuanya bergurau. Nak menceriakan suasanalah bak kata diorang tu. Jadi Dina pandai-pandailah bawa diri ye. Sesuaikan diri dengan diorang. Si Sham tu nampak je suka mengusik. Tapi dia baik hati. Suka tolong orang. Si Joji tu pun sama. Begitu juga dengan yang lain-lain. Kita ni ibarat macam keluargalah.”
“Kak Mar jangan risau. InsyaAllah Dina akan cuba sesuaikan diri.”
“Baguslah macam tu. Jom Kak Mar bawa dina pergi masuk Dorm. Hari ni Dina rehat-rehat je dulu. Esok baru mula kerja.”
“Terima kasih kak Mar...”
 P/S: TO BE CONTINUED.

6 140 tukang karut:

nurul nuqman said...

best..... nak n3 lagi :)

Nliyate said...

Best sgt !

Anonymous said...

Best la.. :-D

nadia najwa said...

Bestttttttt...nk lgi...

baby mio said...

best.

ashiqin austen said...

Best..

Post a Comment