RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Friday, September 13, 2013

Kerana Dia Suamiku ( Bab 5)


Bab 5


Aliah merebahkan tubuh kembali ke katil. Dia melepaskan keluhan berat. Susah betul kalau terpaksa tunggu giliran nak bersahur ni. Orang tua tu makan pulak berjam-jam. Sibuk duk kira berapa butir nasi yang masuk ke dalam perut itu gamaknya. Aliah berguling ke kiri sambil menghitung hari. Masuk hari ini, sudah hampir seminggu umat islam menjalani ibadah puasa. Sejak seminggu juga dia terpaksa tunggu trip kedua untuk makan sahur. Mak Temah pernah tanya kenapa tak nak makan sekali je walaupun orang tua tu faham sangat perangai mereka yang tidak boleh bertemu muka. Pantang jumpa mesti nak lari. Dan selalunya dia lah yang melarikan diri. Tak sanggup nak tengok muka lelaki itu. Aliah menjeling jam di di dinding. Hampir pukul lima pagi. Aliah bangun dari baringan dan mengeliat. Selalunya waktu-waktu macam ini lelaki tu dah masuk bilik. Aliah mencapai sepit rambut lalu menyepit rambutnya membuatkan hujung rambutnya tergantung di batang lehernya. Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu dan mengintai ke tingkat bawah. Aliah berjalan perlahan sambil menyanyi kecil menuruni tangga. Mat Temah sedang membasuh di singki.
“Mak Temah dah sahur?”. Aliah bersuara. Mak Temah berpaling dengan keadaan tangan penuh dengan buih sabun.
“Dah tadi dengan Syah..nasi Lia Mak Temah dah sediakan atas meja...”.
“Terima kasih..sayang Mak Temah..”. Aliah menjawab tersenyum sambil melangkah menuju ke meja. Tudung saji diangkat lalu disangkut ke dinding. Aliah membasuh tangan, membaca doa sebelum menyuap nasi ke mulut. Hatinya tiba-tiba terasa sedih. Sedih kerana terpaksa bersahur sorang-sorang. Mak Temah pun dah join dengan manusia seorang tu. Aliah menghabiskan baki nasinya sebelum meneguk air suam. Ibu cakap tak baik masa makan diselang selikan dengan minum air, nanti perut cepat kembung. Aliah mengangkat pinggan-pinggan kotor lalu di bawa ke singki.
“Tak apalah Mak Temah..biar Lia basuh...”. Aliah meletakkan pinggan tersebut di dalam singki. Mak Temah berjalan menuju ke peti sejuk.
“Lia nak jus oren?”.
Aliah menoleh di balik bahunya.
“Boleh juga..”. Aliah menjawab sambil memandang kembali pada pinggan di tangan. Setelah selesai, Aliah mengelap tangannya yang basah pada tuala good morning yang tergantung di hujung rak sebelum berjalan menuju ke arah Mak Temah yang sedang duduk di hujung dapur. Aliah menarik kerusi lalu duduk di hadapan orang tua tersebut.
“Buka nanti Lia nak makan apa?”.
Aliah terdiam seketika sambil berfikir.
“Hmm...Mak Temah masak jelah apa-apa..Lia belasah je semua..”. Aliah tersengih sambil membawa gelas berisi jus oren ke mulut.
“Kalau macam tu, Mak Temah buat nasi dagang ya...Syah cakap dia teringin nak makan...”.
Aliah terdiam. Apa pasal pulak aku nak kena ikut menu dia?. Tahulah rumah ini dia yang punya, tapi takkan semua nak ikut cakap dia je. Aliah mengerutu.
“Hmm..tak apalah Mak Temah..Lia tak makan sangat nasi dagang...Lia beli kat luar je nanti lepas balik dari kolej..”. Aliah bangun lalu membawa gelas kosongnya ke singki. Mak Temah mengeleng perlahan, dalam hatinya berdoa semoga kedua orang majikannya itu berbaik semula walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku.

                                                                  ***

“Wei..segar bugar je..puasa ke tak ni?”, Aliah menyapa Julia ketika mereka terserempak di bangunan pentadbiran.
“Tak..aku cuti...”. Julia menjawab sambil tersengih.
“Aku dah agak dah...”. Aliah berkata sambil mengeleng.
So..kau buka apa hari ni?’. Julia bertanya ketika mereka sama-sama keluar dari bangunan pentadbiran itu. Aliah mengangkat bahu.
“Tak tahu lagi...kejap lagi baru nak jenguk bazar ramadhan...”.
Julia memandang Aliah dengan dahi berkerut.
“Kenapa pulak? Mak Temah cuti ke?”
“Taklah...ada je kat rumah tu...”
“Dah tu..kenapa pulak nak beli kat bazar ramadhan..? Mak Temah tak masak ke?”.
“Masak je...sajalah aku nak ubah angin...”. Aliah menjawab sambil membuka beg tangannya mencari kunci kereta. Julia memandang pelik ke arah sepupunya itu.
“Aku tak fahamlah...kenapa pulak nak ubah angin? Kau selalu tak cerewet kalau makan..balun je semua benda..tolak batu dengan kayu je...”. Julia bertanya. Aliah berhenti, menggagau beg tangannya. Julia turut berhenti.
“Lia..kau dengar tak aku cakap apa ni?”
“Hah! Apa kau cakap tadi? Sorry aku tak dengar..”. Aliah menjawab sambil mengeluarkan segugus kunci dari dalam beg tangannya.
“Aku tanya kenapa kau nak ubah angin pulak..kau bukan jenis memilih sangat bab makan...”.
“Ish..kau ni banyak tanyalah..dahlah..kau nak ikut tak aku pergi bazar ramadhan?”.
“Boleh jugak..guna kereta kau eh...”. Julia tersengih.
“Yelah...balik-balik aku je yang kena...”. Aliah mencebik.
“Dengan sepupu sendiri pun nak berkira!”.
Aliah ketawa sebelum mereka sama-sama masuk ke dalam kereta.

