RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Friday, April 5, 2013

Seandainya, Aku Jatuh Cinta Lagi...(Bab 34)


BAB 34
ARIANA membetul-betulkan kedudukan baju kurung berpotongan peplum dan berkain kembang seperti princess berwarna merah jambu cair. Rambut separas bahunya disanggul kemas dan disepit dengan penyepit berwarna hitam. Dia menarik nafas panjang ketika memandang tetamu yang kelihatan memenuhi ruang halaman rumah banglo tiga tingkat itu. Mujurlah dia datang sekali dengan Suzi, kalau tak mahu dia jadi mati kutu sorang-sorang macam tu. Akmal yang pada mulanya mahu menjemputnya di rumah, ditolak dengan baik dan berhemah kerana dia tidak mahu Akmal menjemputnya seperti anak raja.
“Rin, kita nak ke mana ni? Ramai sangat oranglah...” Suzi bertanya di sebelah. Ariana masih memandang ke arah tetamu yang rata-rata tergolong dalam kalangan orang kelas atasan. Masing-masing berpakaian sut dan gaun yang tampak mahal dan ekslusif. Dalam hati tertanya-tanya sama ada adakah betul atau tidak yang mereka sekarang berada di rumah Akmal dan majlis pada hari itu adalah sambutan hari lahir Sarah dan bukannya majlis makan malam golongan koperat.
“Kita masuk ikut laluan belakanglah. Tak lah segan sangat...”
Suzi hanya mengekori Ariana ketika mereka berjalan menuju ke tepi halaman rumah untuk ke bahagian belakang yang menempatkan tasik buatan. Tetamu pula semakin ramai membuatkan Ariana gelisah. Akmal kata hanya kenalan terdekat dan saudara mara sahaja yang dijemput. Kenapa seperti satu Malaysia telah dijemput dan adakah hari itu hanya sekadar majlis sambutan hari lahir Sarah?
“Kak Ariana! Kak Suzi!”
Spontan Ariana dan Suzi berhenti melangkah dan memandang sekeliling. Ariana menarik nafas lega apabila melihat Sarah yang sedang berlari-lari anak mendapatkan mereka. Sarah sangat anggun pada malam itu. Dengan gaun panjang seperti princess berwarna biru firus mencecah lantai. Rambutnya yang panjang melepas bahu telah disanggul kemas dan anak rambut terjuntai di dahi membuatkan gadis itu sangat cantik dan nampak lebih matang. Hiasan bunga kristal yang comel turut diselit pada sanggul Sarah membuatkan gadis itu seperti seorang puteri pada malam itu.
“Kakak datang! Sarah ingat kakak tak datang.” Sarah memeluk Ariana erat-erat seperti sudah sebulan tidak berjumpa. Ariana hanya tersenyum.
“Mana boleh tak datang. Bukan kah kakak dah janji?” Ariana masih lagi tersenyum. Sarah melepaskan pelukannya.
“Hai Kak Suzi. Thanks for coming...”
Suzi hanya tersenyum.
“Kakak dah jumpa abang?” tanya Sarah.
“Belum lagi. Kakak baru je sampai. Hmmm, ramai juga ye jemputan. Akmal kata family Sarah buat majlis kecil-kecilan je...”
Sarah tersenyum penuh makna.
“Hmm, kalau kakak nak tahu. Majlis macam ni kira kecil-kecilan lah. Kalau ikutkan biasa, kitorang selalu buat dekat hotel je...”
Ariana dan Suzi saling berpandangan. Tergambar riak kerisauan di wajah Ariana.
