RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Friday, April 5, 2013

Seandainya, Aku Jatuh Cinta Lagi...(Bab 33)

BAB 33

“Kak Ariana jangan lupa datang tau.”
“Ye Sarah. Tapi kakak tak boleh janji.”
“Kenapa pulak?” Sarah nak buat muka.
“Takut ada hal di sekolah.” Ariana menjawab. HTC ditelinga dibetul-betulkan kedudukannya.
“Ala, takkan hari sabtu pun kena pergi sekolah.” Sarah dah merengek perlahan di sebelah sana. Ariana hanya tersenyum.
“Mana tahu ada meeting ke. Tapi kalau tak ada apa-apa, Insya-Allah kakak akan datang.”
“Kakak mesti datang. Kalau tak Sarah report kat abang.”
Ariana ketawa. Apa sangatlah nak report pada Akmal tu.
“Tak habis lagi ke?” Terdengar suara Akmal di sebelah sana.
“Nantilah abang ni. Sibuk je.” Sarah menjawab. Ariana hanya diam mendengar perbualan adik beradik itu.
“Sudahlah tu. Bagi sini telefon tu...” Suara Akmal kedengaran lagi.
“Nantilah. Ish...Kak Ariana. Nanti kita keluar jalan-jalan nak?” Sarah telah kembali berbual dengannya.
“Nak pergi jalan mana?” Ariana bertanya.
“Kita pergi tengok wayang ke, shopping ke. Ish. Abang!”
“Dah. Bagi abang pulak. Asyik Sarah je nak cakap...” Ariana terdengar suara Akmal lagi.
“Teruklah abang ni. Sarah baru nak sembang dengan kak Ariana.” Suara Sarah dah macam merajuk.
“Dah dekat sejam bersembang, takkan tak puas lagi. Bagi peluang dekat abang pulak...”
Ariana hanya mendengar suara Akmal dan Sarah di hujung sana. Entah macam manalah rupanya dua beradik tu sekarang.
“Helo Ariana, rindu saya tak?” Akmal bertanya. Ariana membulatkan mata.
“Eeeee. Geli Sarah dengar. Kak Ariana, cakap je tak rindu. Biar padan dengan muka abang...” Suara Sarah memekik di sebelah sana. Ariana tergelak.
“Abanggg!” terdengar suara Sarah lagi.
“Sibuk hal orang tua-tua. Dah, pergi naik atas belajar...”
Ariana memasang telinga cuba mendengar suara Sarah namun tiada. Barangkali Sarah telah kembali ke biliknya.
Sorry Ariana. Sarah tu macam dah setahun tak jumpa awak.” Suara Akmal kembali padanya. Ariana menggigit bibir.
“Biarlah. Saya pun dah lama tak jumpa Sarah tu.” Ariana menjawab seolah-olah membela Sarah. Memang betul pun. Sejak kebelakangan ini dia jarang dapat berbual dan berjumpa dengan Sarah disebabkan sibuk dengan kerja-kerja di sekolah. Sarah pun sibuk juga dengan sekolah dan kelas tambahannya itu.
“Kiranya, awak lebih suka cakap dengan Sarah daripada cakap dengan saya?”
Ariana memutarkan bebola matanya. Akmal dah mula nak lancar perang saraf.
“Takdelah macam tu. Tapi bukan ke awak jumpa saya hari-hari dekat sekolah. Bagilah peluang saya bersembang kejap dengan Sarah. Kalau sarah tu satu sekolah dengan saya, lain cerita.”
Akmal merengus perlahan. Ariana buat muka. Tak faham betul dengan budak sorang ni. Angin tak tentu pasal.
“So, awak jadi datang sabtu minggu depan?” Akmal bertanya.
“Hmm. Tak pasti lagi. Kalau tak ada apa-apa, saya datanglah. Hanya majlis sambutan hari jadi je kan?” Ariana bertanya agak risau. Mana tahu tiba-tiba nak buat majlis besar-besaran ke. Orang kaya macam keluarga Akmal tu kan lain sikit.
“Hmm. Mama plan nak buat kecil-kecilan je. Jemput kenalan dan saudara mara je..”
Ariana terdiam.
“Kalau saya tak pergi, tak boleh ke?”
“Kenapa pulak?” Suara Akmal dah lain macam. Ariana menarik nafas panjang. Sebetulnya dia rasa risau. Mana dia pandai nak hadir ke majlis orang-orang kaya macam tu. Tambah-tambah dia sedar yang Dato Shamsudin pasti kurang senang dengan kehadirannya nanti. Dia tak nak jadi punca ketidakselesaan Akmal dan Sarah nanti.
“Saya..err..saya risau. Maksud saya...” Ariana terdiam. Tak tahu nak luah macam mana. Akmal turut sama terdiam.
“Awak risau pasal papa?”
Duss. Sebijik kena atas muka. Ariana hanya mendiamkan diri.
