RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Saturday, June 22, 2013

Dia Putera Mahkota?! (Bab 7)


BAB 7
Dahlia memejamkan mata. Bunyi suara-suara entah milik siapa tidak diendahkan. Mata yang terasa pedih dan bengkak agak sukar untuk dibuka. Kepala masih pening lagi. Tubuh terasa lemah. Hati terasa pedih. Dia hanya mahu menghabiskan masa diatas katil, meratapi apa yang dia telah kehilangan. Sukar untuk dia menerima hakikat yang insan tersayang telah pergi dari sisinya dalam sekelip mata. semuanya berlaku seperti mimpi dan dia benar-benar berharap, apabila dia punya kekuatan untuk bangkit nanti, semua yang berlaku ini hanyalah mimpi ngeri.
TOK.TOK...
“Dahlia. Mari bangun nak...” Suara ibu kedengaran di luar namun dia tidak mengendahkan. Pelukan teddy bear diperkemaskan. Mata masih lagi dipejam rapat. Telinga menangkap bunyi pintu dibuka.
“Lia. Bangun nak. Makan sikit...” suara ibu begitu dekat sekali. Terasa pergerakan di hujung katil.
“Lia. Bangun nak..” Ibu mengusap belakangnya dengan lembut. Terasa diri disayangi namun dia tidak berdaya untuk bangkit lagi. semangatnya seperti telah hilang disaat jenazah Shahreza dikebumikan dua minggu yang lepas.
“Lia. Bangunlah nak. Jangan macam ni...”
Dahlia masih mematungkan diri. Namun hatinya terasa sayu dan sedih apabila telinga menangkap esakan kecil di belakang. Tahulah dia yang ibu sudah mula mengalirkan air mata buat kesekian kali. Sesungguhnya dia rasa berdosa kerana membuatkan air mata seorang ibu mengalir lagi namun apakah daya. Dia tidak mampu untuk menahannya.
“Lia, janganlah macam ni. Yang pergi tu biarlah dia pergi. Kita yang masih hidup ni perlu tabah dan kuat untuk menghadapi kehidupan kita...” Ibu terus memujuk saban hari. Ibu terlalu sabar dalam melayan kerenahnya.
Dahlia menarik nafas panjang dan dalam. Mata cuba dibuka. Terasa silau dek cahaya yang menerangi bilik tersebut. Rasa macam dah bertahun-tahun tak tengok cahaya matahari. Mata terasa bengkak dan pedih. Sisa air mata masih lagi kelihatan di tubir mata. Perlahan-lahan Dahlia memusingkan tubuh menghadapa wajah ibunya. Rasa sedih dan pilu melihat wajah tua itu. Wajah yang selama ini sentiasa ceria dan tenang, kini kelihatan cengkung dan tidak bermaya. Salahnya juga barangkali kerana sering membuatkan ibunya itu menangis.
“Lia...”
“Lia okey ibu. Cuma...Lia perlukan masa...”
“Ibu faham. Kehilangan orang yang kita sayang merupakan ujian yang berat. Tapi Lia juga kena faham. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya...”
Dahlia hanya diam merenung wajah ibunya. Nasihat demi nasihat telah cuba ditelan sejak dua minggu yang lepas namun setakat ini, tiada satu pun yang mampu mengembalikan semangatnya.
“Ibu jangan risaukan Lia. Lia cuma mahu berehat. Tenangkan fikiran...”
Ibu merenung wajah anak tunggalnya itu dengan pandangan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Dia tidak sangka yang anak tunggalnya itu diuji dengan ujian yang berat untuk ditanggung oleh gadis seusia dia. Sedangkan dia sendiri pun takkan mampu nak menghadapi dugaan yang sama, kehilangan orang tersayang.
“Baiklah kalau macam tu, tapi ibu nak Lia bagi keizinan untuk mak cik Laila untuk masuk ke sini. Mereka datang bawakan sesuatu untuk diberikan Lia...”
Dahlia terdiam.
