RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Friday, April 5, 2013

Irham Daniel, Saya Sayang Awak...(Bab 1)


BAB 1

PINTU almari pakaian dibuka sebelum sepasang dress separas lutut berwarna coklat muda ditarik keluar lalu dipadankan ke tubuh.  Matanya leka memerhatikan pantulan bayangnya pada cermin dihadapan. Setelah berpuas hati, dia mencampakkan dress tersebut ke atas katil sebelum dia memilih cardigan dan tali pinggang yang sesuai untuk digayakan bersama dengan dress tadi. Cardigan warna senada dan tali pinggang halus berwarna hitam berkilat menjadi pilihan. Kemudian, pintu almari sebelah ditarik. Dia membelek-belek beberapa helai jeans sambil berfikir. Setelah meneliti dan melekapkan jeans ke tubuh beberapa kali, dia memilih untuk menyarungkan jeans jenis bootcut berwarna biru gelap sebagai pelengkap gaya. Setelah selesai menyarungkan pakaian ke tubuh, dia memilih pula shawl yang sesuai. Sesekali bibirnya menyanyi riang sebelum melilit shawl berwarna coklat gelap bermanik di hujung ke kepala. Wajah di make-up seringkas mungkin. Laci meja ditarik perlahan sebelum memilih beberapa jenis aksesori seperti rantai labuh dan jam tangan untuk digayakan bersama. Setelah selesai, sepasang sunglasses jenama bonia dicapai dan diletakkan di atas kepala.  Tangannya sempat mencapai handbeg berjenama guess sebelum langkah kaki di atur menuju ke luar bilik untuk ke dapur.
‘ Aku pergi dulu. Ada date dengan customer. Jumpa di butik nanti..’
Dia meletakkan kembali nota yang dilekatkan di pintu peti ais oleh teman serumahnya. Dia menarik pintu peti ais sebelum mengeluarkan sekotak jus oren dan diletakkan di atas meja. Dia mencapai roti yang terletak di atas meja makan lalu di masukkan ke dalam tempat pembakar. Sementara menanti rotinya siap dibakar, dia mencapai gelas lalu menuangkan jus oren tersebut sebelum membawa gelas ke mulut. Matanya memerhatinya sekeliling ruang tersebut. Rumah teres yang disewa bersama teman serumahnya hampir empat tahun. Tiada yang berubah kecuali cat dinding yang pasti akan berubah setiap tahun apabila menjelang hari raya. Dia tersenyum kecil.
Pap!
Bunyi roti dari alat pembakar mengejutkan lamunannya. Dia segera mencapai roti yang masih panas tersebut sebelum menyapu jem di atasnya.  Terasa nikmat sekali dapat menikmati roti bakar pada waktu-waktu tenang macam ni. Setelah mengambil masa selama lima belas minit bersarapan, dia bangun menuju ke ruang depan. Kunci Myvi yang tergantung di dinding berdekatan pintu keluar dicapai sebelum keluar dari rumah. Kaki menyarung kasut tumit tinggi berwarna hitam yang sempat di capai di rak kasut bersebelahan dengan pintu. Alarm Myvi di tekan. Setelah memastikan pintu rumah dikunci dan di manga, dia mengundurkan kereta keluar dari garaj sebelum memecut menuju ke satu destinasi. Destinasi yang tidak pernah berubah sejak empat tahun lalu jika dia tiada urusan lain.

                                                                           ***

“Good morning Cik Irine,”
Dia tersenyum sekilas.
“Morning. Cik Nadia tak masuk lagi ke?” Dia bertanya ke arah pekerja yang bernama Mila itu.
“Sudah cik, Cik Nadia ada di butik Jelita. Ada customer. Pagi-pagi lagi customer tu dah datang.” Jawab Mila sambil membetul-betulkan susunan pakaian yang tergantung di rak. Dia hanya mengangguk perlahan.
“Tak apalah kalau macam tu, saya masuk dalam dulu.”
“Baik Cik Irine”
Irine mengatur langkah menuju ke pejabat yang dikhaskan untuknya. Handbeg di letakkan di atas meja. Komputer dihidupkan. Sementara menunggu komputer dihadapannya menjalankan fungsi, dia membelek majalah fesyen yang bersusun di atas meja. Membaca majalah fesyen memang menjadi kegemarannya disamping dapat menyuntik ilham. Pergerakan tangannya terhenti ketika telefon di atas mejanya berbunyi. Dia menekan butang tertentu sebelum suara Nadia, teman serumah yang juga teman seperniagaannya kedengaran.
