RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Monday, April 8, 2013

Seandainya, Aku Jatuh Cinta Lagi...(Bab 37)


BAB 37
“Kakak, betul tak macam ni? Sarah macam keliru sikit...” Sarah menghulurkan buku latihan matematik tambahan ke arah Ariana. Ariana menarik buku tersebut dengan lebih dekat dan meneliti jalan kerja yang telah dibuat oleh Sarah itu.
“Hmmm, Sarah salah dekat sini...” Ariana membulatkan jalan kerja yang dimaksudkan dengan pensel.
“Eh, yeke?” Sarah meneliti dengan lebih dekat.
“Sepatutnya Sarah kena buat macam ni...” Ariana mencapai kertas conteng yang berada di atas meja lalu mula menulis jalan kerja yang betul sambil menerangkan pada Sarah. Sarah mendengar dengan teliti dan sekali sekala mengangguk tanda faham.
Akmal yang turut berada di dalam bilik bacaan itu hanya merenung Ariana tanpa berkelip sejak dari tadi. Buku yang terbuka di hadapannya itu tidak langsung dipandang. Memang susah betul nak belajar kalau Ariana turut sama berada di situ. Hilang terus fokus.
“Faham tak?” Tanya Ariana. Sarah mengangguk laju.
“Cuba buat soalan yang seterusnya pulak..”
“Okey...” Sarah menarik buku latihan itu rapat kepadanya. Ariana tersenyum sebelum mengangkat kepala. Pandangannya bertembung dengan pandangan Akmal yang masih lagi memandang ke arahnya tanpa berkelip.
“Akmal? Awak buat apa tu?”
Akmal masih memandang ke arahnya. Ariana mengambil segumpal kertas conteng yang sudah tidak digunakan lalu dibaling ke arah Akmal membuatkan lelaki itu tersedar. Akmal memandang ke arah kertas gumpalan di hadapannya itu sebelum kembali memandang ke arah Ariana.
“Awak buat apa? Tadi kata nak studi ..” Kening Ariana terangkat. Akmal tidak menjawab. Dia kembali tunduk memandang buku dihadapannya. Ariana mengeleng kepala sebelum kembali memandang ke arah Sarah yang sibuk menyelesaikan latihan matematik tambahannya. Kalau ikutkan, hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi peperiksaan SPM. Seminggu lepas tu pula peperiksaan STPM menyusul. Peperiksaan PMR pula sudah berlalu dua minggu lepas. Sekarang ni boleh kata tiap-tiap minggu dia akan menghabiskan masa di rumah Akmal untuk memberi tusyen kepada Sarah. Akmal pula sibuk nak tumpang sekaki. Sudahnya mereka bertiga akan duduk bertapa selama empat lima jam di bilik bacaan keluarga Akmal ini.
Ariana mengangkat kepala memandang ke arah Akmal apabila lelaki itu tiba-tiba bangun sambil mengepit buku-bukunya.
“Awak nak pergi mana pulak?” Tanya Ariana ketika melihat Akmal menolak kerusi.
“Naik atas. Susah nak belajar dekat sini bila awak ada sekali...” Selamba Akmal menjawab sambil berjalan menuju ke pintu. Ariana mencebik. Ceh, dia yang tak boleh nak fokus, nak salahkan orang lain pulak. Ariana mengomel di dalam hati. Sarah yang berada di sebelahnya itu hanya tersengih penuh makna namun tidak berkata apa-apa.
Setelah menghabiskan masa selama dua jam, Ariana menyuruh Sarah berhenti rehat selama lima minit dulu. Bagi rehat otak sebelum menyambung kembali membuat latihan.
“Kak Ariana, Sarah tanya sikit boleh?”
Ariana yang sedang membalas mesej daripada Akmal itu terhenti seketika. Si Akmal ni pun satu. Kata naik atas nak fokus belajar, tengok-tengok sibuk nak mesej-mesej pulak. Kalau tak dijawab, dikacaunya dengan buat miss calls setiap lima minit. Betul-betul menganggu ketenteraman betul.
“Sarah nak tanya apa?”
“Hmmm, lepas ni kalau abang sambung belajar dekat overseas, kakak okey ke?”
Ariana terdiam seketika. Dia tidak pernah memikirkan akan hal tersebut sebelum ini.
