RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Sunday, November 10, 2013

Part yang terpaksa dikeluarkan dari novel MSA



“Ada lagi barang nak simpan?”
“Tak ada. Ni yang terakhir...” Ariana menjawab sambil memerhatikan Dean yang tertunduk-tunduk ketika menyimpan beg-begnya di tempat simpanan barang bas tersebut.
“Jom...”
Ariana hanya mengekori Dean yang sudah berjalan menuju ke pintu bas sebelum lelaki itu menghilang di dalam perut bas. Ariana turut menaiki bas tersebut. Suara berbual dan gelak ketawa dengan slang Aussie yang pekat menyapa telinga Ariana. Ariana memandang sekeliling. Rata-rata tempat duduk di dalam bas milik universiti yang akan membawa mereka ke Brisbane itu sudah agak penuh. Trip empat hari tiga malam itu merupakan aktiviti tahunan yang agak dibuat oleh pihak universiti khas untuk pelajar PhD dan memandangkan ini merupakan tahun terakhir dia berada di situ, Dean mengajak dia menyertai aktiviti tersebut. Lagi pun sejak berada di sini selama empat tahun, belum pernah sekali pun dia menjejakkan kaki ke Brisbane itu.
“Ariana....sini...”
Ariana memandang ke arah Dean yang melambai tangan ke arahnya itu. Kaki diatur menuju ke arah Dean yang telah mengambil tempat di bahagian tengah bas tersebut. Dean telah menyimpan tempat duduk untuk dia di tepi tingkap. Dean tahu agaknya yang dia suka duduk tepi tingkap kalau berjalan jauh sebab takut pening kepala. Duduk tepi tingkap boleh sandar-sandar kepala sambil cuci mata.
“Thanks...” Ariana berkata ketika membetul-betulkan kedudukan kerusi yang didudukinya. Mujurlah kerusi agak besar saiznya berbanding di Malaysia. Mungkin sebab saiz badan mat saleh ni besar agaknya.
“Dean...”
Dean di sebelah menoleh ke belakang apabila disapa oleh Mark, rakan sekuliah Dean yang turun menyertai trip tersebut. Ariana tidak ambil pusing akan perbualan dua orang sahabat itu. Salah satu sebabnya ialah, dia tak faham apa yang mereka bualkan sebab mereka menggunakan slang Aussie yang pekat. Dari sakit kepala nak faham bahasa yang mereka gunakan, lebih baik dia layan lagu dari MP3nya.
Ariana menjeling sekilas ke arah Dean di sebelah apabila lelaki itu ketawa kecil. Entah sembang apalah yang lawak sangat tu. Ariana mengomel di dalam hati. Novel Melayu yang dibawa dari Malaysia itu dibuka dan dia tenggelam dalam dunianya sendiri sambil telinga berdentum dengan lagu Sorry Seem To Be The Hardest Word versi piano yang dimainkan oleh Dean menggunakan piano. Banyak juga lagu yang Dean mainkan dan direkodnya atas permintaan dia. Mana nak dapat kat tempat lain. Live version lagi.
Bacaan Ariana terganggu apabila Madam Ann yang menjadi pemandu pelancong pada hari itu mula bercakap di hadapan dengan menggunakan mikrofon. Madan Ann mula memberikan taklimat dan maklumat berkaitan dengan trip hari itu. Mengikut kata Madan Ann, mereka akan melawat tempat-tempat menarik di Brisbane sepanjang empat hari ini dan jika sempat, mereka akan singgah di Gold Coast dalam perjalanan pulang.
Perjalanan dari Sydney ke Brisbane mengambil masa lebih kurang dalam sepuluh jam dengan bas. Masa mula-mula dengar tu rasa macam nak pengsan pun ada. Tak pernah lagi dia melalui perjalanan selama itu hanya dengan menaiki bas. Dia pernah juga bertanya pada Dean kenapa tak naik kapal terbang je. Dean jawab tak seronok kalau naik kapal terbang. Kalau naik kereta atau bas boleh tengok pemandangan di sepanjang perjalanan. Tambahan pula di sepanjang perjalanan mereka ke Brisbane nanti, mereka akan melalui pesisir pantai. Dean kan sukakan pantai. Jadi Dean tak kisah kalau duduk dalam bas tu sepuluh jam pun. Tapi masalahnya, boleh ke dia nak duduk lama-lama dalam bas tu? Mahu patah pinggang duduk lama-lama. Tapi sebab Dean pandai memujuk, akhirnya dia bersetuju juga. Tak apalah. Bukan selalu pun. Dia pula memujuk diri sendiri.