“Jangan risau. Ini majlis Sarah. Lagi pun Sarah dan mama yang minta awak datang. Sarah kata kalau awak tak datang, majlis tu takkan diadakan...”
“Sampai macam tu sekali ke?” Ariana dah cuak.
“Awak bukan tak kenal Sarah tu. Kalau dia cakap macam tu, maksudnya macam tu lah. Degil...”
Kening Ariana terangkat.
“Eleh, pandai cakap orang. Awak pun sama. Degil tak makan saman...” Ariana berkata separuh menyindir.
“Apa pulak. Awak tu lagi degil. Suka nak bantah cakap orang.”
Bulat mata Ariana ketika mendengar kata-kata Akmal itu. Terasa panas telinga.
“Bila masa saya suka bantah cakap orang?” Suara Ariana dah naik satu level.
“Yang awak nak marah-marah tiba-tiba ni kenapa?” Suara Akmal turut sama naik. Ariana mengenggam HTC.
“Sudahlah. Cakap dengan awak ni memang menyakitkan hati. Bye!” Ariana segera memutuskan talian. HTC dimatikan lalu dicampakkan di atas katil. Geramnya! Arghhhh!

                                                                 ***
“Kau nak cari apa sebenarnya?”
“No idea...” Ariana membelek-belek pakaian fesyen terkini yang dijual di butik tersebut. Suzi di sebelah turut sama membelek pakaian lalu diacu ke tubuh.
“Kau tak tahu Sarah tu suka apa?” Tanya Suzi ketika mereka berjalan keluar dari butik pakaian tersebut. Ariana hanya mendiamkan diri. Dalam kepala ligat berfikir  apa yang hendak diberikan kepada Sarah nanti sempena hari jadinya yang ke tujuh belas tahun. Macam inilah gayanya dah kalau jadi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.
“Tak try tanya Akmal?” Suzi bertanya lagi apabila melihat Ariana masih mendiamkan diri. Sudah hampir dua jam mereka merayau di sekitar pusat beli belah tersebut namun satu benda pun tak menarik perhatian Ariana. Entah apa yang dia cari pun tak tahu.
Ariana hanya diam ketika mendengar cadangan Suzi itu. Hati terasa sakit apabila nama Akmal disebut. Perang mulut dengan Akmal tempoh hari masih belum selesai lagi memandangkan Akmal pun tak cuba menghubunginya dan dia tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh jika memulakannya dahulu.
“Kalau kau, kau nak bagi apa?” tanay Ariana apabila telah hampir berputus asa memikirkan hadiah yang sesuai untuk Sarah. Kenapalah sebelum ini dia tak pernah nak bertanya pada Akmal.
“Hmm. Depend pada orang yang nak aku bagi tu. Kalau kawan-kawan, aku bagi je novel ke, barang perhiasan ke. Tak pun aku bagi je kain pasang.”
Ariana terdiam. Nampaknya cadangan Suzi tak banyak membantu.
“Sarah tu orangnya macam mana?” Tanya Suzi lagi.
“Maksud kau?”
“Maksud aku, Sarah tu macam mana orangnya. Periang ke, kelakar ke, manja ke...”
Ariana terdiam sambil berfikir. Kalau ikutkan, Sarah tu lebih kurang macam dia je. manja dan periang. Eh, dia sedang memuji diri sendiri ke? Huhu. Hmmm, kalau nak dibandingkan Sarah dengan Akmal memang jauh panggang dari api. Sekali tengok memang tak macam adik beradik langsung. Silap-silap orang boleh sangka mereka pasangan kekasih macam dia salah faham dulu. Akmal tu panas baran dan suka cari pasal macam samseng manakala Sarah pula manja, lemah lembut dan periang. Entah macam manalah Sarah tu boleh tahan hidup dengan si Akmal tu.
“Wei! Mengelamun...”
Ariana tersentak apabila disergah oleh Suzi. Dia menjeling ke arah Suzi di sebelah.
“So?”
“Hmm. Sarah tu orangnya lemah lembut, periang dan juga manja. Memang berbeza betul dengan Akmal yang panas baran, suka nak cari pasal macam samseng jalanan..” Sempat lagi dia mengutuk Akmal. Rasa geram masih lagi bersarang di dalam hatinya.
“Hmmm. Ala, sesuailah dengan kau. Akmal tu panas baran dan suka cari pasal. Kau pulak degil tak makan saman. Orang kata bagai pinang di belah dua..”
Ariana menjeling lagi ke arah Suzi. Tak pasal-pasal dia pulak yang kena balik.
“Dahlah. Kau nak tolong aku ke tak ni?”
“Hmm. Kau bagi je Teddy Bear. Apa susah. Lagi pun kau kata Sarah tu manja orangnya, aku rasa Teddy Bear pun okey apa...”
“Yeke? Tak rasa macam budal-budak sangat ke?” Tanya Ariana kurang pasti. Buatnya salah bagi, buat malu je.
“Budak-budak apanya. Aku rasa okey je. Kau beli yang besar sekali. Mesti si Sarah tu suka...”