“Panggillah mak cik masuk...”
Ibu mengangguk perlahan sebelum bangun dan berjalan keluar dari bilik. Seketika kemudian, mak cik Laila, mak arwah Shahreza masuk ke biliknya. Dahlia cuba sedaya upaya mengagahkan diri untuk bangun. Kepala terasa berpusing.
“Lia tak perlu bangun nak...”
“Tak apa mak cik. Lia okey. Cuma...” Dahlia terhenti. Air mata mula nak berkaca. Mak cik Laila duduk di sisinya. Tangan diusap di atas ribanya.
“Lia apa khabar?”
Dahlia cuba tersenyum namun otot wajahnya sukar untuk digerakkan seolah-olah sudah bertahun-tahun tidak digunakan.
“Baik mak cik...” Dahlia menjawab perlahan.
Mak cik Laila memandang sayu ke arah Dahlia.
“Lia. Mak cik minta Lia banyak bersabar ye. Pemergian arwah bukan kehendak kita. Lia perlu kuat. Jangan lemah macam ni sayang. kasihanilah pada mereka yang masih hidup. Terseksa dengan keadaan Lia. Ibu Lia. Dia banyak menderita. Jangan menyeksa diri hanya kerana berlaku sesuatu yang telah ditakdirkan. Jangan menangisi mereka yang telah pergi...”
Dahlia memejamkan mata. Cuba menahan sebak. Air mata mengalir juga.
“Lia, sudahlah tu. Jangan seksa diri. kalau arwah tahu, pasti dia sedih. Lia mesti ingat  janji dan pesan arwah sebelum arwah pergi kan? Lia dah janji nak jaga diri dan kesihatan. Janji tetap janji Lia...”
“Tapi Reza pun pernah berjanji dengan saya yang dia takkan tinggalkan saya mak cik...”
Mak cik Laila terdiam. Tubuh Dahlia ditarik rapat. Dahlia memeluk erat tubuh mak Cik Laila. Jika peristiwa itu tidak berlaku, mak cik Laila kini sudah menjadi mak mertuanya.
“Kita tak boleh lawan qadak dan qada Lia. Semua yang berlaku pasti ada sebabnya. Mesti ada sebab kenapa Allah menurunkan ujian ini ke atas Lia. Lia insan yang dipilih oleh-Nya. Ingat, Allah takkan turunkan ujian ke atas hamba-Nya melainkan Dia tahu hamba-Nya itu mampu menangung ujian tersebut...”
Dahlia semakin teresak.
“Tapi mak cik, Lia tak sanggup. Lia tak mampu mak cik. Ujian ini...terlalu berat bagi Lia...”
“Banyak bersabar Lia...”
Dahlia semakin teresak. Mak cik Laila mengusap belakang badannya.
“Lia. Mak cik datang ni ada tujuan...”
Dahlia melepaskan pelukannya. Air mata yang mengalir diseka dengan belakang tangan.
“Mak cik datang nak serahkan benda ni...”
Dahlia hanya memandang sampul surat yang dihulurkan kepadanya.
“Ambillah Lia...”
Bergetar tangan Dahlia ketika mengambil sampul surat tersebut. Perlahan-lahan dia membuka dan mengeluarkan isinya.
“Apa ni mak cik?”
“Itu hak Lia. Reza yang berikan...”
Dahlia mengeleng lalu diserahkan kembali kepada mak cik Laila.
“Lia tak boleh terima. Ia terlalu banyak...”
“Ambillah Lia. Ini amanat terakhir dari arwah...”
Dahlia mengeleng lagi.
“Tak boleh mak cik. Saya tak berhak. Saya tak mampu nak terima pemberian sebegini besar....”
“Jangan macam tu Lia. Cek ini tertulis nama Lia. Sesiapa pun tak boleh nak ambil melainkan Lia sendiri. Ini amanat orang yang telah pergi Lia....”
Dahlia hanya mampu merenung cek bernilai lima puluh ribu ringgit itu yang tertulis namanya.