Perjalanan dari Sydney ke Brisbane melalui jalan darat bermula apabila bas menuju ke utara dari George Street menuju ke Angle PI. Ariana agak tertarik ketika melihat bangunan-bangunan di bandar tersebut. Seni bina bangunan tersebut masih mengekalkan seni bina bangunan lama dan agak rapat-rapat diantara satu sama lain. Jalan rayanya juga tidaklah sebesar mana. Hanya satu lorong sahaja dan bangunannya betul-betul terletak di bahu jalan. Berada di bandar ini seperti berada di Melaka pula. Tak berkelit mata Ariana ketika melihat keindahan bangunan yang tinggi mencakar langit melalui tingkap bas tersebut.
“Cantiknya...” Ariana berkata perlahan.
Don’t get too excited. Banyak lagi tempat nak tengok...” Dean di sebelah bersuara. Ariana menoleh ke arah Dean yang tunduk membaca buku yang dibawa. Ariana memuncungkan bibir. Agaknya Dean risau dia pening kepala sebab terlalu teruja agaknya. Ariana menoleh kembali ke arah tingkap, cuba menghayati keindahan yang terbentang di luar sana tanpa kelihatan terlalu teruja lagi.
Perjalanan diteruskan menuju ke Bradfield Highway untuk ke Metroad 1. Dari Metroad 1, mereka akan masuk ke Metroad 2 dan masuk ke jalan bertol menuju ke Epping Road. Dari Epping Road, mereka akan keluar menuju ke North Ryde. Dari North Ryde pula, mereka akan masuk ke Metroad 3 dan akhirnya ke Pasific Highway. Dari Pasific Highway pula, mereka akan masuk ke National Route 1 dan diteruskan sehingga masuk ke laluan menuju ke Pacific Motorway. Dari Pacific Motorway pula, mereka ambil susur keluar untuk ke Elizabeth Street sebelum sampai ke Brisbane.
“Ariana. Bangun... kita dah sampai...”
Ariana segera membuka mata apabila terdengar suara Dean di sebelahnya. Disangkanya dia berada di bilik rumah flatnya. Mahu tak terkejut tiba-tiba Dean boleh ada di dalam biliknya. Terkebil-kebil Ariana memandang wajah Dean. Dia turut memandang sekeliling apabila telinga mula menangkap bunyi bising suara-suara orang berbual dengan keadaan separuh mamai.
“Kita kat mana ni?” Ariana bertanya sambil menahan kuap. Mengantuk. Jam di tangan dijeling. Dah hampir subuh rupanya.
“Welcome to Brisbane...”
“Hah? Brisbane? Dah sampai ke?” Ariana segera menyelak langsir tingkap untuk melihat pemandangan di luar. Wahh, betullah dah sampai Brisbane. Rasa macam tak percaya. Sepuluh jam perjalanan macam tak terasa pun. Memanglah tak terasa dah kalau sepanjang perjalanan buat tahi mata je. Ariana berkata sendiri.
“Jom turun dulu...” Dean dah mula bangun. Ariana yang masih mamai itu cuba membuka mata besar-besar sambil cuba menahan kuap yang masih bermaharaja lela lagi. Digagahkan juga kaki melangkah mengekori Dean walaupun jalan pun dah terhuyung hayang dek kerana masih mamai lagi.
Ariana menarik nafas dalam-dalam sambil mengeliat ketika kaki telah memijak tanah Brisbane. Mata memandang sekeliling. Bangunan Bank of New North Wales yang tersergam indah di hadapan tempat mereka berhenti itu mengamit pandangan mata Ariana. Angin yang bertiup pada pagi yang nyaman itu membuatkan tubuh Ariana berasa sejuk. Spontan dia memeluk tubuh.
“Nah....”
Ariana mengalihkan pandangan dari bangunan tersebut ke arah Dean yang telah berdiri di sebelah sambil menghulurkan beg packnya itu.
“Thanks...” Ariana mengambil beg tersebut sebelum disangkutkan ke bahu.
“Jom....”
“Nak ke mana?” Ariana bertanya ketika Dean dah mula nak melangkah. Dia memandang ke arah ahli rombongan yang lain. Masing-masing masih sibuk berbual sesama sendiri dan tiada tanda-tanda nak bergerak ke mana-mana.
“Subuh....” Dean menjawab sebelum kembali melangkah.
“Ohhh...” Hanya itu sahaja yang keluar dari bibir Ariana. Rasa malu juga kerana terlupa tentang kewajipan yang satu tu. Dia mula melangkah mengekori Dean yang entah mahu ke mana. Kalau ikutkan, rasa-rasanya tak ada masjid atau surau dekat area situ. Kening Ariana terangkat ketika Dean telah berdiri menunggunya di bawah pokok berdekatan dengan kawasan lapang bersebelahan dengan Brisbane Square Library.
“Kita nak buat apa kat sini? Kata nak subuh. Tak nampak pun masjidnya..”
“Cik Ariana. Ini bukan Malaysia yang senang-senang nak cari masjid. Sini Brisbane..”
“So?” Ariana masih lagi tidak dapat menangkap apa yang mahu disampaikan oleh Dean itu.
“Sini kalau nak cari church memang banyak, tapi masjid susah nak cari. Masjid paling dekat pun 19 km dari sini.” Dean menjawab. Beg yang tersangkut dibahu, dijatuhkan ke tanah.