“Irine? Kau busy ke sekarang?”
“Tak, aku baru sampai. Tak panas punggung lagi. Kenapa?”
“Bagus! Tolong aku sekejap boleh? Ramai pulak customer. Tak menang tangan pulak nak layan.”
“Lily mana? Cuti ke?”
“A’ah. Cuti sakit. Tolonglah ek. Aku tunggu kau kat sebelah.”
“Yelah...” Irine menjawab sebelum menamatkan perbualan. Dia berdiri dan membetul-betulkan kedudukan pakaiannya sebelum melangkah keluar dari pejabatnya.
“Mila, saya nak ke sebelah. Cik Nadia perlukan saya. Kalau ada apa-apa, awak cari saya di sebelah ye...” Sempat dia berpesan kepada pembantunya itu.
“Baik Cik Irine.”
Irine menolak pintu kaca yang menghubungkan butiknya, Butik Anggun dan butik Nadia, Butik Jelita sebelum mengatur langkah mendapatkan Nadia yang seolah-olah tak menang tangan melayan pelanggan yang datang.
“Irine, kau boleh tolong layan customer tu tak? Dari tadi lagi dia tunggu. Aku tak habis lagi ni...” Nadia berbisik perlahan sambil menunjuk ke arah pasangan muda yang sedang duduk di meja tetamu sambil membelek album –album di atas atas meja tersebut.
“Okey.” Irine menjawab ringkas sebelum menuju ke arah pasangan tersebut.
“Selamat pagi. Maaf kerana buat cik dan encik menunggu...” Irine menegur pasangan tersebut dengan ramah sebelum turut melabuhkan punggung di sebelah si gadis.
“Cik Nadia sibuk lagi ke?” tanya gadis itu. Irine tersenyum.
“Maaf ya cik, Cik Nadia agak sibuk sikit hari ni. Saya harap cik dan encik tak kisah kalau saya yang layan cik berdua?” tanya Irine masih lagi melemparkan senyuman manisnya. Hati pelanggan harus dijaga.
Gadis itu terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Boleh saya tanya, cik ni siapa? Pekerja Cik Nadia ke?” Tanya gadis itu sambil merenung Irine dari atas ke bawah. Irine masih lagi tersenyum.
“Bukan. Saya bukan pekerja Cik Nadia. Saya Irine. Rakan kongsi Cik Nadia.” Irine menghulurkan salam perkenalan ke arah gadis tersebut.
“Ohh...tapi saya jarang nampak Cik Irine kat sini.”
“Ohh...cik?”
“Eh, lupa pulak. Panggil saya Suri....”
“Ohh, Cik Suri...saya memang jarang berada di Butik Jelita ni kerana saya menguruskan Butik Anggun di sebelah...” Jawab Irine masih mengekalkan sikap ramahnya.
“Ohh...maksud Cik Irine, Butik Anggun dan Butik Jelita ni milik Cik Irine dan Cik Nadia ke?”
Irine hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Wahh..uniknya butik ni. Saya ingat butik ni tak ada kaitan dengan butik sebelah. Butik Jelita ni butik pengantin tapi Butik Anggun kat sebelah tu butik pakaian moden. Fesyen-fesyen gitu...” Siti berkata kagum. Irine hanya tersenyum. Sudah lali dengan kekaguman dan kehairanan setiap pelanggan yang mengunjungi butik mereka. Rasanya tak ada lagi butik di Malaysia ini yang mengamalkan konsep seperti butik mereka berdua. Butik pengantin dan butik pakaian moden digabungkan sekali. Hanya dipisahkan dengan satu pintu kaca saja.
“Jadi, Cik Suri dah pilih mana baju pengantin yang cik berdua berkenan?” Tanya Irine.
“Eh lupa pulak..hmm...saya berkenan yang ni..okey tak bang?” Suri melalukan jari telunjuknya pada gambar di hadapannya. Setelah berbincang apa yang patut. Akhirnya Suri dan pasangannya bersetuju untuk menyewa empat jenis pakaian pengantin iaitu sepasang baju untuk nikah, sepasang baju untuk bersanding dan makan beradap dan dua pasang untuk outdoor.
“Penatnya...” Nadia merebahkan tubuh di ruang tetamu ketika Irine masuk ke ruang tersebut setelah selesai urusan dengan Suri tadi.