                                                                 ***

Aliah mengeliat sambil meregangkan tubuh. Matanya memandang langit biru si atas kepala. Sesekali angin pagi bertiup lembut membuatkan tubuhnya menggigil. Dia yang hanya mengenakan pijama dan bersweater itu berdiri tercegat mengalihkan pandangan ke arah tembok tinggi di hadapannya itu. Aliah berpusing mengadap rumah banglo dua tingkat itu. Dalam hatinya mengakui tanpa rela yang lelaki itu memang seorang arkitek yang kreatif. Tak pernah lagi dia jumpa reka bentuk rumah macam tu. Matanya dihalakan pada  dinding kaca yang terletak di balkoni atas. Dinding di bahagian atas diperbuat daripada kaca gelap yang memantulkan cahaya matahari. Balkoni atas pula dipisahkan dengan ruang antara pintu biliknya dan pintu bilik lelaki itu. Pandangannya diturunkan ke bawah, dinding yang direka sama seperti di tingkat atas. Aliah tertanya-tanya kenapa perlu membina dinding kaca  seperti itu. Bukankah susah untuk membersihkannya nanti. Satu kerja pula nak pasang langsir banyak-banyak. Aliah teringat rumah dalam drama korea Full House. Bibir mengukir senyum tanpa sedar. Layan korea juga ke mamat ni. Dalam hati nak tergelak bagai nak gila. Hari tu anggau duduk tenung bulan, ni layan cerita korea pulak. Sengih tak lekang dibibir. Matanya dilarikan pada ruang masuk di bahagian tepi. Terdapat laluan beratap yang didirikan mengunakan batu sungai. Aliah mengeleng. Dasyat betul pemikiran lelaki ini. Memang berfikir di luar alam betul. Aliah mengeliat lagi. Terasa mengantuk pula. Dia menjeling jam di tangan. Pukul lapan pagi. Lepas subuh tadi memang sengaja dia tak tidur. Cuti hari sabtu memang rugi kalau habiskan masa dengan tidur je. Lagi pun dia dah cakap dengan Mak Temah yang buka hari ini dia teringin nak makan nasi tomato dengan ayam masak merah. Memang terliur je bila teringat. Balas dendam balik pasal semalam dia terpaksa makan nasi bungkus masa berbuka. Aliah memusingkan badannya ke kanan. Matanya memandang kereta Honda Accord putih di hadapannya itu.  Dia menjeling ke arah pintu depan sebelum berjalan perlahan-lahan mendekati kereta tersebut. Matanya memerhatikan setiap inci bentuk kereta sedan tersebut. Riak cemburu terpancar dalam benaknya. Memang dari dulu lagi dia mengimpikan kereta sedan buatan Jepun itu. Matanya dihalakan ke arah kereta Myvi berwarna ungu yang dipakir di sebelah Honda Accord putih itu. Memang perbezaan ketara macam langit dengan kerak bumi. Aliah tersenyum pahit. Hanya itu yang dia mampu dan dia bersyukur. Asalkan tak menyusahkan orang, ye dak. Baru sahaja Aliah hendak menyentuh badan kereta tersebut, tiba-tiba pintu pagar terbuka secara automatik. Aliah spontan berpaling memandang ke arah pintu depan. Tak ada sesiapa yang buka pintu. Matanya dihala pula pada pintu pagar separuh terbuka itu. Hampir nak terkeluar biji mata ketika melihat lelaki itu sedang berjalan masuk ke dalam kawsan rumah. Mata Aliah di halakan pada pakaian lelaki itu yang berseluar track putih dan berbaju joging warna senada.
“Ler..aku ingat terbongkang atas katil lagi...rupanya pagi-pagi dah keluar pergi joging...puasa-puasa pulak tu..”. Aliah berkata di dalam hati.
“Tu apa hal pulak berdiri dekat-dekat kereta aku tu? nak calarkan kereta aku ke apa?”. Syah berkata di dalam hati apabila melihat gadis itu berdiri betul-betul di hadapan pintu tempat duduk pemandu.
Aliah mengigit bibir sebelum berjalan menjauhi kereta lelaki itu. Mukanya terasa panas kerana dia menyedari yang lelaki itu mungkin nampak apa yang mahu dilakukannya.
“Tak pasal-pasal nanti dia ingat aku nak calarkan kereta dia pula..argghh...!”. Aliah mengerutu di dalam hati. Dia mengeliat perlahan. Matanya yang mengantuk itu dihalakan ke sebelah kiri. Keningnya terangkat sebelah. Aik, sejak bila ada gelanggang bola keranjang ni? Sebelum ni tak perasan pun. Aliah tersenyum lebar. Boleh ajak abang lawan bola keranjang.
