RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Saturday, June 22, 2013

Dia Putera Mahkota?! (Bab 7)


BAB 7
Dahlia memejamkan mata. Bunyi suara-suara entah milik siapa tidak diendahkan. Mata yang terasa pedih dan bengkak agak sukar untuk dibuka. Kepala masih pening lagi. Tubuh terasa lemah. Hati terasa pedih. Dia hanya mahu menghabiskan masa diatas katil, meratapi apa yang dia telah kehilangan. Sukar untuk dia menerima hakikat yang insan tersayang telah pergi dari sisinya dalam sekelip mata. semuanya berlaku seperti mimpi dan dia benar-benar berharap, apabila dia punya kekuatan untuk bangkit nanti, semua yang berlaku ini hanyalah mimpi ngeri.
TOK.TOK...
“Dahlia. Mari bangun nak...” Suara ibu kedengaran di luar namun dia tidak mengendahkan. Pelukan teddy bear diperkemaskan. Mata masih lagi dipejam rapat. Telinga menangkap bunyi pintu dibuka.
“Lia. Bangun nak. Makan sikit...” suara ibu begitu dekat sekali. Terasa pergerakan di hujung katil.
“Lia. Bangun nak..” Ibu mengusap belakangnya dengan lembut. Terasa diri disayangi namun dia tidak berdaya untuk bangkit lagi. semangatnya seperti telah hilang disaat jenazah Shahreza dikebumikan dua minggu yang lepas.
“Lia. Bangunlah nak. Jangan macam ni...”
Dahlia masih mematungkan diri. Namun hatinya terasa sayu dan sedih apabila telinga menangkap esakan kecil di belakang. Tahulah dia yang ibu sudah mula mengalirkan air mata buat kesekian kali. Sesungguhnya dia rasa berdosa kerana membuatkan air mata seorang ibu mengalir lagi namun apakah daya. Dia tidak mampu untuk menahannya.
“Lia, janganlah macam ni. Yang pergi tu biarlah dia pergi. Kita yang masih hidup ni perlu tabah dan kuat untuk menghadapi kehidupan kita...” Ibu terus memujuk saban hari. Ibu terlalu sabar dalam melayan kerenahnya.
Dahlia menarik nafas panjang dan dalam. Mata cuba dibuka. Terasa silau dek cahaya yang menerangi bilik tersebut. Rasa macam dah bertahun-tahun tak tengok cahaya matahari. Mata terasa bengkak dan pedih. Sisa air mata masih lagi kelihatan di tubir mata. Perlahan-lahan Dahlia memusingkan tubuh menghadapa wajah ibunya. Rasa sedih dan pilu melihat wajah tua itu. Wajah yang selama ini sentiasa ceria dan tenang, kini kelihatan cengkung dan tidak bermaya. Salahnya juga barangkali kerana sering membuatkan ibunya itu menangis.
“Lia...”
“Lia okey ibu. Cuma...Lia perlukan masa...”
“Ibu faham. Kehilangan orang yang kita sayang merupakan ujian yang berat. Tapi Lia juga kena faham. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya...”
Dahlia hanya diam merenung wajah ibunya. Nasihat demi nasihat telah cuba ditelan sejak dua minggu yang lepas namun setakat ini, tiada satu pun yang mampu mengembalikan semangatnya.
“Ibu jangan risaukan Lia. Lia cuma mahu berehat. Tenangkan fikiran...”
Ibu merenung wajah anak tunggalnya itu dengan pandangan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Dia tidak sangka yang anak tunggalnya itu diuji dengan ujian yang berat untuk ditanggung oleh gadis seusia dia. Sedangkan dia sendiri pun takkan mampu nak menghadapi dugaan yang sama, kehilangan orang tersayang.
“Baiklah kalau macam tu, tapi ibu nak Lia bagi keizinan untuk mak cik Laila untuk masuk ke sini. Mereka datang bawakan sesuatu untuk diberikan Lia...”
Dahlia terdiam.
“Panggillah mak cik masuk...”
Ibu mengangguk perlahan sebelum bangun dan berjalan keluar dari bilik. Seketika kemudian, mak cik Laila, mak arwah Shahreza masuk ke biliknya. Dahlia cuba sedaya upaya mengagahkan diri untuk bangun. Kepala terasa berpusing.