“Macam mana?” Tanya Nadia ketika Irine baru sahaja mahu meluruskan tubuh di samping teman seperniagaannya itu yang juga merupakan teman baik sejak sekolah lagi.
“Kau ni. Aku baru je nak duduk.” Irine menjawab sambil membuat muka. Nadia tersengih.
“Sorrylah. Tak sengaja.”
“Kau memang. Semua tak sengaja. Hmm..si Suri tu nak tempah empat pasang pakaian pengantin. Semua details aku dah letak atas meja. Lepas tu dia request photographer sekali. Nanti kau inform si Johan tu. Tanya dia available ke tak pada tarikh yang Suri mintak tu.”
“Ala...kau jelah yang contact Johan tu. Aku penatlah...” Nadia mengeliat perlahan. Irine mencebik.
“Hello mak cik. Ni sekarang siapa punya business? Aku ke?”
Nadia membuat muka.
“Ala...dengan bestfriend sendiri pun nak berkira. Lagi pun, kau kan kanceng dengan Johan tu...” Nadia sengih mengusik. Irine menjulingkan biji matanya.
“Dah, kau jangan nak mengarut. Aku siku baru tahu. Dahlah, aku nak balik butik aku. Nanti lunch nak keluar sama ke?” Irine bertanya sambil berdiri membetul-betulkan kedudukan tali pinggang dan rantai labuh yang berjuntai di lehernya.
“Hmm...boleh jugak. Macam biasalah.”
“Okey set, jumpa kau nanti masa lunch hour. Ada apa-apa nanti call aku.”
“Yelah, macam jauh sangat.”
Irine mencebik sebelum berlalu meninggalkan Nadia yang masih lagi bermalas-malasan di sofa warna krim itu.

                                                                        ***

“MACAM mana? Kau available tak masa tu?” Nadia bertanya sambil mengendang meja dengan jari jemarinya. Menanti dengan sabar.
“Hmm..setakat ni aku free lagi? Kenapa? Ada Job ke?” tanya Johan sambil meletakkan kembali plannar di atas meja.
“Yap. Ada customer request photographer. Kau nak tak?” tanya Nadia.
“Bayaran masyuk tak?” Johan bertanya sambil tersengih mengusik. Nadia menjeling.
“Selama ni aku bayar tak masyuk ke?”
Johan ketawa kecil melihat wajah Nadia yang dah berubah kelat macam mempelam muda itu.
“Aku gurau jelah. Itu pun nak tarik muka ke?” Johan masih lagi ketawa. Nadia mencebik.
“Mestilah. Kecik hati aku tahu...”
“Alaaa...merajuk pulak minah ni. Aku gurau-gurau pun kau nak ambik hati. Cuba tengok Irine tu. Relaks je. Kan Irine?” Johan melemparkan pandangan ke arah gadis tinggi lampai yang sibuk membelek gambar-gambar koleksi hasil kerja tangan Johan itu. Irine mengangkat kepala memandang ke arah Johan dan Nadia yang sibuk berbincang tentang kerja itu. Irine hanya mengangkat bahu tanda tidak mahu masuk campur. Tangannya meneruskan belekan pada album di atas meja kaca.
“So? Macam mana?” tanya Nadia masih tidak berpuas hati.
“Macam mana apa?” tanya Johan namun matanya masih lagi pada Irine yang sibuk membelek album hasil kerja tangannya itu. Dalam diam, sudah lama dia menaruh hati pada gadis kacukan itu.
“Ishh...pasal job ni lah. Kau nak ke tak nak? Kalau tak nak aku bagi pada orang lain.” Nadia menjawab geram. Tahu benar tumpuan Johan bukan lagi pada perbincangan kerja mereka.
“Yelah-yelah. Aku terima. Bisinglah mak cik ni.” Johan akhirnya mengalihkan perhatiannya daripada Irine ke arah Nadia yang dah buat muka meluat itu.
“Ha. Cakap macam tu kan senang.” Nadia kembali tersengih. Johan mengelengkan kepala. Minah ni kalau bab kerja memang nak cepat je.
“Yang penting, bayaran aku nak up.”
Nadia menjegilkan biji mata.
“Kenapa pulak? Aku bayar macam biasa je dah lah. Nak demand-demand pulak.” Nadia menjawab sambil menjeling.
“Takde-takde. Aku ni dah taraf photographer profesional tahu? Tak mainlah bayaran cikai-cikai ni, melainkan....”
“Melainkan apa?” Nadia bertanya sambil memandang curiga ke arah Johan yang kembali melemparkan pandangannya ke arah Irine yang tekun membelek album di meja kaca.