“Kenapa dia buat macam ni mak cik?” tanya Dahlia sebak.
“Arwah sayangkan Lia. Ini hadiah perkahwinan untuk Lia dari arwah...”
Air mata Dahlia kembali laju menuruni pipi.
“Macam mana saya nak terima mak cik. Hadiah perkahwinan daripada dia sedangkan kami tak pernah berkahwin...”
“Jangan macam tu Lia. Jodoh pertemuan semua di tangan Allah...”
Dahlia menarik nafas panjang. Dada terasa sesak. Air mata menitis lagi.
“Kamu berehatlah. Mak cik nak balik dulu. Cuma, ingatlah pesan mak cik. Bukan Lia sahaja yang menderita. Kasihanilah mereka yang masih hidup. Mereka perlukan Lia...”
Dahlia hanya diam ketika melihat mak cik Laila berjalan keluar dari biliknya. Cek ditangan hanya mampu ditatap sayu. Setitis air mata jatuh lagi di atas cek tersebut.
“ShahReza, kenapa awak buat saya macam ni?”

                                                                        ***

“Termenung panjang nampak...”
Tengku Shah Putra menoleh ke sebelah sebelum kembali merenung bulan.
“Kenapa ni? Macam ada masalah je...”
“Entahlah. Susah nak cakap..” Tengku Shah Putra menjawab perlahan.
“Cuba cerita pada aku. Mana tahu aku boleh tolong...”
Tengku Shah Putra mengeluh perlahan. Amir Fitri di sebelah hanya memandang.
“Aku tak tahulah Mir. Hati aku ni. Tiba-tiba rasa macam...entahlah. Susah nak cakap...”
“Hati kau?”
Tengku Shah Putra mengangguk perlahan.
“Hati kau rasa apa?”
“Entahlah. Rasa macam sedih. Pedih. Kadang kala rasa sesak tanpa sebab. Aku sendiri tak tahu kenapa hati aku rasa sayu je sejak dua menjak ni. Macam ada benda sedih yang telah berlaku tapi aku sendiri tak tahu apa benda sedih tu...”
“Hmm, pelik betul.” Amir Fitri menjawab perlahan. Kadang kala dia tak faham juga dengan sikap Tengku Shah Putra ini. Sikapnya berubah mengikut angin. Susah nak jangka.
“Entahlah. Kadang kala aku sendiri tak faham dengan diri aku. Kau bayangkan, tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba hati aku nak sayu, tiba-tiba hati aku rasa sedih tanpa aku tahu puncanya. Kadang kala macam nak gila aku fikir...”
“Hmm...”
“Kau rasa sebab apa? kau pernah rasa tak semua yang aku cakap tadi?” Tengku Shah Putra bertanya sambil memandang ke arah Amir Fitri.
“Entahlah. Susah aku nak jawab sebab aku pun tak pernah rasa apa yang kau rasa, Cuma satu je yang terlintas dalam fikiran aku...”
“Apa dia?”
“Hmm, kau masih ingat tentang puteri kayangan yang aku cakap hari tu?”
Tengku Shah Putra mengerutkan dahi.
“Jangan cakap yang hal ni....”
“Aku cuma agak je. Manalah tahu kan...”
“Jangan nak merepeklah. Tak mungkin...”
“Kenapa pulak tak mungkin? kau tahu tak, kadang kala kita boleh rasa yang dia itu jodoh kita walaupun dia jauh beribu batu. So tak mustahil kau juga boleh merasai apa yang jodoh kau tengah rasa sekarang. Puteri kayangan kau. Mungkin dia tengah bersedih atas sebab-sebab tertentu. Ingat, perempuan ini diciptakan daripada tulang rusuk lelaki. Setiap lelaki akan bertemu kembali dengan tulang rusuknya yang hilang itu. Lelaki dan perempuan ini ada pertalian. Ikatan yang kuat. Susah nak terangkan. Orang kata, tarikan kimia. Yang boleh buat kita merasai pertalian tersebut tanpa kita sedar....”