“Dah tu, kenapa kita berhenti sini?”
“Kita solat sini...”
“Hah? Sini?” Ariana bertanya agak terkejut. Dia memandang sekeliling. Macam mana nak solat kalau tempat open macam ni? Tak pasal-pasal kena baling batu dengan orang pula.
“Pergi masuk library tu. Cari tandas dan ambil wudhu’. Lepas tu kita solat sama-sama..” Dean berkata sebelum melangkah. Ariana masih terpingga-pingga di disitu. Seumur hidup tak pernah lagi dia nak solat dekat tempat open macam ni. Walaupun dah empat tahun dia duduk di bumi asing ini, belum pernah lagi dia bersoalat dekat tempat-tempat macam ni. Kalau di universiti pun, dia akan solat dekat tepi-tepi dinding yang tersorok dari laluan orang. Tak pun kalau dia pergi travel dengan kawan-kawan perempuan masa zaman masters dulu pun mereka akan cari juga masjid atau surau. Paling koman pun mereka akan solat dekat tepi tandas.
“Cepatlah. Subuh dah nak habis...” Dean menoleh apabila dirasakan yang Ariana masih tak bergerak-gerak sejak dari tadi lagi. Mahu tak mahu terpaksa juga dia melangkah mencari tandas. Dalam kepala dah ligat membayangkan yang dia akan bersolat di tempat terbuka macam tu. Ah, Dean mungkin dah biasa buat. Sebab tu dia nampak macam pakai aci redah je. Ariana menarik nafas panjang sebelum masuk ke tandas perpustakaan itu. Nasib baiklah tandas berada di bahagian luar bangunan. Kalau kena masuk dalam sorang-sorang macam ni memang dia takkan masuklah. Takut.
Ariana menanggalkan selendang di kepala. Rambut sepanjang pinggang diuraikan seketika. Hampir sepuluh jam rambutnya berbungkus. Dia membasahkan leher dan membasuh muka. Berus dan ubat gigi yang memang dibawa di dalam beg tangannya itu dikeluarkan. Setelah selesai mengosok gigi dan memcuci muka, dia mengambil wudhu’ dan memakai semula selendang di kepala. Setelah memastikan semuanya telah lengkap, Ariana berjalan keluar dari tandas dan berjalan menuju ke arah tempat dia dan Dean meletakkan barang tadi. Kelihatan Dean telah siap sedia menunggunya. Ariana segera melajukan langkah menuju ke arah Dean. Beg galas ditarik mendekatinya sebelum zip dibuka. Sehelai tuala kecil ditarik keluar lalu dibentangkan di belakang Dean buat alas untuk sujud nanti. Dean dah mula melaungkan azan membuatkan Ariana terkedu sekejap. Pertama kali dengar Dean melaungkan azan. Walaupun suara tak berapa nak kuat, namun nada suara Dean ketika itu sungguh mendayu-dayu sehingga membuatkan hati Ariana tersentuh. Kalau di Sydney, memang jarang nak dengar laungan azan macam tu. Selalu dia dengar azan pun dekat komputer riba yang memang sengaja di install. Senang nak tahu waktu solat.
Ariana menukar stokin bersih dan membetul-betulkan kedudukan selendangnya. Baju lengan panjang ditarik sedikit menutupi pergelangan tangannya sebelum dia berdiri di belakang Dean yang menjadi imam ketika itu. Ariana menoleh ke kiri dan ke kanan. Agak bimbang juga namun dia cuba meyakinkan diri yang tiada benda buruk yang bakal terjadi. Lagi pun dia nak buat benda baik. Nak solat subuh. Allah mesti tolong punya. Itu yang Ariana kata pada diri. Dean sudah mula bersolat. Ariana turut menangkat takbir. Suara Dean yang mendayu-dayu ketika mengalunkan bacaan Al-Fatihah itu membuatkan hati Ariana tersentuh seketika. Bacaan Dean walaupun tidak sama seperti bacaan imam di Malaysia dek kerana slang Aussie yang pekat itu masih mampu membuatkan hati Ariana tenang dan selamat. Rasanya ini kali pertama dia bersolat berimamkan Dean dan dia tak sangka Dean boleh mengalunakan bacaan al-quran dengan sebegitu indah. Di keheningan pagi yang sunyi itu, air mata Ariana menitis dan kali ini bukan disebabkan terkenangan kisah lampau. Timbul keinsafan dihatinya kerana selama ini dia hanya mengalirkan air mata apabila dia terkenangan tentang hal itu. Rasanya tidak pernah walau sekali pun dia menangis ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran sebelum ini. Tapi di sini, ketika ini. Di bumi asing ini. Dia mengalirkan air mata buat pertama kalinya apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran yang dialunkan oleh Dean. Orang asing yang muncul dalam hidupnya kini.