“Lia tak perlu bangun nak...”
“Tak apa mak cik. Lia okey. Cuma...” Dahlia terhenti. Air mata mula nak berkaca. Mak cik Laila duduk di sisinya. Tangan diusap di atas ribanya.
“Lia apa khabar?”
Dahlia cuba tersenyum namun otot wajahnya sukar untuk digerakkan seolah-olah sudah bertahun-tahun tidak digunakan.
“Baik mak cik...” Dahlia menjawab perlahan.
Mak cik Laila memandang sayu ke arah Dahlia.
“Lia. Mak cik minta Lia banyak bersabar ye. Pemergian arwah bukan kehendak kita. Lia perlu kuat. Jangan lemah macam ni sayang. kasihanilah pada mereka yang masih hidup. Terseksa dengan keadaan Lia. Ibu Lia. Dia banyak menderita. Jangan menyeksa diri hanya kerana berlaku sesuatu yang telah ditakdirkan. Jangan menangisi mereka yang telah pergi...”
Dahlia memejamkan mata. Cuba menahan sebak. Air mata mengalir juga.
“Lia, sudahlah tu. Jangan seksa diri. kalau arwah tahu, pasti dia sedih. Lia mesti ingat  janji dan pesan arwah sebelum arwah pergi kan? Lia dah janji nak jaga diri dan kesihatan. Janji tetap janji Lia...”
“Tapi Reza pun pernah berjanji dengan saya yang dia takkan tinggalkan saya mak cik...”
Mak cik Laila terdiam. Tubuh Dahlia ditarik rapat. Dahlia memeluk erat tubuh mak Cik Laila. Jika peristiwa itu tidak berlaku, mak cik Laila kini sudah menjadi mak mertuanya.
“Kita tak boleh lawan qadak dan qada Lia. Semua yang berlaku pasti ada sebabnya. Mesti ada sebab kenapa Allah menurunkan ujian ini ke atas Lia. Lia insan yang dipilih oleh-Nya. Ingat, Allah takkan turunkan ujian ke atas hamba-Nya melainkan Dia tahu hamba-Nya itu mampu menangung ujian tersebut...”
Dahlia semakin teresak.
“Tapi mak cik, Lia tak sanggup. Lia tak mampu mak cik. Ujian ini...terlalu berat bagi Lia...”
“Banyak bersabar Lia...”
Dahlia semakin teresak. Mak cik Laila mengusap belakang badannya.
“Lia. Mak cik datang ni ada tujuan...”
Dahlia melepaskan pelukannya. Air mata yang mengalir diseka dengan belakang tangan.
“Mak cik datang nak serahkan benda ni...”
Dahlia hanya memandang sampul surat yang dihulurkan kepadanya.
“Ambillah Lia...”
Bergetar tangan Dahlia ketika mengambil sampul surat tersebut. Perlahan-lahan dia membuka dan mengeluarkan isinya.
“Apa ni mak cik?”
“Itu hak Lia. Reza yang berikan...”
Dahlia mengeleng lalu diserahkan kembali kepada mak cik Laila.
“Lia tak boleh terima. Ia terlalu banyak...”
“Ambillah Lia. Ini amanat terakhir dari arwah...”
Dahlia mengeleng lagi.
“Tak boleh mak cik. Saya tak berhak. Saya tak mampu nak terima pemberian sebegini besar....”
“Jangan macam tu Lia. Cek ini tertulis nama Lia. Sesiapa pun tak boleh nak ambil melainkan Lia sendiri. Ini amanat orang yang telah pergi Lia....”
Dahlia hanya mampu merenung cek bernilai lima puluh ribu ringgit itu yang tertulis namanya.
“Kenapa dia buat macam ni mak cik?” tanya Dahlia sebak.
“Arwah sayangkan Lia. Ini hadiah perkahwinan untuk Lia dari arwah...”
Air mata Dahlia kembali laju menuruni pipi.
“Macam mana saya nak terima mak cik. Hadiah perkahwinan daripada dia sedangkan kami tak pernah berkahwin...”
“Jangan macam tu Lia. Jodoh pertemuan semua di tangan Allah...”
Dahlia menarik nafas panjang. Dada terasa sesak. Air mata menitis lagi.
“Kamu berehatlah. Mak cik nak balik dulu. Cuma, ingatlah pesan mak cik. Bukan Lia sahaja yang menderita. Kasihanilah mereka yang masih hidup. Mereka perlukan Lia...”
Dahlia hanya diam ketika melihat mak cik Laila berjalan keluar dari biliknya. Cek ditangan hanya mampu ditatap sayu. Setitis air mata jatuh lagi di atas cek tersebut.
“ShahReza, kenapa awak buat saya macam ni?”