“Kakak jangan risau. Tak ada apalah. Jom masuk dalam. Abang ada kat dalam...” Tangan Ariana ditarik perlahan sebelum mereka mengekori Sarah masuk ke dalam rumah. Sempat lagi Ariana melemparkan pandangan ke arah tasik buatan yang terletak di hadapan mereka. Beberapa buah meja panjang telah di atur mengelilingi tasik tersebut menjadikan tasik itu seolah-olah dipagari oleh meja-meja yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan. Pada tetamu juga sudah memenuhi kawasan tersebut. Air tasik yang sebelum ini kelihatan tenang dan damai kini kelihatan seperti di simbahi cahaya lampu yang berwarna warni. Bunga-bunga kertas juga kelihatan terapung-apung dipermukaan tasik seperti bunga teratai. Kening Ariana terangkat ketika melihat pemandangan indah tersebut. Kelihatan seperti bunga-bunga kertas itu memancarkan cahaya pelbagai warna yang membuatkan air tasik kelihatan seperti bercahaya dipermukaannya.
“Hai...”
Ariana tersedar dari kekusyukan ketika memerhatikan air tasik tersebut. Dia menoleh ke sebelah. Ariana menggigit bibir. Air liur ditelan berkali-kali. Akmal telah berdiri di sisinya sambil tersenyum. Ariana menundukkan kepala apabila Akmal tak putus-putus merenungnya tanpa berkelip. Dadanya terasa berdebar apabila melihat Akmal yang segak berdiri di sebelahnya. Akmal yang lengkap bertuxedo hitam itu benar-benar boleh mencairkan hatinya ketika itu juga namun dia cuba sedaya upaya menahan perasaan yang mampu menyesakkan nafasnya.
“You look gorgeous....and sexy too...” Akmal berbisik perlahan ditelinga Ariana. Merah padam mukanya apabila mendengar kata-kata Akmal itu. Sempat dia menjeling Suzi di sebelah yang kelihatan masih tertumpu pada tasik buatan di hadapan. Entah Suzi dengar atau tidak akan kata-kata Akmal itu, dia sendiri tidak tahu.
“Err. You too...” Ariana menjawab tergagap. Tak berani nak angkat muka memandang ke arah Akmal. Akmal ketawa kecil.
“Saya nampak seksi jugak ke?”
Bertambah darjah kemerahan wajah Ariana apabila Akmal mengusiknya begitu.
“Ehemmm...”
Spontan Ariana menoleh ke sebelah. Sarah dah tersengih-sengih sambil mengangkat kening. Ariana menggigit bibir. Hampir terlupa dia berada di mana. Berada di sisi Akmal ni boleh buat dia lupa segala-galanya kalau Akmal dah masuk mood romantik macam tu walaupun mereka dikelilingi oleh orang ramai. Lain kali dia harus berhati-hati dan tidak mudah terbuai perasaan apabila bersama Akmal. Bahaya.
“Amboi, romantiknya abang dengan kakak. Sampai Sarah berdiri dekat sebelah pun dah tak nampak...”
Ariana tersipu-sipu. Malu sekejap dengan Sarah. Mujurlah Suzi masih sibuk memandang ke arah tasik. Barangkali kagum dengan pemandangan indah tersebut. Yelah, siapa sangka ada tasik buatan di situ siap dihiasi dengan bunga berlampu di permukaan air tasik itu.
“Sarah. Jom. Majlis nak mula...”
Ariana menoleh lagi. Dadanya kembali berdebar ketika dia memandang ke arah Dato Shamsudin. Walaupun Dato Shamsudin sudah separuh usia namun lelaki itu tampak segak dengan tuxedo hitam seperti yang dipakai oleh Akmal. Datin Celina yang turut berdiri di sebelah Dato Shamsudin itu kelihatan cukup anggun dengan jubah kain chiffon fesyen moden berwarna hitam. Manik-manik bertaburan di sepanjang hujung lengan dan juga di dada menjadikan jubah tersebut nampak mewah walaupun ringkas. Hampir terpegun Ariana apabila melihat pasangan tersebut. Walaupun usia masing-masing sudah menginjak ke angka lima puluhan, namun kedua ibu bapa Akmal masih kelihatan tampan dan jelita. Tidak hairanlah Akmal dan Sarah masing-masing nampak kacak dan cantik. Mereka mewarisi kecantikan dan kekacakan ibu bapa mereka.