Tengku Shah Putra hanya terdiam. Baginya apa yang dikatakan oleh Amir Fitri itu tak mampu diterima oleh lojik akalnya. Mana boleh rasa perasaan orang yang jauh beribu batu. Tak kenal pulak tu. Jodohnya? Ye sangatlah tu. Puteri kayangan? Jangan mimpilah.
“Dahlah. Kau jangan banyak berfikir sangat. Lagipun kau ada tanggungjawab yang lebih besar lagi kan...?”
“Aku malas nak cakap hal tu...”
Amir Fitri mengeluh perlahan. Tak tahu sampai bila putera mahkota sorang ini mahu berubah sikap sambil lewanya itu.
“Kau kena ingat, kalau kau buat sambil lewa hal ini je, kau bakal dijodohkan dengan Tengku Aziana...”
“Jangan nak mengarut. Aku takkan terima...”
“Apa yang kau boleh buat? Titah baginda sultan takkan mampu kau bantah walaupun kau anak dia. Ingat tu...”
Tengku Shah Putra terdiam. Kepala terasa makin berserabut dan sarat dengan segala benda. Pandangan mata di hala ke arah bulan yang terang pada malam itu. Diam-diam dia berdoa walau siapa pun jodohnya di luar sana, semoga dia sentiasa berada dalam keadaan tenang dan bahagia.

                                                                          ***

Dahlia terkejut dan terjaga. Dia meraup muka yang basah dek peluh. Mimpi itu datang lagi. Mimpi seorang lelaki menunggang kuda putih mengejarnya. Dahlia duduk menyandar diri di kepala katil. Kalau dulu, mimpi macam tu memang mimpi paling seronok sekali namun sekarang, mimpi itu hanya menambahkan luka di hatinya.
Dahlia menjeling jam di atas meja belajar. Hampir pukul empat pagi. Sepanjang hari ini dia sentiasa menghabiskan masa dengan tidur sahaja. Mujurlah dia tidak boleh solat. Dahlia menarik nafas dalam-dalam. Kepala terasa pening mungkin terlalu banyak tidur. Dia bangun lalu berjalan menuju ke balkoni. Pintu gelangsar di tolak ketepi. Kaki diatur keluar. Cahaya bulan begitu terang menyinari malam itu. Angin sejuk bertiup lembut menampar tubuhnya yang agak kesejukan. Rambutnya yang terbuai dek angin malam itu hanya dibiarkan. Mata merenung bulan penuh itu. Hati terasa sedikit tenang. Ketika itu dirasakan bulan seolah-olah begitu dekat dengan dirinya. Sejak kebelakangan ini, suka benar dia merenung ke arah bulan terutama ketika bulan penuh dan bercahaya terang seperti malam itu. Sangat menenangkan dan mendamaikan. Limpahan cahaya bulan itu seolah-olah menyelimutinya. Seolah olah dia rasa disayangi. Seolah-olah ada seseorang yang turut sama merenung bulan itu, dan mendoakan kebahagiaannya.
Dahlia memejamkan mata. Entah apa dia merepek malam-malam macam ini. Tak mungkin akan ada lagi seseorang yang menyayanginya, yang sentiasa mendoakan kebahagiannya. Orang itu telah pergi. Telah pergi terus dari hidupnya tanpa kembali lagi. Spontan air mata mengalir lagi. Sesungguhnya dia rindukan ShahReza. Hanya ShahReza yang begitu memahami dan menyayanginya. Air mata di seka perlahan sebelum dia merenung kembali ke arah bulan. Cuba menghayati keindahan ciptaan tuhan sebelum dia masuk kembali ke dalam bilik.
 P/S: TO BE CONTINUED.
P/S/S:  walaupun citer ni stuck di tengah jalan, tapi post jugak mana yang ada dulu. insyaAllah akan disambung nanti lepas habis BAPK-2.