                                                                        ***

“Termenung panjang nampak...”
Tengku Shah Putra menoleh ke sebelah sebelum kembali merenung bulan.
“Kenapa ni? Macam ada masalah je...”
“Entahlah. Susah nak cakap..” Tengku Shah Putra menjawab perlahan.
“Cuba cerita pada aku. Mana tahu aku boleh tolong...”
Tengku Shah Putra mengeluh perlahan. Amir Fitri di sebelah hanya memandang.
“Aku tak tahulah Mir. Hati aku ni. Tiba-tiba rasa macam...entahlah. Susah nak cakap...”
“Hati kau?”
Tengku Shah Putra mengangguk perlahan.
“Hati kau rasa apa?”
“Entahlah. Rasa macam sedih. Pedih. Kadang kala rasa sesak tanpa sebab. Aku sendiri tak tahu kenapa hati aku rasa sayu je sejak dua menjak ni. Macam ada benda sedih yang telah berlaku tapi aku sendiri tak tahu apa benda sedih tu...”
“Hmm, pelik betul.” Amir Fitri menjawab perlahan. Kadang kala dia tak faham juga dengan sikap Tengku Shah Putra ini. Sikapnya berubah mengikut angin. Susah nak jangka.
“Entahlah. Kadang kala aku sendiri tak faham dengan diri aku. Kau bayangkan, tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba hati aku nak sayu, tiba-tiba hati aku rasa sedih tanpa aku tahu puncanya. Kadang kala macam nak gila aku fikir...”
“Hmm...”
“Kau rasa sebab apa? kau pernah rasa tak semua yang aku cakap tadi?” Tengku Shah Putra bertanya sambil memandang ke arah Amir Fitri.
“Entahlah. Susah aku nak jawab sebab aku pun tak pernah rasa apa yang kau rasa, Cuma satu je yang terlintas dalam fikiran aku...”
“Apa dia?”
“Hmm, kau masih ingat tentang puteri kayangan yang aku cakap hari tu?”
Tengku Shah Putra mengerutkan dahi.
“Jangan cakap yang hal ni....”
“Aku cuma agak je. Manalah tahu kan...”
“Jangan nak merepeklah. Tak mungkin...”
“Kenapa pulak tak mungkin? kau tahu tak, kadang kala kita boleh rasa yang dia itu jodoh kita walaupun dia jauh beribu batu. So tak mustahil kau juga boleh merasai apa yang jodoh kau tengah rasa sekarang. Puteri kayangan kau. Mungkin dia tengah bersedih atas sebab-sebab tertentu. Ingat, perempuan ini diciptakan daripada tulang rusuk lelaki. Setiap lelaki akan bertemu kembali dengan tulang rusuknya yang hilang itu. Lelaki dan perempuan ini ada pertalian. Ikatan yang kuat. Susah nak terangkan. Orang kata, tarikan kimia. Yang boleh buat kita merasai pertalian tersebut tanpa kita sedar....”
Tengku Shah Putra hanya terdiam. Baginya apa yang dikatakan oleh Amir Fitri itu tak mampu diterima oleh lojik akalnya. Mana boleh rasa perasaan orang yang jauh beribu batu. Tak kenal pulak tu. Jodohnya? Ye sangatlah tu. Puteri kayangan? Jangan mimpilah.
“Dahlah. Kau jangan banyak berfikir sangat. Lagipun kau ada tanggungjawab yang lebih besar lagi kan...?”
“Aku malas nak cakap hal tu...”
Amir Fitri mengeluh perlahan. Tak tahu sampai bila putera mahkota sorang ini mahu berubah sikap sambil lewanya itu.
“Kau kena ingat, kalau kau buat sambil lewa hal ini je, kau bakal dijodohkan dengan Tengku Aziana...”
“Jangan nak mengarut. Aku takkan terima...”
“Apa yang kau boleh buat? Titah baginda sultan takkan mampu kau bantah walaupun kau anak dia. Ingat tu...”
Tengku Shah Putra terdiam. Kepala terasa makin berserabut dan sarat dengan segala benda. Pandangan mata di hala ke arah bulan yang terang pada malam itu. Diam-diam dia berdoa walau siapa pun jodohnya di luar sana, semoga dia sentiasa berada dalam keadaan tenang dan bahagia.

