RSS

cintailah seseorang seolah-olah kita tidak pernah dilukai

aku seorang pemerhati yang baik dan pendengar yang setia...

Thursday, August 4, 2011

" Kebaikan/ Kemaslahatan menyambut Bulan Kemerdekaan "

For Reference ONLY!


      “Bumi ini harus terlepas daripada belenggu penjajah,”. Itulah tekad penduduk Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Apabila bendera ‘Union Jack’ diturunkan diiringi lagu ‘God Save The Queen’ dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu membelenggu jiwa rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Namun, sebelum kemerdekaan dicapai, pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu diharungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di negara kita. Antara pejuang kemerdekaan negara kita ialah Rentap, Mat Salleh, Dol Said, Naning, dan ramai lagi. Pelbagai usaha yang telah digiatkan oleh tokoh-tokoh negara kita seperti Tun H.S Lee, Tun Dr.Ismail, dan khususnya, Tunku Abdul Rahman. Namun demikian, semangat kemerdekaan semakin luntur dalam diri semua orang. Hari Kebangsaan Malaysia diambil remeh bagaikan tidak bermakna langsung. Sekiranya kita tidak menyambut hari kemerdekaan, kita tidak akan mengetahui siapa Bapa Kemerdekaan kita. Kita tidak akan mengenal dan tidak akan mengenang jasa-jasa tokoh kita dan banyak lagi kebaikan yang dapat kita peroleh daripada mengadakan sambutan kemerdekaan negara. Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.

      Dalam pada itu, kebaikan pertama yang boleh diperoleh dengan menyambut hari kemerdekaan ialah kita dapat memupuk semangat patriotik. Kita tidak akan dapat mengadakan sambutan hari kemerdekaan jika tiada mempunyai satu peratus pun semangat patriotik dalam diri kita. Semangat patriotik ini sangat penting untuk mempertingkatkan dan memperteguhkan sambutan kita dari tahun ke tahun agar tidak menikam sanubari sesama sendiri. Arah untuk mendapatkan kemerdekaan daripada para penjajah bukannya senang malah adalah mustahil untuk mendapatkan kemerdekaan negara jika tidak mempunyai semangat patriotik dan semangat cinta akan negara yang kukuh. Cuba kita bayangkan sekiranya  Tunku Abdul Rahman dengan sambil lewa, endah tak endah tentang  kedaulatan negara kita, maka sampai hari ini juga kita tidak akan mungkin mencapai kemerdekaan. Semua orang telah menggembleng tenaga, hari ke hari, saat ke saat, dengan semangat patriotik yang teguh hanya untuk mendaulatkan negara kita, Malaysia bak kata peribahasa Melayu hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Persoalannya sekarang, adakah seantero masyarakat menitikberatkan peningkatan gejala sosial yang melanda negara kita seperti gejala vandalisme dan gangsterisme oleh golongan belia di sekeliling kita? Persoalan-persoalan ini bagaikan tidak mempunyai sebarang jawapan sehingga masa sekarang. Oleh itu, saya ingin menegaskan isi saya bahawa semangat patriotik sangat penting apabila mengadakan sambutan kemerdekaan negara kerana membawa kebaikan yang tak terhingga.

      Selain itu, apabila sambutan Hari Kemedekaan diadakan, secara tidak langsung kita akan dapat menghargai jasa pemimpin kita. Para pemimpin kita telah berusaha dengan gigih untuk melepaskan kita daripada kemelut penjajahan agar dapat kita bernafas tanpa sebarangan kekangan seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Parti Perikatan ditubuhkan pada awal tahun 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan disertai oleh ahli-ahli politik yang lain seperti Dato Nik Ahmed Kamil, Abdul Aziz Othman, Tun H.S Lee, dan ramai lagi. Mereka semua telah mengadakan rombongan ke London untuk menandatangani Perjanjian London untuk melepaskan Malaysia dari tangan British. Mereka telah berjaya untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British. Bukan itu sahaja, pejuang-pejuang kita seperti Naning, Rentap, Mat Salleh dan ramai lagi juga telah berjuang untuk menuntut kemerdekaan dengan cara yang ganas. Namun, jasa mereka tetap dikenang kerana mereka telah membuat yang terbaik yang dapat dilakukan oleh mereka. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama. Oleh itu, sambutan kemerdekaan negara juga ada membawa kebaikan iaitu menghargai jasa pemimpin agar kita mengingati mereka sepanjang hayat kita tidak kira di mana kita berada.

      Bersatu teguh, bercerai roboh. Inilah ungkapan yang sering diungkapkan apabila adanya perpaduan. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan tersebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Bagi membina perpaduan yang kukuh, pembentukan perpaduan tersebut mengambil masa lama sezaman tetapi untuk merobohkannya, hanya beberapa saat sahaja yang diperlukan. Oleh hal yang demikian, inilah kebaikan yang dapat disemai apabila mengadakan sambutan kemerdekaan negara. Perpaduan menunjukkan kerapatan antara rakyat yang berbilang kaum yang tinggal dengan aman dan damai tanpa sebarang rusuhan serta pergaduhan. Malaysia kini sedang pesat membangun. Banyak bangunan pencakar langit dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di samping kehidupan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat. Kejayaan yang kita kecapi ini merupakan hasil daripada perpaduan rakyat Malaysia. Semua pihak bekerjasama bak kata peribahasa bagai aur dengan tebing untuk memastikan Wawasan 2020 tercapai. Sekiranya ada yang mementingkan diri, maka memang susah untuk mencapai visi kudsi negara kita iaitu perpaduan yang berkekalan. Tuntasnya, semangat perpaduan dalam kalangan seantero masyarakat Malaysia perlu dikekalkan, malahan diperteguhkan melalui beberapa pendekatan yang melibatkan semua lapisan masyarakat di negara kita melalui sambutan kemerdekaan negara.