“Err...tak ada apalah.”
Nadia mengecilkan mata memandang ke arah Johan yang agak resah sebelum menoleh ke belakang, memandang ke arah Irine yang dari tadi khusuk membelek gambar-gambar model yang ditangkap oleh Johan.
“Kau kalau dah berkenan tu, terus terang jelah. Kau tunggu apa lagi?” Nadia berkata separuh berbisik, bimbang di dengari oleh teman baiknya itu.
“Aku tak faham maksud kau.” Johan mencapai album di atas meja dan berpura-pura meneliti isi kandungan album tersebut. Nadia menjulingkan biji matanya.
“Aku bukan kenal kau bulan lepas. Dah enam tahun aku kenal kau. Sejak zaman universiti lagi. Setakat kau nak menipu berdalih-dalih ni tak payahlah. Silap oranglah.”
Johan merenung ke arah Nadia dihadapannya. Memang betul. Dia tak mampu nak menipu di hadapan Nadia, terutama yang melibatkan hal hati dan perasaan. Nadia yang dah dianggap sebagai adiknya itu seolah-olah mampu membaca apa yang bergelodak di dalam hati dan fikirannya. Namun untuk dia berterus terang, dirinya belum berani. Tambahan pula, dia tahu prinsip dan pandangan Irine berkaitan teman hidup.
“Belum masanya...”. hanya itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Johan untuk sekian kalinya. Nadia mengeleng.
“Dari dulu lagi. Itu sahaja jawapan kau bila aku timbulkan hal ini. Sampai bila? Takkan kau nak tunggu orang lain masuk line. Kau sendiri tahu kan, Irine tu ramai je orang minat. Sejak zaman U lagi. Cuma dia je tak layan. Buatnye tiba-tiba hati dia terbukak nak bercinta dan orang itu bukan kau, tak ke gigit jari namanya.”
Johan mengeluh panjang. Sesekali dia menjeling ke arah Irine yang tidak bosan-bosan menatap karyanya itu. Kalaulah gadis itu menunjukkan minat terhadapnya sebagaimana gadis itu menujukkan minat terhadap hasil kerjanya, alangkah bahagia hidupnya.
“Susahlah. Kau macam tak tahu pandangan dia tentang pasangan hidup ni. Buatnya dia reject aku mentah-mentah, mana aku nak letak muka aku yang handsome ni?”.
Nadia mencebik. Tak habis-habis nak masuk bakul angkat sendiri. Tapi memang tidak dinafikan. Johan boleh dikategorikan sebagai lelaki yang mempunyai rupa dan gaya. Dengan kerjaya sebagai jurugambar profesional. Rasanya perempuan yang tergila-gilakannya bukan sedikit. Cuma agak malang bagi Johan kerana jatuh hati dengan Irine. Irine, teman baiknya itu tidak mudah menyerahkan cinta pada lelaki macam itu sahaja. Hanya kerana sejarah lampau, teman baiknya itu seolah-olah tidak percaya lagi pada cinta. Pada ikatan perkahwinan. Dia sendiri tahu sebabnya kerana dia dan Irine membesar bersama-sama sejak kecil lagi.
“Hmm..aku cuma harap kau tak menyesal je nanti kalau-kalau Irine tu dikebas orang...” Sempat Nadia berpesan.
“Aku percaya pada jodoh. Kalau jodoh tak kemana. Lagi pun, aku dapat rasakan dia memang jodoh aku...” Johan menjawab yakin sambil mata merenung tajam ke arah Irine. Irine yang terasa seperti diperhatikan, mengangkat kepala memandang ke arah Johan. Buat seketika pandangan mereka bertemu. Dahi Irine berkerut. Nadia turut berpaling ke belakang, melihat wajah Irine yang kehairanan itu.
“Tak habis bertekak lagi ke budak berdua ni?” bisik Irine di dalam hati.
“Dahlah, aku nak blah dulu. Ikutlah kau nak buat macam mana. Asal kerja kau dengan aku beres. Okey?” Nadia berdiri sambil membimbit beg tangannya. Johan turut berdiri.
“Lepas ni apa plan kau?” tanya Johan sambil memandang ke arah Irine yang berjalan menghampri mereka berdua.
“Dah habis?” tanya Irine sambil tersenyum ke arah Johan. Johan terpana seketika melihat senyuman gadis idamannya itu.