                                                                                   ***

ARIANA mengurut leher yang terasa lenguh. Mana tak lenguh kalau sejak dari tadi asyik dongak ke atas je. Jakun kejap bila masuk ke dalam Queensland University of Technology Library di Gardens Point. Kalau nak diikutkan Queensland University of Technology Library ni tak adalah besar mana pun. Dua tingkat je. Tapi hiasan dalaman perpustakaan itu yang menarik perhatian sebenarnya. Queensland University of Technology Library ni pula bukan satu-satunya ada di Gardens Point. Dekat Caboolture dan Kelvin Grove pun ada. Setiap perpustakaan ini masing-masing menyediakan sumber dan perkhidmatan untuk menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan kepada pelajar dan kakitangan kampus atau fakulti mereka. Kalau tengok reka bentuk Queensland University of Technology Library di Gardens Point ni sekali imbas macam bangunan Kolej Melayu atau MCKK yang terletak di Kuala Kangsar pun ada.
“Here...”
Ariana memandang botol air mineral yang terhulur dihadapannya. Dia mendongak seketika sebelum botol tersebut diambil.
“Thanks...”
Dean duduk di sebelahnya. Botol air mineral ditangan lelaki itu dibuka sebelum diteguk. Ariana turut membuka botol air mineral yang diberikan oleh Dean dan diteguk perlahan. Syurga betul bila tekak yang kering disirami air mineral macam tu. Setelah meneguk hampir separuh botol, Ariana menutup kembali botol tersebut lalu diletakkan di dalam beg tangannya. Kamera di tangan kembali dibelek. Gambar-gambar yang telah ditangkap sejak tiga hari lalu dilihat kembali. Hari ini merupakan hari terakhir mereka berada di sini. Badan pun dah ada potensi macam nak dapat sakit-sakit belakang. Sendi tu jangan cakaplah. Rasa macam berkeriuk je bila berjalan. Mana tak rasa macam nak tercabut tapak kaki bila sejak hari pertama mereka sampai Brisbane ni kerja berjalan je tak ingat dunia. Masa hari pertama tu mereka melawat Queensland’s Parliament House. Merasalah dia nak masuk bangunan parlimen. Kalau kat Malaysia entah bila dia dapat jejak masuk bangunan parlimen dekat Kuala Lumpur tu. Lepas melawat Queensland’s Parliament House, mereka terus ke The Pancake Manor yang terletak di 18 Charlotte Street. Masa dekat The Pancake Manor tu dia tak adalah nak makan beriya sangat sebab meragui ke status halalnya. Bila tanya Dean, dia pun tak pasti. Akhirnya mereka hanya makan roti je.
Masuk hari kedua, mereka melawat pula Brisbane City Hall yang terletak di 70 Station Road. Apa yang menariknya di Brisbane City Hall ni ialah bangunan ini telah direka mengikut Renaissance Itali gaya, simetri dan formal.  Mengikut sejarah, bangunan ini telah dibuka secara rasmi pada 8 April 1930 dan terdapat jam besar disetiap permukaan menaranya. Empat muka jam pada setiap sisi menara adalah yang terbesar di Australia dan bunyi jam tersebut boleh didengar dari Queen St Mall. Selepas puas melawat Brisbane City Hall, mereka terus ke King George Square yang terletak di Ann Street. Bila dah puas tangkap gambar dan melawat apa-apa yang patut, mereka terus pulang ke hotel tempat mereka menginap iaitu Rendezvous Hotel Brisbane Anzac Square.
Pada hari ketiga pula mereka melawat Post Office Square yang terletak di Queen Street dan seterusnya ke Brisbane City Botanic Gardens yang terletak di Alice Street. Masa dekat Brisbane City Botanic Gardens ni barulah rasa macam agak bersemangat walapun badan rasa macam nak tercabut segala urat. Sebabnya dekat Brisbane City Botanic Gardens tu ada tasik yang cantik-cantik. Dekat situ hampir tiga jam mereka melepak sambil berkelah. Kalau ahli rombongan yang lain sibuk beraksi ‘mesra’ bersama pasangan masing-masing, dia dengan Dean pula hanya berjalan-jalan di sekitar taman tasik tersebut sambil tangkap gambar. Berada di Brisbane City Botanic Gardens tu mengingatkan dia pada Taman Tasik Titiwangsa yang selalu dia lepak dulu kalau dekat Malaysia. Masa tu memang mulut tak reti nak diam. Asyik bercerita dengan Dean yang dekat Malaysia pun ada juga taman tasik macam ni. Yang si Dean ni pun layan jelan dia bercakap tak henti-henti. Sama ada Dean bosan atau tak, dia sendiri tak pasti. Yang dia tahu, dia terus bercakap dan bercakap sebab berada di situ membuatkan kepala asyik teringat akan kenangan lama.