“Kalau dia tak suka macam mana?”
“Kau bagi pada Akmal je. Biar dia peluk tiap-tiap malam sambil membayangkan dia tengah peluk kau..” Suzi menjawab sambil tersengih lebar. Ariana membulatkan mata. Muka terasa panas membahang.
“Eeee. Teruknya kau niii!” Ariana mencubit-cubit lengan Suzi membuatkan Suzi menjerit kesakitan.
“Sakitlah. Ish..Ariana! sakit...!”
Ariana menjeling ke arah Suzi. Muka terasa tebal beberapa inci. Suzi masih lagi tersengih.
“Kak Ariana!”
Spontan Ariana dan Suzi menoleh ke belakang. Sarah sedang berlari-lari anak ke arahnya. Ariana tercengang seketika. Hatinya terasa berdebar apabila melihat Akmal turut berada di situ.
“Kak Ariana buat apa kat sini?” Tanya Sarah sambil memeluk lengan Ariana. Ariana menelan air liur apabila terasa Akmal semakin mendekati mereka.
“Tak buat apa-apa. Saja jalan-jalan dengan kawan. Sarah, kenalkan ni kak Suzi. Suzi, ni lah Sarah...” Ariana memperkenalkan mereka berdua. Akmal yang sudah berdiri di sisinya, tidak dipedulikan. Rasa marah masih bersarang di dalam hati.
“Sarah buat apa kat sini?” Tanya Ariana pula.
“Saja jalan-jalan. Abang cakap dia bosan...” Sarah menjawab sambil tersengih nakal. Kening Sarah turut terangkat ketika memandang ke arah Akmal. Ariana menggigit bibir.
“Tak apalah kalau macam tu. Sarah teruskanlah rancangan saya dengan errrr abang Sarah. Kakak nak balik dah ni...”
Suzi mengangkat kening ketika mendengar kata-kata Ariana itu.
“Ala, cepatnya nak balik. Awal lagi ni...” Sarah semakin menguatkan pautan pada tangan Ariana seolah-olah tidak mahu melepaskan Ariana.
“Errr...” Ariana tak tahu nak kata apa. Dia memandang ke arah Suzi seolah-olah meminta pertolongan.
“Kak Ariana, jom kita pergi tengok wayang. Ada cerita best...”
Ariana memandang ke arah Sarah dengan serba salah. Kalau dengan Sarah sorang je memang dia tak kisah, tapi disebabakan ada seorang hamba Allah yang hanya mendiamkan diri sejak tadi itulah yang membuatkan dia rasa canggung.
“Cerita apa?” tanya Suzi seolah-olah berminat. Ariana menggigit bibir. Suzi ni bukan nak tolong. Lagi mahu menambahkan keserabutan adalah.
“Cerita Istambul Aku datang. Lisa Surihani berlakon...”
“Wah. Kak Suzi memang suka dengan Lisa Surihani tu...” Suzi dah beriya-iya. Ariana menjeling tajam ke arah Suzi yang seolah-olah tidak memahami isyarat awal yang diberikan oleh Ariana tadi.
“Yeke? Kalau macam tu jomlah kak Ariana. Kita tengok wayang. Jangan risau, abang belanja. Kan abang?”
Semua mata memandang ke arah Akmal yang sejak dari tadi mendiamkan diri. Ariana tidak berani nak memandang ke arah Akmal.
“Jom...” Sarah akhirnya membuat kata putus tanpa persetujuan apabila dia dengan pantas menarik tangan Ariana menuju ke panggung wayang yang berada di tingkat atas.

ARIANA membetulkan kedudukannya pada kerusi di dalam panggung wayang. Rasa tak selesa sejak mula-mula masuk ke panggung wayang itu tadi semakin berlarutan sehinggalah sekarang. Mungkin rasa tak selesa itu berpunca daripada seseorang yang duduk di sebelah kanannya yang sejak dari awal tadi asyik diam membisu. Merajuk ke? Entah. Ariana malas nak fikir. Akmal tak nak tegur dia, dia sepuluh kali tak hingin nak tegur mamat tu. Huh.
Ariana cuba menumpukan perhatian pada cerita yang sedang ditayangkan. Memang silap besarlah sebab bersetuju dengan cadangan Sarah untuk menonton wayang tadi. Cerita cinta pulak. Ayat-ayat yang dituturkan oleh pelakon memang boleh muka terasa tebal berbelas-belas inci tanpa sebab. Akmal di sebelah masih tidak mempamerkan sebarang reaksi. Duduk tegak je dari tadi macam kena sumpah jadi patung kencana. Dia pula yang dah jadi macam cacing kepanasan. Ariana mematah-matahkan jemarinya. Tangan yang diletakkan di atas riba sejak dari tadi mula terasa lenguh. Dia menoleh ke arah Sarah di sebelah kiri yang begitu asyik menikmat cerita tersebut sambil mulut mengunyah pop corn tak henti-henti. Suzi pula seolah-olah sudah lupa siapa kawan siapa lawan. Eh, siapa pulak yang jadi lawan dia ni? Ariana menjeling dengan ekor mata ke arah sebelah kanan. Lawannya itu masih statik tidak bergerak.