“Siap dah.Sorrylah lambat. Si Johan ni demand harga tinggi. Kita manalah mampu.” Nadia menjawab sambil mengangkat kening ke arah Johan. Johan mengerutkan dahi.
“Mana ada. Saya bagi rate biasa je. Betul tak tipu. Si Nadia ni saja nak kenakan saya.” Jawab Johan bersungguh-sungguh sambil memandang ke arah Irine. Nadia cuba menahan gelak yang mengeletek pangkal hatinya itu ketika melihat wajah mengelabah Johan ketika berhadapan dengan Irine. Memang begitulah reaksi Johan setiap kali berhadapan dengan gadis pujaannya sejak dari zaman universiti lagi.
“Dahlah, aku blah dulu. Ingat, kau bagi harga rate biasa kan macam kau cakap tadi. Jaga diri ye ‘abang’ Johan...”. Nadia mengenyitkan mata ketika menyebut perkataan ‘abang’. Johan menjeling tajam ke arah Nadia seolah-olah memberikan amaran. Nadia hanya ketawa panjang. Irine hanya mengangkat bahu tanda tidak faham akan apa yang sedang berlaku dan dia tidak terniat pun nak ambil tahu apa yang terjadi.
“Macam mana? Settle?” tanya Irine ketika mereka keluar dari Johan’ Studio itu.
“Settle! Thanks to you.” Nadia senyum penuh makna.
“Me? Why?” tanya Irine kehairanan. Nadia tidak menjawab. Hanya senyumam penuh makna menghiasi bibirnya itu.

                                                                        ***

IRINE MEMBELEK-BELEK himpunan majalah fesyen yang tersusun rapi di rak. Sesekali dia menarik keluar majalah yang dirasakan mampu memberikan suntikan ilham kepadanya untuk keluaran koleksi akan datang. Walaupun dia sekarang hanya menjual pakaian moden yang dikeluarkan dari kilang, namun dia sudah berkira-kira mahu mengeluarkan jenama dan rekaan sendiri. Proses perbincangan telah pun dibuat dengan pihak kilang dan nampaknya harapan untuk mengeluarkan rekaannya sendiri hampir menjadi kenyataan. Tidak sia-sia dia menghabiskan masa selama tiga tahun menimba ilmu dalam rekaan fesyen semasa di universiti dahulu.
Setelah memilih beberapa naskhah majalah fesyen, dia berjalan menuju ke kaunter bayaran. Dia mengeluh perlahan apabila melihat barisan panjang yang memenuhi kaunter bayaran. Maklumlah cuti sekolah. Dia memilih kaunter paling tepi sekali berdekatan dengan rak yang menempatkan novel-novel melayu. Sementara menunggu giliran, Irine membelek novel-novel yang terdapat di situ. Novel melayu bukanlah bahan bacaan kegemarannya. Malah dia elergi dengan perkataan ‘cinta’.
“Abang...Linda nak ni ye...”
“Ye..sayang...”
Telinga Irine menangkap suara manja di belakangnya. Dia menjeling sekilas dengan ekor mata ke arah belakang. Kelihatan seorang gadis yang merengek manja sambil memeluk lengan seorang lelaki di sebelahnya. Irine meletakkan kembali novel di tempat asalnya.
“Abang...lepas ni kita nak pergi mana?”
Terdengar rengekan manja suara itu lagi. Irine mengigit bibir. Terasa geli lubang telinganya. Sah! Ni mesti pasangan sedang hangat bercinta. Sure belum kahwin. Irine berprasangka sendiri. Rasa macam nak lari keluar je dari kedai buku tersebut. Meluat dengan perlakuan pasangan di belakangnya itu. Setelah beberapaa lama menunggu giliran, akhirnya sampai juga dia di kaunter bayaran. Cepat-cepat dia menyelesaikan urusan bayaran. Tak sanggup rasanya mendengar rengekan manja dan adegan pujuk memujuk yang berlangsung di belakangnya tadi sepanjang masa dia beratur menunggu giliran. Sana sini drama memanjang. Menyampah!
Irine melebarkan langkah kaki menuju ke satu lagi destinasi wajib setiap kali dia berada di shopping mall tersebut.
“Irine? How are you dear? Lama you tak datang sini? Sibuk sangat ke?” Aunty kong menyambut ketika dia melangkah masuk ke La BOUTIQUE Ocean itu.