Paling yang dia tak boleh lupa semasa berada di Brisbane City Botanic Gardens tu ialah bila Dean tiba-tiba hulurkan tiga kuntum bunga warna kuning yang dipetik tanpa rasa bersalahnya di Brisbane City Botanic Gardens. Masa tu rasa macam terkejut pun ada, kelakar pun ada sebab sebelum ni Dean tak pernah nak bagi bunga macam tu. Entah apalah yang tak kena dengan Dean ketika itu sampai sanggup nak petik bunga dekat taman botani tu. Nasik baik tak ada yang kena hambat keluar dari taman botani ni. Kalau tak memang harulah.
Dan hari ni, hari terakhir berada di Brisbane, mereka melawat Queensland University of Technology Library. Madam Ann kata, memang sengaja dia masukkan Queensland University of Technology Library sebagai tempat lawatan terakhir sebabnya dia tak nak ahli rombongan stres pasal tujuan rombongan itu sebab nak rehatkan minda, bukan menambahkan keserabutan otak lepas penat belajar. Jadi bila letak Queensland University of Technology Library di tempat terakhir tu kira kepala masing-masing dah puas rehatlah padahal tak adalah rehat mana pun kalau setakat empat hari tak mengadap buku. Balik Sydney nanti mesti serabut balik sebab sibuk dok fikir entah bila nak siap semua kerja-kerja yang diberi oleh pensyarah tu.
“Jom..Madam Ann dah panggil.”
Ariana segera menyimpan kamarenya di dalam beg tangan sebelum bangun dan mengekori Dean yang sudah berjalan ke depan menuju ke arah bas yang sudah sedia menunggu mereka.
“Apa hal tu?” Ariana bertanya ke arah Dean sambil kepala cuba berjingkit untuk melihat Madan Ann yang seolah-olah sedang berkata sesuatu. Alahai Madan Ann, kot ye pun Madam ni nampak ayu dan lemah lembut, tapi suara tu janganlah halus sangat. Dia yang dekat belakang ni tak berapa nak dengar ditambah lagi  terhalang dengan ahli rombongan lain yang berdiri di hadapannya. Dahlah semua pakat badan saiz besar-besar dan tinggi-tinggi.
“Madam kata lepas ni kita ke Toowoomba, lepas tu terus balik ke Sydney...” Dean menjawab. Ariana yang masih cuba menengangkan leher dan berjingkit itu menoleh ke arah Dean.
“Nak ke Toowoomba? Kalau dari Toowoomba terus Sydney maknanya tak jadi singgah Gold Coast ke?”
“Yap. Madam kata Gold Coast tak ada apa yang menarik, tapi dekat Toowoomba tengah ada carnival of flowers sekarang ni. Rugi tak pergi...”
Ariana hanya diam mendengar jawapan Dean itu. Baru berangan nak tengok Gold Coast.
“Jangan sedih. Toowoomba pun apa kurangnya. Ada masa nanti kita pergi melawat Gold Coast...” Dean di sebelah bersuara ketika Ariana melihat ke arah tingkap bas yang telah mula bergerak meninggalkan perkarangan Queensland University of Technology Library itu. Ariana menoleh ke arah Dean di sebelah. Bibir cuba mengukir senyuman. Takkan nak tarik muka masam sepanjang perjalanan ke Toowoomba kot. Dia bukan budak-budak lagi walapun rasa terkilan itu adalah juga sebabnya entah bila lagi nak jejak Gold Coast tu. Lepas ni mesti dah sibuk dan rasanya inilah trip terakhir sebelum dia bergraduasi.
Perjalanan ke Toowoomba dari Brisbane mengambil masa lebih kurang satu jam empat puluh lima minit. Sepanjang perjalanan itu Ariana banyak menghabiskan masa dengan membaca novel melayu yang sudah diulang sebanyak dua ratus kali. Hilang terus mood untuk melihat pemandangan di sepanjang perjalanan ke Toowoomba itu. Dean di sebelah pula dah mula melelapkan mata. Tidur barangkali. Telinga pula tersumbat elok dengan ear phone. Kadang kala dia teringin sangat nak tahu lagu apalah yang Dean sumbat dalam MP3 dia tu sebab boleh kata setiap masa telinga asyik tersumbat dengan ear phone je.