“Abang, can you....” Sarah memandang Akmal dengan penuh makna. Akmal membalas pandangan adiknya sebelum mengangguk. Sarah tersenyum lebar sebelum memaut lengan abangnya dan dipeluk erat. Sarah memandang ke arah Ariana seolah-olah meminta maaf.
Sorry kakak. Sarah pinjam abang sekejap.” Sarah berbisik perlahan sambil mengenyitkan mata membuatkan wajah Ariana terasa berbahang. Sempat dia menjeling sekilas ke arah Akmal yang masih tidak putus-putus merenungnya dari tadi.
“It’s okey. Today is your day. Enjoy it...” Ariana menjawab sambil tersenyum.
“Tunggu sini. Jangan ke mana-mana. Saya tak lama...” Sempat Akmal berbisik kearahanya ketika dia berjalan mengiringi Sarah menuju ke meja utama yang terletak betul-betul di tengah-tengah meja yang disusun di tepi tasik. Ariana tidak menjawab. Dia memandang ke arah Akmal yang berjalan menuju ke meja utama sambil diiringi oleh Dato Shamsudin dan Datin Celina. Setelah Akmal dan Sarah tiba di meja utama, Sarah melepaskan pelukan pada lengan Akmal sebelum Akmal berjalan menuju ke suatau tempat. Ariana terpaksa menjingkitkan kaki untuk melihat ke mana Akmal pergi.
“He can play a piano?” Tanya Suzi agak terkejut. Ariana menoleh sekilas ke arah Suzi. Baru tersedar yang Suzi masih di sisinya sejak dari tadi lagi. Ariana tidak menjawab soalan Suzi itu. Matanya kembali tertumpu ke arah Akmal yang sudah mengambil tempat di hadapan piano berwarna hitam yang diletakkan di atas pentas kecil di sudut tepi tasik tersebut. Kedudukan pentas tersebut agak tersorok di bawah pokok yang rendang itu membuatkan Akmal kelihatan agak misteri. Lampu lip lap yang tergantung di ranting dan dahan pokok itu menambahkan lagi aura misteri pada Akmal membuatkan Ariana hampir tidak mampu mengalihkan mata ke arah lain.
Akmal memainkan melodi ‘selamat hari lahir’ sambil dinyanyikan oleh hadirin yang hadir. Sarah kelihatan gembira dan tersenyum sepanjang masa sambil ditemani oleh papa dan mamanya yang masing-masing berdiri di kiri dan kanannya. Ariana masih lagi memandang ke arah Akmal. Buat kali kedua dia melihat Akmal bermain piano. Wajah Akmal kelihatan tenang dan bersahaja namun kacak. Memang sukar hendak dinafikan yang Akmal sememangnya memiliki rupa paras yang mampu memikat mana-mana gadis termasuk dia.
Ariana tersedar. Adakah dia sudah jatuh cinta pada Akmal sehingga dia berani memasukkan diri dalam senarai ‘mana-mana gadis yang terpikat pada Akmal?’ Ariana telan air liur. Adakah benar dia sudah jatuh cinta pada Akmal? Anak muridnya sendiri?
Tepukan gemuruh hadiran membuatkan Ariana tersedar buat kali kedua. Mata dihalakan ke arah piano namun Akmal sudah tiada. Ariana memandang pula ke arah meja utama. Akmal sudah berdiri di sebelah Sarah yang sedang bersedia mahu memotong kek hari jadinya yang setinggi tiga tingkat itu. Matanya masih tertumpu pada Akmal yang mengambil sepotong kek lalu disuapkan kepada Sarah. Sarah pula mengambil potongan kek yang lain lalu disuapkan kepada Akmal, Dato Shamsudin dan akhirnya pada Datin Celina. Senyum terukir di bibir Ariana tanpa sedar apabila melihat keakraban keluarga Akmal ketika itu. Seolah-olah perselisihan faham antara Akmal dan Dato Shamsudin tidak pernah berlaku sebelum ini. Walaupun dia tahu yang Akmal dan papanya itu mungkin hanya berpura-pura mesra di hadapan hadirin, namun dia sukakan keadaan sebegitu. Melihat kemesraan keluarga Akmal itu mengingatkan dia kepada keluarganya di Taiping. Ah, betapa rindukanya dia pada keluarga di sana.