“Busy sikitlah aunty. Ini pun kebetulan cari barang di sini.” Irine menjawab sebelum melepaskan pelukannya pada wanita separuh usia itu. Aunty Kong merupakan bekas penyarah yang mengajarnya dahulu semasa di universiti. Disebabkan keakraban mereka, penyarahnya itu meminta dia memanggil aunty sahaja. Tambahan pula bekas penyarahnya itu sudah lama bersara dan sekarang menguruskan butik sendiri.
“Aunty ingat you sudah lupa sama aunty. Business macam mana? Itu Nadia apa macam? Dia pun sudah lama tak datang sini.”
Irine tersenyum memerhatikan wanita bergaya dihadapannya itu. Walaupun sudah hampir mencecah umur tujuh puluh tahun, wanita itu tetap anggun. Bersesuaian dengan status dah kerjaya sebagai seorang pereka fesyen.
“Business okey. Nadia pun okey. Dia sibuk sekarang. Ramai orang mahu kahwin. Tu yang sibuk je memanjang.” Irine menjawab sambil tersenyum. Aunty Kong turut turut tersenyun.
“Aunty sorang je ke? Mana pekerja aunty?” tanya Irine sambil menjengahkan kepala memandang sekeling. Butik itu agak lengang, mungkin disebabkan waktu masih awal pagi lagi.
“Ada di belakang. Sedang kira itu stok. Stok baru masuk semalam. You nak tengok?” tanya Aunty Kong. Serta-merta wajah Irine bercahaya. Inilah yang ditunggu-tunggu.
“Nak..nak..!”
Aunty Kong hanya mengelengkan kepala. Tahu benar akan telatah bekas pelajarnya itu. Irine lebih teruja dengan fabrik-fabrik daripada benda lain, hatta teman lelaki pun.
“Selalu aunty ambik stok fabrik ni dari mana?” tanya Irine cube mencungkil rahsia. Mana tahu dia boleh dapatkan fabrik yang sama jika rekaannya berjaya dikeluarkan nanti.
“Selalu aunty banyak ambil dari Paris. Kadang kala dari London pun ada. Kain dari sana lebih bermutu berbanding di tempat lain. Tapi kos agak mahal. Kalau nak murah, bolah ambil di Indonesia atau pun di Vietnam.”
“Ohh...” Irine menjawab perlahan sambil membelek fabrik-fabrik yang di bawa keluar oleh beberapa pekerja Aunty Kong dengan penuh berhati-hati. Maklumlah. Kain mahal. Kalau rosak mahu nangis setahun nak bayar ganti rugi balik.
“Lembutnya kain ni...”.
“Ini kain jenis taffeta. Kain ini selalu aunty guna untuk buat night dress. Aunty import dari Perancis.”
Irine menyentuh kain lembut itu. Terasa aura menusuk ke dalam sanubari ketika dia menikmati kelembutan kain tersebut. Mata terpejam ketika kelembutan kain itu menguasai perasaannya. Terasa sangat selesa dan tenang. Ketawa kecil aunty Kong menyedarkan Irine dari dunianya sendiri. Dia tersipu malu. Aunty Kong mengeleng perlahan.
“You ni tak berubah ya. You suka ini fabrik lagi dari itu lelaki. You belai fabrik ini macam you belai you punya suami.” Aunty Kong tak habis-habis mengusik. Terasa merah muka apabila kata-kata usikan itu menerjah ke gegendang telinga. Memang. Sejak dari dulu lagi minatnya hanya pada satu. Yang pasti bukan pada kaum bukan sejenis.
“Madame, ada customer mahu jumpa.”
Irine dan Aunty Kong mengalihkan pandangan ke arah Julia, pekerja Aunty Kong.
“You tengok-tengok dulu ya. Aunty layan customer dulu.”
“Okey...”. Irine menjawab sambil tersenyum. Matanya kembali menatap himpunan fabrik yang tersusun di bilik stor tersebut. Dia kemudian melangkah menuju ke bilik khas yang digunakan oleh Aunty Kong untuk mencipta dan menjahit koleksI terbarunya. Bilik itu agak kemas dan tersusun. Bekas penyarahnya itu memang sangat mementingkan kekemasan dan sangat cerewet dengan mutu dan kualiti setiap jahitan dan rekaannya. Itulah yang membuatkan dia sangat menyanjungi bekas penyarahnya itu. Setelah menghabiskan masa beberapa lama di dalam bilik tersebut, Irine melangkah keluar menuju ke ruang depan. Dia meninjau-ninjau mencari kelibat Aunty Kong. Nampaknya Aunty Kong sedang sibuk melayan pelanggan. Irine mengambil keputusan untuk duduk berehat di ruang tetamu di suatu sudut sementara menunggu Aunty Kong selesai dengan urusannya. Majalah fesyen yang dibeli, dikeluarkan dari beg plastik. Helaian demi helaian di selak.