Ariana memandang sekeliling. Rata-rata ahli rombongan yang lain masing-masing sibuk berbual sesama sendiri. Ariana mengigit bibir sebelum tangan bergerak ke arah ear phone yang terlekat di telinga Dean. Perlahan-lahan wayar ear phone ditarik. Dean bergerak seketika membuatkan tubuh Ariana keras sekejap. Dada dah terasa berdebar. Nak buat jahat ni memang rasa cuak tu lebih sikit. Huhu.
Wayar ear phone berjaya ditarik sehingga tertanggal dari telinga Dean. Ariana segera menyumbat ear phone tersebut ke telinganya. Keningnya berkerut apabila lagu My Heart Will Go On menyapa telinganya. Pelik. Seketika kemudian, lagu Living To Love You pula bergema di telinganya menambahkan lagi skala kepelikkan Ariana. Kenapa Dean dengar lagu-lagu yang dia suka? Atau itu hanyalah kebetulan sahaja? Ariana menarik kembali ear phone tersebut sebelum dia menyumbat ke dalam telinga Dean dengan perlahan. Takut Dean terjaga kantoi pula.
Setelah hampir sejam lebih perjalanan, akhirnya mereka sampai di Toowoomba. Masa sampai tu waktu dah agak petang. Nasib baik dah jamak siap-siap masa dekat Brisbane tadi. Kira taklah kalut sangat.
“Jom, kita ke sana...” Dean menarik tali beg tangannya yang disilang ke tubuh.
“Eh, kenapa kita tak ikut mereka je?” Ariana bertanya pelik apabila melihat ahli rombongan yang lain menuju arah yang berbeza dengan mereka.
“Mereka ke sini bukan semata-mata nak tengok bunga..”
“Habis tu? kata Carnival of Flowers. Mestilah datang sebab nak tengok bunga kan?” Ariana bertanya agak hairan.
“Pernah dengar tentang Food, Flower and Wine?”
Laju Ariana mengeleng kepala. Dia kembali memandang ke arah ahli rombongan yang telah masuk ke dalam kelab yang berada di sekitar itu. Barulah dia faham maksud Dean itu. Mereka ke sini bukan sebab semata-mata nak tengok bunga tapi sebab nak berhibur.
“Habis tu kita nak ke mana ni?”
“Tempat yang awak pasti suka...” Dean menjawab ringkas. Kening Ariana terangkat apabila mendengar jawapan Dean itu namun malas dia nak bertanya lanjut. Akhirnya, dia hanya berjalan beriringan di sebelah Dean tanpa banyak bersoal jawab.
“Wahh....” Terkebil-kebil mata Ariana ketika memandang apa yang terbentang di hadapannya itu. Rasa macam nak buka mata seluas yang boleh sebabnya dia tak nak terlepas walau seinci pun pemandangan yang cantik begini. Dia menoleh ke arah Dean di sebelah.
“Cantiknya. Saya tak pernah bayangkan pun akan ada tempat yang cantik macam ni....”
“Walaupun dekat Malaysia?” Dean bertanya sekadar ingin menduga. Ariana membuat muka. Kalau nak banding dengan tanah tumpah darahnya itu toksah cakaplah. Walau seburuk mana pun tanah tumpah negaranya itu, Malaysia tetap dihatiku. Cewah.
“Serius cantiklah tempat ni. Memang tak sia-sia pun kempunan tak dapat pergi Gold Caost...” Ariana berkata ketika mereka berjalan menyusuri Queens Park Gardens itu. Kepala di dongak memandang ke atas. Pokok-pokok besar yang berada di kiri dan kanan jalan menjadikan laluan tersebut terlindung dari cahaya matahari. Bila lalu dekat bawah ni rasa macam lalu bawah terowong pula. Berada di sini membuatkan dia teringat Taman Tasik Taiping.
“Kempunan? What’s that?” Tanya Dean hairan. Ariana hanya tersenyum namun tidak membalas. Mata kembali memandang kawasan sekitar. Rasa tenang dan nyaman je. Memang sesuailah kalau pasangan yang sedang asyik dilamun cinta nak lepak port macam ni. Romantik.
“Awak nak tahu sesuatu tak?”
“Apa dia?” tanya Ariana ketika mereka telah mula memasuki kawasan Laurel Bank Park yang hanya terletak bersebelahan dengan Queens Park Gardens.
“Saya teringin nak bawa orang yang saya sayang ke sini...”