Thursday, June 20, 2013

TEASER : Seandainya Aku Jatuh Cinta Lagi



TEASER : 
“Haikal, salam papa dulu..” Ariana berkata ke arah Haikal yang sibuk bermain mainan di tangan. Haikal berjalan terkedek-kedek ke arah along sebelum menyalami tangan papanya itu. Pipi Haikal dikucup perlahan oleh along.
“Mia sayang...” Along mencium pipi Mia yang didukung oleh Ariana itu. Ariana hanya melihat aksi anak beranak itu. Penyayang juga along ni walapun muka tu nampak tegas.
“Along, jaga diri baik-baik...” Ariana pula tunduk mencium tangan alongnya.
“Yelah. Adik tolong tengok-tengokkan budak-budak ni tau. Kak Suri tu macam tak berapa sihat.” Along sempat berpesan. Ariana hanya mengangguk.
“Babai papa...” Ariana mengangkat tangan Mia dan melambaikan tangan anak kecil itu ketika along berjalan menuju ke balai berlepas domestik.
“Mak su, papa nak pergi mana?” Haikal bertanya. Tangan tak lepas dari mainan robotnya. Sebelah tangan lagi memegang tangan Ariana.
“Papa kena pergi Sabah. Ada kerja dekat sana...” Ariana menjawab sambil mereka berjalan keluar dari lapangan terbang tersebut.
“Mak su, boleh tak Haikal nak beli robot lagi. Robot ni dah patah...” Haikal yang duduk di belakang itu berkata sambil menghulirkan robot yang telah hilang tangan dan kakinya itu. Ariana yang baru sahaja meletakkan Mia di dalam baby seat di tempat duduk hadapan bersebelahan tempat duduk pemandu itu menoleh ke arah patung tersebut.
“Okey, tapi Haikal kena janji dengan mak su...”
“Janji apa?” Haikal petah bertanya. Dah nama pun anak peguam. Cakap tu petah je.
“Haikal kena janji kena dengar cakap mama, cakap mak su. Boleh?”
Haikal mengangguk. Ariana tersenyum sebelum menarik tali pinggang keledar. Engin kereta Honda Accord milik along itu dihidupkan sebelum dia memandu keluar menuju ke pusat beli belah. Setelah memakirkan kereta, Ariana keluar dari kereta menuju ke bonet belakang. Stoller Mia dibawa keluar. Rasa macam tak larat je nak dukung Mia ni nanti. Setelah memastikan Mia selesa berada di dalam stoller tersebut, dia memimpin tangan Haikal dan menolak stoller Mia masuk ke dalam pusat beli belah tersebut. Mereka terus menuju ke tingkat tiga yang menempatkan kedai-kedai menjual barang-barang permainan kanak-kanak.
“Haikal nak yang mana?” Ariana bertanya sambil memilih mainan yang berada di situ. Mia di dalam stoller pula sudah tidur.
Haikal masih sibuk memilih mainan yang disukainya. Ariana pula melayan dengan penuh sabar. Sesekali dia menjeling ke arah Mia yang sedang nyenyak tidur itu. Mujur anak saudaranya itu masing-masing tak meragam. Bimbang juga kalau ada yang buat perangai tengah-tengah ramai orang ni.
“Mak su, Haikal nak yang ni...” Haikal menghulurkan mainan robot yang agak besar ke arahnya. Ariana yang sedang memilih mainan untuk Mia itu menoleh.
“Jom, kita pergi bayar dulu...” Ariana menolak stoller perlahan menuju ke kaunter bayaran. Tak sedar yang Haikal masih berdiri di situ dan membelek mainan lain pula. Dah nama pun budak-budak, mana boleh berenggang dengan mainan yang macam-macam jenis itu.
Thanks..” Ariana berkata ketika penjual menghulurkan plastik berisi mainan Haikal dan Mia itu. Dia segera menolak stoller keluar dari kedai apabila dirasakan kedai tersebut semakin ramai orang. Risau kalau-kalau Mia terjaga pula.