“Hmm, mestilah kakak okey. Lagi pun ini kan berkaitan dengan masa depan abang Sarah. Kalau Sarah dapat belajar ke luar negara pun kakak mesti sokong punya. Yelah, dulu kakak nak belajar dekat luar negara tapi tak dapat. Tak ada rezeki. Jadi kalau Sarah dan abang Sarah dapat ke sana, jangan sia-siakan. Peluang bukan datang banyak kali...”
“Kakak tak takut ke kalau abang pergi belajar jauh-jauh?”
Dahi Ariana berkerut apabila mendengar pertanyaan Sarah itu.
“Nak takut apa? Abang Sarah bukan pergi berperang...” Ariana ketawa kecil.
“Yelah, mana tahu kalau abang berubah hati ke. Manalah tahu kan. Sarah rasa perhubungan jarak jauh ni tak selalunya berjaya...”
Ariana terdiam. Kata-kata Sarah itu membuatkan dia teringat pada kenangan lama. Betul kata Sarah, perhubungan jarak jauh memang tak selalu akan berjaya. Hatinya berasa hiba dan sedih apabila mengingatkan kenangan silam itu. Sarah yang melihat perubahan air muka Ariana itu turut berasa bersalah kerana membangkitkan hal tersebut.
“Err, kakak jangan sedih. Sarah yakin abang bukan jenis macam tu. Abang mesti setia punya...”
Ariana tersedar. Dia memandang ke arah Sarah sambil tersenyum.
“Sarah cakap apa tadi? Ah, tak apalah. Kita cakap pasal hal lain jelah ye...” Ariana masih lagi tersenyum. Cuba menyembunyikan rasa sedih yang mula menyelubungi hati.
“Sarah, kakak nak ke tandas kejap. Sarah bolehlah sambung buat latihan tu ya..”
“Okey...”
Ariana menutup pintu bilik bacaan dengan perlahan-lahan sebelum kaki diatur melangkah menuju ke dapur yang terletak di tingkat satu. Bilik bacaan keluarga Akmal terletak ditingkat dua rumah tersebut. Bilik Akmal dan bilik Sarah pula terletak di tingkat tiga manakala bilik Dato Shamsudin dan bilik Datin Celina pula terletak di tingkat dua. Ariana menyanyi perlahan sambil berhati-hati menuruni tangga untuk ke dapur. Walaupun di tingkat dua mempunyai tandas, namun dia lebih selesa mengunakan tandas di dapur. Kakinya berhenti melangkah di tengah-tengah anak tangga tersebut apabila telinga menangkap suara keras dan kasar seperti marah di ruang tamu.
“Kamu nak jadi apa? papa bukan suruh buat benda tak elok!”
Ariana tergamam seketika. Suara Dato Shamsudin bergema memenuhi ruang tersebut. Ariana tidak pasti kepada suara suara itu ditujukan. Dia berkira-kira mahu naik semula ke atas kerana dirasakan tak elok jika mereka mengetahui yang dia sedang mencuri dengar walaupun bukan disengajakan.
“Abang dah cakap pada papa dulu lagi. Abang tak berminat.”
Langkah kaki Ariana yang mahu kembali ke tingkat atas terhenti apabila terdengar suara Akmal menjawab di bawah. Rupanya Dato Shamsudin bertengkar dengan Akmal.
“Abang cuba cakap dengan papa, apa yang tak kena dengan belajar di sana? Hampir semua keturunan pada belajar di sana. Abang nak bagi malu papa ke?” Suara Dato Shamsudin semakin keras.
“Maaf papa. Abang bukan macam papa. Minat abang tak sama dengan minat papa.”
Ariana menahan nafas apabila mendengar jawapan selamba daripada Akmal itu. Dalam hati turut sama memarahi Akmal. Memang tak makan saman betul Akmal ni. Selamba je cakap macam tu dengan papa dia.
“Abang! Jangan biadap. Papa tak ajar abang biadap macam ni!”
Ariana telan air liur. Kaki cuba digerakkan. Tak sanggup nak dengar lagi namun kaki terasa seperti melekat di lantai marmar tersebut.
“Maafkan abang papa. Keputusan abang muktamat.”
“Sebab perempuan tu ke?”
Dada Ariana berdebar apabila mendengar pertanyaan Dato Shamsudin itu. Hatinya semakin berdebar-debar menunggu jawapan daripada Akmal.
“Ariana tak ada kaitan dalam hal ini. Tapi kalau untuk memuaskan hati papa. Memang. Memang salah satunya sebab Ariana. Abang tak sanggup nak berjauhan daripada dia.”