Kening Syah bertaut.
“Itu apa kes  senyum sorang-sorang pulak tu...?”. Syah bertanya di dalam hati ketika melihat ke arah gadis itu yang tersenyum seorang diri sambil memandang gelanggang bola keranjang.
“Tak pernah tengok gelanggang bola keranjang ke apa?”. Syah bertanya lagi. Memang sengaja dibina gelanggang tersebut kerana memang dia meminati sukan tersebut.
Aliah mengeliat buat kali terakhir sebelum membuat keputusan masuk ke dalam rumah.
“Mengantuk mak oii...tidur kejap tak pe kot..tak makruh kan..?”. Aliah berkata di dalam hati sambil menghayun langkah menuju ke pintu utama. Namun kakinya terhenti apabila melihat lelaki itu sedang duduk di muka pintu, membuka kasut joging berwarna hitam. Aliah mengigit bibir. Baru teringat akan sesuatu. Nak cakap ke tak, nak cakap ke tak.
Syah tunduk menanggalkan kasutnya perlahan. Sengaja mahu berlambat-lambat ketika dia sedar gadis itu sedang berdiri tercegat di hujung garaj. Senyum hampir terukir di bibir. Tahu benar yang selama ini gadis itu sering melarikan diri ketika mereka bertembung. Hati Syah tertanya-tanya adakah Aliah akan berpusing masuk ikut pintu belakang kerana dia yakin yang Aliah takkan masuk ikut pintu depan kalau dia duduk depan pintu menghadang pintu masuk.
Aliah tercegat berdiri di situ. Otaknya ligat berfikir. Kalau tak cakap sekarang, bila lagi? Nanti tak pasal-pasal kena buat sesi soal jawab dengan ibu macam selalu. Tak sanggup!.  Aliah menarik nafas dalam-dalam. Air liur ditelan beberapa kali. Dengan berat hati, kakinya dihayun melangkah mendekati lelaki itu.
Kening Syah terangkat sebelah ketika dia melihat dengan ekor mata. Gadis itu menghampirinya.
“Ehh..biar betul..? tak lari pulak budak ni..datang dekat lagi ada..”. Mata Syah masih tertumpu pada ikatan tali kasut yang sengaja di tarik keluar walaupun perbuatan itu tak perlu.
Aliah berhenti beberapa kaki dari lelaki yang masih menunduk itu.
“Kebenda entah yang lama sangat bukak kasut..pakai pandai takkan bukak tak reti?”. Aliah menjulingkan biji matanya.
“Err..semalam ibu called...”. Aliah bersuara sambil memandang lelaki itu.
Senyap.
 Aliah mengetap gigi cuba menahan sabar ketika lelaki itu mendiamkan diri.
“Dia ni dengar ke tak apa aku cakap ni?”. Aliah dah panas hati.
“Ibu called cakap..err..ajak kita buka sama..”. Aliah terdiam.
Senyap.
 “Memang sengaja nak cari pasal ni....aku cakap boleh buat tak dengar pula.” Aliah menarik nafas dalam-dalam. “Bulan-bulan puasa ni tak baik marah-marah..”. Aliah cuba menenangkan diri.
“Tapi kalau awak sibuk..saya boleh cakap pada ibu yang awak tak...”.
“Bila?”. Syah mengangkat kepala memandang wajah Aliah.
“Malam esok...”. Aliah menjawab perlahan.
“Minta-minta kau ada hal, fuhhh...”. Aliah berdoa di dalam hati.
Syah terdiam seketika, sengaja membiarkan Aliah menunggu tercegat berdiri di situ. Memang pecah rekod kalau gadis itu dapat kekal berdiri di situ selama lima minit.
“Lambatnya fikir...adoii..lenguh dah kaki aku ni..”. Aliah merungut.
“Okey...”. Syah menjawab. Aliah tercengang.
“Err..apa yang okey?”. Aliah bertanya. Kening Syah terangkat.
“Aik..sempat pulak mengelamun..”. Senyum terukir dibibirnya.
“Ketawakan aku lah tu...”. Aliah mencebik.
“Okey..kita buka dengan ibu esok...abang dengan abah sekali?”.
Aliah mengangguk lemah.
“Baru nak seronok-seronok dengan keluarga sendiri...”. Aliah merungut dalam hati. Senyum tak lekang dibibir Syah, tahu sangat apa yang bermain di fikiran gadis itu.
“Tak apalah kalau macam tu...nanti saya cakap dengan ibu...”. Aliah berkata perlahan. Dia berpusing ke belakang.
“Nak pergi mana pulak tu?”. Syah mengangkat kening. Aliah spontan berpaling.
“Masuk ikut pintu belakang...”.