“Haikal...eh mana pula budak Haikal ni?” Ariana berpusing ke belakang. Dia mula rasa cemas apabila Haikal tidak berada di belakangnya seperti yang dia sangkakan.
“Haikalll..!” Ariana memanggil nama anak saudaranya itu agak kuat. Nak tolak stoller masuk ke dalam bimbang Mia terjaga pula. Dia yakin yang Haikal masih berada di dalam kedai tersebut.
“Haikallll...” Ariana memanggil nama Haikal lagi. Rasa cemas yang semakin mencengkap hatinya itu membuatkan dia bertekad mahu masuk juga ke kedai yang semakin sesak itu. Tak kisahlah kalau Mia terjaga dan menangis pun, sekurang-kurangnya Mia masih selamat berada dengannya.
“Aduhhh...”
Sorry...” Ariana memandang kaki yang dilanggar dengan stoller Mia itu ketika dia berpusing menolak stoller Mia dengan kelang kabut tadi.
Sorry encik. Saya tak...” Ariana ternganga apabila melihat siapa yang sedang berdiri di hadapannya itu. Dahi lelaki itu berkerut manahan sakit barangkali.
“Kelang kabut macam dulu jugak...”
Ariana menelan air liur. Tak sangka boleh jumpa Akmal dekat sini.
“Awak buat apa dekat sini?” Akmal bertanya sambil mata memandang ke arah Mia yang masih lena itu. Kening dia terangkat. Ariana dah kawin ke? Dah ada anak?
Ariana tidak menjawab. Dia lebih risaukan Haikal yang masih berada di dalam. Akmal memandang ke arah Ariana yang agak gelisah itu sebelum turut sama memandang ke arah kedai permainan itu. Ariana sedang tunggu seseorang? Suami ke?
Ariana menolak stoller mahu masuk ke dalam namun rasanya agak mustahil nak masuk ke dalam kedai tersebut sambil menolak stoller. Sesak macam sardin dalam tin.
“Awak nak pergi mana ni?” Akmal masih bertanya lagi. Ariana masih tidak menjawab. Otak ligat berfikir dan dia tak ada pilihan lain lagi.
“Errr, boleh tolong kejap? Tolong tengokkan Mia. Saya nak masuk ke dalam...” Ariana berkata tanpa memandang wajah Akmal. Dia berjalan laju masuk ke dalam kedai. Akmal yang masih berdiri di luar kedai tersebut agak terpinga-pinga. Pertama kali jumpa Ariana depan-depan tapi Ariana dah buat perangai pelik. Lima minit kemudian, Ariana keluar sambil mendukung seorang budak lelaki. Mulut Ariana tidak henti-henti memujuk anak kecil yang sedang menangis itu. Kening Akmal terangkat lagi. Ariana dah ada dua orang anak?
“Lain kali jangan hilang macam tu je tau. Risau mak su...” Ariana menyapu air mata yang membasahi pipi Haikal itu.
Mak su?
Ariana baru tersedar akan kehadiran Akmal itu. Tiba-tiba jantung berdegup kencang.
“Err, thanks for help..” Tergagap Ariana berkata. Akmal masih memandang wajah Ariana tanpa berkelip.
“Anak awak ke?” Akmal bertanya sekadar menduga. Macamlah dia tak tahu yang Ariana membahasakan diri sebagai mak su tadi. Ariana menggigit bibir. Nak jawab apa ni? Nak mengaku ke tak?
“Err, ya. Err...anak...” Tergagap Ariana menjawab. Dah namanya nak menipu memanglah tergagap. Tapi memang betul pun. Haikal dan Mia tu kira kan anak saudara dia. Kira dia cuma tak sebut ‘saudara’ je. Kira tak adalah menipu sangatkan.
Akmal cuba menahan senyum di bibir. Dia nak tengok sejauh mana permainan Ariana.
“Mak su, Haikal lapar...”
Ariana telan air liur. Aduh. Kantoi terang-terangan.