“Abang....cantik tak ni?”
“Cantik sayang...nak cuba ke?”
Dahi Irine berkerut. Macam kenal suara tu. Irine mengangkat kepala memandang ke arah pasangan yang berdiri tidak jauh darinya itu. Sah! Diorang lagi! Huh. Menyampah! Irine menghadiahkan jelingan menyampah ke arah pasangan yang sibuk memadu kasih itu tanpa memperdulikan orang sekeliling.
“Nak manja-manja pun tengok tempatlah. Ni tak. Ikut suka hati je. Menyampah aku!” Irine merungut perlahan sambil menyelak majalah di tangan dengan kasar. Hilang terus mood nak mencari ilham.
“Kak Irine, boleh tolong tak?”
Irine yang dari tadi sibuk mengomel seorang diri itu mengangkat kepala.
“Kenapa Ju?” Tanya Irine sambil menutup majalah lalu diletakkan di atas meja.
“Err..boleh tak tolong layan customer tu? Ju nak kena layan customer lain. Madame Kong pulak sibuk layan mak datin mana entah...” Kata Julia separuh merayu. Irine menoleh ke arah pelanggan yang dimaksdukan oleh Julia. Matanya hampir terbeliak.
“Ishh... taknaklah. Menyampah Kak Irine tengok.” Tanpa sedar terkeluar kata-kata tersebut dari mulutnya.
“Kenapa pulak? Ala tolonglah Kak Irine. Kak Irine kan tak pernah tolak kalau madame mintak tolong...” Julia menjawab sambil tersengih dengan rasa bersalah kerana ‘menjual’ nama majikannya itu.
Irine mengigit bibir. Menyampah betul kalau nak kena layan merpati dua sejoli ni.
“Err..miss? can you help me?” Gadis gedik itu memandang ke arah mereka berdua. Lelaki si boyfriend entah hilang ke mana.
“Tolong ye kak Irine. Nanti Ju belanja ais krim...”. Julia tersengih sebelum berlalu mendapatkan pelanggan yang setia menantinya di suatu sudut. Irine mengeluh perlahan. Mahu tidak mahu terpaksalah mengadap pasangan yang sedang hangat bercinta itu.
“Yes? Can i help you?” Irine mendekati gadis gedik itu. Wajahnya cuba dimaniskan sedaya upaya. Etika kerja mesti dijaga.
“Baju ni ada saiz lebih kecil tak? Saiz S ke?” Gadis itu menunjukkan dress labuh berwarna firus yang mengikut bentuk badan.
“Nanti saya check, sila tunggu sebentar ya...” Irine menyambut dress tersebut lalu di bawa ke belakang.
“Mei Ling, baju ni saiz S ada tak?” Irine bertanya ke arah seorang lagi pekerja Aunty Kong.
“Baju mana?”
“Baju ni. Customer nak baju saiz S. Ada tak?”
Mei Ling membelek baju tersebut beberapa ketika. Kemudian dia bergerak menuju ke komputer yang terletak di salah sebuah meja di situ sebelum meneliti sesuatu di skrin komputer. Tangan gadis tersebut laju menekan dan melarikan tetikus. Irine sempat berasa kagum dengan cara kerja Aunty Kong, sangat teratur dan profesional. Semua stok di kemas kini dan direkodkan di dalam komputer, memudahkan pencarian stok dengan lebih cepat dan efisyen.
“Tak adalah. Baju ni dah habis. Tinggal saiz M je..” Mei Ling menjawab.
“Dah tu macam mana?” tanya Irine lagi.
“Haiyo amoi..you pergi cakap sama itu customerlah..cakap ini baju sudah habis..”.
Irine mencebik.
“Yelah...I lupalah. Sorry.” Irine tersengih malu. Mei Ling turut tersengih sebelum kembali menyambung tugasnya mengemas kini data-data stok.
Irine berjalan keluar menuju ke arah gadis gedik itu untuk memaklumkan tentang kehabisan stok.
“Err..maaf cik, baju ni untuk saiz S dah habis. Yang tinggal hanya saiz M je. Itu pun tinggal satu ni je.” Irine berkata lembut. Wajah gadis gedik itu bertukar rupa.