                                                               ***

“Adik tolong keluarkan pinggan dari bawah kabinet tu...”.
Aliah berjalan menuju ke kabinet bawah dapur lalu mengeluarkan beberapa biji pinggan seperti yang disuruh oleh ibunya. Kemudian dibawa pinggan tersebut ke singki untuk dibilis. Lama tak guna mestilah berhabuk. Aliah mencapai tuala good morning lalu mengelap pinggan yang telah siap dibilas itu sebelum membawanya ke ruang makan dan diletakkan di atas meja. Telinganya menangkap gelak ketawa diruang tamu tempat abah, abang dan lelaki itu duduk berbual.
“Entah apalah yang digelaknya..abang pun dah join pakatan axies dengan lelaki tu, boleh pula gelak ketawa macam tu....” Aliah mengomel sendiri sambil menyusun pinggan di atas meja. Ibu datang sambil menatang sebiji mangkuk besar berisi tomyam seafood.
“Adik..tolong angkat ikan pari bakar kat dapur tu sekali dengan siakap masak tiga rasa ya...”.. Ibu meletakkan mangkuk berisi tomyam itu di tengah-tengah meja. Aliah akur sambil menghayun langkah menuju ke dapur.
“Uit..buat apa tu?”. suara itu begitu dekat di telinganya.
“Tak buat apa..sidai baju...”. Aliah menjawab sambil memutarkan bebola matanya. Aidil ketawa sambil menarik rambut Aliah yang diikat tocang satu lepas panjang hingga ke pinggang.
“Sakitlah abangggg...bulan-bulan puasa ni cuba kurangkan dosa sikit..ini tak..kerja sakat orang je...”. Aliah merungut sendiri. Aidil ketawa lagi.
“Jadi-jadilah perangai tu macam budak-budak...ingat sikit..awak tu dah jadi isteri or....”
Pap! Penutup bekas biskut melayang di belakang Aidil.
“Jangan sebut..”. Aliah menjeling. Aidil tersenyum sambil mengelengkan kepala.
“Adik..adik..entah bila nak berubah..”. Aidil berkata sendiri.
“Nah..tolong letak atas meja makan...”. Aliah menghulurkan dua biji pinggan berisi ikan pari bakar dan siakap masak tiga rasa ke arah Aidil sementara dia menatang dulang berisi jus guava. Aliah mengekori Aidil dari belakang ketika mereka masuk ke ruang makan. Aliah menjeling sekilas ke arah lelaki itu yang telah sedia mengambil tempat di meja makan bersama-sama abah dan ibu.
“Dah cepat..nak masuk waktu buka dah ni...”. tegur ibu. Aliah menarik kerusi di sebelah Aidil.
“Ehh...adik..buat apa duduk situ..pergilah duduk sebelah Syah tu...”. Ibu menegur ketika Aliah melabuhkan punggung di sebelah Aidil. Aliah mengigit bibir. Ai masalah dah datang balik. Sempat dia menjeling ke arah Syah yang tidak beriak itu. Aidil di sebelah sengih penuh makna.
“Ala ibu, sama je duduk mana pun..”. Aliah menjawab sambil menghulurkan gelas-gelas berisi jus guava. Ibu mengeleng.
“Dah...depan rezeki jangan nak bertekak..tu azan dah dengar...Syah baca doa berbuka....”. Abah bersuara. Semua tangan ditadah mengaminkan doa yang dibaca oleh Syah. Aliah meraup muka setelah selesai mengaminkan doa. Tangannya lantas mencapai sebiji kurma. Sunat berbuka dengan didahului oleh benda manis macam kurma.
“Aisey..lemah aku kalau makan tomyam seafood dengan udang tak berkopek kulit ni..”. Aliah mengigit bibir. Dia memandang Aidil di sebelah yang sedang khusuk menikmati siakap tiga rasanya sambil berbual dengan abah. Aliah menyinggung Aidil dengan siku. Spontan Aidil menoleh.
“Apa..?”. Aidil mengangkat kening.
“Tolong....”. Aliah tersengih sambil menolak beberapa ekor udang galah di dalam pinggannya.
“Ler..dari kecik sampai besar tak kan tak reti-reti lagi nak kopek udang sendiri...?”. Aidil mengeleng kepala namun diambil juga udang tersebut lalu di bawa ke pinggannya.
“Ingat kalau dah naik pangkat dari cik ke puan ni, bolehlah Syah take over tugas abang..tengok-tengok sama je...”. Selamba Aidil menutur. Syah mengangkat muka. Aliah mengigit bibir. Aidil tersenyum ketika tangan sibuk mengopek kulit udang.
“Memang nak kena abang aku sorang ni...saja nak kantoikan aku depan ibu dengan abah..”. Aliah mengerutu perlahan.
“Lia ni Syah...memang sejak kecik lagi tak suka makan udang sekali dengan kulit dia..lepas tu mesti suruh orang lain tolong kopek..katanya tak tahu macam mana nak kopek kulit tu...”. Ibu tolong jawab ketika melihat tanda tanya di raut wajah Syah.
“Nah...lain kali suruhlah Syah tolong kopek..takkan dah jadi isteri orang pun asyik nak cari abang je...”. Aidil menghulurkan udang yang telah siap berkopek itu ke dalam pinggan Aliah. Sengih mengusik terukir di bibirnya. Aliah menjeling.
“Huh! Asyik kena buli je aku dengan abang hari ni..”. Aliah menunduk sambil menikmati udang yang telah dikopek. Tiba-tiba hatinya terasa sedih. Abang pun dah tak sayang dia agaknya sejak kahwin dengan lelaki pemusnah hidup itu. Aliah mengangkat kepala sedikit dan menjeling tajam ke arah Syah yang duduk di hadapannya. Kening Syah bertaut.
“Ni apa gaya jeling orang macam nak tembus je..”. Syah berkata di dalam hati ketika pandangan mereka bertembung.
“Adik...raya tahun ni..kita balik kampung Kuala Kangsar ya...”.
Tangan Aliah yang sedang sibuk membilas pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan berbuka tadi terhenti.
“Adik..dengar tak ibu cakap ni?”. Suara ibu di belakang sedang menyusun pinggan di dalam kabinet bawah dapur menerjah lagi.
“Hmm...”. Aliah menyambung kerja membasuh pinggannya. Ibu memandang belakang badan anak gadisnya itu.
“Atuk dengan opah teringin sangat nak jumpa adik...mereka rindu..adik dah lama sangat tak balik kampung kan...”.
Aliah masih mendiamkan diri. Hanya kedengaran bunyi pinggan dan mangkuk yang berlaga dengan sinki. Ibu berjalan merapati Aliah. Aliah hanya diam tidak bergerak ketika tangan ibu jatuh di atas bahunya.
“Adik..opah sampai sakit-sakit rindukan adik...”. Suara ibu kelihatan memujuk. Aliah mengigit bibir bawah. Hatinya tiba-tiba berasa sebak.
“Tengoklah ibu..adik tak bincang lagi dengan err...Syah...”. Terasa panas wajahnya ketika menyebut nama lelaki itu. Inilah kali pertama dia menyebut nama lelaki itu sejak mereka berkahwin.
“Ibu dah tanya Syah tadi..dia cakap tak kisah kalau raya tahun ni di kampung Kuala Kangsar...”.
Aliah mengetap gigi apabila mendengar kata-kata ibunya itu. Berani lelaki itu buat keputusan tanpa berbincang dahulu dengan dia.
“Kita balik kampung ya...”. suara Ibu sayup-sayup seolah-olah terbang dibawa angin.
                       