“Rin, jom makan dulu. Aku dah lapar...”
Ariana hanya mengekori Suzi apabila hadirin sudah mula berpus-pusi di sekeliling mereka. Mahu tak mahu mereka terpaksa berganjak dari situ. Ariana hanya mampu berharap yang Akmal mampu mencari mereka di dalam lautan manusia itu.
Ketika Suzi sibuk memenuhkan pinggannya dengan pelbagai jenis makanan, Ariana pula sibuk tertoleh-toleh mencari kelibat Akmal. Nampaknya Akmal sedang sibuk berbual dengan beberapa orang tetamu. Biarlah. Nanti pandai-pandailah Akmal mencarinya setelah selesai sesi beramah mesra dengan tetamu itu. Ariana berkata sendiri seolah-olah memujuk diri.
Setelah hampir dua jam melayan Suzi berbual yang sibuk bertanya itu dan ini tentang Akmal dan keluarganya, Ariana mula berputus asa apabila Akmal masih lagi tidak muncul. Dia sentiasa memujuk hatinya dengan mengatakan yang Akmal mungkin sibuk melayan tetamu yang lain dan dia bukanlah tetamu jemputan khas yang perlukan layanan istimewa daripada Akmal.
“Rin, tak sangka kan yang Akmal ni kaya gila...” Suzi tak habis-habis mengulang ayat yang sama sejak sejam yang lalu sehingga membuatkan Ariana jemu mendengarnya.
Family dia yang kaya bukan dia..” Ariana menjawab tanpa sedar. Sudu dikuis-kuis tanpa perasaan pada spageti yang hanya luak separuh itu. Kening Suzi terangkat.
“Kau ni kenapa? Macam moody je sejak dari tadi.”
Ariana tersedar. Dia memandang ke arah Suzi.
“Eh, aku cakap apa tadi? Sorrylah. Aku sebenarnya penat. Lepas ni kita balik eh...”
“Tak nak jumpa Akmal dengan Sarah dulu? nanti apa kata diorang pula...”
Ariana memandang sekeliling mencari kelibat dua beradik itu namun hampa.
“Tak apalah. Diorang sibuk tu. Lagi pun kita dah datang ni dah okey apa. Bolehlah eh, aku mengantuk dah ni.”
“Yelah. Aku pun sebenarnya dah penat jugak...” Suzi meletakkan pinggan yang sudah licin itu di atas meja. Ariana hanya memandang ke arah pinggan Suzi itu. Tak sangka. Suzi ni badan je kecil tapi kuat makan.
“Aku nak ke tandas kejap. Kau tunggu dekat kereta tau. Nanti aku datang...” Ariana berdiri. Pinggan yang masih berbaki itu diletakkan di atas meja yang sama tempat Suzi meletakkan pinggan bekas makannya itu.
“Aik? Nak balik dah ke?”
“Dah tu, nak tunggu apa lagi?”
Suzi membuat muka namun dia berdiri juga lambat-lambat. Mereka berjalan perlahan-lahan dan berpisah di pintu masuk dapur rumah Akmal. Ariana masuk ke dalam rumah untuk ke tandas manakala Suzi terus ke halaman depan melalui jalan yang mereka guna semasa datang tadi.
Ariana merenung wajahnya pada cermin tandas. Dia menarik nafas panjang. Ada riak kecewa pada wajahnya itu. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa dia beriak begitu. Apa yang dia tak puas hati? Atau...kenapa dia seperti berkecil hati?