Ariana mengurut leher yang lenguh itu perlahan-lahan. Sebetulnya dia tak berapa gemar menonton wayang. Dia lebih suka beli DVD dan menonton di rumah sahaja. Boleh golek-golek depan tv sambil makan nasi goreng tomyam resepi Suzi. Ariana menarik nafas panjang. Tangan mahu diletakkan di arm rest di sebelahnya . Lengguh nak letak tangan atas riba.
Ariana cepat-cepat mengangkat tangannya apabila dia merasakan yang tangan Akmal berada di arm rest tersebut. Akmal di sebelah hanya menoleh ke arahnya. Ariana tunduk. Walaupun dalam panggung tersebut agak gelap, namun boleh nampak dengan jelas wajah Akmal itu. Ariana menjeling sekilas ke arah Akmal yang sudah kembali memandang ke arah skrin. Ariana turut sama memandang ke hadapan. Moodnya untuk menonton sudah hilang. Akmal nampaknya marah benar dengannya sampai satu hari tak nak bertegur sapa dengannya. Ariana cuba menumpukan perhatian pada jalan cerita tersebut. Dari memikirkan tentang Akmal di sebelah, baik dia layan cerita Istambul Aku Datang ni, lagi seronok.
“Kak Ariana nak?”
Ariana memandang kotak berisi pop corn yang disuakan ke arahnya oleh Sarah. Ariana mengeleng.
“Tak apalah. Sarah makanlah. Kakak dah kenyang.” Ariana menjawab. Sebetulnya dia tak suka sangat makan pop corn tu. Baginya terlalu manis dan melekit.
“Oh, okey. Abang nak?” Sarah mengangkat tubuhnya sedikit ke depan sambil menghulurkan kotak pop corn itu ke arah Akmal. Akmal mengambil kotak tersebut tanpa bersuara. Ariana tidak mengendahkan perlakuan mereka berdua itu. Matanya cuba difokuskan pada skrin.
Ariana menggigit bibir. Telinganya agak terganggu dengan bunyi di sebelah. Budak ni makan ke melantak? Punyalah kuat. Huh. Ariana membetul-betulkan kedudukan supaya menjadi selesa namun itu tidak membantu kerana bunyi di sebelah betul-betul menganggu tumpuannya sekarang. Setelah hampir lima minit, Ariana akhirnya menoleh ke arah Akmal. Akmal merenung ke arah Ariana sambil mengunyah pop corn. Senyum cuba ditahan di bibir Ariana ketika melihat wajah Akmal ketika itu. Macam budak-budak. Akmal mengangkat kening seolah-olah bertanya ke arahnya namun Ariana hanya diam. Hmmm, Akmal dah mula nak guna bahasa isyarat. Kira nak tengok siapa tegur dululah ni ye. Huh. Jangan haraplah dia nak tegur dulu. Ariana kembali memandang ke arah skrin. Dia cuba tidak mengendahkan bunyi di sebelah yang semakin bising seolah-olah dibuat dengan sengaja. Nasib baik dalam panggung tak ramai orang dan tempat duduk mereka agak jauh dengan orang lain. Kalau tak mesti kena marah.
Ariana cuba menghayati watak Lisa Surihani itu. Tiba-tiba dia merasa sedih. Cerita tersebut sebiji macam kisah lalunya. Si lelaki memberikan alasan yang dia tidak boleh hidup seorang diri di perantauan. Sunyi. Itulah alasan yang turut diberikan oleh Amirul suatu ketika dulu. Air mata mula bergenang di tubir mata. Dia boleh faham akan perasaan si heroin. Sedih dan kecewa apabila mendapat tahu teman lelaki sudah ada yang lain. Serta merta dia berasa sakit hati dengan Tomok yang memegang watak sebagai teman lelaki yang curang. Rasa macam nak bagi flying kick je ketika itu. Namun walau dia cuba menafikan, hatinya tetap dipagut rasa sedih dek kerana kisah silam itu. Air mata mengalir dengan tiba-tiba membuatkan dia menyekanya dengan belakang tangan. Dia dapat menangkap pergerakan di sebelah kanan. Mungkin Akmal sedang memandang ke arahnya namun dia cuba berlagak selamba. Dalam gelap mungkin Akmal tak nampak yang dia sedang menangis. Ariana menarik nafas panjang dan cuba bertenang. Dia sedaya upaya mengenyahkan kenangan lalu itu supaya emosinya tidak terganggu dan boleh membuatkan yang lain menyedarinya terutama Akmal. Dia tak nak Akmal tahu sejarah lamanya.