                                                              ***

Aliah mengosok rambut dengan tuala bersih sambil berjalan menuju ke katil. Terasa segar sedikit lepas mandi tadi. Sampai rumah dalam pukul sepuluh malam dari rumah ibu dan abah. Aliah menyangkut tuala lembap itu pada rak di hujung bilik. Kakinya laju dihayun mendekati meja kerja. Tangannya melarikan tetikus dan menekan butang ‘play’ pada winampnya. Lagu ‘Whay do you want from me’ nyanyian Adam Lambert berdentum dari speaker komputernya. Kemudian tetikus ditekan pada folder yang mengandungi manuskrip separuh siapnya. Entah bila dapat siapkan pun tak tahu. Otak tak mampu nak jana idea. Aliah hanya membiarkan manuskrip itu terbuka sebelum dia membuka pula folder yang mengandungi nota-nota kuliah yang akan digunakan untuk kelas pada esok hari.
Study kejaplah sebelum landing...”. Aliah berbisik sendiri sambil menyanyi mengikut lirik lagi inggeris tersebut. Dia menarik keluar buku rujukan yang berkaitan dengan kuliah esok hari. Hampir dua jam dia menghabiskan masa membaca kembali nota-nota yang akan diajar esok dan membuat latihan tambahan untuk diberikan kepada pelajar sebagai tugasan mingguan. Aliah menguap perlahan. Cermin mata ditolak ke atas kepala. Matanya ditenyeh dengan belakang tangan. Pandangannya dihala pada jam di hujung monitor.
“Patutlah mengantuk..dah tengah malam rupanya..”. Aliah berdiri dan mengeliat. Terasa sakit tulang belakang. Tekaknya terasa dahaga lalu dia melangkah menuju ke pintu. Ruang tamu, dapur dan ruang tengah telah gelap. Hanya lampu luar sahaja sengaja dibuka, membuatkan ruang tamu kelihatan samar-samar. Aliah berjalan berhati-hati menuruni tangga berpandukan cahaya samar-samar itu menuju ke dapur. Tangannya segera memetik suiz dapur sebelum berjalan menuju ke peti sejuk. Dia menarik keluar air ribena yang mungkin telah siap dibancuh oleh Mak Temah waktu tadi. Memang sejak semalam lagi dia dah pesan siap-siap pada orang tua itu yang mereka akan berbuka di rumah ibu. Aliah berjalan sambil membawa jag berisi ribena dan gelas kosong menuju ke meja dapur. Kerusi di tarik sebelum dia duduk bersila di atas kerusi. Gelas berisi air ribena di bawa ke bibir. Matanya memandang ke arah ruang tamu yang kelihatan sama-samar itu. Suasana sunyi membuatkan hatinya agak tenang. Dia termenung sambil berfikir tentang rancangan ibu mahu beraya di kampung Kuala Kangsar tahun ini. Aliah mengira dalam senyap. Kalau diikutkan memang dah lama sangat dia tak balik kampung sebelah ibu itu. Bukan dia tidak suka. Bukan dia tidak sudi. Bukan juga sebab dia tak sayang atuk dan opah. Sayang sangat. Opah dan atuklah yang membesarkannya sejak berusia setahun lagi sampailah umur 15 tahun. Tapi hatinya benar-benar belum bersedia. Dirinya masih belum kuat. Itulah hakikatnya. Paling-paling pun dia selalu berhubung dengan opah dan atuk melalui telefon sahaja. Itu pun mengeletar satu badan. Bercakap dengan opah dan atuk pasti akan membuatkan dia teringat akan hal itu. Sungguh dia tak sanggup. Aliah membawa gelas ke bibir lagi. Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi bising dari tingkat atas. Pencuri ke? Aliah cemas tiba-tiba. Macam mana pencuri boleh naik sampai tingkat atas? Takkan panjat ikut balkoni ala-ala Mission Imposible kot. Dia diam tidak bergerak, cuba memasang telinga. Bunyi tapak kaki menuruni tangga menerjah gegendang telinganya. Spontan Aliah menjengah ke ruang tengah. Pandangannya kaku.
Syah berhenti melangkah. Sebelah keningnya terangkat.
“Aik..tak tidur lagi rupanya...ingat Mak Temah pasang lampu dapur..”.. Syah berkata di dalam hati.
Aliah mengalihkan pandangannya pada gelas separuh kosong di atas meja. Gelas ditarik dan di bawa ke bibir.
“Ingat pencuri...rupanya mamat ni...macam mana boleh tak ingat yang aku duduk satu rumah dengan mamat ni..”. Aliah meletakkan kembali gelas diatas meja. Earphone yang tergantung di leher segera disumbat ke dalam telinga.
Syah menghayun langkah menuju ke peti sejuk. Tekak terasa kering tidak mampu ditahan lagi. Kira nasiblah kalau bertembung dengan Aliah ini. Syah menarik pintu peti sejuk  dan mengintai di dalamnya.
“Aik..mana pulak air ribena yang aku nampak masa balik tadi..?”. Syah menegakkan badan sebelum berpaling memandang Aliah yang sedang duduk bersila di atas kerusi sambil melayan perasaan. Sesekali kepalanya bergoyang mengikut rentak lagu yang datangnya dari earphone mp3 yang tercucuk ditelinga. Matanya kemudian terhenti pada jag berisi air ungu itu yang terletak di atas meja. Syah mengeleng sambil bibir terukir segaris.
“Macam budak-budak...”. Syah melangkah menuju ke kabinet atas lalu mencapai sebiji gelas. Langkah kaki di hala menuju ke arah Aliah.