Setelah memikirkan yang tak guna dia nak memerap lama-lama di situ, Ariana keluar dari tandas. Sempat dia meninjau keadaan dalam rumah buat kali terakhir. Mana tahu sempat jumpa Sarah sebelum balik. Namun hampa. Mungkin Sarah juga sibuk melayan tetamu yang lain. Mujur hadiah Sarah dah diberikan kepada pembantu rumah mereka awal-awal tadi.
“Balik jelah dulu. Nanti mesej Sarah je bagitahu nak balik dulu.” Ariana berkata sendiri sambil berjalan keluar menuju ke pintu belakang. Sedang Ariana melayan perasaan sendiri ketika kaki melangkah menuju ke halaman depan, telinganya menangkap suara berbual dan sekali sekala diselangi dengan gelak ketawa kecil. Ariana mengangkat muka. Matanya difokuskan ke suatu sudut tempat datangnya suara-suara tersebut. Bulat matanya memandang kelibat Akmal yang sedang berbual dengan seorang gadis tidak jauh dari air pancut buatan yang turut dihiasi dengan kerdipan lampu-lampu berjuntai.
“How Romantic.” Spontan bibir Ariana menutur ketika memerhatikan gelagat mereka berdua. Tiba-tiba dia berasa jauh hati dengan Akmal. Patutlah sibuk memanjang. Rupanya melayan ‘tetamu istimewa’. Ariana cuba mengawal perasaannya yang tiba-tiba diserang rasa cemburu itu. Walaupun dia sedaya upaya menahan diri dari memandang ke arah mereka, namun mata tetap berdegil. Ariana memerhatikan kelibat gadis itu dari atas hingga kebawah. Gadis tersebut sangat cantik dalam busana gaun labuh berwarna merah terangnya. Tinggi dan cantik macam model Victoria’s Secret. Memang sesuailah dengan Akmal. Ariana tersenyum sinis seperti mengejek diri sendiri apabila fikiran jahatnya mula membandingkan dirinya dengan gadis tersebut. Macam langit dengan kerak bumi bezanya. Dengan rasa kecil hati yang semakin mencengkap diri, Ariana berjalan perlahan-lahan meninggalkan tempat itu menuju ke halaman utama tempat dia memakirkan kereta. Rasanya Akmal pasti tidak kisah sekiranya dia pulang lebih awal pada hari itu. Dengan rasa sebal, dia menghampiri Suzi yang sedang bersandar pada keretanya.
“Lamanya. Kau sakit perut ke apa?”
Ariana mengangkat bahu dan tanpa sepatah kata, dia masuk ke tempat duduk pemandu. Riak wajah cuba dikekalkan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Kau dah inform Akmal yang kita nak balik dulu ni?”
“Aku jumpa dia tadi..” Ariana menjawab perlahan ketika dia memandu keluar dari halaman rumah batu tiga tingkat itu.
“Yeke? Amboi, sempat lagi jumpa boyfriend. Patutlah lama. Akmal kata apa?”
“Nothing....” Ariana menjawab lagi. Hati semakin pedih apabila bayangan Akmal berbual mesra dengan gadis itu bermain-main dalam fikirannya. Suzi pula seperti hilang kata-kata apabila melihat Ariana seperti tidak mahu melayannya.

                                                                                   ***
ARIANA merenung air tasik yang tenang itu. Suasana di sekitar taman tasik Taiping itu agak tenang. Mungkin masih awal lagi barangkali. Hujung minggu begini jarang taman tasik ini sunyi seperti hari ini. Jam tangan di jeling sekilas. Baru pukul 9.30 pagi. Ariana kembali melontar pandangan ke arah permukaan tasik yang tenang itu. Melihat akan tasik tersebut mengingatkan dia pada tasik buatan di rumah Akmal.