Spontan Ariana menoleh ke arah Dean yang telah berada agak ke depan sikit. Berderau darah Ariana apabila mendengar kata-kata Dean itu. Apa maksud yang Dean nak sampaikan sebenarnya? Ariana teragak-agak seketika untuk berjalan ke arah Dean. Dean menoleh.
“Kenapa? Jom. Banyak lagi tempat yang kita nak lawat...” Dean berkata apabila melihat Ariana tidak bergerak di belakang. Ariana menarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk bertenang. Dean cuma cakap je tu. Mungkin orang yang dia sayang tu, keluarga dia ke, saudara mara dia ke. Bukan ke orang yang kita sayang itu tak terbatas dengan maksud kekasih? Betul tak?
Ariana hanya mendiamkan diri sambil melayan perasaan dan menikmati keindahan berada di taman bunga tersebut. Bunga-bunga yang pelbagai warna itu betul-betul membuatkan dia jatuh hati. Macam-macam warna ada. Merah, kuning, ungu, merah jambu malah warna oren pun ada. Sesekali Ariana melarikan kamarenya ke sudut-sudut berlainan yang dirasakan menarik sebelum gambar terssebut selamat terakam di dalam kameranya. Dia begitu asyik menangkap gambar sehingga tidak sedar Dean sibuk memetik punat kameranya ke arah Ariana.
“Ariana....”
Ariana yang sedang memfokuskan kamernya ke arah bunga berwarna merah dihadapannya itu menoleh. Seketika kemudian flash muncul membuatkan Ariana menutup muka dengan tangan tanda silau.
“Dean! Lain kali kalau nak tangkap gambar tu bagi tahu lah dulu...” Ariana berkata tidak puas hati. Entah macam manalaha rupa dia ketika itu. Mesti selebet habis. Dean tidak membalas kata-katanya. Dia begitu asyik melihat simpanan gambar di dalam kameranya itu.
“Nak tengok..” Ariana berdiri di sebelah Dean namun cepat-cepat Dean bergerak ke arah lain.
“Dean!”
“Eh, jom pergi sana...” Dean menunjuk ke depan sebelum berjalan menuju ke arah tersebut dan meninggalkan Ariana yang masih berdiri di situ dengan rasa tidak puas hati.
“Ariana...”
Ariana buat tak dengar sahaja ketika Dean memanggil namanya. Malas nak layan. Rasa tak puas hati sebab Dean tak nak bagi dia tengok gambar yang diambil dengan mengunakan kamare lelaki itu masih lagi berbekas di dalam hatinya. Ariana kembali menghalakan kamera ke arah mana-mana sudut yang dia suka. Sekadar mahu menjauhkan diri dari Dean.
Ariana mengalihkan kamera apabila sesuatu menghalang objek yang mahu dirakamkan. Dia mendongak.
“For you...”
Terkebil-kebil mata Ariana ketika melihat jambangan bunga segar yang berwarna warni itu. Ni sah Dean pergi petik bunga lagi ni.
“Ambillah. Jangan marah lagi...” Dean masih menghulurkan bunga tersebut. Ariana cuba menahan senyum di bibir. Bukan sebab gembira kerana dapat bunga tapi lebih kepada rasa lawak bila membayangkan yang Dean pergi petik bunga satu-satu di situ.
“Dean, awak tahu tak menjadi satu kesalahan besar kalau petik bunga dekat sini. Awak tak takut kena tangkap ke?”
Dean mengangkat bahu. Tangan yang memegang jambangan bunga itu masih terhulur ke arahnya membuatkan Ariana tiada pilihan lain selain mengambil bunga tersebut dan dimasukkan ke dalam beg tangan. Nasib baik beg tangan dia besar. Boleh sumbat macam-macam. Hari ni saja dia dah dua kali terima bunga daripada Dean. Entah apalah mimpi si Dean ni nak berjiwang bagai petang-petang ni.
Setelah puas berjalan satu taman tesebut, mereka kembali semula ke tempat di mana mereka turun tadi. Ahli-ahli rombongan yang lain pun dah ada di situ. Madam Ann memang tegas orangnya. Kalau dia kata pukul sekian-sekian, memang kena ada di situ sekian-sekianlah. Kalau tak mesti kena bebel berbakul-bakul. Apabila semua ahli rombongan telah berada di dalam bas, perjalanan diteruskan untuk pulang ke Sydney. Ariana yang kepenatan itu mula terasa mengantuk dan baru sahaja kepala disandarkan ke kerusi, mata dah terlelap tanpa sempat dia berbuat apa-apa.