Rasa macam nak pengsan apabila mendengar kata-kata Akmal itu. Dia tak sangka langsung Akmal berani memberikan jawapan sebegitu dan yang paling dia rasa tak sedap hati adalah sebab dia Akmal tidak mahu sambung belajar di luar negara.
“Penting sangat ke perempuan tu pada kamu sampai kamu sanggup bantah cakap papa?!”
Ariana memegang kuat tempat pemegang tangga itu untuk mengimbangi tubuh daripada terjatuh ke bawah.
“Memang keluarga penting bagi abang, tapi Ariana pun sama penting juga. Abang tak boleh hidup tanpa dia. Sama ada papa suka atau tidak, Ariana akan jadi isteri abang suatu hari nanti...”
Kali ini Ariana betul-betul mahu pengsan apabila mendengar pengakuan berani mati daripada Akmal itu. Dia tak sangka yang Akmal seserius seperti itu. Mengakui yang dia bakal isteri Akmal di hadapan papanya sendiri. Ariana jadi cuak. Dia ingin cepat-cepat naik ke atas. Hajat hati mahu ke tandas terpaksa dilupakan buat sementara waktu namun kakinya tidak mahu bergerak walau seinci. Jantungnya seperti mahu luruh apabila matanya bertembung dengan pandangan Akmal yang sudah berdiri di hujung tangga. Ariana tidak tahu hendak beriaksi bagaimana. Adakah Akmal akan percaya jika dia berkata yang dia tak mendengar apa-apa ataupun dia baru sahaja berada di situ? Pandangan mata Akmal yang redup itu menjawab segala-galanya. Akmal tahu dia telah mendengar semua perbualan antara Akmal dan papanya.           
                                                                    ***
ARIANA MENJELING sekilas ke arah Akmal di sebelah yang sedari tadi masih mendiamkan diri. Sejak setengah jam yang lalu, pandangan Akmal masih tidak dialihkan dari merenung ke arah bandar di bawah. Sudah hampir setengah jam juga mereka berdiri di atas bukit itu sambil bersandar pada kereta Akmal tanpa berkata sepatah pun. Bukan Ariana tidak cuba untuk memulakan perbualan, namun setiap kali dia membuka mulut, setiap kali itu juga fikirannya terbayang kembali kata-kata Akmal terhadap papanya. Walaupun Ariana seperti tidak ingin percaya yang Akmal boleh berkata begitu kepada papanya, namun itu bukanlah perkara penting pada waktu ini.
“Akmal...” Akhirnya Ariana mengagahkan diri juga untuk menegur Akmal. Akmal tidak menjawab. Malah tidak mengalihkan pandangan ke arahnya juga. Pandangan lelaki itu masih tertumpu ke hadapan. Ariana buntu tak tahu nak buat apa. Dia sendiri tak tahu apa yang bermain di dalam fikiran lelaki itu.
“Akmal, saya minta maaf. Saya bukan sengaja nak curi dengar...”
Akmal melepaskan keluhan berat sebelum dia berpaling memandang ke arah Ariana yang berdiri di sebelahnya.
Thanks Ariana...”
Kening Ariana terangkat sebelah apabila mendengar kata-kata yang tidak disangka oleh Akmal itu.
“Err, kenapa?” Tanya Ariana pelik.
Thanks sebab masih sudi berada di sisi saya...”
Ariana tidak tahu nak jawab apa. Dia hanya tunduk merenung rumput di kaki.
“Akmal, pasal hal awak nak sambung belajar tu...”
“Saya dah buat keputusan...” Akmal memotong kata-kata Ariana. Ariana mengangkat kepala memandang ke arah Akmal.
“Akmal, ini semua untuk masa depan awak. Peluang tak datang banyak kali...”
Akmal menoleh ke arah Ariana. Ariana segera melarikan pandangan ke hadapan. Tak sanggup nak pandang wajah Akmal yang seperti kesedihan itu.
“Kalau sebab saya awak tak nak pergi...”
“Jangan salahkan diri awak. Ini pilihan saya.”
“Tapi...”
Enough Ariana. Saya tak nak bercakap tentang hal ini. Walau apa pun terjadi, saya tetap takkan pergi...”
Ariana mengeluh perlahan. Entah macam manalah nak bagi hati besi Akmal ni cair.
“Awak memang suka kalau saya jauh dari awak?” Akmal tiba-tiba bertanya. Ariana menoleh ke arah Akmal. Soalan yang tidak terjangka daripada Akmal itu berputar-putar di dalam fikirannya.