                                                                          ***

Dahlia terkejut dan terjaga. Dia meraup muka yang basah dek peluh. Mimpi itu datang lagi. Mimpi seorang lelaki menunggang kuda putih mengejarnya. Dahlia duduk menyandar diri di kepala katil. Kalau dulu, mimpi macam tu memang mimpi paling seronok sekali namun sekarang, mimpi itu hanya menambahkan luka di hatinya.
Dahlia menjeling jam di atas meja belajar. Hampir pukul empat pagi. Sepanjang hari ini dia sentiasa menghabiskan masa dengan tidur sahaja. Mujurlah dia tidak boleh solat. Dahlia menarik nafas dalam-dalam. Kepala terasa pening mungkin terlalu banyak tidur. Dia bangun lalu berjalan menuju ke balkoni. Pintu gelangsar di tolak ketepi. Kaki diatur keluar. Cahaya bulan begitu terang menyinari malam itu. Angin sejuk bertiup lembut menampar tubuhnya yang agak kesejukan. Rambutnya yang terbuai dek angin malam itu hanya dibiarkan. Mata merenung bulan penuh itu. Hati terasa sedikit tenang. Ketika itu dirasakan bulan seolah-olah begitu dekat dengan dirinya. Sejak kebelakangan ini, suka benar dia merenung ke arah bulan terutama ketika bulan penuh dan bercahaya terang seperti malam itu. Sangat menenangkan dan mendamaikan. Limpahan cahaya bulan itu seolah-olah menyelimutinya. Seolah olah dia rasa disayangi. Seolah-olah ada seseorang yang turut sama merenung bulan itu, dan mendoakan kebahagiaannya.
Dahlia memejamkan mata. Entah apa dia merepek malam-malam macam ini. Tak mungkin akan ada lagi seseorang yang menyayanginya, yang sentiasa mendoakan kebahagiannya. Orang itu telah pergi. Telah pergi terus dari hidupnya tanpa kembali lagi. Spontan air mata mengalir lagi. Sesungguhnya dia rindukan ShahReza. Hanya ShahReza yang begitu memahami dan menyayanginya. Air mata di seka perlahan sebelum dia merenung kembali ke arah bulan. Cuba menghayati keindahan ciptaan tuhan sebelum dia masuk kembali ke dalam bilik.
 P/S: TO BE CONTINUED.
P/S/S:  walaupun citer ni stuck di tengah jalan, tapi post jugak mana yang ada dulu. insyaAllah akan disambung nanti lepas habis BAPK-2.

4 140 tukang karut:

Eit@ mohamad said...

Hihihi thanks cahaya... caiiiyook

Cahaya said...

kak eita>> heeee..

baby mio said...

best nak lagi.

Cahaya said...

baby mio>>insyaAllah nanti akan diupdate..cite ni distopkan sementara waktu...

Post a Comment