Apabila lampu telah dipasang menandakan yang tayangan telah tamat membuatkan Ariana menarik nafas lega. Dia menundukkan muka sambil membetul-betulkan anak rambut yang terjuntai di dahinya. Selebihnya dia ingin menghapuskan sisa air mata yang barangkali masih ada di wajahnya. Ariana bangun dan mengekori Sarah keluar dari panggung tersebut. Akmal yang mengekori dari belakang tidak diendahkannya.
“Kita nak ke mana lepas ni?” Tanya Sarah ketika mereka berdiri di depan panggung tersebut.
“Kakak rasa nak balik dululah Sarah.” Ariana cepat-cepat menjawab. Bimbang Sarah mengajak ke tempat lain pula. Kalau Sarah sorang tak apa, ini tak. Dengan abang dia sekali dia seret sama.
“Ala, awal lagi kak. Tak puas nak berjalan dengan kakak lagi...” Sarah nak mula nak memujuk. Ariana serba salah. Sebetulnya dia tak selesa pada waktu itu ditambah pula dengan Akmal yang masih tidak mahu menegurnya lagi.
“Kakak penatlah Sarah. Kita lepak lain kali ye...” Ariana pula memujuk. Sarah membuat muka. Dia memandang ke arah Akmal.
“Abang, pujuklah Kak Ariana. Sarah tak puas lagi nak lepak dengan kak Ariana...”
Ariana menggigit bibir. Dia hanya menjeling sekilas ke arah Akmal yang masih mematungkan diri. Dia menunggu juga Akmal bersuara namun hampa. Akmal tetap Akmal. Degil dan keras kepala. Ariana menarik nafas panjang.
Sarah masih memandang ke arah Akmal yang seolah-olah tidak berminat untuk masuk campur dalam perbualan tersebut. Sarah turut sama memandang ke arah Ariana yang lebih banyak menunduk merenung lantai. Otaknya ligat berfikir. Macam ada yang tak kena. Bergaduh ke mereka berdua ni? Sarah berteka-teki di dalam hati.
“Hmm. Kak Suzi, boleh teman Sarah kejap tak? Sarah nak cari buku latihan sekolah. Mungkin kak Suzi boleh bagi cadangan buku apa yang best..” Sarah menarik tangan Suzi secara tiba-tiba.
“Sarah nak ke kedai buku ke? Boleh juga. Kakak pun nak cari alat tulis...” Ariana berkata dan mula nak melangkah namun ditahan oleh Sarah.
“Sarah pergi kejap je. Kakak tunggu sini dengan abang. Barang kakak nanti kitorang belikan. Tunggu tau...” Sarah cepat-cepat menarik tangan Suzi yang terpingga-pingga itu menjauhi mereka. Ariana tercengang melihat gelagat mereka itu. Pelik betul.
Ariana menoleh ke sebelah. Pandangan dia bertembungan dengan pandangan Akmal. Terlupa sebentar yang Akmal masih berada di situ. Ariana telan air liur. Tiba-tiba hati terasa berdebar. Rasa janggal mula menguasai diri lantas dia mengatur langkah menuju entah ke mana. Jalan je lah mana-mana asal tak berdiri statik kat situ. Ariana menjeling dengan ekor mata. Akmal turut sama berjalan mengekorinya dari belakang. Ariana memutarkan bebola mata. Nak mogok sangat. Fine. Dia tak kisah. Huh!
Ariana berjalan melintas dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Terlupa pula pada pesanan Sarah yang menyuruhnya jangan ke mana-mana. Habis tu takkan nak berdiri tercegat kat situ dengan mamat patung kencana ni. Buat sakit hati je. Ariana menjeling lagi ke arah Akmal yang masih setia mengekorinya namun tiada sepatah kata terluah dari bibir lelaki itu. Lantaklah. Malas nak layan. Ariana masuk ke dalam kedai kasut. Dia membelek sepasang kasut bertumit tinggi dua inci dan berwarna kuning. Dia mencuba kasut tersebut lalu dia berdiri di hadapan cermin. Dia meneliti kasut yang tersarung di kakinya itu. Cantik. Akmal yang masih memerhatikan gelagatnya itu tidak diperdulikan. Setelah puas bergaya di hadapan cermin, Ariana meletakkan semula kasut tersebut ditempat asalnya. Kemudian dia membelek pula kasut yang lain dan di cuba di kaki. Begitulah yang dia lakukan sehingga empat lima pasang yang telah dicuba namun satu pun tidak di beli. Begitulah sifat Ariana, sangat cerewet dalam membuat pilihan. Selagi tak jumpa yang betul-betul berkenan di hati, selagi itu dia akan terus mencari. Akmal hanya memandang gelagat Ariana itu tanpa berkata apa-apa. Sesekali dia hampir tersenyum melihat gelagat Ariana di hadapan cermin. Macam-macam gaya ada. Kening pula dah terangkat empat lima kali sebanyak mana kasut yang dicuba oleh Ariana. Cuba dan bergaya bagai nak rak tapi satu pun tak dibelinya. Mahu sahaja  dia bertanya namun dia cuba menahan diri. Dia sedang melancarkan perang tak nak bercakap dengan Ariana. Kerana ego yang tinggi melangit, dia mahu Ariana memulakan dan memujuknya dahulu.