“Bukan macam tu, tapi errr..semua ni berkaitan dengan masa depan awak. Kalau awak nak pergi, saya akan...errr...sentiasa sokong awak...” berbahang wajahnya apabila menuturkan ayat tersebut. Sempat dia menangkap senyuman nipis di wajah lelaki itu dengan ekor matanya. Ariana kembali tunduk merenung tanah.
Thanks Ariana. Saya tahu awak akan sentiasa di sisi saya. Tapi itu tidak mengubah apa-apa. Saya tetap dengan keputusan saya. Barangkali awak mungkin mampu hidup tanpa saya tapi tidak bagi saya. Saya tak mampu hidup tanpa awak...”
Ariana terdiam apabila mendengar kata-kata Akmal itu. Rasa terharu mula menyelubungi perasaannya. Tiba-tiba hatinya berasa hiba. Begitu dalamkah perasaan Akmal terhadapnya?
“Err, kalau awak tak nak sambung belajar di luar negara, apa perancangan awak lepas STPM nanti?” Ariana menukar topik. Rasanya tak ada guna dia nak memujuk Akmal lagi.
“Hmm, saya ingat nak sambung belajar dalam bidang muzik...”
“Hah? Muzik?” Ariana bertanya agak terkejut. Akmal memandang ke arahnya sambil menangkat kening.
“Kenapa? Tak boleh ke?”
Ariana yang masih terkejut itu tidak terus menjawab. Dia melemparkan pandangan ke hadapan. Dalam kepala ligat berfikir. Muzik? Akmal nak jadi ahli muzik ke? Tak pun penyanyi? Memanglah kalau ikutkan Akmal cukup pakej nak jadi seorang pemyanyi. Dalam kepala Ariana dah mula membayangkan Akmal sebagai seorang penyanyi terkenal negara yang digilai ramai peminat perempuan. Serta merta rasa cemburu mula menyelinap di dalam hatinya.
“Mengelamun.”
Spontan Ariana menepis tangan Akmal yang cuba mencuit hidungnya itu. Ariana merenung geram ke arah Akmal di sebelah.
“Awak tak suka ke saya sambung belajar dalam bidang muzik?”
“Awak nak jadi penyanyi ke?” Ariana bertanya perlahan. Akmal ketawa apabila mendengar pertanyaan Ariana itu.
“Kenapa awak ketawa? Salah ke saya tanya?” Ariana bertanya tidak puas hati. Orang tanya serius, dia main-main pulak.
“Tak salah. Cuma kelakar je..” Akmal mencuit hidung Ariana namun sempit ditepis oleh Ariana.
“Apa yang kelakarnya?”
“Awak bagi ke saya jadi penyanyi?” Akmal mengangkat kening. Ariana memutarkan bebola matanya ke atas.
“Apa kaitan dengan saya pulak?”
Akmal sengih mengusik. Dah boleh agak apa yang bermain di dalam fikiran Ariana apabila melihat wajah masam gadis itu.
“Yelah, kalau saya jadi penyanyi nanti. Mesti ramai peminat perempuan tergila-gilakan saya. Awak tak cemburu ke?”
Ariana membuat gaya hendak termuntah.
“Perasan. Siapa je nak cemburu pada awak...” Ariana mengumam perlahan. Akmal masih tersengih.
“Yeke tak cemburu? Bukan hari tu ada orang merajuk sampai lima hari? Sampai demam-demam lagi...”
Berbahang muka Ariana apabila Akmal mula mengungkit akan hal dulu. Rasa macam nak cubit-cubit je budak sebelah ni. Ariana menarik muka ketatnya.
“Alalala. Jangan merajuk. Meh sini dekat saya...” Akmal menarik tangan Ariana namun ditepis oleh Ariana.
“Sayang, jangan marah. Saya bergurau je..”
Ariana tidak menjawab. Pandangan masih dilemparkan ke hadapan. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup membuatkan anak rambut Ariana turut sama terbuai.
“Awak serius ke nak jadi penyanyi?” Ariana bertanya masih lagi memandang ke hadapan.
“Sayang, kalau saya sambung belajar dalam bidang muzik pun, tak semestinya saya akan jadi penyanyi...”
“Habis tu?” Ariana menoleh ke arah Akmal.
“Muzik adalah satu-satunya bidang yang saya minat. Tanpa muzik, saya tak tahu nak buat apa lagi...”
“Kalau awak tak jadi penyanyi, awak nak jadi apa?” Tanya Ariana ingin tahu. Nak juga dia tahu apa matlamat hidup Akmal ni. Takkan nak jadi mat rempit atau samseng kot.