 P/S: Yes...i know.mesti ada yang kecewa sebab dalam part ini tak ada Akmal. alaaaa. bagilah dean chan. lagi pun part ni dah dikeluarkan dari novel kan. aku saja nak letak sini. actually i love this part sebab banyak masa yang aku habiskan untuk siapkan part ni. yelah, part ni memang memerlukan aku membuat sedikit research melalui internet. tempat-tempat yang ada di dalam part ini hampir 90% adalah benar. sebab aku guna maps google dan bukak website berkaitan untuk view tempat-tempat ini. part ini aku buat untuk gambarkan dean sebagai seorang muslim yang baik dan sentiasa mejaga adabnya sebagai seorang muslim. bila part ni dikeluarkan, aku terpaksa fikir kat mana aku nak tambah untuk tunjuk yang dean ni muslim yang baik? makanya aku ambil keputusan untuk tambah sikit part yang ariana datang makan di rumah dean lepas mereka balik dari sekolah tinggi tu. ada jumpa kan? kalau tak jumpa, kena baca baliklah. yang belum ada novel tu. sila dapatkan di kedai-kedai berhampiran anda. (cewaaahhh sempat lagi promote)

10 140 tukang karut:

nurul nuqman said...

hahahha....nak akmal...akmal is still the best..dean xblh chalengge akmal :P

Cahaya said...

nurul>>alaaaaaa.kamlan lain kali aa..hahaha.

Eijan said...

Honestly, mmg dean sgt baik...dan waktu Arianna & Dean x jadi kahwin...rasa sedih sgt w/pun mmg nak sgt Akmal dan Ariana. Buat la citer khas buat Dean ni....Hope dia jumpa pengganti yg lebih baik drp Arianna....

Kenapa part ni dikeluarkan drp novel ye.?

Ite Hamid said...

Nurul...apsal kene kuarkn part ni?? Ade issue ke apa?

Jgn lupa uat sequel MSA tau..poor Dean..nk jugak hepi ending utk Dean..ha3..bole selit2 skali psl perkembangan relationship A&A kan? He3..

Ite Hamid said...

Nurul...apsal kene kuarkn part ni?? Ade issue ke apa?

Jgn lupa uat sequel MSA tau..poor Dean..nk jugak hepi ending utk Dean..ha3..bole selit2 skali psl perkembangan relationship A&A kan? He3..

Cahaya said...

Eijan>>kann sebab tu sy suka dean hahaha. tapi nk buat dean dengan ariana memang rasanya blog sy bakal keba bomm haha.. part ni terpaksa dikeluarkan sebab editor suruh cut cerita tentang dean dan ariana. sy tak tahu nak edit dekat mana jadi part ni saya bawak keluar terus...sedih..tp takpelah.. sy post dekat blog jugak hehe..

Cahaya said...

ite>> insyaAllah memang ada berbincang dengan editor sebelum MSA keluar hari tu. tapi nantilah saya buat. jalan cerita samar2 sudah ada. A&A kn ada jugak ke?hehehe..alamat tenggelam lagilah dean nanti hehehe.

Ite Hamid said...

Ala...selit sikit2 jer..buat mcm iklan..ahahahaa..xyh bbyk..nnt A&A overtake Dean pulak...x bole wooo.. :))

Ite Hamid said...

Ala...selit sikit2 jer..buat mcm iklan..ahahahaa..xyh bbyk..nnt A&A overtake Dean pulak...x bole wooo.. :))

Cahaya said...

ite>>hahha..ke dean overtake A&A ??hehehe.

Post a Comment