Senyum yang cuba ditahan sejak dari tadi terlepas juga. Ha kan dah cakap. Tak sempat nak tengok sejauh mana Ariana nak ‘main’ pun. Kantoi terus.
“Ish Haikal ni. Buat kantoi je...” Ariana berkata di dalam hati.
“Saya tak tahu pula ada anak yang panggil emaknya sebagai ‘mak su’.?” Akmal berkata separuh menyindir. Ariana menggigit bibir.
“Bukan urusan awak..” Ariana menjawab geram. Nampaknya Akmal memang tak berubah. Perangai macam dulu juga. Ingatkan dah pakai smart macam tu, berubahlah jugak perangai tu. Ini tak. Sama je. Huh.
Anyway. Thanks again for your help. Nice to meet you. Saya balik dulu...” Ariana berkata sebelum melangkah. Tangan sudah mula menolak stoller Mia namun Akmal menahan dengan kaki. Ariana merenung tajam ke arah Akmal.
“Nantilah. Saya tak habis cakap lagi ni...”
“Awak nak cakap apa lagi?” Ariana bertanya tidak sabar. Seboleh-bolehnya dia mahu menjauhkan diri daripada Akmal. Dia tak nak kenangan lalu dan rasa cinta yang tak pernah padam dalam hatinya terhadap Akmal itu bakal memberi masalah pada dia.
“Ini Haikal ke?” Akmal bertanya tanpa menjawab soalan Ariana tadi.
“Haikal, ingat lagi tak uncle?” Akmal merendahkan badan ketika memandang ke arah Haikal yang masih didukung oleh Ariana itu. Ariana menelan air liur. Jarak antara Akmal dengan dia hanya dua langkah je. Haikal pula hanya terkebil-kebil memandang wajah Akmal.
“Mana dia nak ingat. Masa awak datang dulu dia baby lagi...” Spontan Ariana menjawab. Akmal mengangkat kening. Ingatkan Ariana dah lupa tentang hal itu.
Ariana terdiam apabila menyedari yang dia sudah mula nak ungkit kenangan lama. Stop it Ariana. Benda yang lepas jangan dikenang kalau tak nak merana lagi.
“Oh, yeke? kalau macam tu, boleh kita berkenalan? Nama uncle, uncle Akmal. Nama Haikal siapa?” Akmal bertanya sambil buat lawak sengal dia. Dah tahu nama si anak kecil tu lagi mahu tanya. Haikal menghulurkan tangan mahu menyambut salam yang dihulurkan oleh Akmal itu. Haikal mencium tangan Akmal sebelum memandang wajah Ariana dengan mata bulatnya.
Good boy. Baik macam mak su dia..” Akmal berkata sambil tersenyum mengusik. Ariana menjeling. Tak payah nak bodek sangatlah.
“Haikal nak makan KFC tak? Uncle belanja...”
Laju Haikal mengangguk. Bulat mata Ariana merenung wajah Akmal.
“Eh, tak payahlah Haikal. Kita balik makan dekat rumah. Penat je mama masak nanti, ya sayang...” Ariana cepat-cepat memujuk Haikal. Tak sanggup nak melanjutkan pertemuan dengan Akmal. Sekarang ni pun jantung dah tak reti nak duduk diam. Asyik dup dap je.
Haikal memandang wajah Ariana dengan raut wajah seperti mahu menangis kembali membuatkan Ariana mengelabah. Mahu tak mengelabah kalau si Haikal ni mengamuk dekat tengah-tengah orang ramai macam ni.
“Jom ikut uncle...” Akmal menghulurkan tangan ke arah Haikal. Haikal memandang wajah Ariana sebelum tangan turut dihulurkan ke arah Akmal. Mahu tak mahu terpaksalah Ariana melepaskan Haikal yang mahu didukung oleh Akmal itu. Hai bertuah betul si Haikal ni.