Setelah puas, Ariana berjalan pula di kedai seterusnya. Kedai menjual baju-baju fesyen terkini. Ariana berfikir sejenak sebelum melangkah masuk ke dalam kedai tersebut. Sengaja dia mahu mendera Akmal yang asyik mengekorinya dari tadi tapi sepatah haram pun tak nak bercakap dengannya. Dia tahu orang lelaki ni paling benci kalau di bawa bershopping. Mereka tak suka menunggu dan rimas dengan gelagat perempuan yang cerewet dan dia memang cerewet. Ariana ketawa jahat di dalam hati.
Ariana mencapai beberapa helai baju sebelum menghilang ke bilik persalinan. Sebetulnya dia bukan nak beli pun. Saja nak mendera Akmal. Padan muka. Suka sangat cari pasal dengan dia. Setelah puas mencuba, Ariana meletakkan kembali baju-baju tersebut di raknya semula. Akmal masih setia menantinya. Ariana hanya memandang belakang tubuh Akmal yang berdiri di suatu sudut. Dalam hati Ariana tertanya-tanya kenapa Akmal masih setia menemainya. Kenapa Akmal masih di sini sedangkan mereka tidak bercakap sepanjang hari ini? Tiba-tiba Ariana teringat akan kata-kata Akmal dulu.
“Saya akan tunggu awak walaupun itu mungkin akan mengambil masa sepanjang hidup saya..”
Ariana tersedar dari lamunan apabila ditegur oleh gadis pembantu kedai. Ariana hanya melemparkan senyuman manis sebelum meminta diri. Dia berjalan mendekati Akmal supaya Akmal sedar yang dia mahu beredar dari kedai tersebut.
Ariana melangkah perlahan tanpa arah tujuan. Sengaja dia berjalan perlahan supaya Akmal dapat berjalan di sisinya namun seperti semakin perlahan dia melangkah, semakin perlahan juga Akmal mengekorinya seolah-olah Akmal sengaja tidak mahu berjalan di sisinya. Ariana menarik nafas panjang. Ada rasa kesal di dalam hatinya dengan sikap Akmal itu. Besar sangatkah salah dia sehingga Akmal menghukunya sebegitu? Ariana malas mahu memikirkannya. Dia memandang sekeliling. Hampir terlupa yang dia sepatutnya membelikan Sarah hadiah sempena hari jadi gadis itu yang jatuh pada minggu depan. Kalau tak cari sekarang, bila lagi? Ariana kembali bersemangat dan langkah kaki diatur laju. Dia dah tak kisah sama ada Akmal nak terus mengekorinya atau tidak. Dia tak perduli. Dia ada misi yang lebih penting.
Setelah hampir setengah jam, Ariana akhirnya mengaku kalah. Dia betul-betul buntu. Dia tak tahu nak bagi apa pada Sarah. Apa Sarah suka? Akmal yang turut sama berhenti di sebelahnya dijeling dengan ekor mata. Dia tak ada pilihan lain selain bertanya pada Akmal. Lagi cepat beli, lagi cepat dia boleh balik rumah dan memulakan semula perang bersama Akmal. Yang penting, sekarang dia perlu lancarkan gencatan senjata buat sementara waktu demi Sarah.
“Err. Saya nak tanya sesuatu boleh?” Ariana memandang ke arah Akmal yang membuang pandangan ke tingkat bawah.
Akmal cuba menahan senyum  dibibir. Akhirnya. Mengalah juga si Ariana ni. Ingat sampai nak tunggu kucing bertanduk baru nak mula menegurnya. Namun dia tidak mahu cepat melatah. Dia mahu menguji sejauh mana Ariana mahu bercakap dengannya.
Ariana menggigit bibir. Sakit hati pula melihat Akmal yang seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya itu. Rasa macam nak tolak Akmal jatuh ke bawah je. Geram!
“Sarah suka apa?” Ariana terus bertanya tanpa menunggu respon dari Akmal. Akmal masih seperti itu. Ariana mengetap gigi. Mamat ni buat perangai samseng dia balik.
Fine. Tak nak tolong sudah!” Ariana berkata geram sebelum berjalan meninggalkan Akmal. Sambil berjalan mulutnya tidak henti-henti mengomel geram. Sakit hati pula dia dengan perangai Akmal itu. Dia dah tegur elok-elok macam tu boleh pulak dia buat aci tak dengar. Dasar samseng tak makan saman.
Senyum yang cuba ditahan terlepas juga di bibir Akmal apabila melihat gelagat Ariana yang nampaknya marah sungguh padanya. Dia berjalan mengekori Ariana yang menonong masuk ke kedai yang menjual barang perhiasan.