      Bukan itu sahaja, melalui sambutan hari kemerdekaan, kita akan dapat mengenalkan kepada rakyat di negara kita terutama kepada generasi muda tentang sejarah silam bagaimana negara kita begitu bersusah – payah memperoleh kemerdekaan. Hal ini kerana, seperti yang kita boleh lihat, kebanyakan generasi muda sekarang sangat mudah terpengaruh dengan gejala tidak sihat yang datangnya dari barat seperti gejala ‘ black metal’, gejala punk, ‘ homoseksual dan sebagainya. Jika perkara seperti ini jika tidak ditangani dari awal, pasti akan membawa kesan buruk kepada negara kerana generasi muda merupakan penyambung warisan kepimpinan negara kita. Sebenarnya, kebanyakan golongan belia atau generasi muda tidak memahami sepenuhnya apa itu gejala ‘ Black Metal’ dan ‘ Punk’ yang mereka ‘ anuti ‘ sekarang. Mereka sekadar mudah terpengaruh  dengan pengaruh rakan sebaya yang mengandaikan jka mereka menyertai kumpulan tersebut, mereka akan nampak lebih ‘ macho’ atau lebih ‘ matang’. Oleh itu, sambutan hari kebangsaan ini boleh dilihat sebagai salah satu medium untuk menyedarkan golongan generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan gejala buruk yang datangnya dari barat. Malah, melalui sambutan hari kemerdekaan ini juga sedikit sebanyak akan dapat menyedarkan generasi muda supaya sentiasa memelihara kemerdekaan yang telah kita kecapi ini. Apabila generasi muda telah melihat betapa sukarnya kehidupan kehidupan pada zaman sebelum merdeka, mereka pasti akan sedaya upaya tidak akan membiarkan penjajah menjajah kembali negara kita dan kemerdekaan yang telah kita kecapi selama 54 tahun ini tidak akan mudah diperkotak-katikan.

      Percaya atau tidak, melalui sambutan hari kemerdekaan kita akan dapat mengeratkan perhubungan dalam keluarga?. Hal ini kerana, apabila sambutan hari kemerdekaan ini diadakan, seluruh keluarga boleh berkumpul dan pergi bersama-sama melihat atau turut serta dalam sambutan ini. Seperti yang kita tahu, sambutan hari kemerdekaan merupakan hari cuti umum. Oleh itu, inilah masanya untuk ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama memeriahkan lagi sambutan tersebut. Kita boleh merancang aktiviti sempena cuti hari kemerdekaan seperti pergi ke mana-mana tempat yang telah ditetapkan sebagai tempat berlakunya sambutan hari kebangsaan. Di sana, kita bersama keluarga boleh melihat secara langsung acara-acara yang disediakan seperti senaman beramai-ramai, tarian tradisional, perarakan kereta berhias serta perbarisan kontigen dari pelbagai sektor kerajaan dan swasta. Jika tidak ke tempat di mana sambutan tersebut diadakan, kita boleh menghabskan masa bersama keluarga di hadapan kaca televisyen untuk melihat acara sambutan hari kemerdekaan ini yang hanya diadakan setahun sekali sahaja. Dengan cara ini, keakraban setiap ahli keluarga dapat dierat dan dipupuk.

      Oleh itu, sebagai rakyat yang memiliki minda kelas pertama, usahlah kita berat tangan dalam soal menabur bakti kepada negara, sebaliknya sentiasa bersedia untuk mencurahkan tenaga dan idea demi negara tercinta. Dalam hal ini, mantan Perdana Menteri Malaysia pernah berkata,”Bekerjalah bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya.” Betapa pentingnya untuk mengadakan sambutan hari kemerdekaan negara kerana dengan nikmat Tuhan dapatlah kita tontoni sambutan hari kemerdekaan yang sungguh meriah dan gemilang di negara kita, di manalah status kita untUk memiliki hak kerakyatan. Saya berasa sungguh bangga apabila Perdana Menteri Malaysia menjerit ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali apabila mengadakan sambutan kemerdekaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sambutan kemerdekaan negara ada banyak kebaikannya. Oleh itu,marilah kita bangunkan negara tercinta, Malaysia menjadi negara yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.



p/s: upadte : cuba jangan just nak copy paste saja. cuba buat essay sendiri. boleh guna material sebagai sumber rujukan. aku ni pun mengajar dan kalau kau tu student aku, aku akan bagi ZERO je kalau aku detect kau meniru.


pss: fed up dengan orang yang asyik komen 'TAK BOLEH COPY PASTE ke?"


4 140 tukang karut:

Zaidul khair said...

mcm mne nak copy statement ni??? taleh nk copy la

Anonymous said...

stupid can't copy paste

Anonymous said...

anon, u are stupid. kerja nak copy paste je.

Anonymous said...

tq, saya buat rujukan sedikit untuk essay saya :)

Post a Comment