Ariana menolak stoller dan mengekori Akmal yang sedang berbual dengan Haikal itu. Cakap pasal apa pun tak tahulah. Dalam hati terselit rasa kagum terhadap Akmal yang pandai melayan anak kecil seperti Haikal itu. Barangkali Akmal sudah ada pengalaman layan budak-budak kot. Entah-entah selama empat tahun ini, anak Akmal dah ada dua tiga orang agaknya. Ariana menarik nafas panjang. Agak pedih juga hatinya apabila membayangkan apa yang berada di dalam fikirannya ketika itu. Akmal sebagai seorang ayah dan dia bukanlah ibu kepada anak-anak itu.
“Mak su. Cepatlah. Haikal dah lapar ni...”
Ariana tersedar apabila Haikal menjerit memanggil namanya. Rupanya dia sudah tertinggal jauh di belakang. Spontan tangan laju menolak stoller Mia menghampiri Akmal dan Haikal yang berdiri menunggunya di hadapan restoran KFC tersebut.
“Bila balik Malaysia?”
Tangan yang sedang menyuap Haikal makan itu terhenti seketika.
“Bulan lepas...”
“Oh...”
Senyap.
“Sekarang tengah buat apa?Kerja mana?”
“Tak buat apa. Tak kerja lagi...”
“Yeke? kenapa?”
“Saja...”
Senyap lagi.
“Duduk dengan siapa di KL?”
“Along...”
“Along?”
“Hmm...”
“Ayah Haikal?”
“Hmm...”
Senyap lagi.
“Awak sihat?”
“Awak nampak saya dekat mana sekarang? Mestilah sihat..” Ariana menjawab. Tangan lincah mengasingkan kulit ayam dengan isinya.
“Kenapa asingkan kulit dengan isi?” Akmal bertanya.
“Haikal tak suka makan kulit ayam..”
“Oh, yeke. Kenapa?”
Ariana menjeling ke arah Akmal. Yang sibuk sangat nak tahu tu kenapa? Banyak sangat tanya. Makan jelah. Ariana mengomel di dalam hati.
“Marah nampak...”
“Taklah. Suka lagi ada.” Ariana menyindir. Rimas sebenarnya berada di situ bersama-sama dengan Akmal.
“Salah ke kalau saya cuma nak bertanya khabar kawan lama?”
Ariana menggigit bibir. Pedih hatinya apabila mendengar Akmal menyebut dia sebagai ‘kawan lama’.
“Awak....dah kawin ke?” Akmal bertanya perlahan. Mata mencuri-curi memandang jari Ariana yang kosong itu. Hmm, macam belum kawin. Dia menjeling pula pergelangan tangan Ariana yang ditutupi dengan baju lengan panjang. Manalah tahu suami Ariana ni tak bagi cincin masa nikah tapi bagi gelang ke kan. Jantungnya seolah-olah terhenti seketika ketika matanya jatuh pada gelang emas putih yang tersarung di tangan kanan Ariana. Ariana masih memakai gelang tersebut setelah sekian lama? Kenapa?
“Itu...bukan urusan awak.” Ariana menjawab perlahan. Agak terkejut dengan soalan berani mati daripada Akmal tu. Mentang-mentanglah dia dah kawin, selamba je nak tanya soalan sensitif macam tu pada dia.
“Ariana...”
Jantung Ariana kembali berdegup kencang. Sudah lama dia tak dengar Akmal memanggilnya dengan nada begitu. Seolah-olah Akmal yang sedang berada di hadapannya itu sekarang adalah Akmal yang dulu. Akmal yang suatu ketika dahulu masih mencintainya.
“Haikal, cepat makan. Kejap lagi nak balik. Nanti mama risau...” Ariana berpura-pura sibuk melayan Haikal makan. Sesekali dia menjeling ke arah Mia yang masih nyenyak tidur di dalam stoller.
Akmal menarik nafas panjang. Dia tahu Ariana masih marah padanya dan dia tak nak terburu-buru. Lambat laun Ariana akan tahu juga kebenarannya.

P/S: MOOD MALAM MALAM N PLUS RINDU AKMAL + ARIANA. SO TERIMALAH POST INI. :p