Ekor mata Aliah menangkap gerakan di belakang. Dahinya berkerut.
“Ini apa hal pulak nak datang dekat ni? Nak cari pasal buat benda mengarut ke apa?”. Aliah mengerutu marah di dalam hati. Namun hatinya sedikit cemas memikirnya yang lelaki itu mungkin akan mengapa-apakannya. Maklumlah dalam ruang tersebut hanya mereka berdua sahaja. Mak Temah dah lama masuk tidur. Agak-agaknya kalau dia jerit, Mak Temah dengar tak? Aliah menelan air liur sambil berwaspada.  Kedua belah tangannya di genggamkan di bawah meja.
“Kalau kau berani nak buat tak senonoh dengan aku...aku hayun je sebijik!”. Aliah berkata di dalam hati. Namun degup jantungnya dah bertukar rentak.
Kening sebelah Syah terangkat.
“Itu apa gaya dah keras macam batu..gaya nak bukak langkah silat pun ya juga..”. Syah berkata di dalam hati sebelum menghampiri meja tempat Aliah melepak. Tangannya mencapai jag berisi air ribena itu.
Aliah berpusing laju memandang lelaki di hadannya itu. Pandangan mereka bertembung. Aliah merenung tajam. Dahi syah berkerut.
“Apa gaya macam nak ajak bertumbuk je ni..” Syah berkata di dalam hati sambil membawa gelas ke bibir.
Aliah mengalihkan pandangannya ke arah jag separuh penuh di atas meja.
“Lah...nak minum rupanya..ingatkan nak buat apa...”. Aliah berkata di dalam hati. Pipinya terasa panas apabila sangkaanya meleset. Tangannya mencapai gelas lalu di bawa kemulut. Lebih kepada ingin melakukan sesuatu. Ekor matanya menjeling ke arah Syah yang sedang menarik kerusi di sebelah sana. Dahi Aliah berkerut.
“Ni apa pulak menyibuk kat sini? Dah minum tu pergilah naik atas...sibuk melepak kat sini buat apa...”. Aliah merungut di dalam hati. Gelas di letakkan di atas meja.
 Syah menyandarkan tubuh pada kerusi. Sesekali dia menjeling dengan ekor mata. Senyum hampir terukir di bibir.
“Tak lari pulak budak ni...”. Syah menarik gelas sebelum meneguknya.
Aliah membuang pandangan ke arah bertentangan. Sesekali bibirnya digetapkan.
“Apa ingat aku nak mengalah ke? Jangan haraplah...”. Aliah membetulkan kedudukannya di atas kerusi itu. Terasa lenguh pula duduk bersila. Dia menyandarkan tubuh pada dinding sebelum menarik kedua-dua belah kakinya dan menegakkan lututnya separas dagu. Volume Mp3 dilaras. Fikirannya kembali melayang menghayati lirik lagu yang berdentum di telinganya.
Syah tersenyum dalam diam melihat gadis itu yang berubah posisi dari bersila kepada memeluk lutut. Gaya dah macam orang lepak dekat bustand. Syah membawa lagi gelas ke mulut.
“Aik...tak nak mengalah ya..nak duduk sini sampai sahur ke?”. Senyum tak lekang dari bibir Syah.
Aliah mengeluh perlahan. Mata dah mula berat. Tapi ego punya pasal, sanggup duduk bertapa dekat situ semata-mata tak nak mengalah bangun dulu.
“Aku yang duduk sini dulu..pehal pulak aku yang kena bangun dulu...adoiilahh..bila mamat ni nak blah..aku dah mengantuk tahap gaban dah ni...”. Aliah menongkat dagu pada lututnya. Tangannya mengurut leher perlahan. Kepala terasa berat lalu tangannya menarik sepit rambut dan diletakkan di atas meja. Rambut panjang separas pinggang itu sengaja di lepas.
“Kesian rambut aku basah-basah kena sepit...”. Aliah berkata sendiri. Ingat tadi nak lepak bawah ni kejap je. Tu yang sepit rambut jugak walaupun rambut masih lembap.
Pandangan Syah tertumpu pada rambut Aliah yang panjang dan lebat ala-ala rambut Kim Kardashian itu. Dalam hatinya mengagumi akan gadis itu. Tidak ramai gadis melayu sekarang yang suka berambut panjang. Gadis bertudung pulak tu. Syah membawa lagi gelas ke mulut. Dia mengintai dengan ekor mata memandang wajah gadis itu. Hatinya mengakui yang gadis itu nampak manis dengan rambut panjang.
Aliah mengeliat perlahan. Tak sanggup dah nak stay up lama-lama. Mengantuk bukan main. Buatnya terbabas waktu sahur nanti tak ke naya. Aliah bangun lalu membawa gelas kosongnya ke singki. Setelah membasuh dan menyusun semula di kabinet atas, dia melangkah melewati lelaki itu yang merenung dengan ekor mata. Aliah sempat menjeling ketika menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Bibirnya digetapkan ketika melihat senyum lebar terukir dibibir lelaki itu.
Syah tersenyum sambil mengeleng perlahan.
“Besar sungguh ego budak ni...”. Syah bangun lalu membawa gelas kosong dan jag berisi air ribena ke dapur. Naik kembung perut minum air ribena ni. Syah tersenyum lagi. Memang sengaja dia berlama-lama di situ, ingin melihat reaksi gadis itu. Setelah memasukkan jag berisi air ribena ke dalam peti sejuk dan meletakkan kembali gelas yang telah di cuci di kabinet atas, Syah melangkah memanjat tangga menuju ke biliknya. Sempat dia menjeling pada pintu bertentangnya.
“Dah hanyut kot...senyap je...”. Syah berkata di dalam hati ketika memulas tombol pintu biliknya.