Ariana yang masih geram dengan sikap Akmal itu segera mengambil sebuah teddy bear sederhana besar dari atas rak. Bulu patung beruang itu diusap lembut dan diletakkan di pipi. Terasa sejuk sikit hatinya yang mendidih tadi. Dia begitu asyik mengusapkan patung beruang itu ke pipi sehingga tidak sedar yang Akmal sudah berdiri di sebelahnya. Spontan dia menjauhkan wajahnya pada patung berbulu lebat itu. Ariana meletakkan kembali patung tersebut di rak. Dia sudah nekad mahu menghadiahkan sahaja patung beruang kepada Sarah. Tapi design yang macam mana, dia masih belum membuat keputusan.
Sebuah patung beruang berwarna putih beriben pink di ambil dari rak. Dia membelek-belek patung tersebut. Terasa lembut bulu pada patung tersebut membuatkan dia rasa macam nak peluk kuat-kuat. Geram. Agak-agaknya Sarah suka tak patung beruang ni? Ariana bertanya sendiri.
“Awak rasa okey tak?” Ariana bertanya kepada Akmal yang masih setia berdiri di sebelahnya. Kening Akmal terangkat. Pandangannya beralih dari wajah Ariana ke arah patung beruang di tangan Ariana.
“Nak buat apa? awak nak beli?” Akhirnya Akmal bersuara. Ariana berasa lega. Ingatkan nak boikot tak nak bercakap dengan dia sampai bila-bila.
“A’ah. Nak beli lah. Awak rasa okey tak?” Tanya Ariana lagi. Entah kenapa hati terasa agak ringan. Mungkin dia berasa senang hati yang Akmal tidak marah padanya lagi dan masih mahu bercakap dengannya.
“Hmm. Okeylah. Saya tak tahu yang awak suka benda ni...” Akmal mengambil patung beruang dari tangan Ariana itu. Ariana hanya membiarkan. Mungkin Akmal boleh bagi pendapat. Yelah, sudah tentu dia tahu citarasa Sarah.
“Bukan untuk saya...” Ariana menjawab sambil memandang ke arah Akmal yang sibuk membelek patung tersebut. Tangan Akmal berhenti membelek. Ariana memandang ke arah Akmal.
“Habis tu untuk siapa?”
“Saya ingat nak bagi pada Sarah. Minggu depan kan hari lahir dia. Saya tak tahu nak bagi apa. Suzi cadangkan bagi teddy bear je tapi saya tak pasti Sarah suka ke tak. Awak rasa macam mana?”
Akmal memandang ke arah Ariana. Ada rasa tak puas hati di wajah lelaki itu sehingga membuatkan Ariana berkerut kehairanan.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?”
“Kenapa dengan Sarah awak beriya sangat nak bagi hadiah bagai, tapi dengan saya awak tak buat macam tu pulak?”
Ariana hampir tercengang mendengar pertanyaan yang tidak terjangka oleh Akmal itu. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab oleh Akmal.
“Awak ni kenapa? Asyik nak cari pasal je. Dahlah kalau tak nak tolong...” Ariana merampas patung beruang itu dari tangan Akmal sebelum berlalu dari situ menuju ke kaunter bayaran. Sakit betul hatinya dengan sikap Akmal. Baru je nak berbaik dah nak cari pasal. Memang dasar tak makan saman. Huh!
Ariana mengeluarkan HTC dari dalam beg tangan. Nombor telefon Suzi di dial. Agak lama sebelum panggilan disambut.
“Su, kau kat mana ni? Lamanya.”
“Aku dekat...err...dekat MPH lagi. Kau dekat mana?”
“Aku tunggu kau dekat depan kedai minyak wangi tempat kau beli barang hantaran dulu. cepat sikit.”
“Err. Okey-okey..” Suzi menjawab sebelum memutuskan talian. Ariana memasukkan kembali HTC ke dalam beg tangan. Dia berjalan menuju ke arah tempat duduk yang disediakan di hadapan kedai menjual minyak wangi tersebut. Ariana memalingkan muka ketika terasa seperti ada seseorang duduk di sebelahnya.
Sorry...”
Ariana masih memandang ke arah lain. Dia memerhatikan gelagat pengunjung yang berada di sekitar tersebut.
“Ariana, saya minta maaf. Saya tak berniat nak sakitkan hati awak...”
Ariana buat tak tahu. Tadi sombong sangat tak nak cakap dengan dia. Siap buat muka stone lagi bila dia tanya. Sekarang giliran dia pulak nak buat ala-ala patung kencana.
“Sayang, janganlah marah. Sorry okey...”
Terasa meremang bulu roma ketika Akmal berkata begitu. Ariana masih memandang ke arah lain. Muka dah terasa tebal tiga inci.
“Sayang...”
Ariana telan air liur. Kalau tak jawab sampai kesudahlah si Akmal ni dok panggil sayang. Boleh demam seminggu kalau terus menerus macam ni.
“Whatever...” Akhirnya Ariana menjawab. Muka terasa berbahang.