Ah! Kenapa harus dia mengingati lelaki itu? Ariana mendongkol marah. Tujuan dia datang ke tasik itu adalah untuk menenangkan fikiran dan menyingkirkan kenangan sakit hati semalam namun lain pula jadinya. Fikiran asyik teringat pada Akmal, Akmal dan Akmal sahaja. Hampir sepanjang malam dia tidak boleh tidur mengingati Akmal dan gadis Voctoria’s Secret itu. Riak gembira yang tergambar pada wajah Akmal sukar dilenyapkan dalam bayangannya. Dan hampir sepanjang malam juga dia menangis entah sebab apa. Apabila jam menunjukkan hampir pukul empat pagi, barulah dia terlena dan terjaga kembali pada pukul 6.30 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, dia terus memaklumkan pada Suzi yang dia mahu pulang sebentar ke Taiping. Suzi punyalah terkejut namun Ariana tidak peduli. Hatinya agak terbeban dengan perasaan sendiri dan dia hanya mahukan ketenangan sahaja dan tempat pertama yang tergambar dalam kepalanya ialah di sini. Taman tasik Taiping.
Kalau dulu setiap petang dia selalu berjoging dengan angah dan along. Kalau along sibuk pun, angah pasti akan menemaninya berjoging atau sekadar berjalan-jalan di kawasan tersebut.  Ariana memang sukakan taman tasik Taiping ini. Salah satunya sebab bersih dan redup. Pokok-pokok besar dengan dahan dan daun berjuntai di sepanjang jalan membuatkan seperti mereka melalui terowong yang diperbuat daripada pokok. Sangat cantik dan menenangkan. Kadang kala dia dan angah selalu juga berkayak atau sekadar berkayuh sampan di sepanjang tasik tersebut. Angah selalu buli dia suruh kayuh sampan sedangkan dia duduk rehat sambil makan aiskrim. Ariana senyum sendiri. Sejak masing-masing dah bekerja dan berkerjaya, mereka dah jarang datang sini. Tiba-tiba dia merindui saat-saat bahagia seperti itu.
Ariana mendongak ke langit apabila terasa seperti ada titisan air jatuh di atas tangannya. Kelihatan langit agak gelap seperti mahu hujan. Ariana kembali memandang ke arah tasik yang mula berkocak perlahan akibat ditimpa hujan. Dia masih tidak berganjak apabila hujan semakin lebat membuatkan separuh daripada tubuhnya basah kuyup. Entah kenapa dalam keadaan hujan seperti itu, hatinya bertambah sayu dan pilu. Serentak dengan itu, air mata kembali mengalir dari tubir mata bersama-sama dengan air hujan yang jatuh membasahi pipinya.

“Adik! Adik dari mana ni sampai basah-basah macam ni?” Emak kelang kabut membuka pintu pagar ketika terlihat kelibat Ariana yang terkial-kial membuka kunci pada pagar tersebut.
“Dari rumah sewa...” Ariana menjawab perlahan. Tubuh dan terasa menggigil dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki.
“Kenapa balik tak cakap? Esok cuti ke?” Emak masih lagi bertanya. Ariana masih tidak menjawab ketika dia berlari-lari anak masuk ke halaman rumah. Tubuh yang basah lenjun dipeluk kemas. Emak masuk ke dalam tanpa berkata sepatah dan kembali dalam masa tak sampai lima minit sambil membawa tuala tebal yang besar. Tuala dibalut pada tubuh Ariana. Ariana hanya berdiri sambil memeluk tubuh. Rambutnya yang turut basah terasa melekat di dahinya membuatkan dia rimas. Emak membalut kepalanya dan mengosok rambutnya perlahan.
“Kenapa tak pakai payung? Sampai basah macam ni. Nanti deman siapa yang susah?” Emak membebel sambil tangan masih sibuk mengelap rambutnya yang basah. Ariana memandang sayu ke arah emaknya. Serta merta dia rasa terharu. Kasih sayang emaknya memang tak mampu dia balas sampai bila-bila. Lantas tubuh tua emaknya itu dipeluk erat membuatkan emaknya tercengang seketika. Namun tangan tua penuh kasih sayang itu mengusap lembut kepala anak tunggal perempuannya. Ariana, satu-satunya anak gadis tunggalnya. Anaknya yang paling manja dan degil. Senyum nipis terukir di bibir emak.