                                                                               ***

Aliah tunduk ketika sibuk mencatat nota-nota tambahan dari buku rujukan tebal yang terbuka di hadapannya itu. Sesekali dia berpaling ke arah skrin komputer. Jemarinya melarikan tetikus dan menekan sana sini, mencari maklumat tambahan yang boleh digunakan untuk mengajar nanti. Matanya tertumpu di skrin komputer, membaca mana-mana maklumat yang difikirkannya sesuai sebelum mencatat pada buku catatannya. Kemudian dia kembali ke meja, cuba mengabungkan maklumat yang baru diperoleh tadi. Kemudian ditarik pula nota yang telah siap dicetak, menulis sesuatu pada nota tersebut untuk memperbaiki nota itu sebelum diedarkan kepada pelajar. Aliah menarik keluar cermin matanya lalu diletakkan di atas meja. Dia mengurut batang hidungnya yang terasa pedih. Peperiksaan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi iaitu seminggu selepas cuti hari raya nanti. Aliah menyandarkan tubuh pada kerusi empuk itu. Kepalanya terasa berat. Mahu boleh keluar asap kepala macam ini. Dia memejamkan mata. Serta merta dia teringat insiden masa bersahur tadi. Senyum kelat terukir dibibirnya. Entah macam mana boleh terbabas. Sedar-sedar dah tinggal dua puluh minit nak masuk waktu imsak.
Aliah terkoncoh-koncoh bangun menuju ke tandas untuk membasuh muka dan memberus gigi. Dia sempat menjeling jam di dinding sebelum keluar dari bilik. Kakinya laju melangkah turun tangga tersebut namun kakinya terhenti ketika melihat meja makan tersebut. Riak wajahnya berubah. Dia tercegat di hujung tangga sambil merenung belakang badan lelaki itu.
“Apa hal tak naik-naik lagi ni? Dah pukul berapa ni?”. Aliah mengerutu perlahan.
“Ehh..Lia..Mak Temah ingat kamu tak puasa lagi...”. suara Mak Temah kedengaran dari dapur. Aliah mengigit bibir namun muka terasa panas. Memanglah seminggu lepas dia tak berpuasa kerana ‘cuti’. Itu juga sebab kenapa dia terlupa nak set jam semula lepas mandi wajib semalam.
Kening Syah terangkat sebelah. Rasa macam nak runtuh je rumah bila dengar gadis itu turun dari tangga. Macam gergasi berlari.
“Terbabas jugak ke budak ni..”. Syah menjamah nasi lambat-lambat.
Aliah melangkah lemah menuju ke dapur.
“Kenapa dia tak masuk bilik lagi?” Aliah berbisik ke arah Mak Temah.
“Syah pun bangun lambat...semalam katanya sampai rumah dekat pukul dua pagi..tu tak sedar...”. Mak Temah menjawab sambil mengelap pinggan yang telah siap dibasuh.
“Mak Temah dah sahur?”. Aliah bertanya sambil tersandar di pintu dapur. Matanya menjeling jam di dinding dapur. Tinggal lima belas minit lagi.
“Mak Temah tak puasa..pergilah duduk dulu dekat ruang makan tu..nanti Mak Temah ambilkan nasi...”
 “Ishh..takkan nak makan satu meja dengan dia pulak..”. Aliah mengigit bibir.
Aliah berjalan menuju ke meja dapur lalu menarik kerusi dan duduk.
“Mak Temah..Lia makan dekat sini jelah eh..Mak Temah tolong ambil lauk kat meja depan eh...”. Aliah berkata perlahan, hampir berbisik. Mak temah berpaling dari periuk nasi.
“Kenapa pulak nak makan kat sini..?pergilah duduk dengan Syah tu...lauk semua Mak Temah dah letak sana..ingat Lia tak puasa lagi..”.
 “Adoii...masalah besar ni..bala manalah yang datang menimpa aku ni...”. Aliah menarik rambut hadapan yang terjuntai.
“Cepatlah...nanti tak sempat nak sahur pulak..”. Mak Temah dah berjalan menuju ke ruang makan sambil membawa pinggan nasinya. Aliah mengigit bibir. Kalau tak makan sahur, mahu lembik sepanjang hari. Tambah-tambah hari ini kelas padat.
“Adoilahh..malang nasib aku..”. Aliah melangkah dengan lemah menuju ke ruang makan sebelum terhenti seketika di belakang badan lelaki itu. Dia menarik nafas panjang.
“Lah..kenapa tercegat lagi kat situ..cepatlah..tinggal sepuluh minit lagi...”. Mak Temah berjalan masuk sambil membawa segelas air oren. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia berjalan mendekati meja itu. Menarik kerusi selang dua baris dari tempat lelaki itu duduk. Lelaki itu tidak mengangkat kepala ketika Aliah duduk di situ. Aliah menelan air liur sebelum menadah tangan membaca doa. Tangannya kelihatan agak terketar ketika mencapai sudu lauk masak asam pedas dihadapannya itu.
Syah menjeling dengan ekor mata. Senyum hampir terukir di bibir ketika memerhatikan gerak laku gadis itu. Itu memang gaya dah terdesak sangat tu. Kalau tak memang tunggu kucing bertanduklah nak makan berdua semeja macam ni. Aliah tidak mengangkat kepala ketika menyuap nasi ke mulut. Gaya dah macam perempuan melayu terakhir makan. Tunduk dan bersopan je. Aliah tersenyum pahit. Memang bala apa entah kena duduk semeja macam ni.