Akmal tersenyum. Sudah tahu senjata rahsia yang mampu menawan hati Ariana.
“Saya minta maaf okey. Saya tak sengaja...”
“Hmmm...”
“Saya rasa Sarah pasti suka walau apa pun awak bagi pada dia...”
Ariana menoleh ke arah Akmal.
“Betul ke? Dia suka kalau saya bagi bear ni?”
Akmal tersenyum. Mood Ariana mudah bertukar. Kadang kala lebih cepat dari lampu isyarat.
“Kalau dari bakal kakak ipar dia, bagi apa pun dia suka je...”
Ariana menggigit bibir. Muka macam dah kena rendam dengan minyak angin.
“Merepeklah awak ni.” Ariana mengumam perlahan. Kepala tertunduk memandang kotak yang berisi patung beruang itu. Akmal ketawa kecil. Suka benar dia melihat Ariana macam tu. Tertunduk malu dengan muka merah padam. Sangat comel dan mengoda.
“Nampak macam dah okey je tu...” Sarah mengintai dari suatu sudut. Suzi turut sama merendahkan badan mengintai dari balik dinding kedai menjual baju dan tudung.
“Habis tu kita nak buat apa ni?” Suzi bertanya. Memang sejak dari mula lagi dia dan Sarah telah mengekori Ariana dan Akmal. Nak mencari buku di MPH itu hanyalah alasan Sarah apabila dia sedar yang Ariana dan Akmal seperti orang sedang melancarkan perang saraf.
“Kita nak ke sana ke?” Tanya Sarah kurang pasti. Suzi mengangkat bahu.
“Tadi Ariana dah call. Nanti apa kata dia kalau kita tak datang sana...” Suzi menjawab. Mata masih memandang ke arah Ariana dan Akmal yang masih kelihatan seperti orang yang baru baik bergaduh. Duduk pun sebatu jauhnya.
“Hmm. Kak Suzi telefon semula Kak Ariana, cakap kita balik dulu, boleh?”
Membulat biji mata Suzi apabila mendengar cadangan Sarah itu.
“Kenapa pulak? Nanti kak Ariana marah Kak Su pulak...”
“Ala, cakaplah Sarah ada hal. Nak balik dulu...”
Suzi kelihatan serba salah. Mahu kena ketuk dengan si Ariana balik nanti.
“Habis tu, kak Ariana tu nak balik dengan siapa?”
“Dengan abanglah. Mungkin dalam perjalanan balik nanti diorang boleh baik semula.”
Suzi terdiam. Hai masalah betul. Sarah ni pulak nampak bersungguh-sungguh nak baikkan Akmal dengan Ariana. Senyum terukir di bibir. Sayang betul Sarah pada Ariana. Hai, untunglah. Belum apa-apa dah disayangi bakal adik ipar.
“Kalau kak Su tak berani nak cakap, biar Sarah yang telefon...” Sarah mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendial nombor Ariana. Mata masih memandang tepat ke arah Ariana di sebelah sana.
Ariana membuka beg tangannya lalu HTC dikeluarkan. Dahi berkerut seketika apabila melihat nama Sarah naik pada skrinya.
“Helo Sarah. Sarah kat mana sekarang?”
“Helo kakak. Sarah dah on the way nak balik rumah. Sarah rasa kurang sihat. Kakak balik dengan abang ya..”
“Hah? Sarah tak sihat? Sarah sakit ke?” Ariana tiba-tiba cemas. Akmal di sebelah hanya mendiamkan diri.
“Sarah pening kepala sikit. Tak larat nak jalan ke tempat kakak. Tu Sarah minta Kak Suzi tolong hantar Sarah balik. Kakak tak marah kan?”
Ariana menggigit bibir.
“Tak. Kakak rak marah. Cuma kakak risau. Sarah okey ke ni?”
“Okey. Jangan risau. Saya nak letak dulu. Sakit kepala Sarah datang balik. Bye kakak.”
Bye.” Ariana memutuskan talian. Dia merenung skrin HTC seketika.
“Kenapa?”
Ariana mengangkat muka memandang ke arah Akmal.
“Sarah dah balik. Tak sihat katanya. Suzi hantar dia balik...”
“Ohh...”
Ariana menarik nafas panjang. Dia berdiri sebelum berjalan perlahan. Dalam kepala dah berkira-kira nak balik dengan teksi sahaja.
“Awak nak ke mana?”
Ariana memandang ke sebelah. Akmal sudah berdiri di sebelahnya.
“Balik rumah...”
“Saya hantar...”
“Tak apalah Akmal. Saya boleh ambil teksi...”
“Saya hantar...” Akmal berdegil. Kotak berisi patung beruang yang dipeluk oleh Ariana, diambil lalu dipegang dengan sebelah tangan. ariana menarik nafas panjang. Tak guna nak bertekak dengan Akmal. Dia kan memang tak makan saman.
P/S: TO BE CONTINUED.

0 140 tukang karut:

Post a Comment