“Abanggg...”. Suara rengekan itu kedengaran lagi. Irine memejamkan mata. Sumpah rasa nak muntah.
“Ada apa sayang?” si Boyfriend entah dari mana muncul tiba-tiba.
“Baju ni dah habis...tak de saiz.” Rengek gadis gedik itu. Irine cuba memekakkan telingan dan menundukkan pandangan. Tak sanggup nak tengok adegan pujuk memujuk yang bila-bila masa sahaja bakal berlaku itu.
“Baju lain tak nak? Kita tengok baju lain ye sayang...”.
“Tak nak. Nak baju ni jugak. Baju ni cantik. Texture dia lembut. Warna pun cantik...”
“Dah tu, kalau dah takde saiz nak buat macam mana? Kalau ambik je saiz yang mana ada, lepas tu kita repair boleh?”
“Hiss...tak cantiklah baju tu nanti...”.
“Dah tu apa abang nak buat sayang...”
Irine memusingkan tubuh, ingin berlalu dari situ. Tak sanggup rasanya nak dengar lagi. Rasa macam nak terjeluak masa tu jugak.
“Err..miss?”
Langkah kaku Irine terhenti. Spontan dia menoleh. Pandangan mata mereka bertemu.
“Yes?” Irine bertanya cuba melarikan pandangan matanya. Gerun dengan pandangan lelaki itu.
“Boleh awak bagi cadangan untuk dress lain yang sesuai untuk makan malam?” Tanya lelaki itu. Barang kali sudah penat nak memujuk si buah hati yang sudah merajuk.
“Nanti saya cuba cari. Tunggu sekejap ye...”. Irine cepat-cepat berlalu dari situ. Tangannya spontan menyentuh dadanya.
“Gila punya mamat, macam nak tembus jantung aku dibuatnya. Tenung orang macam nak makan je. Tak sedar diri awek kat sebelah. Tulah lelaki. Pantang nampak perempuan. Huh!” Irine merungut perlahan sambil memilih dress labuh koleksi Aunty Kong. Setelah memilih beberapa helai dress labuh yang dirasakan sesuai, Irine melangkah dengan berat hati menuju ke arah pasangan tersebut. Dalam hati dia berdoa supaya gadis gedik itu dapat membuat pilihan dan cepat-cepat beredar dari situ. Tak sanggup rasanya nak melihat drama tak berbayar itu.
“Cuba yang ni, mana tahu ada yang berkenan...”. Irine menghulurkan beberapa pasang dress labuh berwarna lembut yang tidak kurang hebatnya dengan dress yang kehabiskan stok itu. Gadis gedik itu membelek dress yang diberikan oleh Irine itu sebelum menuju ke fitting room. Sementara menunggu gadis gedik itu mencuba pakaiannya, Irine kembali ke ruang tetamu sambil mata mencari-cari kelibat Julia. Julia juga telah selesai dengan urusannya.
“Ju, akak nak balik ni. Dah lewat sangat. Nanti Kak Nadia cari...”
“Eh, lupa pulak Ju. Macam mana dengan customer tadi? Dah balik ke?”
“Belum. Tengah cuba baju. Ju uruskan lah ye. Akak nak balik dah. Nanti sampaikan pesan akan pada aunty ya. Lain kali akak datang lagi.”
“Okey, thanks akak, nanti Ju belanja aiskrim...”. Julia tersengih.
“Perli akak lah tu. Okeylah. Take care..bye.”
“Bye...kirim salam pada Kak Nadia.”
Irine menunjukkan ibu jari ke arah Julia sebelum beredar meninggalkan butik tersebut. Terasa lega apabila dapat melarikan diri dari butik tersebut.
“Abang...mana sales girl tadi?”
“Ye cik, macam mana? Suka dengan baju ni?” Julia mendekati pasangan tersebut mengantikan peranan yang dimainkan oleh Irine sebentar tadi.
“Oh..okey, saya suka baju ni. Boleh kan abang?” tanya gadis gedik itu sambil memandang si boyfriend.
“Apa saja untuk sayang...”. si boyfriend menjawab perlahan. Si gadis bersorak manja. Julia tersenyum lebar. Sweetnye. Namun si boyfriend memandang sekeliling, cuba mencari seseorang namun hampa.
p/s: TO BE CONTINUED.
P/S/S: Insya-Allah kalau tak ada yang menghalang, novel ini akan dikeluarkan tahun depan. keluaran mana, tungguuuuu.

0 140 tukang karut:

Post a Comment