Syah bangun dan mengangkat pinggan dan gelas kosongnya lalu dibawa ke dapur. Aliah melepaskan nafas lega. Barulah boleh bernafas sikit mamat itu tak ada. Namun matanya menjeling pada jam di dinding. Tinggal empat minit sahaja lagi waktu imsak. Aliah cepat-cepat meratah ikan pari masak asam pedasnya sebelum meneguk jus oren. Hampir tercekik dia kerana makan tergesa-gesa. Aliah meneguk air oren tersebut sehingga habis untuk melegakan salur pernafasannya yang seolah-olah tersumbat. Aliah tersandar di kerusi ketika dia mula boleh bernafas dengan normal.
“Mati tercekik sia-sia, naya je..”. Aliah bangun lalu membawa pinggan dan cawan kosong menuju ke singki. Matanya dikecilkan ketika melihat lelaki itu bersandar di pintu belakang yang terbuka.
“Merenung bulan lagi ke apa? Ke kira bintang?”. Aliah tergelak dalam hati. Namun kakinya dihayun juga menuju ke singki. Matanya memandang ke dalam singki.
“Pinggan sendiri makan pun malas nak basuh....”. Rungutan tanpa sedar itu laju sahaja keluar dari bibirnya. Aliah membasuh pinggannya dan pinggan lelaki itu. Takkan nak tinggal macam tu je. Kesian Mak Temah.
Syah tidak bergerak ketika telinganya menangkap rungutan Aliah di sebelahnya itu. Memang sengaja dia tak nak basuh, mahu menduga isi hati gadis itu.
Aliah mengelap tangan yang basah dengan tuala good morning yang  tergantung di dinding sebelum melangkah memanjat tangga menuju ke tingkat atas. Ketika dia masuk ke dalam bilik, kedengaran suara azan bergema dari majlis di hujung taman itu.
“Wei...berangan ke apa?”.
Aliah tersentak. Matanya tertumpu pada Julia yang sedang bercekek pinggang di hadapannya. Spontan matanya dihala pada pintu pejabat yang tertutup rapat.
“Datang dari mana? Jatuh dari langit ke apa?”. Aliah merenung Julia yang telah duduk dihadapannya. Julia memutarkan bebola matanya.
“Punyalah sakit tangan aku ketuk pintu macam nak runtuh..kau boleh buat tak dengar je..”. Julia menjawab sambil duduk bersilang kaki ala-ala gangster. Aliah mencebik.
“Nak apa? Aku sibuk ni...”. Aliah mendekatkan tubuh pada meja sebelum mencapai pen dan mula mencatat nota-nota tambahan yang terhenti tadi.
“Aku nak tanya sesuatu ni...”.
“Apa dia?”. Aliah bertanya tanpa mengangkat muka.
“Raya tahun ni..kau balik Kuala?”.
Jari yang menekan kalkulator terhenti seketika.
“Tak sure lagi...”. Aliah menjawab perlahan sambil menyambung menekan kalkulator.
“Mak Long cakap kau balik Kuala tahun ni....”.  Julia memeluk tubuh memerhatikan Aliah yang sibuk mengira entah apa. Macam itulah kalau dah namanya pensyarah matematik. Tak lekang dengan kalkulator dan kira-kira.
“Lia...kau dengar tak apa aku cakap ni?”. Julia mencapai buku rujukan tebal di atas meja. Dibeleknya perlahan. Naik pening kepala dengan segala macam rumus dan simbol itu.
“Hmmm...dengar je....”. Aliah menjawab, masih lagi dengan pengiraannya.
“So..kau jadi balik ke tak ni?”.  Julia meletakkan semula buku rujukan itu kembali dia atas meja.
“Maybe...”. Aliah menjawab perlahan.
“Eloklah tu..boleh kita beraya bersama-sama tahun ni..dah banyak tahun kau tak balik Kuala kan..asyik raya di Batu Pahat je..sampai kecik hati orang tua tu...”. Julia berkata sambil memusingkan kerusi didudukinya itu ke kiri dan ke kanan.
Aliah mengeluh perlahan. Dia menegakkan tubuh di kerusi itu.
“Kau bukan tak tahu..aku bukan sengaja nak buat macam tu...”. Aliah membuang pandangan ke luar tingakap separuh terbuka itu.
“Dah dekat dua belas tahun Lia...takkan kau masih tak boleh lupa...”.
It’s not that easy...kau tak faham..kau tak berada di situ...”. Aliah terhenti. Kolam matanya mula berat. Namun dia cepat-cepat mengenyahkan ingatan tersebut dari benaknya. Julia mengeluh perlahan.
“Aku faham perasaan kau..aku tahu apa yang kau tanggung...tapi takkan selama-lamanya kau nak jauhkan diri...tak kesian ke pada atuk dan opah? Bukan kau sahaja yang menderita..semua orang pun sama Lia...”.
Aliah terdiam. Memang betul bukan dia sahaja yang menderita. Namun dia yakin orang lain takkan menderita lebih berat lagi daripadanya kerana dia yang ada di situ.
“Tak apalah..nanti kalau kau betul-betul jadi balik kampung..bagitahulah aku...but..aku harap juga dapat jumpa kau kat kampung Kuala tahun ini....”. Julia bangun. Aliah mendongak dan memerhatikan langkah kaki Julia menuju ke pintu pejabatnya. Aliah mengeluh perlahan sebelum menyandarkan tubuh pada kerusi, berfikir dalam-dalam.
 P/S : TO BE CONTINUED.

4 140 tukang karut:

Nliyate said...

knpa dia tak nak balik kampung? Anyway, I'm a silent reader be4 this. Love to read all your story.

Cahaya said...

nliyate>>thanks dear coz keep reading my blog. hmm..nk tahu kenapa dia tak nak balik kampung tu kn tunggulah. ada rahsia besar yang aliya simpan :)

Anonymous said...

assalam.nak tanya,apa tajuk lagu dalam blog ni eh? dah lama cari lagu ni.tapi taktahu tajuk nama lagu tu pulak.heee~btw,cerita ni best :) ~tripleyaya~

James King said...

my heart skip a beat..really wanna know what happen but need to rest for a bit then continue..^^

Post a Comment