“Entahlah. Mungkin satu hari nanti saya akan bukak kelas muzik, mengajar muzik pada sesiapa yang minat....”
Ariana terdiam. Tak terfikir pula yang Akmal akan mempunyai matlamat hidup sebegitu.
“Mengajar muzik? Maksud awak, awak nak jadi cikgu muzik?”
“Kenapa? Tak boleh ke? Kira okeylah tu. Awak cikgu matematik, saya cikgu muzik. Nanti senang kalau dah ada anak-anak. Tak payah hantar pergi kelas matematik dengan kelas muzik. Kita sendiri boleh ajar...”
Ariana membuat muka. Akmal ni kalau tak melalut ke arah itu memang bukan Akmal namanya.
“Akmal, boleh saya tanya sesuatu?”
“Apa dia?”
“Hmmm, awak jangan marah ye...”
“Bergantung pada apa yang awak nak tanya...” Selamba Akmal menjawab. Ariana memuncungkan bibir membuatkan Akmal ketawa.
“Jangan buat macam tu lagi...”
“Kenapa pulak?”
“Awak buat saya geram...” Akmal ketawa nakal. Ariana membulatkan mata sebelum mencubit lengan Akmal. Geram.
“Aduh, sakitlah...” Akmal mengosok lengan yang kena cubit oleh Ariana itu. Ariana menjeling namun tidak berkata apa-apa.
“Awak nak tanya apa tadi?”
“Hmm, saya tengok awak dah lama tak hisap rokok. Kenapa?”
Akmal terdiam seketika. Barangkali tidak sangka soalan itu yang ditanya oleh Ariana.
“Awak ingat tak dulu masa kita pergi pekhemahan?”
“Mestilah ingat. Mana boleh lupa...” Ariana menjawab perlahan. Sampai mati pun dia takkan lupa akan kejadian itu. Tersesat dengan samseng macam Akmal ni.
“Dulu awak kata pada saya yang awak benci orang yang hisap rokok. Awak kata juga yang asap dan bau rokok boleh buat awak pening...”
“Jadi?” Ariana bertanya masih belum dapat menangkap apa yang hendak disampaikan oleh Akmal.
“Lepas balik dari perkhemahan tu, baru saya sedar yang saya dah jatuh cinta pada awak. Dan sejak dari itu saya dah tak hisap rokok lagi sebab saya tahu awak tak suka orang hisap rokok...”
Ariana terdiam. Tak sangka yang Akmal berhenti hisap rokok hanya sebab dia.
“Err, awak berhenti hisap rokok hanya sebab saya?” Ariana bertanya inginkan kepastian. Setahu dia bukan senang nak berhenti merokok.
“A’ah. Hanya sebab awak.”
“Kenapa?” Tanya Ariana lagi.
“Sebab saya sayang awak...”
Ariana tertunduk malu. Akmal terlalu jujur dengan perasaannya sendiri.
“Hmm. Err...sejak bila awak merokok? Kalau awak tak kisahlah...” Ariana bertanya teragak-agak.
“Saya pun tak ingat. Mungkin sejak tingkatan satu atau sekolah rendah. Saya pun dah tak ingat.” Selamba Akmal menjawab. Hampir melopong Ariana apabila mendengar jawapan Akmal itu. Maknanya sudah hampir tujuh tahun Akmal bergelumang dengan rokok.
“Kiranya awak ni perokok tegarlah. Habis tu, macam mana awak berhenti merokok? Bukan susah ke kalau nak berhenti merokok?”
Akmal memandang ke arah Ariana di sebelah. Rambut Akmal yang terbuai-buai ditiup angin itu membuatkan jantung Ariana berdegup kencang tanpa sebab.
“Kan saya dah kata tadi, saya berhenti merokok sebab awak. Saya sayang awak. Kalau dah sayang, semua boleh jadi. Betul tak?”
Ariana menggigit bibir. Sungguh dia tak sangka perokok tegar macam Akmal pun boleh berhenti merokok hanya sebab cinta.
P/S: TO BE CONTINUED.
P/S/S: INI BAB TERAKHIR DI MANA AKMAL BERADA DI ALAM PERSEKOLAHAN.

6 140 tukang karut:

hk said...

best best giler!!!! pengorbanan seorg Akmal :)

Cahaya said...

hk>>heeee. enjoy next...

norma yusof said...

Seronok sgt2..akmal sggup korban demi ariana

Cahaya said...

norma yusof>>sekarang kita seronok2 and happy2 pepuas ye..hehe :)

Anonymous said...

banyaknyeee akmla korbankn utk ariana! bila la dia nak sedar yg dia dh jatuh cinta haishh..(waniejud)

Anis Syazwina said...

Seronok giler sis!!

Post a Comment