“Dah, jom masuk. Pergi mandi lepas tu boleh sarapan.”
Ariana melepaskan pelukannya sebelum melangkah membontoti emaknya masuk ke dalam rumah. Hatinya berasa agak tenang apabila telah berada di rumahnya sendiri.

                                                                        ***
AKMAL menekan kuat permukaan skrin HTCnya. Masuk kali ini sudah hampir beratus-ratus kali dia mendial nombor telefon Ariana namun hanya suara peti simpanan sahaja yang menjawabnya. Rasa macam nak baling HTC ke dinding dek kerana bengang. Kot ye pun nak merajuk takkan sampai dua hari off telefon. Memanglah dia akui yang dia bersalah kerana langsung tidak bertemu Ariana selepas selesai majlis potong kek Sarah tempoh hari. Dek kerana sibuk melayan semua tetamu yang hadir, dia hampir terlupa pada Ariana. Bila sedar, Ariana telah pulang ke rumah sejam sebelum itu. Itulah yang dikatakan oleh pengawal yang berkawal di pintu pagar utama rumahnya.
Akmal meraup muka. Dia betul-betul menyesal dan rasa bersalah. Dia tahu dia tak sepatutnya mengabaikan Ariana seperti itu. Mesti Ariana merajuk gila dengan dia. Masakan tidak, sampai dua hari tak buka telefon. Hari ini pun Ariana tak datang ke sekolah. Cikgu Suzi kata Ariana ambil cuti kecemasan dan pulang ke Taping. Bila di tanya alamat rumah Ariana, cikgu Suzi jawab dia pun tidak tahu. Akmal tertanya-tanya agak curiga sama ada betul atau tidak cikgu Suzi itu tidak mengetahui alamat rumah Ariana di Taping. Bukahkah Ariana tu teman serumah cikgu Suzi. Takkan tak tahu? Atau cikgu Suzi sengaja tidak mahu memberitahunya? Atau Ariana telah awal-awal lagi berpesan suapaya jangan memberitahunya? Akmal meraup muka lagi. Arghhh! Kacau betul!
TOK.TOK.TOK.
Spontan Akmal memandang ke arah pintu biliknya. Kepala Sarah terjengul di muka pintu.
“Boleh Sarah masuk?”
“Ada hal apa?” Tanya Akmal tidak menjawab soalan adiknya itu. Sarah membuat muka namun pintu ditolak besar-besar sebelum dia berjalan masuk ke dalam bilik Akmal. Dia duduk di hujung katil sambil memerhatikan Akmal yang sudah berbaring di atas katil sambil merenung siling.
“Kenapa abang tak turun makan sekali?”
“Tak lapar...” Akmal menjawab malas. Fikirannya masih menerawang teringat pada Ariana.
“Abang kenapa? Macam ada masalah je...”
Nothing...”
Sarah membuat muka. Dia merangkak naik ke atas katil lalu berbaring di sebelah abangnya itu. Mata turut memadang pada siling bilik Akmal. Siling bilik Akmal yang ditebuk dan dibuat tingkap di bumbung itu direnung lama. Kalau berbaring begini, boleh nampak langit dari tingkap kaca yang sengaja di buat seperti itu.
“Abang teringat pada Kak Ariana?” Sarah bertanya perlahan. Matanya masih lagi memadang langit yang hitam pekat itu. Terdapat taburan bintang-bintang malap di langit namun agak cantik pada malam itu.
Akmal tidak menjawab pertanyaan Sarah itu. Teringat pada Ariana bukanlah perkataan yang tepat untuk mengambarkan perasaannya ketika itu. Dia rindu. Rindu gila pada Ariana.
“Kak Ariana mesti kecil hati kan kita buat dia macam tu...” Sarah berkata perlahan. Akmal masih mendiamkan diri. Dia yakin kata-kata Sarah itu benar.
“Abang tahu kak Ariana ada mesej Sarah sebelum dia balik hari tu?”
Akmal menoleh ke sebelah. Sarah turut sama menoleh memandang wajah abangnya itu.
“Kak Ariana cakap apa?”
“Dia just inform cakap nak balik dan say thanks sebab jemput dia. Dia mintak maaf juga sebab tak boleh stay lama-lama...”
“Kenapa Sarah tak cakap pada abang yang kak Ariana nak balik?”
“Mana Sarah tahu. Sarah ingat kak Ariana ada cakap pada abang...”
Akmal melepaskan keluhan berat. Dah kalau dengan Sarah, Ariana boleh mesej memberitahu yang dia mahu pulang tapi dengan dia sepatah kata pun tak cakap, mestilah Ariana merajuk gila dengan dia. Akmal memejamkan mata. Macam mana nak pujuk Ariana yang tengah merajuk ni?
“Kak Ariana ada mesej abang?”
“Tak ada.” Akmal menjawab lemah. Kepala tengah ligat berfikir macam mana nak pujuk Ariana.
“Abang tak cuba contact Kak Ariana?”
“Dah macam nak patah jari abang contact Kak Ariana. Telefon tu pun dah nak rosak agaknya.” Mendatar sahaja Akmal menjawab. Sarah hampir tersenyum mendengar jawapan abangnya itu. Macam lawak pula bila tengok abangnya macam ni. Macam kucing hilang anak. Resah gelisah. Mesti abang sayang betul dengan kak Ariana tu. Sarah senyum sendiri.
“Yang Sarah senyum-senyum ni kenapa?”
Spontan Sarah menutup mulut.
Sorry. Hmm, Sarah ada jugak cuba telefon kak Ariana tapi tak dapat. Macam di off...”
“Abang pun. Abang tak tahu nak buat apa lagi.”
“Abang tak jumpa kak Ariana kat sekolah?”
“Dia tak datang sekolah. Cikgu Suzi kata dia balik kampung ambil  emergency leave.”
“Hah? Sampai macam tu sekali kak Ariana merajuk? Lari balik kampung?” Sarah bertanya agak terkejut. Akmal menoleh memandang ke arah Sarah.
“Sarah rasa kak Ariana lari balik kampung sebab merajuk dengan abang ke?” Tanya Akmal agak risau. Sarah terdiam. Dia mengosok dagu seolah-olah berfikir sejenak.
“Kalau ikutkan pendapat Sarah, rasanya Kak Ariana tu bukan jenis cepat terasa hati. Tapi...”
“Tapi apa?” Akmal bertanya tidak sabar.
“Tapi orang jenis macam kak Ariana ni, sekali dia merajuk atau terasa hati. Memang susah nak pujuk. Dengan kata lain, kak Ariana sekarang tengah merajuk gila-gila dengan abang....”
Akmal memandang wajah Sarah dalam-dalam. Hati dah rasa berdebar. Habislah. Apa yang dia takutkan dah terjadi. Ariana memang merajuk gila-gila dengan dia.
“Tapi abang jangan risau. Sarah boleh tolong.” Sarah tersengih nakal.
“Macam mana?” Akmal bertanya cuba sedaya upaya mengabaikan sengihan nakal adiknya itu. Segan rasanya apabila terpaksa meminta bantuan Sarah dalam hal sebegitu. Namun bila difikirkan balik, dia lebih rela kena gelak dengan Sarah sepanjang hidupnya berbanding kehilangan Ariana.
p/s: TO BE CONTINUED.

2 140 tukang karut:

idA said...

susahnya nak menjaga hati orang yg belum tentu lagi akan menjaga hati kita kan..

Cahaya said...

idA>>betul tu...sobsss.

Post a Comment